Saturday, October 9, 2010

Menyilang Kata Mengecap Rasa

Hormati Pendirian Tengku Razaleigh

BAGI mereka yang kecewa dengan cara ahli Umno melayani Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini begitu juga bagi mereka yang mengharapkan Tengku Razaleigh menjadi pemimpin Pakatan Rakyat jika terjadi sesuatu terhadap Anwar Ibrahim merasa sedikit kecewa dengan pendirian dan keputusan yang beliau ambil pagi tadi - untuk menerima tawaran Umno bagi menjadi pengarah pilihan raya kecil Galas 4 November depan.

Mereka yang terkedu dengan ahli Umno yang selama ini menjadikan Tengku Razaleigh hanya sebagai sampah atau Quran buruk terkilan kerana kesediaan beliau menerima pelawaan Umno itu seolah-olah beliau memaafi Umno walaupun beliau dihina dan dikeji selama ini. Sepatutnya kalau henak dikira Tengku Razaleigh tidah mudah cair menerima ajakan Umno. Beliau patut membalasnya dengan menolak pelawaan itu biar Umno reti erti sebuah persahabatan. Tetapi tidak begitu...

Begitu juga bagi rakyat yang merasakan Tengku Razaleigh masih relevan untuk menjadi perdana menteri menerusi Pakatan Rakyat terasa dukacita atas apa yang berlaku. Penerimaan Tengku Razaleigh terhadap tawaran itu akan disifatkan oleh mereka sebagai pengembalian semula Tengku Razaleigh ke dalam Umno yang sudah melupainya. Tindakan politik Tengku Razaleigh itu juga menolak pelawaan terbuka Pakatan Rakyat untuk beliau.

Setakat semalam Tengku Razaliegh hanya sedia untuk menerima tawaran pengarah saja tetapi belum calon. Persoalan calon akan ditentukan esok di Parlimen semasa pertemuan dan perbincangan beliau dengan Najib Razak.

Ketetapan yang dibuat Tengku Razaleigh itu sudah muktamad. Beliau sudah membuat kenyataan kesediaaan menerima tawaran itu. Jadi semua pihak macam mana pun kena menerima pendirian dan sikap beliau itu. Alasan penerimaanya juga kukuh, beliau menerima tawaran itu atas kapasitinya sebagai ketua Umno bahagian Gua Musang. Memang alasan itu kemas walaupun apa yang berlaku di Gua Musang sudah dianggap sonsang. Selalunya orang menjadi pengarah pilihan raya ialah Ketua Umno negeri bukan ketua bahagia.

Di sini jelas apabila berlaku kesongsang ini di mana ketua bahagian yang menjadi pengarah menunjukkan Mustapa Mohamed hanya layak menjadi Tok Empat Umno Kelantan saja. Jika Mustapa ada maruah beliau perlu melepas jawatan itu secara terhormat kepada Tengku Razaleigh sekiranya pilihan itu berpihak kepada UBN.

Sudah saya kata sebelum ini Tengku Razaleigh seorang politician yang rasional dan beradat. Dia juga seorang yang mudah simpati dan tidak sedia untuk mendada dalam apa juga perjuangannya. Beliau juga seorang yang berpolitik mengikut undnag-undang. Sepanjang perhatian saya kepada liku-liku perjuangan (politik) beliau tidak suka memburuk lawannya tanpa ada bukti yang jelas. Dalam perhatian saya juga beliau tidak pernah menggenggam bara sampai menjadi arang.

Beliau juga bukan seorang pendendam. Beliau boleh berkawan selamanya dengan seseorang itu walaupun kawan itu memakan dirinya. Tenguklah perhubungan beliau dengan Dr Mahathir Mohamad. Atas prinsip kawan beliau tidak melihat tindakan huduh politik Mahatahir lakukan kepadanya. Sebab itu kalau ada apa-apa majlis dirumahnya beliau akan panggil Mahathir dan begitu juga kalau Mahathir memadahnya beliau akan hadir.

Pernah satu masa ketika berbual dengannya saya menyatakan pandangan saya kepada beliau mengenai keikhlasan dan pendirian Mahathir dalam menyatakan sokongan kepada beliau sewaktu beliau hendak menentang Abdullah Badawi sebagai presiden Umno. Padahal waktu itu umum tahu Dr Mahathir benci Abdullah.

"Tengku jangan harap Dr Mahathir akan sokong Tengku dalam perlawanan dengan Dollah. Dia tidak akan sokong Tengku. Dia (Mahathir) tidak mahu Tengku menang. Jadi untuk apa Tengku berbaik dengan dia, terhegah-hegah ke rumahnya. Cara Tengku itu menyebabkan penyokong akan marah," begitulah kata saya tanpa merasakan yang beliau ketika itu sebagai orang istana.

Apa yang beliau jawab, "Sayuti ambo berkawan dengannya. Dalam segi politik memang dia tidak sokong ambo, tetapi atas dasar kawan kami berkawan. Ambo tidak akan mudah melupai kawan," begitulah balas Tengku tenang dan suara perlahan. Dari jawaban itu menjelaskan kepada kita bagaimana kesetiaan, keikhlasan dan kejujurannya sebagai seorang kawan dan juga ahli politik. Sikap dan pendirian ini pada saya tidak banyak membantu Tengku Razaleigh dalam politik kerana politik itu sendiri tidak pernah menghormati prinsip kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan.

Justeru, saya yakin persetujuan beliau untuk menerima jawatan pengarah pilihan raya kecil Galas itu kerana itulah pendirian dan sifat beliau. Beliau tidak boleh menolak. Apa lagi kalau masa proses pujuk memuju itu ada pendewaan, ada puji-pujian "sallalahualaiwasalam" atau "daulat tuanku"... lagi cepat merangsangkan hatinya. Al maklumlah dia anak raja, dia keturunan raja. Raja ini pula pantang dipuja dan dipuji akan cairlah segala-galanya.

Tidak mengapa, semua harus menghormati keputusan Tengku Razaleigh itu. Bukan saja sebagai pengarah pilihan raya, hatta sebagai calon pun perlu sokong. Tentunya keputusan itu adalah yang terbaik. Soal siapa yang memberi nasihat perhatilah siapa yang mengiringi dan menyambut Tengku di KLIA semalam. Orang itulah yang menjadi penasihatnya. Cuma apa yang kita sangat berharap semoga Tengku Razaleihg tidak menjadi sepandir beliau sebelum ini. Penerimaan dan kesudian beliau membantu Umno kali ini hendaklah membawa erti besar kepada dirinya, perjuangannya dan seluruh penyokong setianya.

Dalam hal ini saya percaya dan yakin Tengku Razaleigh tetap mengingati juga kepada teladan yang telah lepas. Hendakanya dia tiak akan terperangkap dalam jerat yang sama yang cuma dipasang oleh orang berbeza kali ini. Biarlah kali ini dia terlepas ataupun kalau pun terjerat setidak-tidaknya kayu (baul) jerat itu akan membidas si pemasanga jerat juga.

Tertakdir beliau sanggup menjadi calon Galas, saya fikir penerimaan itu tentulah ada kontra atau imbalannya dari Najib dan Umno. Sudah tentu pertemuan dan perbincangan esok berkisar soal untung dan rugi bersama. Tengku Razaleigh tidak boleh menerima seada-adanya sebelum menerima watikah itu. Beliau harus membuat beberapa ketegasan dan tuntutan politik bagi dirinya dan juga bangsa Melayu. Kalau beliau hanya berseronok dengan tawaran itu akhirnya Tengku Razaleigh akan jadi ular air untuk kali ketiga ataupun macam Mat Jenin yang akan terjatuh dari atas pokok kepala saja.

Sukar untuk diramalkan apa yang akan dituntut oleh Tengku Razaleigh esok. Tetapi ada tiga tida perkara pokok yang saya dapat bayangkan di sini.

Pertama ialah mengeganai tranformasi di dalam Umno yang diperkatakan oleh Najib sebelum ini. Tengku Razaleigh sangat mengharapkan Najib akan sungguh-sungguh melakukan tranformasi terutamanya berhubung demokrasi dalam Umno. Razaleigh melihat keadaan inilah menyebabkan Umno semakin lemah dan tidak mendapat sambutan orang muda yang mana akhirnya Umno akan pulus dan lenyap.

Kedua, mengatasi masalah kelemahan politik Melayu dewasa ini. Kehilangan kuasa BN yang ditunggaki Umno di Parlimen waktu ini sangat menyedihkan hati beliau. Belum pernah kerajaan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Begitu juga kemunculan politik baru yang ditaja oleh Pakatan Rakyat sedang menenggelamkan kehebatan Umno menjadi bayangan ajal yang sangat ditakuti oleh Razaleigh sebagai seorang pengasih kepada Umno.

Ketiga isu royalti minyak di Kelantan. Dalam konteks Kelantan beliau mungkin akan meminta Najib menyelesaikan isu royalti minyak. Hak rakyat Kelantan itu harus diberikan kepada rakyat Kelantan. Cuma dalam hal ini teknikal pemberian itu tentulah menerusi Umno. Lagipun sebelum ini Tengku Razaleigh bersama kerajaan Kelantan dalam menuntut hak rakyat Kelantan ini.

Itulah tiga perkara pokok yang dirasakan menjadi mauduk perbualan atau demand Tengku Razalegih dalam beliau menerima pengarah pilihan raya kecil Galas. Sekiranya Najib dapat memenuhi tuntutan berkenaan yang manfaat untuk kebaikan bersama, saya rasa Tengku Razaleigh bukan saja perlu menjadi pengarah pilihan raya tetapi calon pun perlu diterima. Pedulilah apa yang orang Pas akan momokkan yang penting Tengku Razaleigh dapat berbakti untuk Kelantan.

Seandainya kalau penerimaan Tengku Razaleigh itu tanpa memberi apa-apa kelabaan kepadanya dan merealisasikan perjuangannya, ia tidak memberi apa-apa faedah. Penerimaan itu akan dianggap sebagai satu keadaan di mana Tengku Razaleigh ingin membersihkan dirinya saja dalam politik yang tidak perlu pun dibersikan. Sahihanya dengan apa yang berlaku itu dan jika tuntutan itu pula berjaya, beliau akan dianggap sebagai wira politik Melayu (Umno) manakala orang Kelantan tetap akan mengenang budi itu selamanya.

Soal untuk jadi PM dengan apa yang berlaku di Galas itu masih tidak terlintas kelibat harapannya kecualilah beliau berada di sebelah sini. Maka tersenyum lebarlah Mat Maslan. [wm.kl 8:00 am 11/10/10]

4 comments:

  1. salam,

    setuju dengan tuan. harapannya, kempen PAS dan PR tidak memperolok-olokkan KULI. Jangan sentuh peribadinya. Bila disentuh saya rasa, orang atas pagar akan ke UBN.

    Sebaliknya,bentang PAS dan PR punya manifesto.

    salam....

    ReplyDelete
  2. Tuan MSO,

    1. Jika itu keputusan Kuli, walaupun tidak bersetuju, kita harus akur pada keputusannya.

    yang mampu kita buat hanyalah melihat kemana kesudahan episod ini. Yang akan menerima akibat langsung baik buruk atau tidak adalah batang tubuh Kuli. Kita rakyat ni belum tentu lagi.

    2. Cuma dalam membuat trade off dengan NTR dan UMNO(Baru) ini Kuli perlu tegas dan sebarang persetujuan sebelah NTR dan geng mesti dilaksanakan sebelum hari penamaan calon.

    Dalam hal ini, Kuli tidak boleh lagi hanya berpegang pada janji mulut sahaja. Kita tahu puak-puak ini hanya hendak menggunakan Kuli untuk kepentingan mereka. Puak-puak ini sanggup menipu apa sahaja demi kepentingan mereka.

    Kalau Royalti hendak dipulangkan, prosesnya mesti bermula selasa ini dan satu perjanjian antara jelas mesti dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.

    bat8

    ReplyDelete
  3. Mungkin juga alasan yang ketiga iaitu isu royalti minyak yang tuan MSO tulis akan menjadi kenyataan. Tentu Tengku Li meletakkan kepentingan Masyarakat di depannya.

    Doa dan harapan saya agar kempen PRK Galas ini berjalan dengan baik dan mengikut lunas-lunas demokrasi yang dibenarkan.

    ReplyDelete
  4. Ku Li masih UMNO. Soal royalti itu isu lain.Pasti Ku Li akan membuat sesuatu berkaitan masa depan politiknya sendiri,mungkin satu jawatan bertaraf menteri ker atau mungkin ada rombakan kabinet utk berikan jawatan kepada Ku Li.Dgn syarat Dun Galas jadi milik UMNO la,kalau tidak yg dikejar tak dapat,yg nak kendung pun melepas..

    ReplyDelete