Thursday, July 8, 2010

Isu Permit Suara Keadilan

Lebih Baik PKR Berlembut dan Akur

MAAFLAH ini saya nak cakap sedikit fasal akhbar Suara Keadilan yang kini permitnya masih belum disambung lagi ekoran kontroversi menimpa akhbar berkenaan selepas ia melaporkan berita spekulasi Felda bankrup baru-baru ini.

Nampaknya pucuk pimpinan PKR yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penerbitan akhbar berkenaan beriya untuk menerbitkan akhbar berkenaan walaupun berdepan dengan masalah. Amaran dan risiko yang disebutkan oleh pihak KDN seperti tidak sedikitpun digeruni.

Menurut Pengarah Strateginya, Tian Chua yang bertanggungjawab menguruskan penerbitan itu menegaskan akhabr berkenaan tetap akan dicetak. Mulanya ia hendak dicetak semalam tetapi disebabkan masalah tiada pencetak yang berani menyebabkan ia tertangguh. Terbaru seperti mana dilaporkan, akhbar itu sudah dicetak 100,000 dan akan diedar dalam kadar terdekat.

Saya tidak berhak untuk bercakap, apa lagi saya juga ada permit akhbar sendiri nanti dikatakan sebagai ada kepentingan tertentu. Tetapi rasanya tidak salah kalau saya memberi pandangan untuk kebaikan bersama berdasarkan sedikit pengalaman menguruskan permit sebuah akhbar.

Sesiapa pun tidak senang dengan tindakan KDN itu. Kerana ia menyusahkan akhbar berkenaan dan merugikan penerbitnya. Selain itu pemberhentian itu melibatkan kerugian. Paling jelas ialah beberapa orang akan kehilangan pekerjaan dan ini menyusahkan hidup mereka anak beranak.

Saya percaya mereka yang berkerja dengan akhbar berkenaan bukan 100 peratus pejuang tetapi mereka berkerja kerana di situ ada peluang pekerjaan. Apabila berlaku sesuatu ke atas penerbitan itu ia turut membebankan mereka.

Makanya pihak Suara Keadilan harus sama melihat kepada implikasi itu dan bukan terlalu ghairah mempolitikkan keadaan yang berlaku sehinggakan meragut kepentingan sendiri.

Dalam hal ini pada saya sebaiknya pihak PKR harus bersikap terbuka dan menerima juga syarat-syarat yang dikenakan oleh KDN. Seharusnya PKR dan mana-mana parti politik juga bersyukur atas kesediaan kerajaan mengeluarkan permit kepada mereka. Sebenarnya syarat yang dikenakan memang ketat terhadap permit akhbar yang melibatkan parti politik. Tetapi tindakan KDN tidaklah sekejam syarat berkenaan. Soal birokrasi itu adalah biasa, saya sendiri juga turut sama merasainya.

Misalnya kalau mengikut syarat permit akhbar parti ia dikeluarkan dengan syarat ketat misalnya edaran terhad kepada ahli saja. Ia tidak boleh diedarkan secara terbuka seperti akhbar lain. Tetapi apa yang berlaku hari ini batas dan syarat itu sudah lama dicerobohi. Sebab itu kita boleh lihat akhbar yang menjadi lidah parti ini di mana-mana sahaja.

Saya cukup yakin pihak pengurusannya sedar akan hakikat ini. Kerana itu bila ia diberikan sedikit kebebasan seharusnya ia disyukuri ataupun dijaga dengan baik termasuk tidak mencabar atau bersikap degil dengan KDN. Apa yang harus difahami sebagai agensi kerajaan KDN juga tentulah ada maruah dan wibawanya tersendiri dan tanggungjawab mempertahankan kerajaan.

Tetapi nampaknya kebebasan dan syarat-syarat itu tidak dipatuhi seperti mana dikehendaki.

Sebaiknya bagi mengelakkan kontroversi yang merugikan diri sendiri dan menyakiti pihak lain PKR harus bersikap terbuka dan sedarhana dalam soal ini. Jangan jadikan soal kelambatan penyambungan permit (renew) itu sebagai alasan menyerang KDN. Apa lagi kalau dijadikan modal politik lebih memburukkan keadaan. Tindakan itu tidak ada untungnya. Saya rasa pihak KDN bukanlah kejam sangat. Kalau semua prosuder dituruti tidak ada sebab dan alasan kenapa permit itu tidak disambung.

Sekiranya PKR terus membuat provokasi dan mengajak orang ramai menyerang dan mempertikaikan tindakan itu serta degil dengan arahan ia boleh mengusutkan lagi keadaan. Tindakan mengikut emosi itu menyebabkan KDN juga akan mengikut emosi. Sekiranya ikut beremosi dan tegas kerugian besar ialah kepada PKR kerana parti itu akan hilang satu wadah untuk orang ramai mengikuti perkembangan aktiviti politik mereka.

Apakah PKR terutamanya Tian Chua tidak boleh berlembut dan akur dalam hal ini. Tidak ada gunanya kalau Tian Chua tetap berkeras untuk menerbitkan akhabr itu seperti mana yang dikatakan itu.

Adalah silap kalau Tian Chua berharap dengan provokasi dan kedegilan itu beliau mengharapkan rakyat akan lebih ramai menyokong PKR. Mungkin strategi itu betul tetapi pada saya ia tidak berapa bijaksana. Kesan dari tindak balas atas tindakan KDN itu saya kira tidak sebesar kesan Suara Keadilan berada di pasaran. Bagi saya lebih baik Suara Keadilan terus diterbit walaupun dengan kawalan ketat daripada ia dihentikan terus.

Sebagai mentimun PKR atau mana-mana parti politik harus sedar realiti itu. Suka tidak semua pihak kena akur bahawa parti yang menjadi kerajaan hari ini masih BN. Besok setelah Pakatan Rakyat memerintah mereka boleh memansuhkan apa juga peraturan dan birokrasi yang berlaku demi untuk lebih adil dan saksama lagi. [wm.kl 5:00 pm 09/06/10]

5 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan MSO.

    Sedikit sebanyak saya setuju dengan pandanagn tuan tetapi kadang-kala KDn bertindak melampau dan tindakan mereka boleh dikatakan tidak demokratik.Saya mintak tuan juga fikir-fikirkan hal ini dengan baik.

    Suara Keadilan,Harakah,Roket,Siasah atau mana-mana akhbar alternatif mendapat tekanan daripada KDN.Syarta-syarat yang diletakkan oleh KDN umpama manusia yang hidup pada abad ke-15.kalau akhbar milik parti pemerintah tiap-tiap hari mereka melakukan pelbagai provokasi.Apakah KDN akan mengambil tindakan?

    Utusan Malaysia telah disaman banyak kali oleh ahli politik Pakatan Rakyat kerana membuat fitnah,tuduhan palsu,provokasi serta propaganda jahat.Apakah tuan rasa Utusan Malaysia dikecualikan daripada tindakan?,Sepatutnya tarik permit Utusan Malaysia terlebih dahulu.

    ReplyDelete
  2. Assalamu alaikum tuan. Pada saya sememangnya PKR harus pandai main tarik tali dalam hal ini. Adatnya bermain tarik tali ini harus pandai lepas dan tarik, lepas dan tarik dan bila sampai masanya yang sesuai rentap dan ketika itu akan tersungkurlah lawan. Ketika itu pengadil iaitu SPR tak boleh berbuat apa-apa melainkan mengisytiharkan PKR menang. Dalam hal ini mungkin Suara Keadilan harus banyak belajar dengan cara Harakah berurusan dengan KDN. Sejarahnya Harakah telah menghadapi pelbagai kerenah KDN tetapi berkat kesabaran dan keazaman serta istiqamah warga harakah maka harakah masih dapat ditatapi oleh pembacanya hingga sekarang, dah pun berusia lebih 25 tahun..

    ReplyDelete
  3. Encik MSO saya amat bersetuju dengan apa yang tuan bincangkan disini, berlembut lah sedikit , lembut tu tak semesti kita menyerah kalah. Insya Allah dengan car berlembut kita akan menemui kemenangan diakhir nanti. Insya Allah,

    ReplyDelete
  4. Kita tunduk bukan utk dilangkah-langkah.Kita berlembut bukan utk dipijak-pijak.Bijaksana la selalu, umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak.Ular yg menyusur akan tidak akan hilang bisanya..kalau ingin berpolitik biar bijak segala segi.Nanti nasib dikata org kita ni tak cerdik rupanya..Semoga para pemimpin PKR merenungi nasihat dari hamba yg simpati dgn nasib rakyat yg perlu dibela..jika pembangkang hancur kemana rakyat ingin mengadu kerana UMNO sudah jauh lari dari landasan asal mereka.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Tuan MSO,
    Apa yg diperkatakan oleh tuan adalag betul dan menunjukkan daya akal yang tinggi. Saya faham kerana tuan juga mempunyai akhbar tabloid sendiri. Dalam situasi ini, saya sependapat dgn tuan, tak perlulah PKR berlagak untuk menunjukkan bahawa mereka kuat. Kita lihat kes HArakah....KDN tidak pernah menunjukkan kemarahan yg melampau, walaupun cerita2 yang dikeluarkan itu banyak menimbulkan tanda tanya di fikiran. Tindakan konfrantasi dgn KDN adalah suatu tindakan yg langsung tidak menguntungkan.Barangkali PKR terus berbuat demikian kerana mahu mendapat laba politik, jika ya maka yg malangnya adalah pekerja2 syarikat terbabit yg sebagaimana tuan katakan. Jika KDN sudah bertindak, maka bukan salah KDN lagi. Cuma apa yg kita boleh harapkan dari Tian Chua?...menunduk?. Saya rasa tidak sekali, jadi...itulah padahnya. Ikhlas.

    ReplyDelete