Menyambung kembali catatan perjalanan, menjejak sejarah perjuangan Rejimen Ke-10 Komunis Melayu di perkampungan Perdamaian di Chulabhorn Pattana 12, Shukirin Weang Tahiland. Dalam tiga catatan lalu saya tidak menceritakan secara khusus pertemuan saya dengan mana-mana tokoh besar Rejemin Ke-10 atau pejuang rakyat itu. Mungkin ada berminat ingin mengetahui dan tertanya-tanya sesiapa lagi yang masih ada dan tinggal di sana.
Saya disambut Pak Lah dimuka pintu rumahnya. |
Pastinya lebih penting mendengar sendiri mengenai matlamat atau sebab musabah kenapa beliau 'berundur' ke hutan secara berfakta mulai tahun 1945 selepas Akta Darurat dikuatkuasakan. Selain itu dapat mendengar kisah sukadukanya selama lebih 40 tahun berkelana-juang juang di dalam hutan belantara dengan satu tujuan menghalau penjajah British dan memerdekakan Malaya.
Kalau selama ini kisah atau ceteria mengenai Abdullah CD hanya diketahui menerusi pembacaan buku-buku sejarah yang dikarang dari berbagai versi yang sedikit pun tidak memihak atau simpati dengan perjuangan Rejemin Ke-10, bahkan tidak sedikit pun diceritakan didalam buku itu kenapa dan mengapa pasukan komunis Melayu itu ditubuh, tetapi dengan berjumpa, berjabat salam berpelukan kemudian mendengar tutur cerita darinya banyak pemesongan dapat dibetulkan.
Itulah manfaat yang saya perolehi daripada tuan punya Rejimen ke-10 itu. Hari ini Abdullah CD, lebih mesra dipanggil Pak Lah masih sihat dan mampu mengingati detik-detik penting dalam sejarah perjuangannya. Beliau boleh mengenang dengan baik walaupun menghadapi masalah kelancaran percakapan. Adakalanya beliau terpaksa mengulangi cerita sampai dua tiga kali dan sedikit sukar menangkap apa yang kita maksudkan.
Bersama ibu Nurkiah, penglihatannya sudah sirna. |
Mungkin tidak perlu bagi saya menyatakan kehebatan beliau atau mengisahkan semula kisah hidupnya dari alam remaja hingga ke saat perdamaian perjuangan bersenjata dimeteraikan 1989. Sememangnya beliau seorang yang hebat dan mempunyai jiwa juang yang kental, sekeras teras merbau atau sekuat batu-batu gunung. Pak Lah manusia yang penuh bersemangat dan yakin. Beliau boleh ditegakkan berdiri sama gagah dan hebat dengan perjuang kemerdekaan versi British seperti Sardon Jubir, Tun Dr Ismail, Abdul Ghafar Baba dan lain-lain dari versi Umno. Manakala kehebatannya sama dengan Dr Burhanuddin Helmy, Ibrahim Yaacob, Rashid Maidin, Ahmad Beostaman dan lain-lain.
Pak Lah seorang yang berhemah dan peramah. Berbudi tinggi penuh berdisiplin. Dia juga seorang yang segak. Suka ketawa. Sepajang dia bercerita dia akan ketawa ini menandakan beliau seorang yang tidak mudah gunda dan senantiasa istiqmah. Sebaik saya bersama beberapa rakan menampak ke rumahnya yang jaraknya kira-kira 100 meter dari masjid, Perkampungan Perdamaian, beliau sudah tersembur di muka pintu sambil melewa-lewa tangan mengajak masuk. Seorang demi seorang yang melangkah masuk ke rumahnya dipeluk dan didakap kemas bagaikan saudaranya sendiri. Semua tetamu yang muda diterima sebagai anak dan sahabatnya, kawan.
Pemandangan di dalam rumahnya menunjukkan Pak Lah seorang kolektor yang baik. Setiap ruang dirumahnya dipenuhi dengan gambar-gambar tempo lama aktiviti perjuangannya didalam hutan dan disepanjang berkelana di dalam hutan. Gambar paling menyayukan ialah gambar beliau bersama dengan Allahyarham isterinya Suriani Abdullah. Lagak gambar dan posing bersama Suriani menunjukkan Pak Lah juga seorang yang romantik dan penuh nostalgik.
Benarlah ada rahmat Tuhan memanjangkan usia beliau. Hari ini hanya beliau seorang saja lagi tokoh Rejimen Ke-10 yang masih hidup yang sudah menjejak ke angka 99 tahun. Yang lain semuanya telah dijemput Allah kembali membawa sejarah ada yang sempat menyaksikan perbetulan sejarah diri dan ada yang tidak. Antara tokoh-tokoh besar PKM Melayu atau Rejemin ke-10 yang sudah kembali ialah; Abdullah Sudin (1925 - 199), Kamaruzaman Teh (1920 - 2002), Rashid Maidin (1917 - 2006), Shamsiah Fakeh (1924 - 2008), Ibrahim Chik.
Abu Samah Mohd Kassim dan paling baru Suriani Abdullah isteri Pak Lah yang kembali ke Rahmatullah kira-kira empat bulan lalu.
Kebanyakan para pejuang rakyat - Perjuang Pembebasan Rakyat Malay yang mereka kenali, sebaya dengan Pak Lah sudah tiada. Hanya berapa kerat sahaja yang masih hidup dan menghabiskan sisa-sisa hidup di perkampungan perdamaian itu. Mereka ini adalah anggota Rejimen kanan yang mengetahui beberbagai unit dalam pasukan.
Antara mereka yang masih ada Mamat (Liu Chin Sun), Hatta (Yakob Awang), Waiming (Hassan Sulaiman), Asmat, Shukur dan lan-lain.
Manakala dari kalangan pejuang wanita yang dikira tokoh atau atau pemimpin ketua unit yang masih ada, Siti Nurkiah Mahmod atau Minah. Rakan-rakan pejuang atau tokoh wanita lain sudah tiada. Bagaimana pun pejuang wanita sebagai anggota dan pembantu biasa masih ada. Kebanyakannya sudah berumur.
Keadaan Siti Nurkiah yang juga merupakan isteri Abu Samah Mohd Kasim tidak berapa sihat dan keuzuran. Beliau kini sudah hilang penglihatannya sejak beberapa tahun lalu. Namun ingatannya masih baik dapat menyebut setiap detik peristiwa penting dalam sejarah PKM lebih 40 tahun.
Dasar seorang pejuang yang hebat dan berani walaupun keuzuran Nurkiah yang mesra dipanggil 'mak' di kalangan penduduk kampung perdamaian itu masih melangkah sendiri. Beliau tidak menggunakan tongkat untuk berjalan sebaliknya menggunakan sebuah kerusi sebagai 'pembantunya' untuk bergerak di dalam rumah. Beliau kini banyak berkurang di dalam rumah, jarang keluar.
Mat Amin atau Bulat 'duta' kampung perdamaian. |
Saya terkedu dan sebak apabila Nurkiah menceritakan yang Allahyarham Aishah Ghani pernah berjanji dengannya tidak akan kahwin selagi Malaya tidak merdeka. "Dia berjanji dengan saya, katanya dia tidak akan kahwin selagi Malaya tidak merdeka. Tetapi... janji itu dimungkiri... apabila dia berjumpa dengan suaminya (Aziz) dia terus meninggalkan medan juang.."
"Jadi selepas dia tinggalkan Awas itulah maka saya terpaksa mengambil-alihnya sebagai ketua," tutur Nukiah sambil tunduk kemudian mengangkat muka melepaskan pandangannya yang kini sudah tertutup. Beberapa jurus dia mengelalapkan matanya dengan kelubung putih yang sudah lusuh. Melihat itu saya dapat membayangkan yang wanita bertubuh kecil keturunan India Muslim asal Kerachi, Pakistan ini sedang mengenangkan jejak-jejak yang pernah ditinggalkan.
Saya tidak mampu untuk berbicara panjang dengan Nurkiah kerana tidak dapat menahan sebak. Hati saya diruntun kepiluan apabila mendengar tutur dan melihat matanya terkebil-kebil kekosongan. Melihatnya saya terkenang rupa dan wajah ibu saya. Betapa dalam saat usia sebegitu dia memerlukan bantuan, dikasihi dan orang yang menjaga kebutuan hidupnya. Tetapi apa boleh buat itulah sunnah orang berjuang tangis dan duka terpaksa diratah dan peluk sendiri. Khabarnya beliau tiada anak perkahwinannya dengan Abu Samah, beliau kini dijaga oleh salah seorang anak angkatnya yang juga anggota Rejimen ke-10.
Iya, itulah dua orang tokoh atau orang hadapan dalam Rejimen Ke-10 yang masih ada dan tinggal di perkampungan perdamaian yang terpencil di Shukirin. Merekalah tempat yang boleh kita mendapatkan maklumat untuk memperbetul atau menambahkan rencah ramu sejarah perjuangan bangsa. Selagi mereka masih ada dan masih mampu bersuara, sangat elok kita mendampingi mereka bagi mengetahui kisah sebenar dari mulut orang yang menjadi sejarah. Pengenalan mengenai mereka boleh ditemui di dalam memoir masing-masing yang sudah beberapa tahun lalu sudah beredar di pasaran. Sama-sama kita berdoa semoga Allah terus mensejahtrakan mereka berdua dan yang lain juga.
Sepanjang kunjungan saya (dua kali) ke perkampungan Shukrini saya merakam terima kasih banyak kepada saudara Mat Amin, atau dalam Rejemin Ke-10 dikenali dengan nama Bulat. Beliaulah banyak membantu dan saya mengira beliualah juga menjadi 'duta' Rejemin Ke-10 dengan dunia luar. Saya kira Mat Aminlah pejuangan pertengahan yang menyertai Rejemin Ke-10 yang mampu bercerita fasal falsafah dan juga apa itu Komunis Melayu.
Tidak lupa juga saya merakam terima kasih banyak kepada Marimas puteri sulung dan tunggal Pak Lah bersama Suriani yang melayani saya dan rakan-rakan lain. Suriani bolehlah dianggap sebagawai ketua Awas pascara perdamaian. Kerajinan, keramahan dan peribadinya terus terserlah yang dia adalah anak pejuang besar yang mewarisi syaksiahnya. Wassalam. [wm.kl.7:00 am 05/08/13]
Salam tuan,
ReplyDeleteTahniah di atas inisiatif menjejaki sejarah ini... membacanya seolah2 berada dalam satu epic 'lost horizon'... saya cadangkan tuan membukukan kisah ini sebagai satu sumbangan kpd sejarah perjuangan bangsa...
Salam tuan,saya juga amat setuju jika tuan membukukan kisah ini.amat teruja untuk mendengar kisah-kisah versi pejuang bangsa yang berhaluan kiri suatu ketika dahulu..saya pasti ramai yang ingin mengetahui..
ReplyDeleteSalam Tuan, Tahniah dengan kunjungan rombongan tuan menjejak pejuang-pejuang terdahulu yang hampir dilupai. Saya juga masih gagal berkunjung ketempat tersebut walaupun ada ungangan dan keperluan kerana pertaliah darah dengan tokoh wanita tersebut. Teruskanlah penulisan dan membukukan kisah-kisah pejuang-pejuang supaya tidak dilupai oleh generasi akan datang terutama generasi keluarga saya
ReplyDelete