MENTARA HARI
Timbalan Presiden Umno Muhyuddin Mohd Yassin (aik sebut molek dah nama dia..) katanya akan turun ke Rantau Panjang Khamis ini 8 November. Tidak pasti apakah tujuan beliau mengadakan lawatan sehari ke Rantau Panjang. Apakah misi pendidikan di kawasan sempadan itu? Atas sifatnya sebagai timbalan presiden Umno, pasti Muhyuddin akan menyelam sambil minum air, meninjau soal pendidikan dan juga perkembangan Umno di situ.
Ataupun lawatan itu meritnya lebih kepada Umno dan kedudukan sebagai menteri itu hanya diguna untuk kepentingan parti saja. Selalunya begitulah yang berlaku dalam tanah air ini, penjawat awam sering kali menggunakan fasilitis kerajaan untuk kepentingan siasahnya.
Buat masa ini tidak ada masalah pendidikan di Rantau Panjang yang agak berat, kecualilah ada kes-kes terpencil murid makan pil kuda atau bersanggama dalam semak kemunting. Sempena lawatan itu mungkin Muhyuddin akan melawat ke sekolah Cina yang ada di pekan Rantau Panjang dan mengumumkan peruntukan bagi menarik perhatian orang Cina Rantau Panjang. Inilah selalu Muhyuddin lakukan dalam siri-siri lawatannya di seluruh negara. Peruntukan untuk sekolah Cina perlu diberi kalau tidak undi akan hilang?
Lain masalah tidak ada. Disebabkan tidak ada masalah pendidikan atau masalah guru di sekitar Rantau Panjang yang dominan, maka jelas kunjungan itu untuk meninjau persiapan pilihan raya, melihat sejauh mana keampuhan Umno Rantau Panjang.
Rantau Panjang merupakan antara Umno bahagian yang masih belum berapa comel dan lendik lagi. Perbalahan dan perebutan sesama sendiri masih wujud. Kumpulan-kumpulan 'samseng' atau 'geng kongsi gelap' dalam Umno Rantau Panjang masih belum terbubar sepenuhnya.
Seperti umum tahu perpaduan Umno bahagian Rantau Panjang tidak begitu padu, masih bercekah belah sesama sendiri. Walaupun penyelesaian telah dibuat dan semua pihak sudah dipanggil menghadap Pengerusi Perhubungan Umno, Mustapa Mohamed dan sudah berikrar, tetapi ia hanya berlaku di depan saja. Mereka hanya berjanji di muka Mustapa dan bila di belakang bergaduh semula. Sebaik meninggal pintu pagar rumah Mustapa mereka kembali kepada cara asal, bergaduh.
Siapa yang untung dengan bersikap demikian. Semuanya menipu diri sendiri?
Di Rantau Panjang bukan banyak tokoh-tokoh yang ada. Selepas Hussein Ahmad atau dikenali dengan nama Hussein Serama, Rantau Panjang tidak pernah ada tokoh sehebat beliau. Kini yang ada hanya ketuanya sekarang Abdullah Mat Yassin, timbalannya Shaari Hussein, bekas ketua Mohd Zain Ismail, bekas bendahari Ghazali Ismail. Inilah orang yang menjadi watak-watak utama atau orang tua di dalam Umno Rantau Panjang. Manakala anak-anak muda baik dari lelaki dan wanita tidak ada yang nampak masam kepala di Rantau Panjang buat masa ini.
Mereka ini mendominasi dan mempunyai pengaruh dan politik tersendiri. Kalau hendak dikatakan cerdik, masih ramai ahli Umno Rantau Panjang yang cerdik dan mempunyai latar belakang baik berbanding mereka. Mereka berempat inilah 'kepala pengatnya" di Rantau Panjang. Sebenarnya Umno Rantau Panjang tidak ada masalah kalau mereka berempat ini dapat duduk semeja. Tetapi malang tidak begitu.
Rata-rata mengetahui di Rantau Panjang hari ini; sekiranya salah seorang mereka tidak mendapat calon pasti akan berlaku pengkhianatan. Soal demdam dan irihati diantara satu sama lain sudah lama berdengung di Rantau Panjang.
Masalahnya kini ialah pembahagian kerusi di Rantau Panjang. Siapa yang akan bertanding di Parliem, dan tiga kerusi Dun; Gual Periok, Bukit Tuku dan Meranti. Kalau hendak dikira keempat-empat itu tidak berapa layak untuk diletak bertanding jika diperhatikan kepada rekod mereka sebelum ini. Tetapi kerana itulah baik dan buruknya orang Umno di Rantau Panjang yang agak masam kepala dan boleh ditolak ke tengah ketepi sedikit maka mereka masih relevan.
Jika ke empat mereka dicalonkan, kekalahan sudah pasti bagi mereka. Masing-masing tidak ada kekuatan diri dan pengaruh peribadi. Tetapi kalau kelemahan itu diatasi dengan bekerjasama, tidak mustahil kekalahan akan bertukar menjadi kemenangan. Pihak Pas di Rantau Panjang sebenarnya bukan kuat sangat. Dari tiga kerusi Dun hanya sebuah saja yang nampak mantap, manakala dua lagi longgar dan ada lompong.
Soalnya bolehkah ke empat pemuka Umno itu bersatu, berjanji dan bersetia? Persoalannya duduk di sini. Inilah yang menjadi tanda tanya dan juga kunci kepada nasib Umno di dalam pilihan raya akan datang.
Khabarnya formula untuk menyelesaikan masalah di Rantau Panjang sudah ada. Masing-masing telah diberikan kerusi tersendiri dan juga jawatan dalam politik untuk bergerak menebarkan pengaruh. Cuma ada yang tidak begitu selesa dan berkenaan dengan kerusi yang diagihkan.
Mohd Zain yang sebelum ini digantung keahlian bersama Ghazali kerana mesabotaj calon Umno kini sudah pun dibebaskan. Perbalahan dengan ketua bahagian Abdullah Yassin sudah pun reda. Serentak itu mereka diberikan jawatan dan juga diperuntukan kerusi sesama mereka. Mohd Zain dilantik menjadi Pengarah Dun Gual Periok, manakala Ghazali pengarah Dun Bukit Tuku. Abdullah pula sebagai pengarah parlimen Rantau Panjang. Cuma Shaari Hussein tidak mempunyai apa-apa kedudukan tetapi diberi 'bonos' dengan membenarkan pegawai penyalia mukim (PPM) yang dilantiknya dikekalkan.
Secara hirerkinya Shaari seakan tersingkir dalam situasi ini. Tetapi bekas Adun Gual Periok ini ada kelebihan tersendiri iaitu beliau dikatakan rapat dengan puncuk pimpinan di Kuala Lumpur.
Mengikut pembahagian kerusi pula Shaari di kerusi Gual Periok, kerusi yang pernah disandangnya sebelum ini. Kerusi itu juga menjadi idaman Ghazali. Manakala Mohd Zain di Bukit Tuku. Yang anihnya kenapa berlaku crossing di antara Mohd Zain dengan Ghazali. Kalau Mohd Zain berhajat untuk kekal di Bukit Tuku sepatutnya beliau menjadi pengarah di situ, bukan di Gual Periok.
Di sinilah mungkin ada juga perkiraan, kemungkinan mereka akan 'diundi' untuk bertanding di kerusi parlimen Rantau Panjang sekiranya tidak mendapat kerusi yang diidam-idamkan masing-masing. Abdullah yang beriya untuk sekali lagi bertanding di situ dikatakan akan ditukar ke Bukit Tuku. Di sinilah sedikit ada bercadas di antara satu sama lain dan memeningkan ahli Umno Rantau Panjang. Abdullah katanya kurang berminat untuk bertanding di Meranti.
Sekiranya Mohd Zain kekal di Bukit Tuku, Ghazali di Gual Periok, sudah tentu Shaari akan dibawa paksa ke parlimen, manakala Abdullah di Meranti. Tetapi Shaari katanya enggan untuk dibawa ke parlimen. Beliau tetap berkeras untuk kekal bertanding di Gual Periok.
Kekalutan dan perebutan inilah memeningkan kepada Mustapa Mohamed. Hingga ke hari ini kedudukan calon dan kerusi di Rantau Panjang masih belum muktamad lagi. Justeru kunjungan Muhyuddin pada Khamis ini dipercayai akan turut membincangkan perihal calon dan memuktamadkannya.
Dalam pada itu dari sumber-sumber yang boleh dipercayai kedatangan Muhyuddin akan merubah peta politik Umno Rantau Panjang yang sudah dilakar hari ini. Ini bermakna di antara empat orang calon yang diuar-uar dan menjajah diri sebagai calon kini ada yang akan bertukar tempat atau pun tercicir langsung.
Sekiranya Muhyuddin mementingkan kemenangan sekurang-kurang di dua kerusi Rantau Panjang baik Dun atau Parlimen, dua dari empat pemuka itu tidak perlu diberikan ruang untuk bertanding. Mereka itu sudah dikenali dan menjadi liabiliti kepada parti. Apapun harapnya semua pihak di Rantau Panjang akan akur dengan apa diputuskan Muhyuddin kelak. Dan kalau Umno hendak menang akurlah apa yang diputuskan oleh pemimpin mereka. Selepas keputusan itu dibuat nanti janganlah ada yang 'berona' di tgengah jalan. [wm.kl.12:55 t/hati 06/11/12]
Salam tuan, ada program PERHIMPUNAN GURU MUDA PANTAI TIMUR DI SMK PADANG ENGGANG DENGAN MEENGARAHKAN GURU-GURU HADIR. KEMUNGKINAN SETIAP DAERAH DIARAHKAN MENGHANTAR SEBUAH BAS. Apa yang sedihnya, guru dari daerah saya bertolak pada 7hb Nov, malam, dijangka sampai pagi 8hb Nov di Kota Bharu. Terus ke program itu. Abis Program itu, terus balik. Di jangka akan sampai ke daerah saya pada 9hb Nov. Bayangkan keletihan guru-guru itu. Sedangkan pada 9hb Nov adalah hari akhir persekolahan. Kasihan sahabat guru saya, hanya bermalam (2 malam) di dalam bas. Tak tau mandi kat mana. Penganjur enak bermalam di hotel???
ReplyDelete