MEWARAS AKAL
Hari ini riuh randah dengan laporan liar yang dilaporkan oleh mereka yang jahil mengenai politik dan sistem pemerintah negara ini, kononnya Anwar Ibrahim akan menggantikan Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Khalid Ibrahim dilaporkan akan melepaskan jawatan MB Rabu ini, iaitu lusa. Semalam lagi saya sudah menerima beberapa SMS menceritakan perkara ini tetapi akal dan naluri politik saya menolak kerana ia diluar logikal politik saya. Jadi saya tidak berminat mengulas sesuatu yang bodoh.
Bagi saya tidak ada sebab dalam situasi hari ini Khalid hendak melepaskan jawatan sebagai MB. Walaupun ada keperluan untuk beliau berbuat begitu, dan juga ada desakan halus, tetapi ia bukan sesuatu yang membebankan jiwanya sehingga dia akan angkat kaki meninggalkan bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam itu. Khalid masih lega dan selesa dengan kedudukan itu dan tampak tidak terjejas dengan psywar kononnya dia akan melepas jawatan.
Ternyata hari ini beliau membuat penafian terhadap laporan terawal mengenainya, bahawa dia tidak menunjukkan gambaran akan meletak jawatan. Katanya dia masih di pejabat dan tidak ke mana-mana. Begitu juga Anwar Ibrahim yang pagi ini hadir ke mahkamah untuk perbicaraan saman malu ke atas bloger Papagomo turut dikerumuni oleh wartawan untuk mendapat kepastian.
Anwar juga menafikan laporan mengatakan dia akan mengganti Khalid Ibrahim. Jadi dengan penafian kedua pihak bersangkutan, jelas bahawa berita Khalid akan lepas jawatan, dan Anwar akan mengganti tempatnya Rabu ini adalah bohong dan merupakan berita dari wartawan si luncai dengan labu-labu sahaja.
Berita itu tidak lebih dari hendak mengalutkan keadaan sahaja. Dalam kata lain hendak tekan Khalid saja. Tetapi sayang ianya tidak ada kemunasabahan. Kenapa saya kata begitu, mustahil si yang menulis berita dan menyiarkannya tidak faham mengenai sistem pentadbiran atau proses perlantikan jawatan MB di dalam sesebuah negeri di negara ini.
Mungkin ada sumber dalaman yang membocorkan perkara itu, tetapi sebagai pengamal media yang perlu tahu etika kewartawanan harus menapis sebelum menyiarkannya. Percayalah Khalid tidak mudah tumbang setakat disembur dengan kipas angin berbilah tiga. Khalid akan tumbang apabila ada taufan 'kuning' yang melanda Selangor.
Menteri Besar bagi sesebuah negeri dilantik dari mana-mana Adun di dalam sesebuah negeri itu bukannya ahli parlimen. Anwar bukan Adun di mana-mana kerusi di dalam negeri Selangor, dia ahli parlimen, itu pun di Pulau Pinang. Jadi di mana logiknya Anwar akan mengganti Khalid. Baghal betul orang membuat cerita ini. Atau pun Anwar akan bertanding di mana-mana pilihan raya kecil, begitukah prosesnya?
Kalau pun begtu masakan Selangor akan ketiadaan MB selama sebulan, sebab proses untuk mengadakan pilihan raya kecil setidak-tidak memerlukan masa tiga minggu dari tarikh pengosongan mana-mana kerusi. Dan apakah tidak rosak imej Anwar sebagai bakal PM kalau dia menjadi MB Selangor. Satu hal lagi apakah Sultan Selangor bersetuju memberi perkenan?
Lainlah kalau yang dikatakan akan mengganti Khalid adalah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali ada 'kuliha'nya kerana Azmin adalah Adun Bukit Antarabangsa, yang terletak di dalam negeri Selangor dan sosok yang dikira layak untuk menjabat jawatan itu baik dari segi senioriti atau pun ketampanan. Atau pun yang akan mengganti Khalid ialah Iskadar Abdul Samad (Adun Cempaka) atau pun Sallehen Mukhyi (Sabak) kedua-dua mereka dari Pas. Sebab mereka merupakan Adun dalam negeri Selangor.
Lain kali jangan muda mempercayai dengan berita-berita yang tidak masuk akal. Teliti dan semak dahulu sebelum kita cuba menguar-uarkan kepada umum. Nampak sangat kita sendiri kadang-kadang menyusah dan membodohkan diri sendiri dengan berita berkenaan. Lama-lama kita akan jadi terus dungu kalau kita suka membodohkan diri sendiri. Titik. [wm.kl.3:08 pm 27/01/14]
No comments:
Post a Comment