Tuesday, May 28, 2013

Tiada Pertandingan Dalam Umno Tahun Ini?

DIALOG PAGI                                                                                                                 

Semalam bekas seorang menteri Umno menelefon saya. Sudah lama bekas menteri ini tidak menghubungi saya. Sebelum ini kerap juga menghubungi saya dan kami bertemu di Bangsar untuk minum tea tarik dan sambil berbual fasal politik tanah air.

Kerana lama tidak menghubungi saya dia agak 'semen' sedikit. (Semen ialah malu-malu). Al maklumlah lama tidak bersembang. Satu masa saya pernah mengkritik teruk bekas menteri ini sehinggakan dia terasa hati dengan saya dan mengambil tindakan undang-undang.  Saya bukan seorang yang apolegetik mengenai sesuatu kebenaran. Saya akan kata (kritik) sesiapa juga hatta kawan baik.

Saya melayan panggilan semalam semesranya untuk menghilangkan rasa semen itu. Itulah yang kita perlu lakukan bila seseorang yang telah lama tidak menghubungi kita. Cuba tunjukkan kita masih seperti dulu dan menerimanya seperti tidak ada apa-apa. Itulah cara untuk menghubungi semula ukhwah agama.

Mauduk dia menghubungi saya hanya satu hal saja, untuk mengetahui apakah berlaku perlawanan di dalam Umno. Dia mahu tahu apakah Muhyiddin Yassin akan cabar Najib Razak untuk jawatan Presiden Umno. Itu sahaja. Bagi orang politik seperti dia yang kini saya lihat banyak menjadi pemerhati dan menulis, perkara itu penting. Ia boleh dijadikan bahan tulisan.

Saya memberi pandangan mengikut apa yang sara fikirkan ke atas persoalan bekas menteri itu. Bagi saya Umno akan cuba elakkan berlaku perlawanan untuk jawatan penting dalam perhimpunan akhir tahun ini. Najib Razak akan berusaha untuk memastikan kedudukannya tidak dicabar. Dalam erti kata lain pendekatan kompromi untuk semua jawatan akan dilakukan.

Najib akan menjadikan 'kekalahan' Umno sebagai alasan untuk tidak bertanding di antara satu sama lain. Dan ahli Umno juga faham mengenai kedudukan Umno hari ini sebagai parti tunggak kepada BN. Walaupun Umno masih boleh berbangga dengan prestasinya tidak berubah, tetapi kubu kerajaanya semakin hari semakin menipis. Kekalautan di dalam Umno boleh menyebabkan kubu BN akan romboh dan UBN akan hilang kerajaan.

Kebangkitan dan kemarahan orang Cina kepada Umno juga menjadikan penyebab kenapa pertandingan tidak akan berlaku. Saya percaya orang Umno yang mengidam untuk memegang jawatan akan insaf dan mereka akan berpadu bagi mengukuhkan Umno.

"Oh you fikir tidak akan ada perebutan jawatan?" tanya bekas menteri itu sambil menyambung dengan bertanya macam mana dengan Mahathir Mohamad.

Saya menjawab Mahathir akan menghentikan sekejap kerja-kerja jahatnya menghasut orang akan membuat kacau dalam Umno, di sini untuk mencabar Najib. Apa yang dilakukan kepada Abdullah Ahmad Badawi dulu tidak akan dilakukan kepada Najib. Mahathir akan mengurangkan tuntutan peribadinya kali ini.

Mudah saja alasannya kenapa Mahathir akan mendiamkan diri, kerana hajatnya untuk meletakkan anaknya Mukriz sebagai Menteri Besar Kedah sudah pun tercapai. Mahathir juga akan berfikir masakan dia akan mendapat dua kejayaan dalam satu malam.

Hajat ini saya lihat cukup senang dicapai Mahathir. Mahathir tahu dia perlu rihat seketika untuk terus membuat kacau. Dia perlu membina anaknya menjadi MB Kedah dan menggunakan pengaruh MB Kedah untuk memperkuatkan kedudukan peribadinya bagi persiapan mencuba jawatan lebih tinggi dua tiga tahun mendatang.

Saya mengira Mukhriz tidak akan bertanding dan dia akan berpuas hati dengan jawatan MT yang akan diperolehi secara automatik selaku MB Kedah. Atau kalau pun dia bertanding tidak untuk jawatan Ketua Pemuda sebagai menebus kekalahannya ditangan Khairy Jamaluddin. Untuk jawatan Naib Presiden belum masa lagi, sudah pasti Mahathir menaihati anak jantanya itu tunggu tiga tahu akan datang. Umum sudah tahun enjen politik Mukhriz ialah Mahathir.

Tiga tahun akan datang (2016) sudah tentu Mukriz akan melonjak ke kerusi Naib Presiden dan jika menang dia akan terus mencuba ke jawatan timbalan presiden sebagai persiapan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Kejayaan UBN dalam pilihan ke-14 kelak sangat menentukan nasib dan masa depan Mukhriz sama ada sempat menjadi TPM atau pun tidak. Dan ingat cita-cita akhir Mahathir ialah untuk melihat anaknya angkat sumpah sebagai perdana menteri.

Tampaknya bekas menteri berkenaan bersetuju dengan pandangan saya itu.

Bagaimana pun bila bercakap fasal pertandingan di dalam Umno, untuk jawatan Naib Presiden ia tidak dapat dielakkan. Kedudukan tiga naib presiden sekarang ini, Ahmad Zahid Hamidi, Shafei Afdal dan Hishamuddin Hussein tidak begitu selamat. Rasanya tidak ada kompromi untuk jawatan ini.

Bekas-bekas calon sebelum ini atau tokoh yang pernah mencuba seperti Khalid Nordin, Mustaspa Mohamed akan mencuba untuk menduduki salah satu dari kerusi nombor tiga itu. Ada pun bekas calon seperti Abdul Ghani Othman dan bekas calon yang dipaksa tarik diri untuk jawatan timbalan presiden, Ali Rustam tidak akan menawar diri untuk apa-apa jawatan ekoran kekalahan mereka dalam pilihan raya lalu.

Dalam perebutan jawatan Naib Presiden ini sudah tentu orang seperti Muhyiddin akan menunjuk seseorang untuk menjadi calon popular dengan harapan kedudukan Zahid akan tersingkir. Zahid perlu menyedari perkara ini di mana kedudukannya buntuk kerusi Naib Presiden sangat bahaya berbanding dengan Hishamuddin dan Shafei Afdal. Hishamuddin dan Shafei Afdal bukan calon untuk timbalan presiden bagi mencabar Muhyiddin di masa akan datang.

Menyimpulkan persoalan bekas menteri itu saya menegaskan tidak ada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden. Begitu juga untuk jawatan ketua pemuda. Dengan perlantikan Khairy sebagai menteri ia merupakan isyarat jelas dari Najib yang mahukan Khairy kekal sebagai ketua pemuda.  Lagipun belum sampai sebulan menjadi menteri, Khairy sudah mula menunjukkan 'kebisaan'nya sebagai menteri belia dan suka. [wm.kl.9:08 am 28/05/13]


No comments:

Post a Comment