PKR dan Pas Bermasalah Kecil
DUA hari saya tidak mengisi apa-apa bahan untuk blog ini, Khamis dan Jumaat. Sibuk sikit dengan kerja-kerja rutin lain. Banyak isu yang tertinggal dan tidak dapat dirakam dalam blog ini untuk renungan dan bahasan para penjenguk. Antara banyak isu itu ada dua isu yang saya rasa belum basi untuk diperkatakan serba ringkas.
Pertama mengenai kekecohan kecil dalam PKR ekoran tindakan berdarah muda oleh orang bernama Yahya Shaari. Nampaknya gara-gara darah muda orang ini yang membongkarkan kelemahan bekas bosnya, (kerana marah) Khaliad Ibrahim telah dipergunakan oleh orang lain.
Apa sudah jadi sekarang?
Yahya sudah letak jawatan sebagai Setiusaha Khas kepada MB kerana hilang kepercayaan kepada Khalid Ibrahim. Rasa hilang kepercayaan itu bukan kerana apa, kerana Khalid terlebih dahulu hilang kepercayaan kepadanya atas sebab yang umum sudah tahu.
Khabarnya ada perkembangan lain. Yahya sudah mengakui kesilapannya bertindak secara emosi, dan sedia mengendurkan serangan kepada Khalid setelah Penasihat PKR Anwar Ibrahim campur tangan penuh diplomasi dengan mengatakan tenaga dan fikiran Yahya masih diperlukan.
Baguslah kalau begitu. Ahlan wasalan salawatu nabi! Dalam keadaan sekarang bukan masa untuk semua pihak bergaduh. Kesalahan yang Yahya lakukan itu sudah cukup memberi pengajaran kepadanya. Lain kali hendaknya beliau tidak akan terkhilaf lagi mengulangi perkara yang sama.
Almaklumlah baru menang, semangat semua orang pun penuh macam bulan purnama. Semua orang juga jadi bengkeng dan garang tidak tentu fasal. Baru dapatkan kuasa katakan! Nak tengok diri masing-masing tengoklah gaya kera yang baru dapat sekuntum bunga dan sekeping cermin. Terkenyen-kenyen tersenyum-senyum. Itulah kita!
Apapun sekiranya Yahya menarik balik keputusan yang dibuat dengan penuh bersemangat anak muda itu ia satu kelemahan beliau. Dengan apa yang beliau jerit dan kumpulkan orang untuk mendengar rintihannya beliau tidak boleh kembali ke tempat asalnya itu. Beliau kena berada di tempat lain.
Diharap PKR akan memberi ruang dan tugas lain sewajar kepadanya. Jangan pula masukkan dalam peti sejuk sudahlah. Tenaga beliau masih diperlukan. Dan sesiapa pun kalau bertaubat dia harus dimaafkan. Manusia tidak maksum dan bumi mana tidak ditimpa hujan. Lepas ini isu Yahya hendaknya tidak kedengaran lagi. Biarlah Ezam Mohd Noor berangan sendiri.
Di sini diingatkan juga kepada Ezam selepas anda disahkan menjadi ahli Umno (kelmarin) jangan mencampuri soal PKR dan Anwar lagi. Ezam patut tumpukan bagaimana hendak memperkukuhkan kedudukan bos barunya Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri. Jangan pula Abdullah dilanggar lari oleh Najib Razak.
Isu kedua yang hendak disinggung secara ringkas di sini ialah mengenai penafian Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengenai berita tentang Pas sedang berunding dengan Umno. Menurutnya itu fitnah semata-mata dan mainan akhbar. Sekali lagi media massa nampaknya dijadikan kambing hitam, bukan kambing Jamnapari!
Orang yang bijak dan panjang akal mungkin dapat mengesan mengenai apa yang ada dalam dada Hadi dan sekitarnya. Kenyataan Hadi yang dibaca timbalannya, Nasharudin Mat Isa itu dibuat di Parlimen setelah Mursyidul Am parit itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju kalau Pas mengadakan rundingan dengan Umno.
Kata Nik Aziz kalau Pas bergabung dengan Umno parti itu akan jahanam. Saya kurang faham macam mana boleh jahanam! Takkan sampai ke situ sekali dan bahlulnya minda orang Melayu.
Kita faham maksudnya... ahli akan marah. Tetapi apakah semua ahli akan marah? Bukankah ada ahli yang bersetuju dan komited untuk mengadakan kerjasama? Secara ikhlas saya juga rasakan kerjasama tidak wajar diadakan, dan Pas perlu tumpukan kepada Pakatan Rakyat. Rakyat memberi mandat dalam pilihan raya lalu kepada parti-parti Pakatan Rakyat untuk menggantikan Umno.
Kena dan elok kalau Pas, PKR dan DAP menghormati keputusan rakyat itu!
Namun dari sudut lain kenyataan Nik Aziz itu agak berat sikit. Apakah itu pendapat dirinya ataupun pendapat orang lain. Nik Aziz rasanya bercakap mengenai ini menggunakan lidah orang lain. Ada skrip yang dihulurkan kepadanya? Siapakah yang menjadi tukang tarik lidah Nik Aziz? Sebagai ulama yang tenang, berpandangan jauh dan lebih memikirkan kesejahteraan umum beliau tidak boleh bercakap dalam nada angkuh begitu. Peranan al ulama ialah membawa kebaikan dan menyatukan ummah.
Seperti saya jelaskan sebelum ini Pas jangan pandang Umno jijit sangat. Dalam keburukan parti itu (Umno) ada secebis kebaikan. Begitu juga dalam kebaikan Pas, ada setompok keburukan.
Kerja yang patut dilakukan oleh semua pihak kini ialah buang cebisan yang busuk dalam Umno itu dan buang setompok keburukan dalam Pas itu. Sisa-sisa kebersihan dan kebaikan yang ada itu hendaklah disatukan. Pas dan Umno perlu bersatu atas cita-cita Melayu dan Islam.
Kepada Hadi pula kenapa perlu merasa malu dan gabra kalau memang ada cadangan untuk membawa Pas bergabung dengan Umno? Hadi tidak perlu takut dan ralat sebab beliau presiden. Kuasa presiden lebih besar daripada kuasa Naib Presiden! Presiden adalah pemimpin. Pemimpin wajar mengemukakan pandangan dan menunjukkan daya kepimpinannya.
Kalau Hadi berjaya membawa Pas berkerjasama dengan Umno ia menjadi legasi kepadanya. Macam Arwah Fadzil Noor duduk sepentas dengan Mahathir Mohamad dalam membicarakan topik Rakyat Palastin. Fadzil ada sejarah, Hadi kena cipta sejarah.
Dan dalam konteks kerjasama untuk kepentingan Melayu dan Islam ini saya sangat bersetuju dengan pandangan awal Hadi sebelum ini, iaitu jangan fikirkan soal Umno - Pas sahaja, tetapi apa harus difikirkan soal Melayu dan Malaysia seluruhnya.
Perbincangan yang paling afdal untuk membawa ketenangan dan kedamaian politik Malaysia ialah melibatkan semua parti pembangkang (Pakatan Rakyat) dengan BN, jangan terpisah-pisah seperti dirangka sekarang ini sebab ia menimbulkan prangsangka yang merbahaya kepada Pakatan Rakyat. Titik! [wm.kl 10:00 am 28/06/08]
Salam...
ReplyDeleteSaya begitu bersetuju dengan tuan dengan penulisan di atas, apa hina sangat kah UMNO itu dan makhsum sangatkah PAS? Sampai begitu tohmahan Hadi seumpama UMNO ini begitu pecacai yang tidak layak memerintah negara? Semoga dengan penulisan tuah dapat membuka sedkit minda kesua-dua pihak yang bertelagah..
www.pilihananda08.blogspot.com