Sunday, January 15, 2012

Laporan Kegiatan

Majlis Temu Mata
Memesrakan Anak Kelantan Di Perantauan


Lama saya tidak tenguk para pemimpin atau wakil rakyat Kelantan ramai-ramai hadir dalam sesuatu majlis dan duduk di atas satu pentas. Melihat mereka beramah mesra, bersalaman dan bergurau serta merakamkan gambar di antara satu sama lain.

Atau pun bercerita hal-hal rakyat dan juga membawa kepada hal-hal rumah tangga masing-masing termasuk hal poligami dan kahwin sembunyi-sembunyi maklumlah ramai wakil rakyat Pas Kelantan berkahwin lebih dari satu. Sudah ada persatuan Pensyahwat di Kelantan. Semua aksi dan gelagat mereka itu membahagiakan saya.

Ingin saya hendak dengar mereka bercerita akan keistimewaan berkahwin lebih dari satu. Atau bercerita isteri mana yang sedap masak atau banyak merajuk dan suka bersolek dan suka merantai kaki suami? Ingin juga saya tahu di kalangan wakil rakyat Kelantan wakil rakyat mana yang paling ramai mempunyai anak? Elok juga BBC Kelantan menyediakan anugerah memilih wakil rakyat yang kaya anak. Mungkin Ketua BBC Us Abdullah Yaacob dan timbalannya Drs Zainuddin Awang Hamat boleh memikirkan cadangan ini.

Semasa majlis Bertemu Mata Dengan Anak Kelantan bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz tadi saya lihat ramai wakil rakyat yang hadir. Hampir semua ada. Mereka yang sebelum ini sukar untuk dilihat pun ada terjolor-jolor. Biasalah bila sudah dekat dengan pilihan raya, masing-masing mulai keluar lubuk atau ada yang meralatkan janji dulu nak berundur kini terpaksa menunjukkan kecergasan semula. Membuat penilaian semula dan cuk atas apa yang diucapkan sebelum ini.

Kalau dulu duduk jauh di belakang pentas kemudian hilang kini merangkak naik ke pentas dan terpaksa duduk sampai majlis habis sampai lenguh punggung. Dipaksa juga diri untuk nampak sihat dan agar tidak tercicir dari senarai calon. Hum...

Wajah yang saya temui dan lihat tadi semuanya ceria. Wajah dan diri juga nampak segak dan ada yang pakai minyak attar yang menjadi kesukaan Sultan Brunei. Kopiah masing-masing bersinar dan tajam tidak ada tahi lalat. Ada yang merokok sebelum ke majlis berus gigi dan makan chewing gum beberapa biji untuk menghilang bau rokok.

Saya tidak dapat hendak senaraikan satu persatu siapa yang hadir dan tidak. Tetapi wajah yang ada dalam kamera saya adalah mereka yang hadir. Di pentas yang selalunya dipenuhi oleh Exco hanya wajah Husam Musa, Takiyuddin Hassan dan Anuar Tan Abdullah saja tidak kelihatan. Saya dapat tahu Husam dan Takiyuddin ada majlis kerajaan yang tidak dapat dielakkan. Kalau majlis itu tidak bertindan mereka juga akan hadir dan menambahkan lagi kebertian majlis itu.

Kemesraan juga saya nampak terjalin di antara beberapa individu sebelum ini yang "berjawa" di antara satu sama lain rapat kembali. Mereka bersalaman dan berpelukan di antara satu sama lain. Semua pihak nampaknya telah melupai titik bengik dan semua menghala ke arah satu untuk menumbangkan kerajaan UBN atau pun mempertahankan Kelantan ke dalam genggaman Pas.

Semasa menunggu kedatangan Tok Guru saya nampak mereka - kalangan pemimpin bersalaman satu sama lain. Wakil rakyat pula yang masing-masing kelek i-pad atau galaxy bergaya macam lawyer baru keluar sekolah dan hendak masuk court. Ada yang mengambil gambar antara satu sama lain dengan i-pad tetapi tidak tahu hendak upload foto. Canggih, bisik hati saya wakil rakyat Kelantan semua ada i-pad, kecuali seorang dua yang masih jahil dan elergik dengan i-pad.

Setahu saya kerajaan Kelantan ada yang pertama membekalkan i-pad kepada wakil rakyat. Ini menunjukkan keperihatinan dan juga pandangan jauh kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz yang sering diperlekehkan oleh Umno.

Majlis bertemu mata tadi berjaya. Kehadirannya juga agak memuaskan kalau berbanding dengan majlis seumpama yang diadakan di stadium Kelana Jaya tidak lama dulu.

Walaupun majlis ini tidak disertakan dengan pelbagai aktiviti seperti perlawanan bola sepak, pameran tetapi ternyata ia lebih hebat. Apakah sambutan ini ada kena mengena dengan perkembangan politik terkini selepas pembebasan Anwar.

Dalam anggaran saya lebih 2,000 yang hadir dan paling merujakan kebanyakan ialah anak-anak muda.

Majlis tadi adalah anjuran Persatuan Anak Kelantan di Perantau (Perakan). Tiga ekor lembu ditumbangkan. Pada majlis itu juga Penasihat Perakan yang juga Exco Belia dan Sukan Kelantan Abdul Fatah Mahmod mengumumkan perlantikan Dr Wan Suhaimi Wan Daud sebagai penasihat Perakan Shah Alam.

Perlantikan ketua Cabang Pasir Mas PKR itu akan menambahkan lagi kemajuan Perakan cawangan itu dan dalam masa sama ahli dan penyokong PKR Kelantan yang sebelum agak tersisih boleh dibawa untuk sama-sama memperkuatkan Perakan itu khasnya dan Perakan Malaysia amnya.

Sayang sedikit majlis tadi agak pendek dan masa terhad menyebabkan hanya tok Guru saja yang memberi ucapan. Alangkah bagusnya kalau ia dimulakan awal dengan memberi peluang kepada para pemimpin utama berucap. Bagaimana pun majlis mesra spontan berlangsung sementara menanti ketibaan Tok Guru itu sudah memadai dan saya rasa ia lebih santai.

Syabas kepada Perakan atas penganjuran majlis itu. Saya dapat tahu ada satu lagi pertubuhan anak-anak Kelantan di Selangor dan Kuala Lumpur bernama Persada. Apakah perlu Kelantan mempunyai dua persatuan yang fungsinya sama. Bukankah dengan kewujudan itu akan mewujudkan dua dapur dalam rumah Kelantan di mana kalau ada dua dapur ia memerlukan belanja besar?

Mungkin di zaman ekonomi meleset dan kita mahu mengurangkan politiking Persada perlu bergabung dengan Perakan? [wm.kl.9:16 pm 15/01/12]

No comments:

Post a Comment