Semalam saya pulang ke Kelantan untuk ziarah ibu dan kebetulan semalam juga hari penamaan calon dalam pemilihan pemimpin (pilihan raya) Umno. Di Kelantan juga semalam berlangsung mesyuarat Pas di beberapa kawasan. Meriah sungguh hari penamaan calon (pilihan raya Umno) semalam. Suasana politik yang sudah tenang selepas berlalunya pilihan raya umum ke-13 kembali menjadi panas dan hangat sedikit ekoran pemilihan itu.
Wan Harinawati mahu berkhidmat. |
Di Kelantan seperti mana diramalkan semua bahagian Umno berlaku bertandingan melibatkan perebutan ketua bahagian. Tolak Jeli dan Ketereh saja yang lain semua berlaku perebutan disemua peringkat jawatan. Paling hangat ialah di Pasir Mas dan Rantau Panjang bila mana empat atau lima orang menyerah borang pencalonan untuk merebut jawatan ketua bahagian.
Di Pasir Mas, kedudukan ketua bahagian sekarang Hanafi Mamat dicabar oleh, Azmi Alwi, Zakaria Hassan, (Ya Janggut) Fauzi Mohamad dan ketua pemuda bernama Najib. Di Rantau Panjang pula berlaku pertandingan lima penjuru antara Abdullah Mat Yassin, Mohd Zain Ismail, Shaari Hussein dan dua lagi tidak jelas nama mereka. Khabarnya seorang guru sekolah rendah ikut sama ada hati untuk menjadi ketua Umno.
Semua jawatan penting dikedua-dua kawasan itu juga menjadi rebutan. Di Pasir Mas, selain ketua, jawatan timbalan ketua, naib ketua, ketua wanita, pemuda dan puteri dipertandingkan. Menyebut mengenai Pasir Mas sesuatu agak menarik bila mana seorang guru berijazah dalam biadang sains (biografi) Wan Hairnawati Wan Daud turut menawarkan diri untuk merebut jawatan ketua puteri.
Beliau akan mencabar ketua sekarang ini Yusmaisamira Hashim yang juga kerani di pejabat Umno Pasir Mas. Seorang lagi calon khabarnya telah menarik diri. Kemunculan guru graduan ini bakal membawa dimensi baru kepada puteri di Pasir Mas.
Saya ketemui calon puteri ini semasa minum di sebuah warung di Pasir Mas. Dia baru sahaja menyerahkan borang untuk bertanding. Bila ditanya kenapa dia minat dengan Umno dan mahu memimpin Puteri, jawabnya dia ada agenda tersendiri. "Saya ada rancagan tersendiri untuk membawa puteri Umno agar gerakan lebih bermakan dalam kontes untuk membangun anak-anak muda di luar bandar," begitulah ujarnya.
"Saya hendak berkhidmat kepada masyarakat selain menerusi bidang pendidikan akan saya cuba perluaskan dalam politik pula," katanya bersemangat. Ditanya apakah dia bercita-cita untuk menjadi ahli politik, guru ini menjawab beliau baru belajar dan insya-Allah akan mendalaminya dengan harapan kemenangan sebagai ketua puteri akan memberi kesempatan baik untuk memberi khidmat bakti.
Semalam juga turut berlangsung mesyuarat beberapa kawasan Pas. Dua kawasan yang menjadi perhatian ialah Ketereh dan Pasir Puteh kerana ketua dan timbalan ketua Yang di Pertua Pas kawasan itu menjadi rebutan.
Di Ketereh Wan Ismail Wan Jusoh dicabar oleh Ariffin Mahmod manakala di Pasir Puteh Yuganus Yunus dicabar oleh wakil rakyat Gaal, Tuan Mazlan yang baru menang dalam pilihan raya lalu. Ariffin bagaimana pun gagal merebahkan Wan Ismail manakala Yuganus berjaya mengekalkan kedudukannya walaupun dicabar hebat.
Pasir Puteh bolehlah dianggap kawasan Pas yang paling panas di Kelantan bila mana dua kumpulan bertembung untuk menafikan di antara satu sama lain. Kumpulan kerajaan (penyandang) khabarnya bermati-matian berkempen untuk menumbangkan kumpulan pencabar. Semangat ukhwah yang sepatutnya wujud dalam Pas Pasir Puteh telah dilanda begitu sahaja.
Mesyuarat Pas kawasan Pasir Puteh dirasmikan oleh Mujahid Yusuf Rawa. [wm.kl.6:33 pm 22/09/13]
Khabarnya seorang guru sekolah rendah ikut sama ada hati untuk menjadi ketua umno...statement ini semacam merendah2kan guru sekolah rendah jer tuan.... Harap tidak begitu. Sbb politik umno dulu, banyak bermula drpd yang kerjaya guru. Namun sya harap guru yg bertanding kena amal etika keguruannya. Bukan untuk kesempatan mencari peluang kekayaan sebab sekarang ini, timbul anggapan, politik adalah lubuk kekuasaan untuk kekayaan.
ReplyDelete