Monday, September 10, 2012

Catatan Di Meja VVIP Rumah Terbuka Pas

CORETAN PASCA AIDIFITRI

Menghadiri majlis rumah terbuka hari raya memang membahagia dan menyeronokkan. Dalam majlis seperti itu semua orang berfikiran terbuka, bergurau senda dan tidak mudah mengambil hati. Semasa di majlis rumah terbuka Pas Pusat di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam saya sempat berjumpa sebahagian pemimpin atasan Pas. Sempat bertanya khabar dan bercanda serta bermaaf-maafan. Sudah tentu dalam suasana riang ria begitu, gurauan juga mengenai butir-butir yang menyeronok dan menghiburkan.

Dr Rosli Yaacob dan Ahmad Awang
Antara isu perbualan ialah mengenai pilihan raya umum. Nampaknya tidak ramai yang mempersoalkan bila tarikhnya kerana ia bukan sesuatu yang suspen lagi. Sebaliknya soal calon dan kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan yang dibicarakan dan menjadi daya tarikan perbualan.

Wah.. semua gelak dan nampak cerita bila disebut atau 'digelar' bakal calon dikerusi itu dan kerusi ini. Semua nampaknya berminat, 'sumringah' persis selepas baru selesai ber*****  dengan bini baru! Oph maaf.

Di meja di bawah bangsal vvip semalam saya duduk bersama pemimpin tertinggi Pas dan dua rakan yang datang bersama Sobree Shafei dan Dr Wan Suhaimi Wan Daud PKR Pasir Mas. Pemimpin Pas saling silih berganti duduk dan melayani kami. Seronok. Semuanya ramah tamah dan melebarkan senyuman hingga ke pipi.

Dr Mohd Hatta Ramli yang sememangnya ramah sejak saya mulai kenali beliau, tidak habis-habis gelak dan mengusik-usik saya. Dia juga sempat mengambil satay dan tuang air soya bean untuk saya. Bagi saya adalah sesuatu yang kejam untuk mengkritik apa lagi membenci seorang manusia baik seperti Dr Hatta.

Dr Hatta adalah anak luar Kelantan yang satu-satu dikatakan akan kekal bertanding kerusi parlimen Kuala Krai. Di Kuala Krai tidak ada siapa marah dan terkilan dengannya. Bekas MP Kuala Krai Nasir Daud yang juga buat beberapa waktu berada di sebelah saya merupakan pembantu utama Dr Hatta di Kuala Krai. Bab Nasir ini susah juga nak cari orang yang ikhlas sepertinya. Walaupun kerusi parlimen itu haknya tetapi beliau rela serahkan kepada Hatta bila parti membuat arahan begitu. Pengorbanan dan keikhlasan seperti inilah yang dikehendaki dan patut menjadi amalan pemimpin.

Begitu juga dengan pimpinan Pas Kuala Krai yang lain semua senang dengan penampilan dan teruja dengan kegigihan Hatta sebagai seorang wakil rakyat. Hatta yang hampir setiap minggu berulang alik ke Kuala Krai walaupun isterinya dalam keadaan tidak berapa sihat. 

Inilah menyebabkan Dr Hatta rasa lega dan Pas Kelantan sendiri tidak ada sebab untuk menghantar balik beliau ke Gombak, kawasan asalnya. Lagi pun kewujudannya di parlimen memberi kesan dan impak kepada Pas dan rakyat menerusi isu-isu yang dibangkitkan. Hatta bukan seorang wakil rakyat yang hanya datang menanda attandance kemudian belah atau pergi cari ikan singgang di Jalan Raja Alang seperti mana berlaku ke atas seorang wakil parlimen di Kelantan datang hanya untuk memastikan elaunnya masuk.

Di bawah bangsal vvip itu, cakap punya cakap timbul soal siapa nak melawan Mustapa Mohamed di Jeli dan Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang. Kedua kerusi ini nampaknya Pas 'memerit' sedikit tidak siapa yang hendak berlawan dengan dua tokoh Umno ini. Bekas MP Jeli Apandi Mohamed katanya tidak begitu yakin dapat menang dan kalau boleh mahu keluar kawasan tinggalkan Jeli. Apandi banyak cakap dari berbuat pantaslah kalau dia merasa gerun.

Hatta (kanak) tidak ada sebab untuk didimarahi.
Begitu juga dengan Gua Musang tidak ada sesiapa 'rak' atau mampu menghalang Tengku Razaleigh. Terbetik di dalam hati saya, kalau tidak ada siapa nak lawan, biarkan Tengku Hamzah menang tanpa bertanding sahaja? Kalau Tengku Razaleigh menang pun dan kebetulan UBN memerintah lagi beliau tetap menjadi Qur'an buruk saja dalam parti itu. Tengku Razaleigh tidak akan dipedulikan Najib selagi Mahadir masih boleh mampu berkokok.

Dalam masa sama Pas boleh menjalin hubungan dengan Tengku Razaleigh setidak-tidaknya menggunakan kapasitinya sebagai bekas menteri kewangan dan pengerusi Petronas untuk memperjuangkan royalti. Dan kalau Pas ingin meletakkan calon bagi tidak menampakkan ada kompromi Pas boleh hantar orang barunya Sobree Shafii untuk melayan menganggu Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang. Bilalah Pas hendak makan duit Sobree ketika inilah...

Perbualan dalam hujan meleret jauh kepada jawatan-jawatan MB selepas pilihan raya akan datang. Dalam berbincang isu itu tiba-tiba Mahfuz Omar menjenguk dan duduk sebelah saya. Dengan baju oren menyala Mahfuz jadi antara orang yang 'dominan' di majlis berkenaan. Inilah kelebihan Mahfuz yang bijak mencuri keadaan menerusi fesyen-fesyen yang kontra dengan suasana menjadikan dia difokus.

Entah siapa yang menimbulkan mengenai kesihatan Azizan Razak di Kedah. Lanjutan itu kebetulan Mahfuz berada dekat saya, saya mencadangkan kepada 'majlis' dengan berkata; "apa susah kalau Ustaz Azizah sakit, kan Mahfuz ada. Mahfuz pun layak menjadi MB... ke macam mana?"

Kata-kata saya menyebabkan Mahfuz terperagah dengan berkata; enta jangau kacau Sayuti..." katanya sambil ketawa kemudian menjauhkan diri kami pergi melayan tetamu lain. Benar, bicara itu ... apa salah kalau Pas Kedah menimbangkan untuk Mahfuz mengemudikan Kedah. Lagipun khabarnya sudah ada orang sedang berjangot (bersolek) untuk menjadi MB Kedah. Sudah ada orang-orang yang mula menyikap rambut seperti MB dan berdehem seperti Allahyarham Tun Razak. Dalam maksud lain sudah ada perebutan kecil. Jadi eloklah kalau Mahfuz menjadi calon MB alternatif.

Lagipun Mahfuz saya kira sesuai dengan watak dan cara beliau bergaul. Orang Kedah memang kuat bergurau dan berjenaka. Mahfuz mempunyai banyak jenaka-jenaka penghibur hati di mana karektor ini disenangi oleh rakyat Kedah. Soal untuk memikir membangun ekonomi, strategi parti dan sebagainya orang lain boleh uruskan kalau dalam hal ini Mahfuz ada kelemahan dan tidak pakar mengenainya. Bagaimana?

Kelihatan juga Dr Rosli Yaacob terkayan-kayan sekejap timbul dan sekejap lenyap. Bila dia menghulur tangan untuk bersalam, saya terus melepaskan peluru getah kepadanya; "ar... ini Dr Rosli Yaacob, bakal MB Negeri Sembilan". Dr Rosli malu-malu dan berlalu sambil senyum meleret. Selepas itu saya mengulas kepada tetamu di depan saya. Beliau memang layak dan mempunyai pengalaman dalam mengurus dan mentadbirkan wang. Dr Rosli bekas penolong timbalan Gabnur Bank Negara. Kedudukannya setaraf dengan Awang Adek Husein. Malah saksiyahnya lebih baik dengan Awang Adek kerana Dr Rosli tidak menghisap cigar sebesar lengan budak.

Tidak mustahil kalau dia dicalonkan menjadi MB Negeri Sembilan sekiranya Pas memenangi banyak kerusi dari PKR. 

Perbualan, gurauan dan gelak tawa berterusan dalam hujan rintik-rintik yang sekejap lebat sekejap gerimis. Orang ramai juga tanpa mempedulikan hujan terus mengunjungi majlis itu. Tiba-tiba tup.. muncul pula Ustaz Ahmad Awang di hadapan. Dia nampak sedikit gelisah mungkin sudah menyedari apa dibicarakan. Semasa beliau melangkah untuk mengambil makanan saya bangun dan membisik di telinganya; "Ustaz kena bertanding kali ini." Dia memalingkan muka dan melepaskan senyuman manis. Hendaklah tu.... so gohead lah ustaz...

Dalam pilihan raya lalu beliau tidak bertanding kerana ada sedikit masalah yang tidak lepas. Kalau Ahmad Awang bertanding dan menang sudah tentu beliaulah MB Perak. Rasaanya kalau Ustaz Ahmad Awang jadi MB, kerajaan Pakatan Rakyat Perak masih kekal sampai ke hari ini. Betapa tidak Ahmad Awang seorang ulamak yang tahu mengenai hukum haram, sirah Rasulullah dan juga banyak doa. Dia juga tahu mengenai adat istiadat dan resam Melayu. Bila Perak dilanda musibah beliau akan mengatasinya dengan berdoa dan bukannya menunjuk bisa dengan pihak istana.

Selepas itu Ustaz Ahmad berlalu tanpa sempat saya merakam gambarnya mungkin dia serabut dengan gurau senda saya itu apa bila di meja hujung sebelah sana tercokol bekas MB Perak setahun Nizar Jamaluddin.

Kerana agak lama di situ dan untuk merakam gambar saya bergerak ke sebuah meja vvip lain apabila melihat Sallahuddin Ayub sedang makan dan melayan tetamu bersebelahan dengan saya. Begitu terlihat saya Salahuddin menguit tangan dan bertanya, sudah makan ke belum. Beliau cuba hendak bangun mengambil makanan, saya menahan. Ini seorang lagi pemimpin yang penuh sopan santun dan menghormati sesiapa sahaja. Sikap merendah diri Sallahuddin menyerlahkan ketawadukannya dan kehambaannya sebagai wakil rakyat. Saya rasa kalaulah beliau mengenakan pakaian ala Arab, pakai kopiah berserban dan berjubah sepanjang masa dia akan lebih anggun dari Tuan Ibrahim Tuan Man.

Perbualan dengan Sallahuddin dan Kamarudin Jaafar yang ada sama berkisar soal jawatan MB. Kali ini jawatan MB Johor. Jadi keputusan Sallahuddin untuk pulang ke Johor dikira tepat pada masanya. Ternyata Sallahuddin ada kekuatan dan auranya tersendiri. Tidak sampai setahun beliau bergelumang di Johor menyatukan tenaga dan idea dengan para pemimpin Pas Johor, sudah berlaku ledakan kebangkitan rakyat di negeri kubu Umno itu. Pengalamannya sebagai pemimpin nasional yang reti dan bijak menyesuaikan diri dengan masyarakat pelbagai kaum mempercepatkan lagi kebangkitan rakyat berbilang kaum di Johor untuk menyokong Pakatan Rakyat.

Khabarnya kepulangan Salahuddin menyebabkan ada pemimpin Umno Johor kegelisahan kerana baru merasakan lawan yang sebenarnya.

Seperti sudah sah Sallahuddin akan bertanding di kerusi Dun dan parlimen di Johor. Menurut catatan sahabat saya wartawan veteran Pak Shukur Haron, Sallahuddin disebut akan bertanding di Dun Gelang dan parlimen Pulai. Sekiranya Pakatan Rakyat menang dan Salahuddin juga ditakdir menang di Gelang, beliaulah bakal dilantik menjadi MB Johor.

Dalam catatan pasca Aidilfitri ini mungkin tidak lengkap kalau tidak sama diperkiranya siapa pula yang akan dinobat sebagai MB Pahang, MB Kelantan dan Terengganu. Di Pahang Pas tidak ada pilihan dua melainkan Tuan Ibrahim Tuan Man. Inilah sosok yang selayaknya menjadi MB Pahang. Kedudukannya hari ini juga mendahului tokoh-tokoh Pas di Pahang yang lain. Tuan Ibrahim adalah Pesuruhjaya Pas Pahang dan juga Ketua Penerangan Pas Pusat. Beliau juga dibilang mempunyai hubungan mesra dengan pihak istana Pahang.

Tuan Ibrahim (kanan) sudah ada framework untuknya.
Ada semacam frame work untuk tokoh yang bertubuh kecil molek ini. Saya tidak mahu membuat andaian lebih awal sama-sama tunggu perjalanan waktu yang akan meratah sejarah zaman. Tetapi kalau itu berlaku ia sangat tepat sekali. Tuan Ibrahim seorang yang lemah lemah lembut, berpengetahuan agama yang tinggi dan sedia mendengar kata dan rajin bekerja.

Sebenarnya di meja vvip itu tidak ramai yang mahu bertanya siapa akan dilantik menjadi MB Terengganu. Mungkin mereka tidak banyak mengenali tokoh Pas Terengganu selain daripada arif mengenai Abdul Hadi Awang, Mustapa Ali ataupun Bakar Chik. Kerana mereka menyedari watak-watak ini sudah ketinggalan bas untuk menjadi MB, maka mereka tidak mahu tahu dan mengulas mengenainya.

Di Terengganu ada seorang watak yang popular dan boleh menggerak massa. Dia dimaksudkan Syed Azman Syed Mohammad. Dia juga ada di meja vvip bersama Sallahuddin dan Kamaruddin Jaafar. Anak muda ini seorang agak pendiman dan tidak suka melawan. Di Terengganu beliau agak terpencil dari naungan politik lama Terengganu. Sayang juga kalau orang seperti Syed Azman tidak diberikan ruang dan peluang sepatutnya.Rasanya untuk pilihan raya ini elok kalau Pas Terengganu turut menyenaraikan Syed Azman bersama Abdul Wahid Endut sebagai bakal MB.

Demikian juga dengan kedudukan Tok Guru Nik Aziz sebagai MB Kelantan tidak banyak berubah dan tidak dibualkan di meja vvip itu. Tokguruku itu tetap akan jadi MB. Katanya ada pelan perubahan selepas pilihan raya beliau tidak akan angkat sumpah sebagai MB. Tetapi saya tidak berapa yakin 'janji' itu akan terjadi. Sukar untuk mencari pengganti Tok Guru. Pas Kelantan tidak mendapat orang sepertinya. Begitu pun timbalan sekarang Ahmad Yaacob rak untuk memikul tanggungjawab itu kalau terpaksa. Secara peribadi saya berpandangan selepas pilihan raya nanti Ahmad Yaacob yang mengangkat sumpah sebagai MB.

Mengenai Kelantan ada tokoh yang dimimpikan untuk jadi MB tetapi sayangnya tidak pandai membawa diri. Kata orang dia sudah rentung sebelum terbakar, sudah lemah sebelum terjun ke laut. Kerusi MB umpama titian siratalmustaqakim, mana-mana orang ada dosa dan kesalahan tidak akan lepas menitinya untuk sampai ke kerusi MB dan akan jatuh tergolek sebelum tembak "lari" di bunyikan. Hari ini tokoh yang dikira layak itu tidak menampakkan batang hidungnya, mungkin sedang berdoa di mana-mana celah batu. Selamat hari raya maaf zahir dan batin dunia dan akhirat kepada semua. [wm.kl.12:10 pm 10/09/12]

No comments:

Post a Comment