Tahniah Zahid Kerana Berjaya Mengesan Enjin Jet Hilang
Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan mahkamah Uruguay telah memutuskan bahawa dua enjin jet F-5E jenis GE J85 21A yang dalam kawalan kerajaan negara itu adalah milik Malaysia. Katanya perkara itu diberitahu oleh Ghani Patail kepadanya dua hari lepas.
Sehubungan itu katanya satu pasukan pegawai tertinggi tentera akan dihantar untuk mengambil balik enjin jet berkenaan.
Pengumuman itu melegakan rakyat negara ini. Ia juga satu kejayaan kepada Zahid selaku menteri pertahanan. Calang-calang orang dapat mengambil balik enjin jet buruk yang dijual kepada syarikat pembeli besi buruk di negara Amerika Latin itu. Hebat. Seluruh rakyat negara ini harus mengucap tahniah kepada Zahid. Tahniah!
Malaysia sudah mempunyai beberapa menteri pertahanan tetapi tidak berkesempatan menunjuk bakat mencari dan membawa balik enjin jet buruk yang hilang. Sebabnya semasa mereka menjabat jawatan menteri tidak berlaku kejadian jual enjin jet buruk ke luar negara. Hanya semasa Najib Razak menjadi menteri pertahanan saja kem tentera dan workshop tentera boleh dicerobohi dan enjin jet boleh dicuri dan hilang.
Negara sungguh bernasib baik apabila Zahid menjadi menteri pertahanan. Kalau menteri itu terus dipangku oleh Najib belum tahu lagi nasib enjin berkenaan. Mungkin kes kehilangannya tidak pun dilaporkan dan rakyat tidak mengetahuinya. Setelah Zahid masuk ke dalam Mindef barulah segala-galanya terbongkar satu persatu.
Ada dua kes lagi yang belum terungkai sampai kini dan ia memerlukan penjelasan Zahid ialah bagaimana boleh berlaku perompakan senjata oleh kumpulan Al Maunah untuk merampas kerajaan Yang Dipertua Agong lebih 10 tahun lalu dan juga bagaimana bom C4 yang dalam kawalan tentera boleh dibawa keluar untuk meletupkan Altantuya. Kedua-dua kejadian itu berlaku sewaktu Najib menjadi Menteri Pertahanan.
Kita percaya kepada kehandalan Zahid dalam hal ini. Kalau enjin yang hilang sampai ke Amerika Latin boleh ditemui masakan kes yang berlaku di depan mata, di Jenalek, Perak dan hutan simpanan dekat Puncak Alam, Selangor tidak dapat dihidunya.
Berbalik kepada penemuan enjin jet yang hilang itu, di sebalik kita merasa bangga atas kejayaan dan kehebatan menteri pertahanan bersama Peguam Negara Abdul Ghani Patail yang menguruskan dari segi undang-undang, ingin juga ditanya berapakah kos pencarian itu termasuk bayaran kepada kos mahkamah? Dan berapakah pula kos untuk menghantar sepasukan pegawai tinggi tentera bagi membawa balik enjin berkenaan. Berapakah pula kos membawa balik keseluruhannya.
Harga enjin itu pula menurut Zahid bukan RM100 juta seperti mana dihebohkan tetapi hanya RM2.45 juta. Kalaulah harga itu benar kekal seperti kata Zahid itu rasanya tidak payahlah membawa balik enjin jet berkenaan. Kalaupun ianya hendak dijadikan bukti dalam pendakwaan mereka mencuri dan menjualnya juga tidak memadai. Rasanya daripada negara menghabiskan duit rakyat baik enjin itu disedekahkan saja kepada penjual besi buruk Uruguay.
Belum tentu lagi kalau ia dibawa balik enjin itu boleh digunakan. Mungkin kos untuk memperbaiki dan memasangnya lebih mahal dari harga asalnya. Kalaupun pasang belum tentu dapat digunakan. Selalu berlaku kerosakan teknik dalam peralatan perang negara ini. Yang belum rosak teknik ialah menteri pertahanan!
Kita tahu usaha pencarian enjin berkenaan bagi menjaga maruah negara dan mengelakkan persepsi buruk terhadap negara. Yang lebih penting untuk membuktikan kepada pihak dunia bahawa enjin jet itu tidak tersasar ke negara-negara lain bagi tujuan membantu peperangan di negara berkenaan. Kerana sebelum ini terdengar juga desas desus mengatakan enjin itu di hantar ke Iran ataupun Iraq.
Kerajaan begitu takut dengan desas desus itu kerana tidak mahu disabitkan membantu mana-mana negara. Amerika Syarikat sedang memerhati dan turut mengesani enjin jet berkenaan.
Jadi dengan penemuan semula enjin berkenaan ia menjawab desas desus berkenaaan bahawa enjin itu tidak tersasar ke negara lain. Ia hanya satu pengkhianatan rakyat negara ini kepada negaranya saja. Jangan pula ada apa-apa bayaran kepada mana-mana pihak untuk memalsukan maklumat sebenar mengenai kedudukan enjin jet berkenaan. Jangan pula ada bayaran kepada mahkamah Uruguay. Jangan! [wm.kl.9:40 am 03/10/10]
Entah lah..negara Malaysia ni umpama sebuah cerita Hindi.Tipu daya dan muslihat tidak dapat lari dari diari hidup pemimpinnya.
ReplyDeleteTerasa sgt2 ingin melihat pakatan pembangkang mengambilalih tampuk kepimpinan negara supaya segala kepasluan yg tersimpan di belakang tabir yg dilakukan para pemimpin yg sdg memerintah dibongkar.Membaca komen2,analisa para blogger,ahli politik pembangkang dan pemimpin UMNO-BN yg kecewa seperti tersimpan pelbagai rencah dan tipu muslihat dlm setiap inci urusan pentadbiran negara...bila laaa Allah nak tunjukkan kepincangan dan kepalsuan yg sering dimanupulasikan oleh mereka yg bergelar pemimpin tersebut.Dan kalau pemimpin pembangkang pun,jika mereka juga 2 x 5,Allah perlu tunjukkan juga.Tidaklah nanti rakyat sentiasa ditipu kiri dan kanan.Kesian..rakyat sudah lama menelan air liur dek kerenah pemimpin yg menjanjikan macam2 nikmat pembangunan tetapi PRU sudah berkali2 dilaksanakan,janji tinggal janji.Hanya pemimpin secara jelas nampak makin mewah dan bergaya,bini pun makin bertambah dan makin cun..