Monday, January 27, 2014

Kaedah singkir Khalid yang berisiko?

RENUNGAN MALAM                                                                           

Politik Selangor khasnya sudah mulai mendidih kandati hawa Semenanjung waktu ini agak dingin. Hati para pemain utama politik negeri itu juga sudah mulai meruap kepanasan. Bekas hati yang semakin hangat kini,  ialah bekas hati Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim (foto). Usaha untuk meluncurkan beliau dari kerusi MB sudah sampai ke stage four. Sudah pasti sejak siang tadi dan membawa ke malam-malam seterusnya Khalid akan diserang 'insomnia' yang teruk.

Dalam pada itu Khalid sendiri juga sudah mula mencari tapak dan mengejapkan kedudukannya. Kilas samping dan sarungnya sedang dikejapkan. Dia tentu sudah sedia menghadapi apa saja kemungkinan. Dan tentunya dia juga sedang berfikir mengenai dirinya, tentang maruah dan kejayaanya.

Pengosongan kerusi DUN Kajang oleh Lee Chin Cheh hari ini membuka dan 'membaharkan' segala cerita. Desas desus siang tadi rupa-rupanya benar. Konsensus yang diambil oleh pimpinan PKR telah pun dilaksanakan. Lee Chin Cheh sudah pun mengutuskan surat pengosongan kerusi dan Speaker DUN Selangor juga sudah mendedahkannya. Jadi 'budu' kini sudah terdedah kepada umum. Lalat dan langau sudah berterbangan menghidu dan mencari arah.


Apa dilakukan itu seakan menjawab apa yang saya persoalkan di dalam posting sore tadi. Saya menegaskan Khalid hanya boleh diganti dengan Anwar Ibrahim menerusi pilihan raya kecil. Ertinya kalau Khalid lepas jawatan lusa, (seperti diura-urakan) Anwar tidak akan naik secara automatik, dan Selangor akan kekosongan MB sekurang-kurangnya tiga minggu.

Bermain api di Selangor

Esok katanya Anwar akan membuat pengumum penting mengenai apa yang berlaku seterusnya. Apakah beliau sendiri akan bertanding atau ada calon lain? Walaupun siapa yang akan bertanding di DUN Kajang, atas niat hendak menggantikan Khalid, keputusan diambil itu sungguh berani. Saya menyifatkan PKR amnya, dan terutamanya Anwar khususnya berani bermain dengan api politik di Selangor. Mungkin tindakan ini satu keterpaksaan yang terpaksa.

Dari segi teorinya nampak senang dan simple untuk dilakukan. Kosong kerusi, Anwar tanding menang dan kemudian angkat sumpah jadi MB. Riwayat politik Khalid Ibrahim pun berlalu begitu sahaja bagaikan kulit pisang dilontar dari atas komuter. Itulah yang difikir dan dikira. Bagi mereka yang benci Khalid mungkin sudah bertepok tangan sambil ramai-ramai menyanyikan lagu 'lenggang kangkung'.

Namun tidak begitu dalam hitung dan firasat akal politik saya. Untuk mengehelkan Khalid dari jawatan itu bukan semuda membuka kulit kacang atau menjatuhkan glass skrin kereta menerusi button automtiknya. Bagi saya menurunkan Khalid dari kerusinya tidak ubah seperti menurunkan glass skrin kereta Proton secara manual. Iya ketat, tersekat-sekat dan terhalang atau tidak akan turun terus. Maka kalau kebetulan kereta itu airconnya rosak maka orang didalamnya akan kepanasan dan 'belengah-tangah'.

Apakah PKR dan Anwar sendiri mengira hal-hal dan halangan begini. Iya, Khalid dilihat dungun dan gagap dalam politik. Tetapi kita kena ingat Khalid kini berada dalam dunia politik. Jawatan disandangnya jawatan diperolehi menerusi politik. Ia bukan jawatan lantikan seperti CEO di mana-mana GLC. Sebagai jawatan politik dan berada dalam lingkaran api politik, Khalid pasti akan ikut bermain politik dan telah memahami sepak teranjang politik.

Khalid si lembu kenyang

Dalam tilikan saya Khalid sudah pun bermain politik. Dia sudah menukarkan warna dirinya sebagai seorang eksekutif yang berjalan atas prinsip dan undang-undang, tetapi turut belajar dan pandai meniti atas dawai berkaran dalam politik. Sudah lebih lima tahun dia menjadi MB, akar rambut dan akar tunjang politiknya sudah mencekam. Kenapa saya kata begitu. Sebab kalau dia masih lurus dan gentlemen seperti semasa dia di dalam korporat sudah lama dia melepaskan jawatan MB itu secara suka rela. Sudah berbagai cara dilakukan untuk membuang dia dari situ, disindir, dihentam, perli dan sebagainya, tetapi apa yang beliau lakukan? Beliau hanya buat lembu kenyang sahaja dan terus menggupal kertas menjadi burung sambil berkata 'cubaan cubaan'.

Politik Khalid adalah politik lembu kenyang. Khalid bukan saja setakat mengamalkan itu. Dia boleh berlaku begitu tanpa menghirau dan menghormati kehendak orang parti kerana dia ada kekuatan lain. Dia didokong oleh kuasa lain yang menjadikan dia terus selesa dan terus berdegil dari kedudukan itu. Mustahil kalau tidak ada mengadakan Khalid tenang menghadapi situasi itu. Apakah PKR atau Anwar sendiri memikir hal ini semasa-masaknya?

Mungkin orang merasa malu alah untuk menyebut apakah kuasa yang digunakan Khalid untuk kekal di bangunan Sultan Abdul Aziz pusat pentadbiran kerajaan Selangor Darul Ehsan itu? Biarlah saya sebut. Dari penelitian saya dan melihat kepada arca politik Selangor, Khalid bukan bersendirian di situ mempertahankan kedudukan dan kuasanya melainkan ada tangan-tangan ghaib yang memayung kedudukannya. Terus terang saya sebut beliau mungkin dilindungi oleh payung kuning?

Bagi saya ada bukti untuk menunjukkan hal ini. Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja baru-baru ini sudah pasti kerana ada blassing daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Sikap ini ternyata apabila Mais menyokong penuh tindakan itu. Apakah kita lupa siapa yang berkuasa ke atas Mais? Bukankah Sultan?

Begitu juga dengan pemecatan Azmin Ali sebagai lembaga pengarah PKNS yang menjadi misteri sampai kini. Atas blassing dan arahan siapakah insiden itu terjadi? Khalid tidak mengaku ia adalah arahannya, Pengurus Besar Othman Omar pula mengatakan keputusan memecat Azmin itu dibuat oleh Exco. Yang mana satu betul. Tetapi kenapa Othman membuat surat pemecatan Azmin. 'Cikcup' begini harus dikaji dan diteliti dan diselami akan dalangnya.

Iya dari segi perlembagaan dan amalan sultan tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal politik. Sultan hanya melaksanakan tanggungjawab menurut kuasa undang-undang yang diberikan kepadanya. Sultan menjalankan tanggungjawab atas nasihat Menteri Besar dan majlis perajaan negeri. Apakah ianya berjalan lurus dan jujur seperti diperutukan undang-undang itu? Jawabnya tidak. Secara tersurat sultan berada bawah perlembagaan tetapi dari segi amalan dan tradisinya sultan tetap berada atas perlembagaan. Mitos dan adat istiadat lebih tinggi dari protokol politik.

Saya memikir hal lain akan berlaku kelak dalam usaha untuk menyingkirkan Khalid dengan cara seperti diaturkan sekarang ini. Apa kata dan apa akan jadi kalau sekiranya Sultan Selangor tidak menerima perletakan jawatan oleh Khalid sebagai MB Selangor? Tidakkah itu akan jadi huruhara. Dan kalau niat Anwar diletakkan bertanding di DUN Kajang itu untuk dilantik jadi MB tiba-tiba berlaku huru hara itu, semisalnya Sultan tidak memberi perkenan, bukankah ia memalukan?

Jangan rugi segantang laba secupak

Elok juga sebelum formula dirancangkan ini berjalan, PKR dan Anwar sendiri memikirkan kemungkinan-kemungkinan ini.  Sesiapa pun tidak mahu berlaku sesuatu yang boleh merusutkan lagi keadaan yang membawa rugi segantang laba secupak atau yang dikendur keciciran yang dikejar pula tak dapat. Ataupun mungkin sudah ada understanding dengan Sultan Selangor? Perkara yang kena diingatkan, perlantikan seseorang MB itu akan dilakukan dihadapan Sultan, walaupun ada kaedah-kaedah lain tetapi afdalnya angkat sumpah ialah di istana.

(Harapnya sudah ada perbincangan konkrit dan sulit dengan pihak istana Selangor).

Bagi saya formula diambil itu sesuatu yang amat berat, berani dan bahaya sekali. Risikonya seperti mana saya sebutkan itu. Bukan saja PKR tetapi rakannya, DAP dan Pas juga bagaikan meniti bara api dan tidur atas kaca. Tentu kedua-dua parti itu juga memikirkan implikasinya.

Mungkin ianya sudah diambil kira kemungkinan-kemungkinan lain juga, perbalahan sesama sendiri misalnya. Khabarnya Pas tidak begitu suka dengan tindakan untuk menghalau Khalid itu. Dalam satu segi Pas bersetuju kalau Khalid tidak menjadi MB, tetapi penggantinya bukan dari PKR atau DAP. Pas juga ada hati untuk mengemukakan wakil rakyatnya sebagai MB.

Boleh jadi pakar-pakar (master mind) politik dalam PKR tidak begitu bimbang dan takut dengan protes Pas itu. Mungkin mereka sudah mengira, Pas tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengganggu proses penggantian Khalid dengan Adun PKR itu. Mungkin sudah dikira Pas tidak berkemampuan kalau sekalipun parti itu berpakat dengan Umno untuk melakukan pengkhiatan. Sebabnya orang-orang di dalam Pas kini semuanya istiqamah dengan perjuangan dan setia dengan persahabatan tidak seperti beberapa kerat yang sudah tiada itu?

Jika Pas ada niat hendak berpakat bersama Umno dengan harapan wakilnya diberikan jawatan MB, ia tidak akan kesempaian kerana jumlah kerusi kedua-dua parti itu tidak mencukupi. Pas hanya menang 15 kerusi manakala UBN 12 kerusi. Jika dicampur baru ada 27 kerusi dimana masih berkurangan dua atau tiga kerusi untuk membentuk kerajaan secara mudah.

Boleh jadi hal ini sudah dihitung oleh PKR. Dengan mendapat sokongan padu dari DAP, PKR boleh menerajui kerajaan. DAP mempunyai 15 kerusi manakala PKR 14 kerusi, kalau dicampur ia menjadi 29 kerusi dimana kedudukan lebih dua kerusi berbanding dengan Pas dan UBN.

Atas realiti itulah mungkin PKR sanggup melakukan formula itu dengan mengira mereka mendapat kelebihan dua kerusi. Tetapi kedudukan itu sesuatu yang tidak selamat untuk PKR dan DAP. Sekiranya Khalid Ibrahim yang ditendang itu berpihak kepada Pas dan UBN, kedudukan PKR - DAP semakin menipis hanya berkelebihan satu kerusi sahaja.

Tetapi itu tidak mungkin akan berlaku. Sekiranya Pas berhajat berbuat demikian saya berani mengatakan bukan semua calon Pas sedia untuk berhijrah ke dalam Umno. Bagaimana pun kemungkinan dan sifir-sifir atau matemetika politik begitu harus diambil kira dan hendaklah senantiasa menjadi ingatan dan kewaspadaan kepada PKR dan Anwar juga.

Si gagap boleh jadi hero

Sekali lagi saya sarankan agar PKR dan Anwar khasnya dan Pakatan Rakyat amnya memikir sedalam-dalam apa yang saya kemukakan ini. Yang saya bimbang kerja untuk membuang Khalid tidak akan jadi semudah itu. Sebab Khalid ini adalah MB bukan CEO kepada Guthire. Ingat dalam politik banyak sandiwara dan kerenahnya. Banyak liku dan simpang siurnya. Khalid meskipun gagap tetapi dalam politik dia boleh diangkat menjadi hero. Dengan kuasa, kedudukan dan perempuan seseorang itu boleh hilang gagapnya.

Orang-orang yang selama ini menghentam, mengkritik kepimpinannya boleh bertukar angin sekelip mata sahaja apabila mereka memikirkan Khalid boleh dijadikan alat perkakas dan modal untuk mereka. Tidak musathil Umno akan mengusung Khalid bagaikan raja. Akan membela Khalid sebagai hero, pemimpin jujur, berjiwa rakyat dan berbagai nama protoganis lagi. Jangan bersangka kebencian Umno kepada Khalid selama ini tidak boleh bertukar arah. Justeru sebaik-baik penyelesaian ialah Khalid perlu berundur secara nature. Pujuk dan bermunajatlah agar Khalid berundur dengan cara terhormat.

Saya cuplikan sedikit sejarah yang berlaku di negeri saya, Kelantan kira-kira 35 tahun lalu atau tepatnya tahun 1977 di mana bekas MBnya bernama Mohamad bin Nasir telah dinobat sebagai hero dan sebagai pemimpin jujur oleh rakyat yang didalangi Umno. Walhal Mohamad Nasir ketika itu hanya seorang pemimpin 'kemacar' yang sedia menjadi alat kepada musuh Pas. Tetapi bila berlaku salah congak, salah tindakan dan salah teknik, kononnya untuk menyelesaikan masalaah dengan memecat Mohamad Nasir dan diganti dengan Wan Ismail Wan Ibrahim ia membawa natijah yang dukalara. Akhirnya isu Mohamad Nasir menyebabkan kerajaan Kelantan berusia 18 tahun jatuh tersungkur.

Saya secara peribadi sangat perit dan perih untuk melihat berulangnya apa yang berlaku di Kelantan 35 tahun lalu (1977), dan juga apa yang berlaku di Terengganu 50 tahun lalu (1964) dan apa yang berlaku di Perak lima tahun lalu (2009), dimana peristiwa-peristiwa jatuhnya kerajaan disebabkan krisis politik sesama sendiri dan tindakan penyelesaian kemelut politik yang tidak dilakukan secara fatanah. Apakah Pakatan Rakyat kini sedang menanti ambang kejatuhan kerajaanya di Selangor? Walahu'alam. [wm.kl.10:57 pm 27/01/14]
Post a Comment