Monday, April 14, 2008

Rencana

Ismail Hussein
Pendeta Yang Baru Tersedar Dari Lamunan

MSO

TIDAK dapat disahkan apakah Ketua 1 Gabungan Penulis-Penulis Nasional (Gepena) Ismail Hussein (foto) faham atau tidak politik dan arif mengenai senario semasa politik Malaysia. Setahu saya beliau adalah ketua kepada gabungan persatuan-persatuan penulis sejak lebih 30 tahun lalu. Kedudukan Ismail sendiri sudah lama dipertikaikan oleh ahli sastera kerana gagal mengembang dan mendinamikkan sastera negara ke tahap yang sesuai dengan usia negara.

Kita juga keliru apakah perjuangan Gapena dan sekutu-sekutunya. Apakah mereka pembela bahasa dan penegak budaya? Atau sekadar pengkagum dan pencandu sastera semata! Ini kerana kedudukan bahasa Melayu dan budaya Melayu hari ini semakin terancam dan lemah, sehinggakan kewujudannya tidak lagi digah dan disedari umum. Apa lagi dibandingkan ketamadunan sastera dunia 'dipanggil' tidak dengar. Wahal tanggungjawab itu tersangkut di bahu Gapena.

Apakah setelah beliau merasakan telah bejaya dan hebat sebagai ketua Gapena selama lebih tiga dekad (berperasan), maka beliau harus belajar memasuki orbit politik untuk melihat denyut nadi politik orang Melayu pula. Sebagai muqadimahnya lantas beliau melemparkan kerungsingan dan kebimbangan selepas bahtera Melayu bernama Umno sudah hampir pecah dan hampir hendak karam?

Nasib dan masa depan

Nampak walang sekali jiwa Ismail mengenai nasib dan masa depan Umno. Sayangnya kebimbangan itu tidak berasas. Malang lagi sambil itu beliau melontarkan batu ke arah perahu lain bagi menutupi atau meredakan ombak daripada menghentam bahtera Umno.

Sempena dengan berlangsungnya perhimpunan Majlis Bertindak Perpaudan Melayu (MBPM), anjuran lebih 20 NGO Melayu, beliau cuba mengusik jiwa dan semangat Melayu agar terus mendokong Umno dan bingkas mempedulikan nasib bangsa Melayu.

Sikap dan tanggungjawab itu baik. Sebagai bangsa Melayu kita perlu prihatin dan terus berikhtiar. Tetapi apa yang tidak kena kepada sang pendeta ini bila mana beliau berkata hanya Umno yang boleh menyelamatkan Melayu, manakala badan siasah lain Pas dan PKR tidak berdaya melakukannya.

Paling menyedihkan beliau lantas menghukum Pas dan PKR bukan saja tidak mampu dan berpengalaman untuk diserahkan negara tetapi mereka juga tidak membela Melayu bahkan akan menjual Melayu.

Sumber atau analisa dan kajian mana yang beliau baca untuk berkata demikian?
Kenapa begitu lemah dan rendah sekali pemikiran dan pengamatan Ismail dalam hal ini. Kalau pun begitu menyintai Umno atau termakan budinya menerusi Gapena menerusi kontrek pembikinan buku teks sekolah bernilai berbillion ringgit, tapi janganlah tergamak mengeluarkan pandangan yang begitu rendah mutunya. Huduh sangatlah seorang pedeta kalau berbicara demikian tanpa asas dan dasar yang mapan.

Barang di sini Ismail terlupa kepada tokoh bernama Anwar Ibrahim yang dikira cukup berpengalaman dan sangat layak untuk menerajui negara! Anwar bukan saja berpengalaman dalam pengurusan negara, hubungan diplomatik tetapi jiwa raganya juga sudah teruji apabila di hantar ke penjara oleh Dr Mahathir.

Kita mahu tanya apa yang Umno telah lakukan dengan pengalaman yang lama itu? Memang Umno cukup berpengalaman, usianya sudah 57 tahun. Kurang tiga tahun lagi akan genap 60 tahun. Jika uisa Umno menyamai usia Rasulullah s.a.w. (sebenarnya tidak layak digandingkan dengan Nabi) ini bermakna Umno akan lenyap empat atau lima tahu lagi.

Kalau Umno benar-benar berpengalaman dan menggunakan pengalaman itu untuk membela Melayu, masakan bahasa Melayu dan budaya Melayu hancur berkecai kini? Identiti Melayu lupus dan lusuh. Banyak kepentingan Melayu yang telah digarap dan didokumenkan sebelum ini terombak dan berkecai?

Kesalahan dan kehancuran

Kepada siapa kita hendak lontarkan kesalahan dan kehancuran itu semua? Bukankah kepada Umno? Kalau kepada Umno apakah kita terus boleh berandaian Umno masih relevan dan mampu menguruskan negara dan Melayu?

Apakah Pak Ismail sedar hakikat ini? Saya rasa Pak Ismail kurang peka kerana asyik bermain dengan bulan bintang, laut dan ombak dan melancung makan angin di seluruh negara mencari kesan-kesan dan artifak sejarah untuk dikaji dan direkodkan.

Pak Ismail pun terlewat beberapa dekad. Selepas Umno sudah penat dan nazak baru hendak bersuara – melahirkan kesalan secara realistik. Mungkin sebelum ini berselindung dan bersimbolik di sebalik bahasa Melayu yang sudah dipinggirkan itu. Kenapa tidak bangkit sebelum ini?

Ingin diceritera kepada Pak Ismail dan seluruh kaum kerabat Gapena. Kalau Umno protect Melayu dan tidak memperdagangkan Melayu, Melayu tidak menangis di bumi sendiri. Orang Melayu juga tidak gila-gila beralih angin menyokong Pas dan PKR. Tetapi kerana Umno sudah tidak boleh diharap untuk menjaga Melayu dan kepentinganya, itulah sebab Umno dihanyutkan dalam pilihan raya lalu.

Saya menerima hakikat Umno perlu wujud dan kekal biarpun untuk seribu tahun lagi. Orang Melayu perlu ada bukan saja dua parti bahkan sampai 10 pun tidak mengapa asalnya mereka sepakat dan seirama dalam perjuangan. Bersikap sefahaman dalam memperjuangankan Melayu. Tidak berpecah dan mendabik dada antara satu sama lain yang akhirnya merugikan semua orang.

Saya sarankan Pak Ismail melihat perkembangan politik hari ini dengan penuh rasional dan mata terbuka serta turunlah dari jendela persuratan. Berilah ruang dan peluang kepada PKR – Pas – DAP menguruskan kerajaan mereka yang ada hari ini. Sama-sama kita perhati sejauh mana kemampuan mereka. Kalau ternyata mereka mampu membangun politik baru di Malaysia tanpa mengkesampingkan Melayu, mengapa kita tidak boleh menyokong mereka?

Seharusnya kita berlaku adil dan bersikap terbuka menerima semua pihak dan tidak taksub kepada satu pihak sahaja. Umno adalah ibarat senjata tradisional seperti keris, golok dan parang. Tidak dinafikan ia sangat berguna dalam mempertahankan diri pada zamannya.

Namun dalam dunia moden hari ini senjata itu mungkin sudah tidak terpakai lagi. Maka kita memerlukan senjata dan alat baru untuk dijadikan senjata melindungi dan menjaga keselamatan kehidupan kita dan anak bangsa. Senjata atau alat pelindung baru itulah ialah politik baru yang bersemangat membawa Malaysia baru yang sedang digagaskan oleh Pakatan Rakyat hari ini dan sedang diuji kepada rakyat.

Kepada Pak Ismail bangunlan dari lamunan dan bersajaklah dengan rasa bukan lagi dengan bahasa. Bersyairlah dengan kelakuan bukan lagi dengan perasaan! Horras! [wm.kl 9:40 pm 13/04/08]

No comments:

Post a Comment