Saturday, June 8, 2013

Cadangan Bekas Hakim Bawa Kita ke Zaman Tombak dan Lembing

RENCANA SABTU                                                                           

Semua orang boleh bercakap dan rasa mahu bercakap mengikut naluri dan kepentingan diri masing-masing. Itulah kebebasan, dan kemahuan itu menandakan mereka hidup. Kebebasan ini bukan saja dibenarkan oleh sistem demokrasi, tetapi Islam sangat mementingkan dan adil dalam memberi hak dan kebebasan bersuara. Sebab itu Islam itu syumul.

Tuhan menyuruh kita membaca dengan seruan dalam surah Iqrak, adalah menjadi simbol kebebasan kepada kita untuk menimba ilmu seberapa banyak kemudian bercakap (sebar dan guna) ilmu berkenaan untuk kepentingan manusia dan dunia.

Pun begitu ia tetap ada batas-batasnya. Macam demokrasi juga, walaupun ia bebas tetapi tetap tertakluk kepada undang-undang dan naluri manusia. Demokrasi mengalu-alukan kebaikan dan kemuliaan. Begitu juga dengan agama, semua agama mahukan kepada kebaikan dan kemuliaan. Bahkan lebih-lebih lagi tekanan mengenainya. Sekatan atau kawalan dikenakan oleh demokrasi atau agama dengan tujuan satu, untuk kebaikan dan kemuliaan. Selain dari tujuan itu ia bukan kebenaran sebaliknya kejahatan.

Saya ingin menyinggung mengenai kebebasan bersuara dan ruang memberi pendapat yang digunakan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah yang mencadangkan supaya satu akta khas untuk menghukum mereka yang menderhaka kepada raja atau sultan digubal. Katanya walaupun sudah ada akta Hasutan 1948 yang mengenakan hukuman ke atas sesiapa yang melakukan penderhakaan kepada raja atau sultan tetapi itu tidak mencukupi. Akta itu ikhaskan kepada kesalahan-kesalahan lain.

(Mungkin dalam konteks ini Mohd Noor ada tafsiran lain mengenai penderhakaan? Elok dan molek kalau beliau menghurai dan mentafsirkan bentuk penderhakaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada negara dan sesuai dengan perintah Allah itu agar rakyat tidak kabur mengenainya).

Makanya satu akta baru, Akta Derhaka perlu digubal. Saya sependapat dengan pandang balas oleh Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli yang menganggap kewujudan akta derhaka itu akan memberi impak negatif kepada negara termasuk dicap sebagai ekstrem. Pandangan Rafizi boleh dianggap sebagai pandangan anak muda atau generasi baru yang melihat dunia hari ini dengan mata bukannya ilusi atau impian serta pendodoian melampau. Sudah pasti akta berkenaan menjadikan kita surut ke belakang seperti lebih 400 abad lalu.

Dahulu kala rakyat jelata begitu takut untuk berhadapan dengan raja hatta untuk menyampai sesuatu yang baik kepada baginda. Ini berlaku kerana adat-adat berhubung atau pun 'kebudayaan beraja' itu begitu tinggi yang ditafsirkan secara kolot dan feudal. Hatta untuk memberi tahu buah nangka baginda sudah masak dan kalau tidak dikait akan busuk pun begitu susah dan memerlukan peraturan dan adat istiadat ketat, mungkin kena angkat sembah.

Jangan cakaplah soal-soal yang lebih kritikal dari itu. Sejarah atau mitos lampau banyak menceritakan bagaimana raja sebagai raja melakukan apa yang diingini mengikut kehendak hati dan nalurinya. Kenapa wujud bidalan 'raja bersultan di mata dan beraja di hati'. Ini kerana raja-raja zaman dulu melakukan tindakan dan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa yang adil dan saksama. Ia kerana raja bersandarkan kepada laporan para penasihat saja. Yang lebih malang bila ada penasihat yang berhati busuk dengki dan khianati.

Maka terjadilah hukuman dikenakan kepada mereka atau individu yang tidak benar-benar bersalah atau dalam erti kata lain tidak melakukan jenayah kepada rakyat dan negara. Manajala yang benar-benar jahat dan khianat lepas atau pun terus berlindung dalam 'genak' istana.

Saya bimbang kalau akta derhaka yang dicadangkan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu dilaksanakan, kehidupan kita akan kembali ke zaman gelap dan zalim itu semula. Akta itu menyebabkan rakyat akan melihat raja atau institusi raja itu tidak akan dapat ditegur dan dikritik langsung bimbang ia ditafsirkan sebagai penderhaka. Rakyat juga dalam ketakutan dan bersifat rendah diri tanpa sebab munasabah. Rakyat akan hilang haknya sebagai hamba Allah.

Al hasilnya raja atau institusi raja akan terus menjadi raja dan kebebasan yang diperjuangkan rakyat selama ini akan berkubur.

Apa yang telah dirombak oleh Mahathir Mohamad lebih 20 tahun lalu yang mengurangkan imuniti raja-raja sesuatu yang sudah molek dan betul. Proses evolusi itu melengkapkan institusi raja dengan demokrasi (rakyat). Raja-raja juga tidak bermasalah dengan proses itu dan baginda dapat bertahkhta dengan aman dan selamatnya. Keris dan tengkolok mereka tidak lurus dan berkarat. Kedudukan dan kedaulatan raja-raja tidak pernah tercalar pun.

Jadi apakah kerana ada sedikit kebebasan bersuara menerusi media baru dilakukan oleh mereka yang jahil mengenai instutusi raja maka sebuah akta hendak dibuat? Inilah yang saya nampak di Malaysia, kita akan menyelesaikan sesuatu itu dengan akta dan undang-undang tanpa memilih jalan lain. Walhal dalam kronologi kehidupan Islam, selain dari menghukum manusia untuk memberi pencerahan dan keinsafan dianjurkan melakukan metode menerusi tarbiyah, pendidikan.

Bagi saya daripada kita menggubal akta yang membawa kita ke zaman lembing dan tombak elok kita perkasakan kembali pendidikan Tata Rakyat yang pernah diamalkan sebelum ini. Pendidikan itu juga perlu diubat dengan pendekatan lebih fleksible dan autentik, bukannya dari satu arah, supaya rakyat mentaati rakyat tanpa memberi tahu falsafah dan penghuraian kenapa harus berbuat begitu. Subjek itu juga harus berani juga memberi tahu apa yang harus raja dan sultan lakukan.

Majoriti rakyat negara ini Islam dan bekas hakim itu juga Islam. Kenapa tidak mahu mengambil metodolgi Islam dalam membentuk pemikiran dan jiwa rakyat di negara ini? Apakah kita tidak yakin dengan Islam? Kalau kita tidak yakin, untuk apa kita berpegang kepadanya. Islam bukan saja untuk menjadikan kita manusia berpuasa, solat, berzakat, naik haji dan sebagainya, tetapi Islam adalah untuk dipraktikan ke dalam seluruh kehidupan kita dari masa jaga hingga ke masa tidur. Sebab Islam itu memikirkan mengenai mati dan hidup manusia.

Jadi bagi mendidikan rakyat negara ini agar tidak menderhaka kepada raja bagilah maklumat dan pendidikan Islam kepada mereka, dan jangan lupa juga raja-raja kita perlu dilengkap dengan ilmu Islam sedalam mungkin. Bahkan mereka lagi sesuai dipenuhi dengan ilmu Islam kerana raja atau sultan ada kepala agama di negara ini. Tidak ada erti kalau kepala tanpa ilmu. Kalau raja-raja kita berdiri atas takhta sebagai 'amirrumukmini' kita semua akan selamat.

Kesimpulannya jangan kita mudah menerima cadangan oleh bekas hakim berkenaan yang bagi saya sudah gelap pintu fikirnya dan apa yang beliau nampak hanya pintu penjara saja, kerana dia sebagai hakim yang mahu mengambil jalan mudah, penjara saja orang salah habis cerita. Seperkara lagi bukan semua pandangan hakim itu benar dan betul, kadang-kadang hakim juga terkhilaf. [wm.kl.10:34 am 08/06/13]

3 comments:

  1. Salam tuan MSO,

    Pandangan yg terbaik drpd tuan...keep it up...kami sebagai penjenguk blog sentiasa menyokong tuan...

    ReplyDelete
  2. Sy jugak x stuju ttg akta derhaka tu.

    ReplyDelete
  3. negara kita kecil, raja kita ramai. tak termasuk lagi separa-raja Yg diPertua Negeri. Jepun yg penduduk ramai pun ada satu Raja saja. thailand pun sama-satu raja.

    ReplyDelete