Rang Undang-undang Kehakiman dan Rasuah Mahu Cekup Siapa?
SEMALAM Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengotakan janjinya untuk melakukan reformasi ke atas badan kehakiman dan pencegahan rasuah negara ini dengan membentangkan rang undang-undang bernama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman di Dewan Rakyat.
Rang undang-undang itu bagi meminda atau memansuhkan Akta Pencegahan Rasuah (1971) yang sedia ada manakala rang undang-undang Suruhanjaya Kehakiman bagi menyediakan prosuder baru perlantikan Kehakiman.
Sebelum ini Abdullah berjanji untuk membuat perubahan (reform) ke atas kedua badan itu sebagai legasi selaku Perdana Menteri. Usaha itu juga termasuk antara beberapa inisiatif beliau sebelum bersara paksa pada Mac depan.
Secara relatifnya kedua rang undang-undang itu untuk menambahbaikan lagi serta menjamin keberkesanan badan kehakiman (proses perundangan) dan pencegahan rasuah di negara ini. Suruhanjaya Kehakiman memberi peluang kepada pembentukan sebuah Suruhanjaya untuk melantik hakim. Manakala Suruhanjaya Rasuah itu pula memberi kebebasan dan kuasa lebih kepada badan pencegah rasuah tanpa dibayangi mana-mana kuasa untuk betindak atas maklumat dan laporan jenayah berkenaan.
Abdullah serius untuk melakukan perubahan dan mengembalikan intergriti badan kehakiman. Badan kehakiman negara ini rosak dan damage apabila berlakunya krisis kehakiman di zaman Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri dipertengahan tahun 80-an. Dalam krisis itu bertujuan menyelamatkan politik Mahathir itu, lima Hakim termasuk Ketua Hakim Negara dipecat. Sejak itu intergriti dan penghormatan umum kepada badan hakim menjadi pertikaian dan isu.
Manakala pembentukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula perlu memandangkan amalan dan perbuatan rasuah di negara ini sudah berleluasa dari segenap peringkat. Sedangkan mekanisme pencegahannya tidak berkensan. Jika tidak ada undang-undang yang ketat membendungnya ia dibimbangi akan merosakan jentera pentadbiran dan kerajaan yang akhirnya menyebabkan kerajaan akan lumpuh.
Antara intipati suruhanjaya itu ialah untuk menggalakan intergriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran awam dan swasta dengan menubuhkan badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab. Rang undang-undang itu juga memberi perlindungan penuh kepada pemberian maklumat rasuah.
Kesimpulannya pembentangan kedua rang undang-undang suruhanjaya itu tepat dan kena pada masanya dan perlu disokong semua pihak.
Bagaimana pun bekas PM, Mahathir Mohamad kurang setuju dengan langkah Abdullah itu dan meminta supaya Abdullah meninggalkan masa depan negara (apa-apa perubahan) kepada bakal penggantinya Mohd Najib Razak. Tindakan Mahathir itu seolah beliau gerun dan ada sesuatu yang boleh menganggu emosinya dengan kedua rang undang-undang suruhanjaya berkenaan. Ini satu keanihan di mana sepatutnya bekas PM itu menyokong.
Mungkin ramai yang menerima langkah Abdullah itu sebagai satu peninggalan beliau kepada negara tanpa mengirakan tujuan dan motif lain. Justeru tidak ramai yang cuba mencari apakah motif Abdullah dan menerimanya sebagai satu lambaian terakhir Abdullah sebelum meninggalkan Parlimen!
Apakah begitu? Jika diibaratkan persediaan undang-undang atau akta baru (suruhanjaya) oleh Abdullah itu umpama persediaan sarang oleh seorang pemikat burung sebelum dia pergi memikat, ini bermakna Abdullah ada tujuan dengan tindakannya itu. Seolah beliau ingin melihat dan memerangkap sesuatu dengan kedua Suruhanjaya itu dalam tempoh terdekat. Abdullah tentu ada target dengan pembentangan suruhanjaya itu.
Kalau Abdullah tidak ada niat itu untuk apa beliau bersungguh mahu segera membentangkan suruhanjaya itu terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membolehkan badan pencegahan rasuah lebih telus, bebas untuk bertindak ke atas sesiapa saja tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah itu akan berkuatkuasa pada 1 Januari depan.
Di sinilah bagi mereka yang dapat membaca kilau dalam kilat, Abdullah ada niat lain di sebalik tindakannya itu. Dalam hal ini ada yang melihat tindakan Abdullah itu sebagai benteng untuk beliau mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Samada benar atau tidak, ada yang mengandaikan akta pencegahan rasuah baru itu kononnya akan memberkas jerung-jerung yang terlibat dengan rasuah di mana kejayaan ini akan memberikan markah dan nilai untuk Abdullah dan seterusnya mengekalkan kedudukannya sebagai PM.
Antara orang yang dikatakan bakal disiasat menerusi akta rasuah baru itu ialah bakal Perdana Menteri, Mohd Najib Razak dan beberapa menteri? Sejauh manakah kebenaran walahualam, tetapi ini hanya andaian saja. Tetapi kalaulah ianya benar ini bermakna Abdullah boleh terus tinggal dan memegang jawatan PM untuk satu janga waktu. Beliau tidak boleh menyerahkan atas alasan kerana Najib sedang disiasat BPR.
Apakah andaian dan gossip atau teori ini benar? Sekiranya ianya benar ini bermakna peralihan kuasa yang dirancangkan pada Mac ini tidak akan menjadi kenyataan. Kegagalan itu tentulah bukan disebabkan kedegilan Abdullah untuk tidak menyerahkan kerusi PM tetapi disebabkan orang bakal memilikinya sedang berhadapan dengan masalah kerana disiasat. Dan adalah kurang molek kalau seseorang yang sedang disiasat disyaki melakukan jenayah untuk diangkat menjadi Perdana Menteri? Kebijaksanaan Abdullah ini mungkin tidak terfikir oleh banyak orang! [wm.kl 8:15 pm 11/12/08]
Syabas kepada Pak Lah kerana berjaya meneruskan misi reformasi beliau dengan membentangkan rang undang-undang perlantikan kehakiman dan rasuah. Diharap rang undang-undang ini dapat diterima umum kerana ia bertujuan untuk menghapuskan rasuah secara menyeluruh tanpa mengira pangkat. Apapun spekulasi terhadap reformasi ini, saya percaya Pak Lah ikhlas dalam reformasi ini tanpa ada niat untuk menjatuhkan sesiapa. Apapuin sesiapa yang rasa banyak terlibat dengan rasuah, tunggu jelah. Ada kejutan buat mereka...
ReplyDelete