Ku Li, Najib Cabar Abdullah Badawi?
MSO
PERGERAKAN bawahan menunjukkan ada tanda-tanda presiden Umno akan menjadi perebutan tiga penjuru pada Disember hadapan. Selain Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang berhajat dan sedang berputar di seluruh negara bagi melobi untuk memastikan cukup pencalonan, (kuota) ada calon lain yang secara senyap mengatur strategi sama.
Mohd Najib Razak yang sebelum ini sekurang-kurang dua kali membuat ikrar tidak akan menikam Abdullah Badawi dari belakang dikatakan membuat pembetulan kepada formula politiknya.
Beliau dikatakan turut sama menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden. Persiapan telah dibuat oleh anak buahnya.
Adalah kena dan bijak kalau Najib berbuat begitu. Dalam politik yang tidak mengenal erti kemanusiaan, tindakan play save yang diamalkan Najib mungkin tidak menguntungkan dirinya dalam suasana Umno yang dalam keadaan lemah hari ini.
Pakar politik
Justeru atas hakikat itulah beliau dikatakan meralatkan semula formula politiknya. Mungkin juga perubahan sikap dan pendirian Najib ini setelah beliau menghadap pakar politiknya, Mahathir Mohamad dan mendapat nasihat panjang lebar.
Beberapa hari lalu seperti dimaklumkan Mahathir bahawa Najib ada berjumpa dengannya? Samada Najib datang atau beliau yang memanggil Timbalan Perdana Menteri itu, ianya soal lain yang penting mereka sudah berbincang selama kira-kira 2 jam di kedimaan rasmi Najib di Putrajaya. Mustahil sekali perbincangan mereka itu mengenai kekalahan pasukan piala Thomas Malaysia di Jakarta!
Mahathir mendakwa Najib tidak dapat berjumpa dengannya sebelum ini kerana dihalang oleh Abdullah Badawi. Apakah selepas beliau mendedahkan ‘rahsia’ itu maka kini Najib bebas menemuinya (Mahathir). Alasan Mahathir itu dangkal kerana dalam kecanggihan dunia IT apakah mereka tidak dapat berkomunikasi langsung?
Pembetulan atau ralat formula politik ini sudah tentunya atas inspirasi Mahathir. Mungkin Najib mengira kalau beliau tidak mengambil langkah itu menyebabkan beliau akan terlepas peluang untuk menjadi Perdana menteri. Mungkin pada perkiraanya inilah peluang keemasan baginya. Dalam keadaan Ku Li sedang mengasak Abdullah Badawi inilah masa untuk ikut mencuri peluang bagi ikut sama bertanding mendapatkan kerusi yang berprestij itu.
Mungkin juga Mahathir menasihat Najib agar tidak memandang enteng kepada kemaraan Anwar Ibrahim yang ghairah untuk merebut kerusi berkenaan. Jadi bagi Mahathir sebelum kerusi itu dirampas oleh Anwar elok kalau Najib turut sama mencapainya sebagai satu usaha terakhir.
Dalam usaha ini Najib dikatakan telah beregu dengan Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yassin. Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa itu dikatakan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden sekiranya Najib benar untuk mencuba di kerusi presiden.
Gerakan secara bersepadu antara kumpulan kedua tokoh itu dikatakan sedang bergerak kini. Para broker politik masing-masing sedang rancak menjalankan kempen psikologis di luar media massa. Rancangan dan strategi mereka ialah untuk memastikan supaya Abdullah dan Ku Li tidak akan mendapat pencalonan cukup untuk jawatan presiden.
Mereka telah mensasarkan sekurang-kurang 100 bahagian daripada 192 bahagian Umno mencalonkan mereka berdua untuk jawatan itu. Apa yang diharapkan sekiranya Abdullah dan Ku Li tidak mendapat pencalonan mencukupi maka Najib akan dinobatkan sebagai presiden secara automatik.
Diberi jaminan
Manakala kedudukan Muhyiddin masih belum selamat. Bagaimana pun sebagai pasangan kepada Najib beliau akan diberikan jaminan tertentu. Kemungkinan akan ada calon lain turut bertanding jawatan itu iaini mereka yang akan menjadi regu kepada Ku Li dan Abdullah.
Perkembangan ini sudah pasti meresahkan Ku Li dan juga Abdullah. Sekiranya benar berlaku begitu ini bermakna pertandingan tiga penjuru untuk jawatan presiden tidak dapat dielak. Situasi ini akan menjadi perhimpunan agung Umno nanti semakin menarik dan dramatik.
Persoalannya kini sekiranya Najib sudah ‘kencing’ Abdullah siapakah bakal menjadi regu Abdullah? Siapakah yang akan mencabar regu Najib untuk kerusi timbalan Presiden?
Ada dua nama yang dilihat serasi dan setia dengan Abdullah buat masa ini. Mereka Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Syed Hamid Albar dan Menteri Pembangunan dan Kemajuan Luar Badar, Muhammad Muhd Taib. Kemungkinan salah seorang daripada mereka akan menjadi regu Abdulah untuk bertanding kerusi timbalan presiden.
Bagaimana pula dengan Ku Li? Ku Li yang sejak awal-awal lagi mengatakan pendiriannya akan bertanding merebut jawatan Presiden tidak akan bergajak. Sebelum ini Ku Li menyatakan samada peralihan dalam Umno berlaku sebelum perhimpunan akan datang beliau tetap akan bertanding jawatan presiden. Ini bermakna Ku Li akan melawan dan menentang sesiapa sahaja baik Abdullah waima Najib.
Kalau Najib berganding dengan Muhyiddin sebagai regunya, dan Abdullah Badawi akan memilih samada Syed Hamid atau Muhammad Taib, siapakah pula regu Ku Li? Apakah beliau akan bertanding bersendirian? Untuk menjadikan pertandingan itu seimbang dari segi regu elok kalau Ku Li mencari mana-mana tokoh untuk dijadikan pasangannya.
Mungkin Menteri Luar, Rais Yatim atau pun Menteri Hal Ehwal Pengguna Shahrir Abdul Samad boleh diajak untuk menjadi regunya.
Sekiranya perkembangan ini berlaku sudah pasti perhimpunan Umno akan datang menarik. Ia akan mencatatkan sejarah. Inilah buat pertama kalinya perebutan jawatan presiden melibatkan tiga penjuru.
Sekiranya terjadi pertandingan tiga penjuru Najib dirasakan lebih berpelung untuk memenanginya memandangkan pengaruh Najib di dalam Umno pada masa ini agak merata. Sokongan padu Mahathir ke atasnya juga turut membantu Najib.
Faktor lain yang mungkin berpihak kepada Najib ialah kerana kebanyakan ketua bahagian hari ini adalah mereka yang sebaya dan sezaman dengan Najib. [wm.kl 12:30 t/mlm 19/05/08]
Mungkin ada benarnya teori terkini tuan haji di atas...
ReplyDeletecuma saya rasa kita kena yakin Qada Qada Allah yang akan membantu sesiapa yang benar dalam tindakan dan percakapannya.
Di sinilah akan teruji apakah benar atau tidak fitnah kepada Pak Lah..
Apakah beliau akan dibiarkan Allah jika beliau adalah mujaddid (politik)malaysia terkini sekarang ini ?
Setiap kurun akan ada mujaddid agama..tentu politik pun akan ada mujaddidnya yang saya yakin akan menjadi penyatu semua suara Melayu Islam di Nusantara ini.
Kita kena bentangkan bagaimana Islam akan jatuh atau naik, tidak lain dari Malaysia...dan usaha menaikkan calon terbaik antara kita kena dibuat demi ALLAH dan Rasulullah..
Barulah kita kenal siapa intan dan siapa kaca sebenarnya.
maaf budak kecik main api di sini !