Wednesday, October 3, 2012

Musang King Dan Koi Manja Lembah Temir

REHLAH MINDA                                                                                                                    

Benarlah kata orang gambar membawa seribu makna yang tidak terungkap dek seribu kata-kata. Gambar juga boleh menarik dan mengabui pandangan mata zahir. Dan gambar juga membawa cerita yang tersirat dan boleh diterjemahkan dengan sejuta pengertian dan maksud. Dalam sebuah lagu P Ramlee senikatanya berbunyi; tiada gambar secantik lukisan. Memang tepat sekali.

Pun begitu bukan semua seniman; pelukis atau jurufoto dapat menghasilkan gambar yang boleh mengugah perasaan dan sanubari manusia. Ia memerlukan daya kreatif yang tinggi dan keikhlasan dalam menghasilkannya. Bahan seni atau kesenian itu tidak boleh dilahirkan secara 'haram' kerana ianya tidak ada roh. Seni itu sendiri fitrahnya suci.

Mercu tanda Lembah Temir ciptaan Sharina.
"Saya merakam gambar dengan hati dan perasaan, tuan." Demikian ucap sang pengambil gambar 'musang king' jurufotonita Shahrina Ahmad Sharkawi tatkala saya menceritakan bagaimana kaki kami diruntun untuk menjejaki Lebah Temir. Kata-kata itu segera mengenalkan saya siapa si Hawa ini sebenarnya. Bukan saja saya, tetapi Rushdan Mustafa dan Dr Wan Suhaimi Wan Daud juga teruja dengan sekeping gambar durian musang king yang dipotret Shahrina dan dimuatkan dalam Facebooknya.

Tangga menyusuri air terjun memudahkan perjalanan.
Iya kerana gambar itulah yang menarikan kami yang berkebetulan juga merupakan hantu durian. Tidak semena-mena selepas bersarapan pagi kami terus bergerak ke Raub untuk mencari Lembah Temir seperti mana digambarkan Shahrina menerusi alat perakam ajaibnya itu. Mulanya kami sering bertanya dan membuat nujuman, di manakah Lembah Temir. Antara kami tidak ada siapa yang tahu persis lokasinya.

Jambatan kecil menghubungkan antara resort ke resort.
Selepas menghubungi Shahrina yang sudah berada di sana, kami bertolak ke Raub. Dr Wan Suhaimi membatalkan niatnya untuk ke parlimen bagi mendengar perbahasan bajet oleh Anwar Ibrahim. Manakala kebetulan pula Rushdan dalam rangka untuk pulang ke Kelantan kerana ada urusan di mahkamah. Beliau bersetuju saja, katanya selepas makan durian dia akan meneruskan perjalanan senjanya bersendirian ke Kelantan tanpa singgah merasai kelah di Perasu?

Tanpa Shahrina mungkin kami tidak akan ke sana sebab Encik Din, empunya Eco Resort sudah pun berpatah balik bersama isterinya ke Kuala Lumpur. Sebenarnya saya sudah bercakap dan memberi janji dengan Encik Din untuk sampai semalam lagi. Encik Din menanti kedatangan saya ke resortnya itu. Tetapi disebabkan hari minggu itu agak sibuk dan kebetulan kekawan semua ada kerja lain, jadi niat itu tertangguh. Saya bercadang untuk mencari hari lain untuk menyinggahi Lembah Temir.

Pun begitu, walaupun Encik Din tiada... saya tidak merasa kekok kerana Encik Zul yang merupakan Pengurus Eco Resort itu senantiasa berada di situ untuk membantu dan menjelaskan apa-apa saja kegiatan atau fasalitis yang ada di resort berkenaan. Apa lagi dengan adanya Shahrina yang menjadi 'tuan rumah' sementara memudahkan segala urusan termasuk mendapatkan durian dan menyediakan  nasi tengah hari berulamkan pucuk-pucuk kayu.

Sesampai kami disambut sebagai rombongan menteri oleh Shahrina. Bukan main lagi dia sibuk dengan peralatan kameranya. Menyengeng, mendongak menyunting wajah dan pergerakan kami. Dari mula sampai hingga naik ke atas balai resort. Benarlah Shahrina seorang yang benar-benar minat dengan fotografi. Fotografi adala dunianya dan kemera dan lensa adalah teman akrab dan rapatnya. Shutter kemeranya ... shruppp... shruppp bertindak memberi salam. Setiap langkah dan gerak kami disambar mucung kameranya. Mengkagumkan dalam masa tidak sampai sejam semua gambar yang diambil itu di upload ke dalam Fbnya. Semua dunia tahu di mana kami berada dan apa kegiatan kami waktu itu.

Mencium koi yang manja/
Menurut Shahrina beliau berada di situ dalam rangka kerjanya untuk membuat penggambaran Lemah Temir dan suasana resort Encik Din.. untuk dibangunkan web atau blog bagi mempromosi Eco Resort berkenaan. Katanya beliau berjumpa dengan Encik Din tanpa dirancang. Pertemuan itu juga kerana Encik Din tertarik kepada gambar dirakam Shahrina yang bermain dengan anggur di Uzbisktan.  Rupanya camera membawa tuah kepada Shahrina dan menjadi penghubung beliau dengan insan sesama insan.

Seperti saya katakan, kalau bukan Shahrina kami tidak sampai ke situ. Saya sendiri pertama kali mendengar nama Lembah Temir itu dan kewujudan eco resort itu setelah membelek Facebooknya. Begitu juga dengan Rushdan Wan Suhaimi. Mereka juga asing dengan lokasi berkenaan.

Saya yakin sejak beliau 'tak dan tangan'  memasukan gambar dan membuat catatan apa saja yang terhidu dan tersambar dek lensa kameranya ke dalam Fbnya kemudian di share oleh Fb kekawannya. Sudah ribuan penjenguk Fb beliau khasnya mengetahui tempat itu. Ini dapat dirasakan kerana ada yang tersasar ke wall Fb saya bertanya di mana gerangan Lembah Temir.

Dalam tilikkan saya Shahrina memang seorang yang cekap dan tidak berlengah dengan kerjanya. Dia komited. Jadi tidak salah kalau seorang jurufoto Islam Peter Sanders menggelar dan mengharapkan Shahrina menjadi "mamarazzi" kerana menilai kepada hasil kerja yang dilakukan sebelum ini.

Menurut Shahrina, Sanders tertarik kepada kerja seninya setelah melihat gambar-gambar Sultan Muhamad Ke V yang dirakamnya di satu upacara di Kota Bharu. Jurufoto yang dulu Kristian dan kini Muslim itu juga berminat untuk merakam gambar Sultan Mohamad ke V yang disifatkan sultan yang penuh kehambaan berdasarkan gambar-gambar yang dirakam Shahrina tempoh hari. Kata Shahrina gambar yang menyentuh hati Sanders ialah foto baginda Sultan Muhammad memakai sendiri kasut.

Shahrina tuan rumah sementara dan Rusdhan.
Dalam masa lebih 24 jam Shahrina berada di Lembah Temir saya rasa semua sudut, objek, pohon, daun, ranting, sungai, ikan, atau flora dan fauna yang terdapat di situ telah dirakam dan diadunkan dengan perasaannya. Memang kena pada orangnya kalau Encik Din dan juga Zul memanggil Shahrina ke situ. Sepatah kata Zul; tempat ini tidak begitu cantik tetapi ianya diindahkan oleh gambar Shahrina." Apakah maksudnya, itu adalah pengikhtirafan Zul kepada hasil kerja Shahrina.
Wan Suhaimi menabur pelak untuk koi.

Kami ke Lemah Temir itu sebenarnya ada dua tujuan, pertamanya tentulah untuk meratah musang king atau D 24, atau 'cakeko'. Namun nasib kami tidak berapa baik. Salahnya kami juga tidak memberi tahu awal-awal akan kedatangan kami. Buah durian yang luruh pada malamnya telah pun dibawa ke luar untuk dijual atau dipunggah tetamu.

Bagimana pun rezeki kami tetap ada, dalam keadaan hampir kecewa tiba-tiba si Adi (Orang Asli) yang berkerja di resort itu membawa tiga biji musang king. Apa lagi raja buah yang ditunggu-tunggu itu kami lahad sepuasnya.
Adi yang jadi tukang kopek musang king.
Tujuan kedua ialah untuk berkenalan dengan Lembah Temir keistimewaan dan juga keunikan alam semula jadi ciptaan Ilahi.

Ringkasnya berada di Lembah Temir ia mengembalikan kita ke alam semula jadi. Ia jauh dari hiruk pikuk kotaraya yang sibuk 24 jam. Lembah damai itu sangat sesuai untuk berihat di hujung minggu. Sambil menenangkan fikiran kita dapat menikmati suasana alam semulajadi yang masih belum terusik. Air terjun yang jatuh celah-celah batu menyembur di wajah sungai menghiburkan. Manakala ribuan anak-anak kelah dan tegas yang berkeliran dan sesekali melompat di permukaan air, menjadi kita bersatu jiwa bersama mereka dan tanpa disedari juga latar masa 'bocahan' dulu terbentang di ruangan mata.

Kemanjaan ribuan koi di kalam yang dirawat rapi pula menyebabkan kita terlupa sama sekali kepada dunia lain. Anda boleh merasai satu pengalaman baru bergurau dengan koi kelaparan dan manja. Mereka akan mengerumuni kita dan mengigit jari jemari dengan mulutnya yang tidak bergigi. Sentuhan langsung dengan mereka menyedarkan kita bahawa antara kita dengan mereka tidak ada batas perbezaan kecuali dipisahkan akal.

Saya tidak mampu untuk bercerita panjang dan terperinci dari sini, anda perlu singgah ke lemah ini dan menjadi warganya untuk seketika barulah  kita dapat merasai keindahan, keseronokan dan bahagia bersama alam yang kita sudah lama tidak menyatukan diri dengan ciptaan Tuhan ini kerana mungkinan disebabkan kesibukan masa.

Bagaimana untuk ke sana? Untuk ke Lemah Temir ke Eco Resort ini tidak begitu sulit. Dari arah Kuala Lumpur ia boleh dimasuk menerusi dua jalan besar. Menerui Felda Mempaga di Lurah Bilut atau menerusi Jalan Sungai Ruang di Raub. Jarak Lemah Temir dari Raub kira-kira 45 km. Lemah Temir dari segi geografinya terletak di Lembah Klai. Jarak dari jalan besar Lemah Klai ke Lemah Temir hanya sejauh 6 km menerusi jalan separuh tar dan simen yang membelah ladang sawit.

Penginapan..? Disediakan beberapa buah resort yang dibina di puncak bukit batu atau dipinggir air terjun. Dari jendela resort dapat menyaksikan pemandangan fantastik dan sambil mendengar nyanyian beburung dan percikan air terjun. Suasana sekitar dan resort disediakan sangat sesuai untuk pasangan yang baru diijabal kabulkan. Tidak terlupa pasangan yang sudah bercucu seperti saya juga, sesuai. Pastinya bayu dan bisikan air terjun akan mengasyikkan kita dan menambahkan lagi biru warna cinta selama bermukim di lembah taman para pari-pari itu. [wm.kl.8:51 pm 02/10/12]

Foto ehsan Fb Sharina: http://www.facebook.com/Shahrina.A.S

No comments:

Post a Comment