ULASAN
Katanya dalam peristiwa 13 Mei 1969 tidak berlaku apa apa pembunuhan di Kelantan, sedangkan di negeri lain berlaku pertumpahan darah mengakibatkan ramai yang mati.
Semasa berlaku peristIwa itu katanya ada orang Kelantan untuk ke Kuala Lumpur bagi berperang dengan Cina, tetapi mereka dihalang oleh Asri. Asri panggil mereka ke rumah dan larang jangan pergi ke Kuala Lumpur.
Apa hendak diceritakan Mohd Amar bahawa Pas bukan parti rasis.
Perkara kedua peranan Asri dalam pendidikan untuk anak Kelantan. Asri berjumpa dengan Tun Razak yang jadi PM ketika itu meminta jasa baik agar diberikan kelonggaran kepada anak anak Kelantan untuk masuk ke pusat pengajian tinggi dan universiti.
Asri mohon jasa baik Allahyarham Tun Razak Hussein agar berilah peluang kepada anak anak Kelantan walaupun kelulusan mereka agak rendah dan tidak mencukupi syarat wajib kemasukan ke pusat pengajian tinggi.
Tun Razak merestui permintaan dan cadangan Asri itu. Sebab itulah di tahun tahun 70an dan 80an ramai anak anak Kelantan memasuki ke pusat pengajian tinggi.
Peranan dan usaha diplomasi Asri itu diketahui oleh orang Pas dahulu, tetapi hal ini tidak diketahui oleh orang Pas yang kemudian lahir selepas tahun 60an, apa lagi yang malas dan jahil sejarah dan marahkan Asri tanpa tentu fasal.
Baguslah kalau Mohd Amar mengingati dan menghargai atas apa dilakukan oleh Allahyarham Mohd Asri. Tidak pelik kalau Mohd Amar mengingati segala itu kerana bapaknya sendiri Nik Abdullah Arshad adalah kawan sepejuangan dengan Asri. Sudah pasti cerita tentang kebaikan dan kehebatan Asri itu didengari Mohd Amar daripada ayahnya.
Begitu pun apa mengecewakan kita Pas hanya tahu menyebut jasa dan budi Asri, menyebut kebaikan dan kehebatannya untuk menunjukkan kemurnian dan kehebatan Pas, tetapi tidak menghargai jasa pemimpinnya. Lebih malang lagi apabila Asri tidak bersama Pas, beliau dimaki hamun dilemparkan tuduhan jijik. Bukan setakat itu sahaja, keluarga Asri juga diboikot dan dinafikan.
Situasi ini berlaku terutamanya dalam generasi baru dalam Pas yang memang tidak kenal dan tahu siapa Asri dan hubungannya dengan parti itu.
Sepanjang ingatan saya Pas tidak pernah mengadakan apa apa majlis memperingati Datuk Asri, sama ada untuk mengenang perjuangannya ataupun sekadar menganjurkan majlis doa selamat disempena ulang tahun kelahiran dan kejayaan Pas.
Untuk memberi apa apa anugerah dan cenderamata atas jasa dan budinya jauh sekali. Tidak pernah ada pun usaha untuk menziarahi keluarga Asri sebagai tanda kasih dan ingat, misalnya untuk membuat perkisahan perjuangan tokoh Pas yang handal dalam pidato itu yang masih belum tercabar hingga kini.
Tetapi apabila ingin menjualkan kehebatan Pas maka disebut dan diulang serta dijadikan apa yang Asri lakukan sebagai modal untuk dilihat umum betapa hebat dan bijaksananya Pas memerintah. Inilah Pas sanggup menunggang apa sahaja demi kepentinganya.
Bagi saya sikap ini adalah amalan double standard Pas, dan oportunisnya parti itu. Apa yang digariskan dalam perlembagaan parti itu untuk menerap dan mengamalkan nilai nilai Islam, nol. Alfatihah dibacakan untuk roh Allahyarham. Trims. [wm.kl. 10:51 15/06/2026]
No comments:
Post a Comment