Friday, July 27, 2012

Tukar Machang Dengan Bachok Apakah Tindakan Betul?

MENGALAH HARI


Seperti awal-awal diketahui Saifuddin Nasution Ismail telah bersiap sedia untuk meninggalkan Kelantan seperti dua orang lagi ahli parlimen yang berstatus sama beliau sebagai bukan anak Kelantan, iaini Salahudin Ayub, (Kubang Kerian) dan Nasharudin Mat Isa (Bachok). Ketiga mereka adalah orang luar yang bukan anak Kelantan.

Apakah tindakan mereka itu ada kena mengenai dengan plan dikemukakan pihak tertentu dalam Pas Kelantan yang tidak mahu lagi kepada orang luar bertanding di Kelantan kerana tindakan itu mencuri peluang anak-anak Kelantan berbakat menyempatkan diri menjadi pemimpin.

Saifuddin Nasution Ismail
Bagaimana pun nasib seorang lagi ahli Parlimen luar Kelantan, Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai) masih belum diketahui. Setakat ini tidak ada pula ternampak signal merah diberikan kepada Bendahari Pas Pusat itu agar juga keluar dari Kelantan. Namun ada gerakan bawah tanah di Kuala Krai berpusat di Guchil yang mahu Hatta juga ikut pulang bersama Saluhudin Ayub, Nasharudin dan Saifuddin.

Ada molek dan ada tidaknya kalau ahli parlimen luar Kelantan itu pulang ke kampung halaman sendiri. Misalnya kesediaan Salahuddin untuk akur kepada kehendak dan suasana semasa politik di Johor adalah tepat. Beliau anak Johor kelahiran Tanjung Pia wajar pulang ke negeri asalnya. Pas yang kini mula berkembang dan mendapat tempat di hati orang Johor memerlukan seorang tokoh intlek-harmonis seperti Salahuddin.

Begitu juga kalau Saifuddin pulang ke negeri asalnya di Kedah. Molek benar beliau bertanding di Kulim Bandar Bharu, kawasan yang dikencing hancing dan diberak oleh ahli parlimen 9/10. PKR perlu memulihkan imejnya di kawasan itu selepas rakyat dikencing hidup-hidup oleh si pembohong nombor wahid Malaysia. Sudah pasti kehadiran Saifuddin akan terubat sakit hati rakyat kawasan itu serta menyuntik semangat kepercayaan semula kepada PKR.

Bagaimana pun di sini saya tidak hendak mengisahkan akan kepulangan wakil rakyat luar itu, tetapi apa yang hendak saya 'mengutir' sedikit mengenai tindakan PKR Kelantan yang telah melakukan pertukaran kerusi, 'sayang sama sayang' dengan Pas melibatkan dua kerusi. Katanya kerusi Machang yang bakal ditinggalkan Saifuddin akan ditukar secara 'sayang sama sayang' dengan kerusi Bachok milik Pas.

Urusan pertukaran ini khabarnya sudah dibuat. PKR telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan menyatakan nawaitu dan tujuannya. Sama ada Pas menerima atau tidak cadangan ini tidak dapat disahkan. Soalnya apakah rasional pertukaran itu dilakukan dan apakah Pas semudah itu akan menyerahkan kerusi itu?  Pentingnya apakah PKR sudah berbincang lumat dengan Pas Bachok?

Memang kedudukan PKR di Machang kurang selamat. Walaupun ahli parlimennya disandang sendiri Setiausaha Agung PKR yang juga merupakan tokoh masa depan dalam PKR tetapi ia tidak menjamin sokongan. Saifuddin gagal menjadi seorang wakil rakyat ala-ala Kelantan seperti mana dikehendaki. Kesibukan beliau selaku setiausaha agung parti juga menambahkan ketempangannya di Machang. Justeru kerana tidak mampu memenuhi naluri politik Kelantan yang unit dan masih terkepong dalam kelontong nyiur itu menyebabkan Saifuddin sendiri meragui akan sokongannya kekal. Dalam pilihan raya lalu Saifuddin yang berlawan dengan Sazmi Miah hanya menang lebih 1,460 nundi saja.Makanya sebelum kalah baik mengalah.

Perkembangan itu menyebabkan Saifuddin perlu meninggalkan Machang dan dalam masa sama satu mekenisme perlu dicari bagi mengekalkan kerusi berkenaan. Pemerhti politik kabur untuk melihat masa depan kerusi Machang apakah ia dapat dipertahankan atau tidak. Dalam masa sama PKR tidak ada tokoh 'galak' di Machang untuk menjadi pengganti Saifuddin.

Begitulah unit dan ganjilnya politik ini. Tokoh yang berwibawa, dikenali sebagai pemidato yang mapan dengan hujah, fakta dan figure bukan bererti berjaya mendapat sokongan rakyat. Ertinya, rakyat bukan saja mahu kepada wakil yang bijak dan petah bercakap tetapi yang penting reti dan rajin bergaul serta 'menguruspedulikan' apa yang mereka mahukan mengikut budaya dan tradisi yang mereka fahami. Dalam hal ini Saifuddin seperti gagal atau tidak betah untuk menuruti budaya itu.

Mungkin atas masalah itu maka kerusi Machang perlu dikembalikan kepada Pas untuk diuruskannya. Pas dilihat berkemampuan untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Pas mempunyai ramai tokoh untuk dicalonkan. Misalnya menantu MB yang pernah menjadi kontroversi sebelum ini, Abdul Arifahmi Abdul Rahaman boleh diketengahkan untuk dijadikan calon. Keilmuan dimiliki bekas Ceo PMBK itu sudah pasti dapat membawa idea-idea baru bagi membangun Machang. Cuma sayang sedikit Ariffahmi belum dilihat sebagai seorang wajah bakal wakil rakyat sebaliknya dominan sebagai tokoh korporat. Mungkin beliau masih memerlukan sedikit masa lagi untuk diasuh menjadi wakil rakyat.

Zulkefli dan Ariffahmi boleh ganti Saifuddin di Machang.
Begitu juga Adun Pulai Chondong, Zulkefli Mamat boleh dibawa ke kerusi parlimen. Lagipun prestasinya di Pulai Chondong katanya sudah tidak mengacang seperti dulu. Cara berfikir dan gagasan-gagasan idea perniagaanya yang tidak membuahkan hasil lumayan selalu diperkatakan sebagai tanda-tanda kegagalan beliau sebagai wakil rakyat. Wajar juga kalau Pas mahu kekalkan Zulkefli sebagai wakil rakyat beliau dibawa ke dewan Parlimen.

Pendeknya dari segi calon Pas mengatasi PKR. Kalau itulah alasan PKR hendak melepaskan kerusi Machang kepada Pas memang logik merupakan satu keputusan yang betul. Tidak ada guna kerusi itu dipertahankan kalau ianya tidak akan membawa kemenangan. Boleh bertanding tetapi kalah, tidak ada apa-apa erti sebab dalam politik kemenangan kandati satu undi itulah hakikat dan makrifatnya.
 
Kerusi yang dikatakan menjadi sasaran dan idaman PKR ialah Bachok. Persoalan timbul kenapa PKR memilih Bachok. Apakah asas-asas yang menjadi penilaian maka Bachok dipinang oleh PKR bukan kerusi lain, misalnya Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh atau pun Pasir Mas. Inilah yang hendak diketahui, formula apa dan mimpi apa digunakan oleh PKR maka Bachok dipilih.

Dan kalau pun perlu pertukaran, apakah ianya mesti kerusi parlimen juga kerana Machang adalah parlimen? Perhitungan secara 'harfiah' begitu, parlimen dengan parlimen tidak begitu bagus. Yang penting PKR perlu memikirkan pertukaran itu memastikan kemenangan. Kalau ada mana-mana kerusi Adun yang boleh menjana kemenangan PKR kenapa tidak pilih kerusi state sahaja?

Pandangan parlimen harus ditukar dengan parlimen bukan bijak dalam konteks politik di Kelantan. PKR harus sedar realitinya bukan mudah untuk mereka menguasai parlimen dengan kedudukan dan pengaruh yang terhad. Maka wajar PKR bertukar kerusi, mencari kerusi yang kondusif dan lebih menyakinkan. Lagipun PKR bersahabat dengan Pas menerusi PKR. Kalau kerusi parlimen penting untuk membolehkan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim jadi perdana menteri, bukahkah Pas sudah ada dan akan membantunya? Jadi kerusi parlimen bukannya satu-satu pilihan.

Wan Suhaimi Wan Daud
PKR atau mana-mana pihak kena ubah cara berfikir dalam menentukan kemenangan. Bagi saya pertukaran terbaik untuk menyelamatkan kerusi PKR (parlimen Machang) ialah dengan memilih mana-mana kerusi state yang boleh memberi jaminan. Dalam tinjauan rambang saya salah satu kerusi state di mana PKR mempunyai pengaruh dan kekuatan ialah di Dun Chetok di Pasir Mas. Jadi kenapa PKR tidak berfikir untuk bertukar ganti parlimen Machang dengan Dun Perak. Juga adil rasanya kalau PKR mewakili salah satu Dun di Parlimen Pasir Mas bagi menunjukkan kesepakatan. Kewajaran ini ditambah dengan keterserlahannya pengaruh PKR di sini yang diterajui Dr Wan Suhaimi Wan Daud.

Apa pun berbalik kepada Bachok mungkin PKR terutamanya Pengerusi Perhubungan PKR Kelantan Abdul Aziz Kadir yang dilihat sebagai kapten parti ada rahsia tersendiri kenapa Bachok menjadi pilihan.
Boleh jadi juga kerana Bachok adalah kerusi bakal ditinggalkan orang luar (Nasharudin), maka ia menjadi idaman. Kalau berdasarkan pengaruh PKR tidak berapa kuat di Bachok. Ketua Cabangnya pun orang tidak tahu. PKR tidak begitu menonjol di Bachok.

Kalau hendak dikira Tumpat dan Pasir Mas lebih sesuai untuk dijadikan pertukaran. PKR memang menyerlah di kedua buah cabang itu. Berani dikatakan pengaruh dan kemeriahan PKR di Pasir Mas dan Tumpat mengatasi pengaruh dan kemeriahan Ketereh dan Tanah Merah walaupun cabang itu mempunyai ahli Parlimen.

Kenapa kawasan ini tidak menjadi pilihan atau pun perjudian PKR untuk ditukar dengan Machang. Disebabkan kerana kabur mengenai asas dan formula ini sesetengah orang jadi fikir tidak habis kenapa PKR memilih Bachok untuk dijadi tukar ganti.

PKR Kelantan khasnya Pengerusi Perhubungannya Abdul Aziz Kadir perlu memberi jawaban tepat dengan tindakan ini. Aziz dan biro politik juga perlu membuat penilaian semula apakah pertukaran ini tepat dan betul yang akhirnya boleh memengkan parti itu dan tidak ada mana-mana orang terluka hati dengan formula berkenaan?

Adalah malang sekali seperti mana disebut pemilihan Bachok kalau sekadar ingin memberi laluan kepada bekas ketua Umno Bachok Zaiyadi Awang Noh bertanding di situ. Kajian politik yang menunjukkan Zaiyadi mampu berdepan dengan Awang Adek tidak boleh dijadikan asas utama untuk PKR mengambil Bachok. PKR harus melihat dari semua sudut. Mungkin betul dari pihak Aziz Kadir atau Saifuddin Nasution dan sebagainya, tetapi tidak tepat bagi orang lain.

Andaian Zaiyadi boleh menewaskan Awang Adek sebenarnya tidak cukup dan bukan alasan konkrit untuk PKR memilih Bachok. Masih ada sudut-sudut lain yang perlu dilihat secara serisu dan menyeluruh. Misalnya Pas sendiri mempunyai calon yang mungkin sama hebat kalaupun tidak lebih hebat dari Zaiyadi. Apakah perbincang mendalam dengan Pas sudah dibuat bukan saja di peringkat tertinggi tetapi dari kalangan akar umbi. Pandangan dan maklumat akar umbi diperlukan kerana kalau teralpa perkara ini ia boleh menimbulkan masalah besar.

Mengenai Zayadi, kalau betul PKR ingin menyandangkan harapan kepada bekas ketua pemuda Umno itu, apa yang perlu dititik beratkan oleh PKR ialah Zaiyadi masih belum menjadi ahli PKR. Beliau bukan seorang pejuang PKR dan jasanya kepada parti masih belum ada seurut bulu roma. Kalaulah sandaran itu diletakkan kerana hubung sentimental dengan Zaiyadi semasa dalam Umno ia tidak kena, kerana Umno dan PKR harus dipisahbezaskan.

Dan jika Zaiyadi benar-benar bersedia untuk menjadi calon PKR beliau harus melakukan korban kubra. Beliau harus keluar dari sayap perteduhan untuk menunjukkan kejantanan dan kepahlawanan beliau sebagai seorang pejuang. Angan-angan akan ada orang akan menghamparkan karpet merah untuk kita juga jangan dijadikan pertaruhan. Dalam politik seseorang itu kena berani, bermuka tebal dan sanggup mengambil risiko. Cagaran untuk sebuah perjuangan ialah pengorbanan! [wm.kl.1:13 pm 27/07/12]

No comments:

Post a Comment