Wednesday, October 3, 2012

Orang Pakatan Jangan Jadi Persis Mat Jenin

SUSUPAN SENJA                                                                                                     

Elok rasanya kalau semua pihak dalam parti yang berikat dalam Pakatan Rakyat tidak bercakap soal siapa yang akan menjadi perdana menteri, menteri ataupun menteri besar ataupun tokoh-tokoh bakal dilantik memegang GLC kalau pakatan itu menang kelak. Percakapan seperti itu tidak membawa kebaikan sebaliknya memberi keburukkan. Semua pemimpin dan orang dalam Pas, PKR dan DAP tidak perlu mengira atau menamakan sesiapa untuk memegang jawatan itu dan jawatan ini.

Apa yang lebih afdal dan diutamakan ialah kemenangan. Yang perlu difikir dan menjadi fokus ialah kemenangan. Cuba berfikir macam mana untuk memastikan pakatan itu menang bukannya terlebih dahulu mengisi kemenangan dengan menlantik orang itu dan orang ini.

Tidak ada guna menamakan orang itu dan orang ini kalau kemenangan masih kabur. Yang akan boleh membawa kepada perkiraan untuk memilih siapa ialah kemenangan. Bercakap untuk melantik orang itu dan orang ini samalah seperti petani yang bercadang untuk memelihara lembu yang belum dibelinya, sudah berkhayal sama ada lembu itu hendak simpan dalam kandang, di kondo ataupun diletak dalam lori. Perbuatan itu sia-sia saja.

Bahkan dengan bercakap mengenai jawatan dan kedudukan ia boleh menyebabkan Pakatan Rakyat bergaduh sesama sendiri sebelum sampai ke pertengahan jalan. Anda semua kini dalam mengatur langkah menuju ke Putrajaya. Walaupun untuk menghilangkan rasa katup dan menghamba keletihan dalam perjalanan itu dengan berangan-angan begitu, tetapi ia tidak berapa bagus. Kalaulah ada dua tiga ahli dan penyokong bengong akan bergaduh sesama sendiri. Kalau untuk menghilangkan bosan dalam perjalanan itu carilah cerita lain yang lebih selamat.

Ahli Pas yang bengong sudah tentu mahukan Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri, begitu juga dengan ahli PKR yang bebal tetap mahukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Kedua ada hujah masing-masing. Yang mahukan Abdul Hadi mendakwa kekuatan Pakatan Rakyat disebabkan Pas, manakala di pihak PKR pula akan mendakwa kekuatan PR kerana Anwar.

Itu tidak termasuk kalau-kalau ada yang tidak berapa sihat dalam DAP akan berpendapat jawatan PM patut diberikan kepada DAP kerana kemenangan PR itu disebabkan sokongan Cina.  Apakah kalau ketiga-tiga tokoh parti dalam Pakatan itu termakan pula dengan dakwa dakwi itu, haru jadinya.

Jadi sebaik-baiknya semua pihak jangan bercakap dulu fasal ini. Kalau pun masing-masing ada calon masing-masing diamkan saja. Biarlah keadaan selepas kemenangan nanti akan menentukan. Semua pihak perlu menerima fitrah politik itu penuh dengan serba mungkin. Selebihnya siapa bakal memegang jawatan apa kena serahkan kepada Allah s.w.t. Kita hanya merancang mengikut kadar akal fikir kita tetapi yang menentunya nanti adalah Tuhan kita. Hakikat inikita semua kena terima dengan penuh redha.

Manalah tahu tiba-tiba orang lain suku sakat yang akan menjadi PM nanti bukan Anwar atau Abdul Hadi Awang atau Lim Kit Siang. Siapa tahu? Semua boleh jadi dan serba mungkin.

Secara peribadi saya cukup bimbang cakap-cakap atau angan-angan orang Pakatan Rakyat itu akan menjadi seperti Mat Jenin yang jatuh dan mati dari pokok kelapa sebelum berbuat apa-apa, hatta membeli kambing yang kemudian didagangkan sehingga dia membayangkan akan berkahwin dengan anak raja. Elaklah jadi macam Mat Jenin. [wm.kl.6:59 pm 03/10/12]

3 comments:

  1. Assalamu alaikum tuan. Buat anak-anak Ali, ingin sayanyatakan bahawa kamu boleh angan-angan nak jadi apa tapi yang nak tentukan kamu jadi atau tidak apa adalah rakyat.

    Kalau majoriti rakyat Selangor masih mahukan Tan Sri Khalid jadi MB dan ketika itu demi nak Khalid jadi MB dan bukan orang lain, kami sanggup undi UMNO sebagai bantahan kepada cadangan untuk melantik MB baru, bagaimana? Ketika meloponglah semua orang PR. Tolong jangan mainkan hasrat rakyat.

    Sebagai ahli PAS, saya kesal dengan kenyataan balas setia usaha Agung PAS. Sepatutnya anda diamkan sahaja. Bukankah orang PAS sering mendakwa bahawa mereka lebih matang dalam berpolitik jika nak dibandingkan dengan PKR dan DAP?

    Tak pasal-pasal bagi peluru padaTV3 dan Utusan. Tunggulah malam ni atau esok.

    ReplyDelete
  2. adakah ini mengulangi peristiwa di jabal rumah tempat pemanah-pemanah di letakkan semasa perang uhud....kemenangan belum tentu tetapi harta yang diburu...


    sejarah bukan untuk dilupai tetapi untuk disantuni dan diteladani...

    ahli masih goyang, bakal calon ramai yang belum mantap sudah berbicara kabinet bayangan?

    ReplyDelete
  3. Ahli pakatan sudah terperangkap dalam ilusi..ya angan angan mat jenin
    saya amat amat berharap ramalan daim zainuddin suatu masa dulu jadi kenyataan
    rakyat perlu disedarkan tak semuanya cabang kehidupan kita berkaitan poltik..jangan buang masa semata mata kerana tekad dan nekad kita semata mata untuk ABU kelak singkatan tu kelak lebih menjadi debu dan ABU ASAP saja

    ReplyDelete