Monday, December 10, 2012

Pemonopolian Ruang Media Oleh Najib Tidak Berapa Bagus

MENJOLOK MENTARI                                                                                                                        

Menjadi persoalan kenapa yang muncul di dalam tv tiap-tiap malam berkempen untuk kemenangan UBN hanya Najib Razak manakala pemimpin Umno dan BN lain diam membisu atau hampir sesetengahnya tidak muncul langsung. Najib semacam memonopoli ruang berita di tv. Semua berita mengenai Najib, baik penting atau tidak muncul di waktu puncak (prime time). 

Najib Razak: Terlebih publisiti.
Apakah ada peraturan baru semua telivesyen kena memberi keutamaan kepada berita perdana menteri meskipun tidak penting? Mungkin inilah sifat kewartawanan tv yang baru? 


Bukan saja untuk mengumumkan polisi atau dasar-dasar baru kerajaan untuk membantu rakyat, aktiviti Najib berjumpa dengan rakan Fb juga dilaporkan di ruang utama. Kenapa begitu sekali? Kita tahulah tv semua akur dan bersujud sawi kepada perdana menteri, tetapi sampai cerita terjerlus longkang atau isteri keluar dari salon unisex pun dilaporkan melampau sangatlah.

Untuk pemimpin Umno lain jarang-jarang sekali muncul apa lagi mendapat prime time jauh panggang dari api. Walhal pemimpin lain para wakil rakyat setiap hari berkubang dan 'bertumah" dengan rakyat. Mereka juga mahukan kepada publisiti. Walaupun aktiviti pemimpin lain adakalanya lebih penting dan berbobot dari bual-bual Najib tetapi tetap disiarkan selepas Najib. Semacam ada protokol khas pula cerita Najib kena awal.

Bukan saja pemimpin kecil, tetapi pemimpin nombor dua, Muhyiddin Yassin juga terkebelakangan dan tempohnya semput sekali. Walhal ada kalanya kenyataan atau bual-bual Muhyiddin lebih berkualiti dan bermanfaat daripada apa yang Najib katakan.

Itu tidak kisah, apabila jarang-jarang pemimpin lain seperti Ahmad Zahid Hamidi, Shafei Afdal, Khalid Nordin, Hishamuddin Hussein ataupun Sharizat Jalil, Khairy Jamaluddin dan ketua puteri yang gemuk lupa nama itu, oh ingat dah.. Rosnah Sakirin, ia menjadi tanda tanya. Adakalanya berita mengenai mereka ini jauh lebih berkurangan berbanding dengan berita mengenai Mahathir. Mahathir lebih acap dan mendapat prime time berbanding menteri seperti Zahid Hamidi, Khalid Nordin, Mustapa Mohamed dan lain-lain. 

Kenapa? Apakah Najib tidak mempercayai mereka ini atau suka memonopoli semua ruang dalam media massa atau tidak mahu mereka menjadi popular? Ataupun ada arahan agar biar Najib seorang bercakap manakala yang lain diam membisu menjadi yes man saja?  Atau pun Najib mengira kata-kata dan kenyataan Mahathir lebih baik dan boleh menarik sokongan Melayu berbanding Zahid Hamidi, Khalid Nordin, Mustapa Mohamed dan lain-lain?

Ini berbeza sekali dengan Pakatan Rakyat di mana semua pemimpin mereka sepakat berkempen untuk kemenangan PR. Nampak kesepaduan didalam Pakatan Rakyat dan tiada siapa yang menjadi raja ataupun dianggap genius? Semua pemimpin di dalam Pakatan Rakyat mendapat ruang dan kedudukan yang sama rata.

Perhatikan program Himpunan Kebangkitan Rakyat ketiga-tiga pemimpin utama mereka akan bersama dan duduk sepentas. Abdul Hadi Awang, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang sering kali bersama. Begitu juga dengan timbalan masing-masing, Mohamad Sabu, Mohamed Azmin Ali dan Lim Guan Eng juga bersama.

Begitu juga dengan naib-naib presiden, Sallahuiddin Ayub, Mahfuz Omar, Nurul Izzah, Tian Chua, Tan Seng Geok duduk sekali dan sepentas berceramah dan berkempen untuk Pakatan Rakyat. Tdak ada protokol di dalam Pakatan Rakyat, seperti mana di dalam UBN. Situasi begitu jarang sekali dilihat dalam BN.

Begitu juga dengan pemimpin pemuda, Anthony Loke, Shamsul Iskandar Md Akin sering kali duduk bersama, kecuali ketua pemuda Pas yang bergerak dengan caranya sendiri kerana mereka tinggi merit Islamiknya. Anak-anak muda penggerak Ngo seperti Mazlan Aliman (Anak), BadruHisaham (SAMM), Ngo Lynas dan lain-lain juga bergerak serentak dan sederap, berbeza dengan anak-anak muda Ngo yang menyokong Umno dan BN yang membuat kenyataan di studio tv no 3 dan sebagainya.

Apa yang berlaku dan dilakukan Najib itu sya rasa tidak begitu bagus buat BN. Rakyat akan melihat hanya Najib bercakap atau pun menguasai dan monopoli keadaan dan ruang yang ada. Cara Najib tampil dan diberi ruang menunjukkan dia seorang diktator dan menggunakan kuasa veto.

Orang-orang seperti Zahid, Mustapa Mohamed, Ahmad Said, Khairy, atau Saifuddin Abdullah, Khalid Nordin, Md Alwi Che Ahmad, Awang Adek Hussein dan lain-lain juga mahu berkempen untuk diri mereka. Mereka juga mahu menang. Mereka juga teringin ruang dan peluang itu. Tetapi nampaknya mereka dinafikan ataupun tidak dilayan secukupnya. Kalau pemimpin sendiri dinafikan hak dan keinginannya disekat apalah yang boleh diharapkan rakyat?

Tidak ada guna bagi BN dan Umno kalau hanya Najib yang menang besar sampai 10,000 majoriti tetapi orang lain semuanya kalah. Justeru bagilah juga ruang dan peluang kepada pemimpin lain untuk muncul di tv, setidak-tidaknya menampakkan didalam Umno dan BN kesemua tokoh mereka sepakat sehati dan sejiwa. Dengan persembahan yang dibuat sekarang ini orang hanya melihat dan merasakan hanya Najib saja yang serius manakala orang lain semacam endak tidak endah saja.

Persepsi buruk begitu boleh timbul. Orang akan menganggap pemimpin lain sudah tidak bersemangat kerana mereka sudah dapat menghidu bau kekalahan sudah merata di bawah sana. Justeru selepas ini hendaknya media massa PB turut sama memberi ruang kepada pemimpin Umno dan Melayu lain untuk muncul dan mengemukakan idea di tv kerana orang lain juga ingin mendengar apakah wawasan mereka. Dengan hanya konsentrasi kepada Najib ia boleh memburukkan reputasi perdana menteri tersebut [wm.kl.10:45 am 10/12/12]

2 comments:

  1. Posting Terbaik...Suara Akar Umbi...Hee

    ReplyDelete
  2. atau ini arahan sulit RM mahukan semua media fokuskan suaminya sahaja?

    ReplyDelete