Sunday, April 13, 2008

Analisa Berita

Ku Li Jangan Harapkan Mahathir

(kemaskini) SESETENGAH penyokong fanatik Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) bergitu optimis Dr Mahathir Mohamad akan memberi sokongan kepada bekas Menteri Kewangan itu dalam persiapannya untuk menentang Abdullah Ahmad Badawi untuk merebut jawatan Presiden Umno hujung tahun nanti.

Mereka ini tampaknya melupai sejarah hitam antara mereka berdua, bahawa Dr Mahathir telah mengecewakan Ku Li tidak kurang daripada dua kali. Pertama Dr Mahathir mungkir janji untuk menyokong Ku Li sebagai timbalan perdana menteri.

Walaupun Dr Mahathir pernah berjanji untuk memberi laluan kepada Ku Li atas dasar membalas budi baik Ku Li yang memberi laluan kepada Dr Mahathir ketika Umno berhadapan mencari pengganti Hussein Onn kira-kira 26 tahun lalu namun janji itu dialpakan begitu sahaja.

Dr Mahathir sengaja mengalpakan janjinya itu. Sebabnya bukan apa kerana Dr Mahathir selamanya melihat Ku Li sebagai berfahaman feudal dan bangsawan. Dr Mahathir sangat anti kepada golongan bangsawan dan anak raja. Tindakannya meminda perlembagaan bagi mengurang imuniti Raja-Raja tahun 1986 mencerminkan sikap antinya itu.

Dr Mahathir adalah penganut ideologi sosialisme-kapitalisme dan mengamalkan pemerintahan otokrasi atau kuku besi. Penganut sosialisme selamanya tidak suka kepada keturunan raja atau mereka berfahaman feudal.
Memberi sokongan

Perbezaan ini tidak difahami oleh penyokong Ku Li. Kerana itu mereka merasakan bahawa Dr Mahathir ikhlas akan memberi sokongan Ku Li dalam unsaha ahli Parlimen Gua Musang itu hendak mencuba nasib berlawan dengan Abdullah.

Tidak salah kalau Dr Mahathir ingin menyokong Ku Li atas rasa ingin apologetik atas kesilapannya selama ini. Namun saya yakin sebagai seorang penganut fahaman sosialisme kononnya beliau tidak tergamak untuk mengangkat orang nasionalis dan keturunan raja seperti Ku Li menjadi pemimpin.

Kenyataan Dr Mahathir yang ke belakangan ini persis tidak menyakini calon pilihannya Mohd Najib Razak diambil kesempatan oleh penyokong Ku Li untuk menerima Dr Mahathir dan beranggapan Dr Mahathir sukakan Ku Li.

Tanggapan itu sebenarnya salah dan membuang masa Ku Li sahaja. Orang yang faham dengan kong kalikong politik Dr Mahathir akan dapat membaca apa yang terbuku didalam hatinya. Dr Mahathir selalu menggunakan sebutir peluru untuk mematikan dua ekor burung!

Beliau sengaja menunjukkan kerenggangan dan rasa tidak suka kepada Najib bagi mendekati puak-puak Ku Li. Beliau mahu menunjukkan bahawa pandangannya masih diterima umum dan masih popular. Sebalinya di dalam hati kalau disuruh pilihan antara Najib dengan Ku Li, Dr Mahathir akan pilih Najib.

Jadi janganlah pengikut Ku Li beriya sangat mengharapkan Dr Mahathir menyokong Ku Li untuk jadi PM. Mengujungi atau mendengar ceramah atau mengatur majlis untuk Dr Mahathir membaham dan membelasah Abdullah tidak memberi banyak gunanya. Sikap meludah ke langit terkena batang hidung sendiri merugikan bangsa dan Umno.

Hakikat Dr Mahthir masih sayangkan Najib terbukti apabila beliau bersetuju dengan cadangan agar Abdullah mengadakan pelan peralihan kuasa dengan segera. Dr Mahathir sudah membaca kalau pelan itu dilakukan yang untungnya kelak ialah Najib.

Cadangan agar peralihan kuasa dibuat di luar Perhimpunan Agung Umno menjelaskan lagi tektik dan isi hati Dr Mahathir. Beliau sudah membaca kalau peralihan itu dilakukan secara demokratik iaini memberikan kebebasan kepada perwakilan memilih menyebabkan calon pilihannya belum tentu terpilih.
Alasan atau helah

Pandangannya peralihan itu perlu sekarang kerana bimbang Abdullah akan berhadapan dengan undi tidak percaya adalah strategi atau helah sahaja. Cara Dr Mahathir itu ialah untuk memastikan Najib menjadi PM dan bekas anak PM itu tidak payah lagi dinilai di dalam perhimpuann agung Umno.

Kalau beliau (Dr Mahathir) benar-benar ikhlas dan tidak ada agenda beliau akan meminta peralihan kuasa itu dilakukan dalam perhimpunan agung Umno. Peralihan kuasa dalam perhimpunan Umno jauh lebih telus dan bebas serta tidak terikat dengan pengaruh-pengaruh individu tertentu.

Cara itu juga akan memberi kepuasan dan kebebasan kepada ahli Umno. Apa lagi kalau sistem kouta yang diperkenal dan diamalkan di zaman Dr Mahathir itu dihapuskan. Dengan cara itu juga barulah Umno mendapat pemimpin yang benar-benar berwibawa dan bersih.

Tegasnya pengikut Ku Li tidak payah menjual muka menghadiri majlis Dr Mahathir kerana ia tidak memberi keuntungan satu sen pun kepada Ku Li. Lagi ramai mengerumuni Dr Mahathir menyebabkan Dr Mahathir merasakan beliau semakin penting dan agung.

Paling baik penyokong Ku Li harus menunjukkan sikap tidak melihat Dr Mahathir penting dan hendaklah merasakan Ku Li mempunyai kekuatan tersendiri untuk berhadapan dengan Abdullah tanpa bernaung di bawah mana-mana tokoh. [wm.kl 4:20 pm 13/04/08].

No comments:

Post a Comment