Friday, February 28, 2014

Harap Khalid tidak jadi seperti Mohamad Nasir

GAMBARAN JUMAAT                                                                    

Apa yang menjadi kebimbangan saya diawal-awal berhubung pelan perubahan MB Selangor menerusi projek Kajang Move nampaknya sedang membunga. Walaupun cuaca negara dan Selangor kering berapi, tetapi bunga-bunga kebimbangan itu sedang mengembang bagaikan hendak berputik.

Perhatikan Najib dan Muhyiddin tersenyum lebih.
Saya mengatakan tindakan PKR melakukan pelan berkenaan berisiko tinggi, dan satu tindakan yang berani. Rujuk: http://msomelayu.blogspot.com/2014/01/kaedah-singkir-khalid-yang-berisiko.html Keberanian itu mungkin, kerana keadaan sudah terdesak dan sedang parah. Pakar politik dan berjois dalam PKR melihat apa yang sedang bergelora di bawah kerajaan yang dipimpin oleh Abdul Khalid Ibrahim membimbangkan?

Dan perkembangan hari ini berasaskan kebimbangan saya itu, meyerlahkan bukan mudah untuk Anwar dinobat menjadi MB Selangor.

Sekurang-kurangnya, beberapa syarat tertentu dilihat oleh master mind yang merancang pelan berkenaan yang meletakkan transisi itu mudah. Ini termasuk melihat kepada Perlembagaan negeri Selangor yang tidak menghalang anak luar Selangor untuk tidak boleh dilantik menjadi menteri besar. Ia juga dilihat kepada kedudukan Sultan berhubung perlantikan seseorang MB yang berada di bawah perlembagaan, dimana sultan hanya diminta memberi perkenan.


Sultan tidak boleh langsung menentukan sesiapa, melainkan menerima petunjuk dari parti politik yang menguasai DUN Selangor. Itu kehendak perlembagaan. Jadi pelan itu tidak akan terhalang. Begitulah yang disuluh, tetapi menerusi konvensyen tidak begitu.

Maka ia tidak boleh dipandang remeh peranan sutlan dalam hal sepenting ini (perlantikan MB) dan selalu terjadi. Apa yang berlaku di Terengganu dan Perlis, sebelum ini di Pahang, dan juga Kelantan menunjukkan sultan 'ada kuasa' mutlak. Dari segi budaya dan tradisi sultan masih berada di atas Perlembagaan. Di sinilah wujud konflit di antara kuasa perlembagaan dengan adat tradisi.

Atas alasan itu, saya katakan proses transisi ia bukan mudah. Kesukaran ini pula ditambah dengan situasi bila mana, kedudukan PKR di Selangor tidak kuat dan tidak memperolehi majoriti. PKR hanya ada 14 kerusi saja dimana kalau dicampur dengan DAP 15 menjadi 29 kerusi. Jumlah kerusi itu tidak kuat sekiranya Pas enggan memberi kerjasama atas terperasaan mereka juga berhak atau terliur kerusi berkenaan.

Sekiranya Pas mungkir persepakatan, Pas bergabung dengan Umno, kedudukan kerusi jadi 28 - 29 atau akan jadi 28 - 28 jika Khalid tiba-tiba melayang kepada Umno-Pas. Dengan kedudukan ini ia menimbulkan masalah dan mungkin klimesknya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor. Kalau ini terjadi maka khiamatlah dunia politik kita.

Kemungkinan ini tidak tidak mustahil. Pas bukan rakan yang mutlak baik kepada PKR atau Anwar dalam hal ini. Saya mengatakan ini berdasarkan kepada apa yang berlaku dan sudah diketahui oleh semua orang. Sekurang-kurangnya sudah dua kali Anwar hendak dikhianati oleh Pas. Tidak perlu disebut, dan orang terlibat cukup ingat.

Perlu dinyatakan tindakan begitu tidak boleh disalahkan oleh Pas.  Kalau berlaku apa yang dibimbangkan itu atau Pas sendiri ada cita-cita ke atas Selangor dan dianggap mengkhianati Anwar ia tidak boleh disalahkah. Itulah sepak terang politik dan silat politik yang perlu difahami oleh semua dan diuruskan dengan penuh licit dan tektikal. Kadang-kadang politik memerlukan daya diplomasi yang cukup tinggi. Mengatasi diplomasi Amerika dengan bekas Soviet Union.

Saya sendiri sering mengatakan, di dalam politik tidak ada kejujuran dan keikhlasan. Perjanjian di dalam politik bukan untuk disetiai tetapi untuk dimungkiri. Pas tidak salah kalau mereka juga bercita-cita besar. Salah satu tekti dan strategi politik ialah mengambil kesempatan dari keadaan yang ada. Perbuatan menikam belakang atau menangguk diair keruh, dan sebagainya adalah perkara biasa dalam politik. Ianya dihalalkan dalam politik yang juga turut diamalkan sama oleh mereka menganggapkan diri sebagai ustaz dan digolong dalam kabilah ulamak.

Hari ini apa yang terkemundang didalam kepala saya, sudah terjadi. BN sudah mula berkempen untuk mengukuhkan kedudukan Khalid. Setiap tindak tanduk Khalid dipantau dan dicari ruang untuk menyusuk dan menghasut. Langkah Kahlid menyelesaikan masalah pengurusan air Selangor dengan Pusat mendapat pujian melangit oleh wakil BN.

Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar, puji kata langkah Khalid itu bijaksana. Ketua pembangkang DUN Selangor juga kata ianya bagus. Begitu juga MCA, tumpang semangkuk memuji Khalid ikhlas demi rakyat. Mereka puji bersabab kerana ingin menangguk di air keruh. Biasalah kalau ada batang pokok condong ia akan dijadikan tempat kera bermain dan bersuka hilai. Khalid kini sudah menjadi kayu bongkok oleh sang kera.

Kenapa saya kata begitu, kerana pendekatan Khalid sebelum ini untuk membantu rakyat Selangor beri air percuma, wujud skim kemasyarakat itu dan ini, mereka tidak pernah pun puji. Bahkan semua program diperkenalkan Khalid dikritik habis-habisan. Budak-budak pro Umno pula sampai pijak kepala lembu di hadapan pejabat Khalid kerana melepaskan geram. Khalid juga digelar sebagai MB gagap?

Keadaan sudah berubah apabila Khalid menanda tangani MoU menyelesaikan masalah pengurusan air di Selangor dan membenarkan projek Langat 2 diteruskan. Bukan saja kalangan Umno haprak, tetapi Perdana Menteri, Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin sendiri ikut menebengkan diri berada di belakang majlis penandatangani Mou berkenaan? Kenapa?

Situasi yang ditunjukkan itu memberi satu tafsiran baru. Khalid juga mungkin seronok kerana idea penyelesaiannya berjaya. Tanpa dimenghitung imolikasi politik Pakatan Rakyat, Khalid bangga. Dari satu sudut penyelesaian isu pengurusan air itu memberi kemenangan kepadanya sendiri dan dari satu sudut ia berjaya mengenepikan pandangan-pandangan lain yang mahu ianya tidak diteruskan sebelum diadakan perbicangan. Apabila Langat 2 dibenarkan, kerajaan Pakatan Rakyat hilang satu 'senjata'.

Hal-hal ataupun soal tektik dan strategi beginilah yang naif bagi Khalid dan menyebabkan pentadbirannya tidak disenangi.

Apa yang boleh ditafsirkan dengan MoU itu apakah Khalid juga sudah mengkhianati Anwar? Kalau beliau iklhas dan mempunyai semangat parti dia akan tangguh sehinggakan berlaku persalinan MB Selangor. Tetapi kenapa beliau lakukan dalam keadaan dikatakan tergesa-gesa dan tempoh penmuktamadannya pendek?

Apakah Khalid sudah perlahan-lahan mengkhianati Anwar setelah dia merasakan dia dikhianati dan Anwar tidak membantunya? Umum tahu Anwar tidak ada masalah peribadi dengan Khalid. Yang bermasalah dengan Khalid ialah Mohamed Azmin Ali. Tetapi mungkin Khalid sedang dituba bahawa pelan transisi MB itu memberi muka kepada Azmin tetapi tidak kepadanya?

Adalah malang kalau ini yang sedang berlaku dan dirasai Khalid. Pelan yang dibina untuk Anwar dan menguatkan PKR dan Pakatan Rakyat serta sebagai kuasa ke Putrajaya itu boleh tembengkalai. Ia kini terletak kepada sejauh mana kejujuran dan integriti Khalid. Kalau beliau terpedaya dengan pujuk rayu pihak-pihak tertentu dan juga Umno ia boleh menghuru harakan keadaan.

Apa yang menjadi ibu kepada kebimbangan saya, dan saya yakin juga Anwar, sebelum ini mungkin akan menjadi kenyataan. Apa dimaksudkan ialah peristiwa yang berlaku di Kelantan tahun 1977 senario di sebalik kejatuhan kerajaan Pas Kelantan. Peristiwa inilah menganggu pemikiran saya dan minda pemimpin Pakatan Rakyat lain juga.

MB Mohamad Nasir yang diundi tidak percaya di DUN Kelantan tetapi enggan melepaskan jawatan. Umno telah bangkit membelanya dan menobatkan beliau sebagai hero dan tokoh yang jujur. Gara-gara itu kerajaan Kelantan menjadi tidak stabil dan tidak mempunyai MB yang dipercayai. Akhirnya berlaku huruhara dan darurat diistyharkan.

Dalam tempoh darurat itu beberapa tokoh Umno telah berunding dan mengagaskan sebuah perti politik bernama Berjasa untuk dijadikan wadah dan alat kepadanya. Mohamad Nasir menjadi presiden Berjasa. Dalam pilihan raya 1978 Berjasa bertanding, menang 11 kerusi dan bergabung dengan Umno membentuk kerajaan bersama.

Apa yang berlaku kepada Mohamad Nasir di Kelantan 1977 boleh dipraktikan di Selangor. Teori menjatuhkan Kelantan dengan memuja MB yang enggan berundur walaupun didesak parti masih relevan untuk diulang tayang semula di Selangor. Generasi muda tentu akan terpengun melihat filem ini kalau ia diulang tayang. Mereka boleh mengambil faham dan iktibar atas apa yang ada.

Khalid boleh dijadikan protoganis oleh Umno. Dia boleh diangkat menjadi wira rakyat di Selangor dan seorang MB yang jujur dan ikhlas. Dia boleh dipergunakan untuk menuimbulkan keadaan tidak tenteram di Selangor dan MAGERAN boleh diistyharkan. Apa lagi sebuah perkhabaran terlatas di telinga saya cukup membimbangkan. Kononya ada seseorang sedang mendekati Khalid dan menasihati agar tidak melepakas jawatan MB. Dan kalau Khalid dipaksa juga, orang itu menyarankan kepada Khalid agar berjuang membela diri dan rakyat kononnya.

Khalid dicadangkan tubuh parti baru atau mengambil mana-mana parti sebagai wadah perjuangannya. Parti itu kemudian hendaknya menyertai BN. Khabarnya orang itu sedang rancak mengatur strategi dan memasang jarumnya. Dia memberi jaminan akan membantu Khalid? Siapa? (Saya nak jelaskan disini dia bukan orang Pas tetapi pernah minta nak bertanding atas tikit Pas).

Kalau ini berlaku, Anwar akan menangis dan riwayat politiknya akan termusnah dalam sandiwara dicipta dan direstui olehnya sendiri bernama Kajang Move itu. Kajang Move ada dua persimpang menggeser (move) Anwar ataupun Khalid. Tetapi apa boleh dibuat  kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Kemenangan dan kuasa itu akan diperoeleh menerusi sebuah perjuangan yang tidak tahu mengenal putus asa dan menerima kekalahan. '

Hendakanya Khalid tidak menjadi Mohamad Nasir dan biarlah dikenali sebagai MB yang tidak ada parut-partu hitam ke atas batang tubuh dan tawarikh politiknya. [wm.kl.3:49 pm 28/02/14]

2 comments:

  1. Salam

    Pas dan dap dan ts khalid bagi ubn teruskan projek 12billion air terowong. Hangus duit rakyat d peringkat pusat. Hasil untung d guna utk baham selangor. Cerdik mb selangor

    ReplyDelete