Friday, January 31, 2014

Umno masih gagal pulihkan hubungan sesama mereka

MENGALAH MENTARI                                                                       

Persetujuan Naib Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar formula menentukan calon BN di pilihan raya kecil Kajang seperti mana dicadangkan Khairy Jamaluddin menunjukkan komponen itu masih gagal memulihkan hubungan sesama mereka.

Persetujuan Zahid itu juga menunjukkan BN tidak yakin pilihan raya kecil itu dapat diuruskan oleh MCA dan BN akan menang.

Kerusi DUN 25 Kajang adalah diperuntukan kepada MCA.

Sekiranya hubungan sesama mereka, Umno - MCA sudah dalam keadaan baik dan mantap seperti mana didakwa, sudah pasti tidak timbul cadangan agar formula menentukan calon di PRK Kajang itu dibangkitkan. Ia pastilah meneruskan status quo yang ada.



Sebelum ini pemimpin Umno beriya menegaskan bahawa orang Cina sudah kembali meyokong kerajaan. Ratusan juta peruntukan, khasnya untuk pendidikan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina diberikan bagi mengambil hati orang Cina sehinggakan ada orang Melayu Umno mempertikaikan kejujuran kerajaan.

Akhbar lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia pula beberapa kali menggertak orang Cina dengan provokasi-provokasi seperti, tsunami Cina, apa lagi orang Cina ingini dan sebagainya.

Golongan fanatik dan rasisme Umno pula secara terang-terangan mahukan kerusi itu ditandingi oleh Umno. Ini menunjukkan bahawa pemulihan kepada persefahaman Cina dan Melayu dalam BN masih tidak wujud.

Dengan hakikat yang ada  ia amat sukar untuk BN merampas kerusi berkenaan menerusi pilihan raya kecil nanti. Apakah Najib Razak akan mengambil pendekatan untuk tidak meluka hati sesama sendiri dengan tidak menghantar calon ke Kajang? Boleh jadi. Kata Najib, BN akan bermesyuarat dan mengkaji keperluan itu.

Walaupun tindakan tidak menghantar calon ke Kajang itu satu tindakan bijak tetapi ia pasti akan ditafsirkan dengan berbagai tafsiran. Tafsiran yang popular nanti bahawa sudah wujud persefahaman secara senyap di antara Najib dengan Anwar. Boleh jadi pilihan raya kecil itu adalah perasmian kepada konsesnsus (rekonsiliasi) nasional. Kalau ini terjadi bermakna rakyat Malaysia sedang berada dalam keindahan seni politik yang menakjubkan.

Selepas ini kita dengar pula apa komen Mahathir Mohamad, setelah Muhyiddin Yassin awal-awal lagi dengan nada tidak yakin mengatakan; bila ada pilihan raya kita akan meletakkan calon ia memberi petunjuk di pihak sebelah sana pasti tidak seronok dengan tindakan Najib. [wm.kl.10:46 am 31/01/14]

No comments: