Wednesday, May 27, 2026

Untuk majukan Kelantan tokoh politik perlu bersatu

RENCANA

SAYA tertarik dan berkenan benar dengan pandangan Ketua Umno Bahagian Ketereh Datuk Haji Md Alwi Che Amat yang berpendapat pembangkang, (baca Umno dan PH) perlu mengubah pendekatan menawan hati orang Kelantan dalam usaha untuk menguasai negeri tersebut. 

Pandangan beliau itu tentu berdasarkan antropologi orang Kelantan yang

diarifinya. Sebagai orang Kelantan, tentu Alwi memahami budaya serta sikap fiil dan perangai orang Kelantan.

Untuk tawan hati orang Kelantan, menurutnya jangan hina orang Kelantan dengan meremehkan pendirian dan sikap politik mereka. Misal katanya, jangan anggap orang Kelantan miskin, pengotor, hidup dalam kepayahan dari segi infastruktur. 

Sebenarnya keadaan itu tidak menyulitkan orang Kelantan kerana mereka sudah lama menghadapainya, turun temurun. Dan orang Kelantan akan marah kalau kita kata mereka miskin dan akan dijawab secara simplistik "kami sudah hadap bertahun-tahun dengan keadaan ini."

Masalah ketiadaan kemudahan jalan penghubung, lebuh raya, masalah air bersih, perumahan, pengangguran dan masalah sosio ekonomi dan sebagainya, adalah perkara lama yang dilalui oleh orang Kelantan. Ia sudah kalih. Ketiadaan segala kemudahan itu bukan hal pelik atau membebankan mereka, sebab mereka sudah menghadapinya berdekad, seperti bak kata pepatah alah bisa tegar biasa.

Ketua Umno bahagian Ketereh itu tidak bersetuju kalau pendekatan atau cara politik pembangkang mengejek atau menghina orang Kelantan terus diguna pakai. Pendekatan itu hendaklah dibuang katanya. Alwi memberi pandangan itu ketika berbicara dalam satu podcast. Alasan beliau, bukan soal kuasa, yang penting, tetapi membangunkan Kelantan dimana tugas itu tanggungjawab bersama.

Sebagai alternatif daripada cara lama itu, Alwi mencadangkan agar Umno atau pembangkang mengemukakan tawaran baru untuk rakyat Kelantan yang lebih baik dan munasabah yang akan diterima oleh mereka. Alwi tidak menyebut satu persatu apakah bentuk tawaran itu, cuma menyebutnya secara umum. 

Lanjutan daripada cadangan Alwi itu, ingin dikemukakan satu cadangan yang boleh dianggap satu tawaran baru untuk rakyat Kelantan. Mungkin untuk difikirkan sejauh mana logik dan pratikalnya. Apa kata kalau mulai sekarang, sesuai dengan kerajaan Madani dimana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati semua pihak, para tokoh politik di Kelantan khususnya dari pembangkang berpakat dengan pihak kerajaan negeri. Maksudnya ada kerjasama atau understanding di antara tokoh pembangkang dengan kerajaan.

Understanding itu tidak perlu sampai menukarkan kerajaan, kerajaan biarkan kepada Pas, sebaliknya tokoh-tokoh pembangkang diikhtiraf dan diterima oleh kerajaan untuk membantu negeri Kelantan. Kelantan ramai tokoh politik dari berbagai profesional dan mereka juga berpengalaman. Masinng-masing ada kepakaran tersendirian yang telah terbukti.

Antara nama-nama atau tokoh politik di Kelantan yang kini berada di luar kerajaan, baik bersama parti pembangkang atau tidak, seperti Datuk Mustapa Mohamed, Datuk Alwi Che Amat, Datuk Husam Musa, Datuk Awang Adek Hussein, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain.

Mereka ini semua ada kepakaran dan track record serta pengalaman dalam kepimpinan kerajaan. Mustapa Mohamed, misalnya pernah menjadi anggota kabinet dan memegang beberapa kementerian. Begitu juga dengan Dr Awang Adek Hussein pernah jadi timbalan menteri dan pakar dalam bidang kewangan selaku bekas Penolong Gebenur Bank Negara.

Demikian juga dengan Alwi, bekas Setiausaha Politik kepada Pedana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, Husam Musa bekas Exco Kanan kerajaan negeri Kelantan, individu yang banyak menetaskan program ekonomi bagi membantu sosial ekonomi rakyat Kelantan semasa bersama kerajaan Pas lebih 20 tahun.

Seorang lagi Tengku Razaleigh, boleh dianggap bapak politik dan pembangunan Kelantan. Mungkin beliau sudah lanjut usia, tetapi masih boleh diajak untuk bersama. Pandangan serta singgungan kritisnya untuk bangunkan Kelantan sangat berguna.

Bagaimana orang-orang ini boleh berperanan, kerajaan negeri boleh menyerahkan tugas atau bidang tertentu kepada mereka. Lantik mereka ke dalam GLC ataupun mengetaui apa-apa jawatankuasa kuasa atau majlis bertindak dan sebagainya. Mereka menjadi jambatan atau penghubung dengan kerajaan Pusat. Segala pembangunan di Kelantan difikir dan dirancang bersama, dengan mengenepikan emosi politik dan melupai sejarah lama. 

Kedua pihak baik kerajaan dan tokoh tokoh itu, meletakkan keutamaan untuk bangunkan Kelantan. Menyedari bahawa kedudukan Kelantan dalam peta pembangunan negara, pembangunan sosial dan prasarana yang relatif terkebelang berbanding dengan negeri negeri lain.

Sikap terbuka dan sporting kerajaan Madani dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diambil kesempatan sebaik mungkin. Apa dilakukan oleh Menteri Bersar Nassaruddin Daud satu langkah dan persefahaman baik. 

Sudah sampai masanya politik kepartian berlebihan, politiking tidak menguntungkan sehingga menghilangkan identiti rakyat Kelantan yang berukhwah, bersilatrurahim yang terhakis dari jiwa orang Kelantan sejati dibuang jauh-jauh. Semoga. [wm.kl. 6:23 pm 26/05/2026]


Monday, May 25, 2026

KJ dan Rafizi putra dua dekad pasca merdeka

SUSUPAN PAGI

SUKA atau tidak, hakikatnya apabila kita berbicara tentang atau mengenali bakal pemimpin masa depan negara, kita tidak boleh mengenepikan dua sosok ini, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 50 dan Rafizi Ramli, 49. Mereka hampir sebaya, kedua-duanya lahir selepas dua dekad Makaysia capai kemerdekaan.

Kedua-duanya mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman yang menarik. Khairy Jamaluddin merupakan lulusan Universiti Oxford dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE).

Manakala Rafizi Ramli pula merupakan lulusan Universiti Leeds dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Kedua-duanya menceburi politik dengan minat yang mendalam yang diinspirasikan. Bahkan mereka boleh dianggap berjaya dalam dunia politik berdasarkan pencapaian masing-masing. Khairy pernah menganggotai kabinet dengan memegang tiga kementerian iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Rafizi pula pernah menjadi Menteri Ekonomi. Dalam parti masing-masing, pencapaian mereka juga hampir setara. Rafizi pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan, manakala Khairy pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Kedua-duanya juga pernah mencuba untuk menduduki jawatan presiden parti, namun tewas dalam persaingan.

Dari segi sahsiah, gaya dan idealisme politik, mereka juga mempunyai banyak persamaan. Kedua-duanya dikenali sebagai teknokrat politik, berpolitik stail barat dan tidak terlalu terikat dengan pendekatan politik tradisional, memperalatkan bangsa dan agama. 

Mereka lebih cenderung bertindak berdasarkan data dan fakta. Kedua-duanya juga tidak terlalu menonjolkan unsur atau idealisme agama dan bangsa dalam pendekatan politik mereka. Dalam erti kata lain, politik mereka lebih bernuansa profesional dan pentadbiran berbanding retorik keagamaan.

Dari sudut peribadi, sikap dan keberanian politik, Rafizi dilihat lebih berani berbanding Khairy Jamaluddin. Jika tindakan keluar parti dan melepaskan jawatan Ahli Parlimen Pandan dianggap sebagai tanda keberanian politik, maka Rafizi dilihat lebih berani kerana sanggup melepaskan jawatan menteri dan kerusi Parlimen demi mempertahankan prinsipnya.

Khairy pula tidak sampai ke tahap itu, walaupun beliau pernah dipecat daripada UMNO kerana menentang presiden parti sebelum kembali semula. Sepanjang berada di luar UMNO, Khairy dilihat lebih berhati-hati dan tidak terlalu agresif menyerang kepimpinan parti. Berbeza dengan Rafizi yang memilih untuk menyertai parti baharu bagi menentang presidennya sendiri. Dalam hal ini Rafizi lebih beremosi.

Berbeza dengan Khairy dilihat lebih berhemah, bijak membaca waktu dan pandai mencuri peluang, serta kurang gemar mengambil risiko besar.

Dengan melihat kepada situasi tersebut, kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Mereka dilihat sebagai bintang semasa dalam politik negara, dan sedar atau tidak, mereka sebenarnya sedang bersaing serta berlumba antara satu sama lain secara profesional.

Khairy dilihat mempunyai sedikit kelebihan kerana berada dalam UMNO, sebuah parti besar dan bersejarah, berbanding Rafizi yang kini berada dalam parti yang lebih kecil dan masih dalam proses membina kekuatan. Kerja Rafizi lebih teruk dan penat berbanding Khairy yang sudah berada dilandasan yang sudah disiap sediakan.

Sama-sama kita analisis peluang dan potensi mereka untuk menjadi pemimpin masa depan negara, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan segala tugasan an tanggungjawabnya. [wm.kl. 11:17 am 25/05/2026]

Monday, May 18, 2026

Rafizi buka ruang atmosfera politik buat Azmin

SUSUPAN PETANG

LANGKAH Rafizi Ramli sukarela mengosongkan kerusi parlimen Pandan untuk menyatakan sikap gentleman, kemudian akan mengutus surat pemansuhan sebagai anggota PKR kepada Setiausaha Agong untuk meninggalkan PKR esok – peristiwa itu umpama orang mengantuk disorong bantal bagi seseorang.

Kesempatan seperti itu sudah sekian lama ditunggu. Mungkin situasi ini tidak terfikir oleh banyak orang termasuk para pemerhati politik, bahkan bagi setengah orang yang menerima tindakan Rafizi itu sebagai satu langkah berani dianggap bijak, tanpa sedikit pun melihat apakah implikasi, risiko dan percaturan selepas itu. 

Sunday, May 17, 2026

Apa motif sebenar tindakan Umno Johor?

SUSUPAN MALAM

DUA peristiwa politik berlaku hari ini cukup mendekam sukma, terutamanya bagi rakyat biasa yang menjadi pemerhati, pengikut dan pengundi. Namun kedua-dua peristiwa itu tidak berbekas apa-apa kepada politis kerana mereka sudah "mangli" dengan sebarang tindakan dan aksi politik pelik-pelik serta luar tabii.

Hubungan Anwar dengan Zahid bukan setakat
murid dengan guru.
Dua peristiwa itu berlaku hampir serentak. Satu penegasan PH untuk sedia berhadapan melawan Umno di Johor. PH tidak sedikit pun merasa lemah dan takut dengan kenyataan atau pendirian Umno Johor yang ingin bertanding disemua 56 kerusi di negeri itu dalam pilihan raya akan datang.

Umno melalui pengerusi perhubungannya, Onn Hafiz Ghazi membuat kenyataan itu kira-kira 24 jam sebelum berlangsungnya konvensyen PH di Johor hari ini. 

Keadaan itu jelas disengaja, sebagai isyarat kepada PH, yang antara lain sudah dikhabarkan akan membuat ketetapan dan membincang persediaan menghadapi pilihan raya negeri Johor serta termasuk kerjasama dengan Umno di konvensyen itu. 

NUM Bentuk gelombang permurnian fahaman politik

RENCANA AHAD

TANPA diwar-warkan dan publisiti besar-besaran dimedia eletronik dan media sosial, semalam telah berlangsung satu majlis yang sangat penting dan bermakna dalam usaha memurnikan pemikiran siasah atau politik negara ini. Majlis dimaksudkan itu ialah, Muzakarah Ulama Trangganu, ia berlangsung di Pondok Bukit Puteri Besut, dengan tema Tajdid Syiasi Malaysia.

Walaupun muzakarah semalam seperti terkhusus di kalangan ulama dan agamawan asal Terangganu, tetapi skop atau temanya melebar dan mencakupi ke seluruh negara.

Muzakarah itu dianjurkan oleh Nadwah Ulama Malaysia (NUM), satu badan yang bertindak sebagai pemantau, pencerah, penyelesai serta penjernih pemikiran siasah (politik) mengikut Islam dan syariah. 

Tuesday, April 28, 2026

Jahat adalah sifat Umno

RENCANA 

Setiakawan
PENARIKAN sokongan 14 Adun Umno terhadap MB Datuk Seri Aminuddin Harun yang berlaku semalam bertujuan untuk menjatuhkan MB dan mengambil alih kekuasan di Negeri Sembilan, ianya bukan perkara baru dalam politik negara ini. 

Ia satu penerusan yang berlaku lama sebelum ini, sejak tahun 1960 lagi, 66 tahun lampau. Kerja
menumbangkan dan merampas kerajaan di luar pilihan raya adalah amalan dan kegemaran Umno. Sekiranya tindakan teknikal politik itu boleh disifatkan satu pengkhianatan yang tidak menghormati mandat rakyat, maka ia suatu perulangan kejadian sebelum ini.

Sunday, April 26, 2026

Mari kita bicara baik-baik tentang Rafizi

ISTIMEWA AHAD 

 

MARI kita berbicara dengan tenang, tertib penuh peradaban mengenai sdr Mohd Rafizi bin Ramli dan masa depan politiknya. Untuk sedekad dua lalu beliau dilihat sebagai figure pembela kebenaran dan nasib marhaen. Beliau dilihat sebagai Hang Nadim untuk bangsa dan negara. Nilai baik yang ada kepadanya ialah, mahu membawa pemerintah berintegriti, yang baik, bersih, jujur, telus sesuai dengan agenda reformasi parti disertainya, Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

 

Beliau sudah pun berada takah istimewa sebagai orang nombor dua dalam Keadilan, selaku timbalan presiden. Kedudukan itu sekira berlaku apa-apa kepada Anwar Ibrahim beliaulah akan menakhtai Keadilan. Dalam banyak sosok dalam Keadilan, selepas ketiadaan Mohamad Azmin Ali dan Ezam Muhammad Noor, beliaulah di lihat ke depan dan digantung harapan oleh ahli. 

Saturday, April 25, 2026

PM selepas ini dari negeri mana?

 YANG KITA KENA BACA DAN TAHU

Negeri Pahang memdahului negeri-negeri lain berjaya menghantarkan putera negerinya ke Kuala Lumpur untuk jadi perdana menteri. Tiga putranya sudah dinobat jadi PM, Razak Hussein, Najib Razak dan Ismail Sabri Yaacob.
Negeri lain yang sudah menghantar putera negerinya jadi PM, ialah Kedah, yang sudah mengirimkan dua putera negerinya, Tunku Abdul Rahman dan Dr Mahathir Mohamad.
Begitu juga dengan Pulau Pinang juga mengirimkan dua orang putera negerinya, Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim diikuti Johor juga mengirimkan dua putera bangsanya, Hussein Onn dan Mahiaddin Yassin.
Manakala negeri-negeri lain masih belum berjaya mengirimkan anak negeri mereka masing masing; Kelantan, Terangganu, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.
Selepas Anwar Ibrahim berundur nanti, anak negeri manakah yang akan mengambil alih kerusi PM itu kelak. Untuk merasakan adil ingin sekali kita melihat PM akan datang dari negeri-negeri yang belum pernah berjaya meletakkan putera mereka disitu.
Kalau kita perhatikan kepada negeri-negeri yang masih belum berpeluang untuk mengangkat putera negeri masing-masing ke jawatan itu, kita nampak kepada Perak. Anak negerinya kini Ahmad Zahid Hamidi adalah TPM.
Apakah anak negeri Perak berpeluang untuk merasai jawatan tertinggi negara itu. Jika dilihat kepada ketokohan pemimpin yang ada kini mengikut negeri negeri, negeri Terangganu boleh dibaris hitam sebagai negeri akan merasai kedudukan itu. Pas yang memerintah negeri itu kini, sangat mengidam dan yakin untuk menghantar MBnya, Samsuri Mokhtar ke situ.
Sebenarnya selain Samsuri, Terangganu juga ada calon lain, Rafizi Ramli. Beliau yang sebelum ini menjadi timbalan presiden PKR, berpotensi untuk memegang jawatan itu setelah Anwar berundur Nanti. Rafizi adalah putera terbilang dari Terangganu.
Bagaimana pun potensinya itu waktu ini agak pudar sedikit apabila beliau tidak begitu obses untuk jadi PM dan kini tertanggal dari hierarki parti. Apakah beliau akan buat comeback memperbetulkan rel politiknya membaiki potensinya?
Harapan Samsuri pada masa ini lebih jelas ketimbang Rafizi, sedangkan hakikatnya Rafizi lebih tanggung daripada Samsuri.
Selain Terangganu, Negeri Sembilan dan Johor juga berpeluang untuk mencatat sejarah meletakkan anak negerinya memegang jawatan itu. Dengan kembali semula Khairy Jamaluddin Abu Bakar ke dalam Umno, Negeri Sembilan kini ada calon bakal PM.
Demikian juga dengan Johor, apabila Hishammudin Hussein diterima balik oleh UMNO sekiranya beliau aktif memegang jawatan tinggi, peluang Johor terbuka untuk mencatat rekod menyamai Pahang.
Lain-lain negeri dilihat tidak ada tokoh yang boleh diandalkan ke jawatan itu. Kalau ada pun Selangor menerusi Azmin Ali dan Amiruddin Shaari. Trims. [wm.kl. 9:22 pm 25/04/2026]

Friday, April 17, 2026

Zaman edan sedang melanda dunia

SESEKALI

RANGGAWARSITA ada mengungkapkan sebaris kata berbunyi, “zaman edan, yen ora eden ora keduman”. Ungkapan ini sering dipakai Anwar Ibrahim bagi rujukan dan menggambarkan suasana dan keadaan politik negara ini.
Ranggawarsita adalah seorang penyair dan ahli falsafah dari istana (karton) Surakarta.
Ungkap beliau itu berpandukan kepada suasana pemerintaan atau kerajaan di negara itu pada waktu tersebut, yang bercelaru, kacau dan pudar tatakelola asal yang mana manusia sanggup bertindk diluar batas kesopanan. 

Paling parah lagi ungkap Ranggawarsita, untuk sukses mendapat habuan dalam zaman edan, kita juga harus menjadi edan. Kebenaran juga sirna dan kebatilan nyang disanjung.
Walaupun ungkapan itu hanya untuk Indonesia, tetapi ia berlaku juga terpakai dan relevan untuk negara lain dipasca merdeka.
Saya mahu mengaitkan ungkap Ranggawarsita itu, mengenai farsa edah itu kepada politik negara ini. Edan bermaksud gila. Gila jika didoman kepada manusia, seseorang yang akal atau tidak waras. Dalam pengamatan saya politik Malaysia kini walaupun belum gila tetapi ia sudah mabuk.
Keadaan itu di negara ini bermula diakhir tahun 90an. Ia berlaku kerana perebutan kuasa yang hebat dengan menggunakan kaedah diluar batas demokrasi sanggup berkonspirasi dengan memfitnah dan merekayasa cerita.
Fitnah, adu domba dan konspirasi dilakukan demi mencapai kemuncak kuasa. Fitnah mengatasi kebenaran dan nilai nilai murni.
Apabila memasuki era edan ini orang politik hilang saksiah, hilang moral, hilang kesopanan, hilang budi dan hilang harga diri.
Bukan itu saja, idealisme dan rukun serta adab perjuangan juga ke laut. Apa yang diburu ialah kuasa dan kedudukan dengan sanggup membelakang segala asas dan sistem itu. Tiada perbezaan lagi di antara orang kurang berpendidikan dengan orang memiliki darjah akademi dan agama yang tinggi.
Mereka sanggup jadi edah demi kuasa dan kedudukan.
Seperti difalsafahkan Ranggawarsita itu apabila sampai ke tahap itu semua orang jadi edan, jadi gila. Lebih parah lagi apabila kita tidak mahu jadi edan, maka kita akan ketinggalan.
Sebab itulah soal moral, adab sopan dan kewarasan serta peraturan demokrasi tidak dipedulikan. Sebaliknya menjadi edan itu lebih baik.
Politik edan politik tidak ada air muka tidak ada malu aib, tidak tahu menghormati mengikut adat resam dan agama. Lantaran itu hari ini terkeluar kata kata buruk, busuk dari mulut pemain politik, fitnah menjadi zikir harian. Mereka tidak segan mengeluarkan kata iata hina, kesat dan jijik kerana mereka kekeringan "air muka".
Dengan kemudahan Artificial Intellegence (AI) mereka cipta apa saja perkara, animasi atau gambar yang mereka suka tanpa pedulikan kesannya.
Saya menyedari keadaan ini, ia makin memburuk. Politik kita sudah tidak ada filter. Timbul pertanyaan dalam diri, apakah saya perlu ikut berada terus dalam kancah ini, walaupun sekadar memerhati dan mengulas, atau saya kena mengambil keputusan berat mejauhkan diri dari politik edan ini. Trims. [wm.kl 6:50 pm 17/04/2026]

Thursday, April 9, 2026

Apa yang boleh dipelajari daripada Musa Hitam

SUARASA

Bersama Musa Hitam di satu majlis.
MUSA Hitam (Tun) merupakan salah seorang tokoh politik yang diharap menjadi pemimpin utama negara ini di suatu ketika lalu. Beliau pernah menjadi timbalan presiden UMNO dan timbalan perdana menteri, ketika Dr Mahathir jadi presiden UMNO dan perdana menteri.

Kedudukan itu setangga saja lagi untuk beliau melangkah ke jawatan nombor satu.

Sewaktu Musa memanggung jawatan dan kedudukan itu, orang sudah tidak nampak dan terfikir ada tokoh lain dan suatu hari akan mengisi jawatan itu. Dengan wibawa dan kecemerlangan dimilikinya, beliau tiada tandingan. Musa adalah pilihan pertama dan terakhir.

Wednesday, February 18, 2026

Terkenang pandangan Allahyarham Subky Latiff

RENUNGAN 


Ketika mengunjungi Allahyarham
Haji Subky Latiff.
ALLAHYARHAM Haji Subky Abdul Latiff pernah berkongsi satu pandangan yang masih terlekat
kukuh dalam ingatan saya hingga hari ini. Perbualan itu berlaku sewaktu saya menziarahinya, ketika PAS sedang melalui musim pemilihan yang agak hangat, melibatkan tokoh-tokoh utama yang dilihat berpotensi besar menjadi pemimpin masa depan parti.

Sebagai seorang tokoh lama dalam PAS, Allahyarham menyuarakan kebimbangannya terhadap kemungkinan pemilihan yang sengit itu mencetuskan perpecahan. Lebih membimbangkan, menurut beliau, ialah risiko apabila individu yang sepatutnya dipilih sebagai pemimpin akhirnya tersingkir bukan kerana kelemahan, tetapi akibat sentimen, emosi dan sikap berpihak dalam kalangan ahli.


Sunday, February 15, 2026

Macam mana bentuk rumah baru Hamzah?

ULASAN MINGGU

HAMZAH Zainuddin mengesahkan beliau tidak akan merayu pemecatannya daripada Bersatu. Pengesahan itu menunjukkan beliau nekad bahawa beliau kini sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Bersatu dan presidennya Mahiaddin Yassin.

Bukan setakat itu saja, beliau juga isytihar bahawa musuh nombor satunya sekarang adalah Mahiaddin. Satu tindakan dikira sadis dan agak melampau dalam hubungan yang mengakui satu perjuangan.  

Saturday, February 14, 2026

Buktikan Keadilan parti terbaik dan berpotensi

ULASAN SABTU

SEMASA berucap di konvensyen Keadilan Kedah semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui selama tiga tahun lepas beliau tidak banyak memberi perhatian kepada parti kerana sibuk menyusun dan perbetulkan kerajaan. 

Beliau lebih fokus kepada usaha membetulkan kerajaan, memikirkan dasar, polisi, ekonomi dan pendekatan kerajaan Madani untuk kepentingan rakyat berbanding parti.

Kerana kesibukan itu menyebabkan beliau seakan mengabaikan parti dan menyerahkan sepenuhnya kepada rakan-rakan pimpinan lain yang dipilih atau dilantik. 

Friday, February 6, 2026

Sebut istilah agama, setakat lafaz tak ada masalah - Dr Mujahid.

SESUDAH SUBUH


PENGGUNAAN istilah Islam oleh wakil Telok Intan (Nga Kor Ming) semasa menggulung perbahasan kementeriannya di parlimen menimbul sedikit polemik dan keriuhan, apabila tindakan Ngo itu dipertikaikan oleh wakil Rantau Panjang (Zailah Mohd Yusoff). Ngor menyebut perkataan Alhamudlilah, Syukur dan Sujud Syukur dalam perbahasannya sebagai manifestasi atas kejayaan dicapai di Kementerian KPKT.

Penggunaan istilah itu tidak disenangi wakil Rantau Panjang yang menganggap Nga tidak sepatutnya menggunakan istilah agama itu kerana beliau bukan Islam dan masih belum beriman.

Insiden itu menimbulkan sedikit kecelaruan dikalangan masyarakat umum. Memang kebanyakan umat Islam yang tidak memahami fikh dan hukum Islam, kabur dengan perkara itu, apakah bukan Islam (kafir) boleh menyebut perkataan-perkataan yang termaktub dalam al Quran dan lazim disebut umat Islam.

Bagaimana pun bagi yang ariffbillah dan faqih Islam tidak menjadi masalah. Tetapi yang ilmu agamanya sekerat kuku labah-labah, mudah terangsang dengan bantahan Zailah itu lebih-lebih lagi dari kalangan ahli dan penyokong parti sewaktu dengannya. Apa lagi mereka yang berasap otak dengan orang kafir akan mencemuh wakil Telok Intan itu.

Apa yang menjadi tanda tanya dan aneh ialah, apabila tidak ada pertikaian sama dilakukan oleh Zailah atau mana-mana orang sewaktu politik dengannya, apabila ada pemimpin Dewan Himpunan Pas (DHP) memberi salam, mengucap Alahamdulilah dan membaca al Quran dalam ucapannya. Apakah bagi Pas apabila seseorang itu sudah berada dalam muktamarnya ia dikira halal dan sudah beriman? Sudah ada nametag ke syurga.

Pendimanan sikap terhadap gelagat pemimpin DHP itu menyebabkan masyarakat umum melihat ada dua warna atau banyak kitab yang dirujukkan Pas semasa menggubal perlembagaannya? Pas dilihat sebagai double standard.

Sebenarnya pertikaian itu mudah sahaja kalau semua jujur dan benar, kembali kepada fikh Islam dan hukum syarak serta rajin menelaah kitab-kitab agama yang ditulis oleh ulama martabar.

Dalam hal ini penjelasan dan keperihatinan Dr Mujahdi Yusuf Rawa, boleh dijadikan panduan dan iktibar yang baik. Menurut Dr Mujahid menerusi VTTnya, untuk menghentikan pertikaian itu, semua pihak hendaklah kembali kepada hukum asal.

Menurutnya sudah ada dabit, atau panduan, disiplin yang dibuat oleh para ulama terdahulu mengenai istihza; penghinaan, persendaan ataupun merendahkan Islam ini.

Kata Dr Mujahid dabit itu dibuat oleh para ulama terdahulu baik ulama Al Azhar atau kontemporari seperti Ibnu Khazam, al Qardhawi dan lain-lain. Dimana istihza ini berpandukan kepada sebuah Firman Allah dalam surah al Taubah 46: “Apakah kamu merendahkan Allah dan ayat-ayatNya dan Rasulunya,”

Dabit yang dirumuskan berpandukan ayat itu untuk menentukan apakah berlaku istihza. Dalam hubungan ini ada tiga perkara bagi menentukan berlaku istihza:

1. Qasad (niat),
2. (Siak) Konteks.
3. Maani (makna atau maksud).

Itulah tiga dabit yang perlu dilihat sebelum hendak mengatakan atau menuduhkan sesuatu perbuatan, percakapan dan kelakuan seseorang itu menghina, mengejak atau merendahkan Islam.

Mengenai ungkapan Nga itu, apakah ada niatnya untuk melakukan istihza. Jika kita perhatian beliau mengungkap perkataan atau istihza itu sebagai manifestasi kesyukuran atas kejayaan kementeriannya. Sujud syukur itu pula mungkin dimaksudkan agar seluruh rakyat menyatakan kesyukuran atas kejayaan itu. Beliau memilih istilah itu kerana ia hampir dan menyentuh hati umum.

Kontes semasa beliau mengucapkan itu pula dalam forum rasmi di parlimen, mungkin untuk memberi kesedaran kepada ahli parlimen khasnya dari pembangkang yang tidak pernah ada rasa syukur kepada Kerajaan, mereka asyik dan gila membangkang penuh emosi sepanjang masa. Dan konteks perkataan itu bukan lahir dari perasaan kebencian dan penghinaan.

Manakala maani, atau maksudnya baik, jelas dan boleh difahami semua orang, tidak ada maksudnya bagi menghina Islam dan Tuhan (Allah) sama sekali. Sebenarnya kalau kita berhemah menerima pengucapan Nga itu secara hati tenang, ia tidak mendatang apa-apa masalah pun. Kalau hanya sekadar melafaz perkataan itu tanpa niat, ia tidak menjadi masalah.

Mungkin dalam konteks Nga itu dia ada menyimpan niat untuk mendakwah ahli parlimen beragama Islam, agar reti bersyukur, berterima kasih dan sujud syukur atas kejayaan demi kejayaan dicapai kerajaan Madani dalam tempoh tiga tahun.

Penjelasan atau pun tazkirah Timbalan Presiden Amanah itu sangat tuntas sepatutnya diterima kasih semua pihak. Dalam pada itu Dr Mujahid memberi peringatan kepada semua baik, bukan Islam dan Islam agar lebih berhemah dan berhati-hati dalam membangkit sesuatu perkara menyentuh agama.

Pesannya, kalau sesuatu itu sensitif elakkan jangan dibangkitkan.

Dalam hal ini kita ucapkan terima masih kepada Dr Mujahid kerana tampil memberi pencerahan dalam isu ini. Tampaknya Dr Mujahid mendahului mana-mana pemimpin politik, baik para ustaz dan ulama serban besar Pas. Malahan beliau ke depan menangani polemik ini berbanding para Mufti, ulama di Jakim termasuk Mentega sendiri. Trims. wm.kl. 9:36 am 06/02026]

Thursday, January 29, 2026

Harapan rakyat kepada PN kian memudar

ULASAN

Keikhlasan antara keduanya boleh
dipertikaikan.
KEJAYAAN Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya ke-15 (2022) lalu dapat menuaikan 73 kerusi parlimen dan 146 kerusi Dun, sementara Pas berjaya mengekalkan dua buah negeri sambil menawan semula Kedah dan merampas Perlis suatu kejayaan yang gemilang dan mengejutkan.

PN adalah koliasi oposisi kedua selepas Pakatan Rakyat (PR) terdiri daripada PKR, Dap dan Pas yang dapat menafikan majoriti 2/3 diparlimen. Pertama kali majoriti 2/3 yang sebelum ini dimonopoli BN dinafikan dalam pilihan raya ke-12 (2008), BN menang 140 kurang lapan kerusi untuk mendapat 2/3. 

Dalam pilihan raya ke-13 sekali lagi majoriti 2/3 BN dinafikan, tetapi BN masih mampu menubuh kerajaan, tanpa bergabung dengan mana-mana parti.

Tuesday, January 20, 2026

Satira dalam sebuah belantara MESYUARAT TANPA RESOLUSI

SESUDAH SUBUH

SANG Singa tersenyum lebar penuh kepuasan sambil memutar-mutar misainya. Tiba-tiba ilham itu bertandang dalam benaknya sungguh memberangsangkan. Ilham ini hadir sewaktu ia dalam keadaan lemah, tidak sekuat seperti dahulu. Dahulu dialah raja, gagah dan tidak tunduk kepada sesiapa. Semua haiwan lain tabik hormat kepadanya, bukan sangat kagum, tetapi kerana taringnya. Setiap keputusan dan ketetapannya akan diterima sekalian warga belantara. Siapa membantahnya akan menerima padah, diusir atau dibaham.  

Berdekad dia menjadi raja.

Apabila memburu rusa atau kijang untuk santapan, dengan satu terkaman sahaja haiwan itu terkulai dalam pelukannya kemudian disayap-sayapkan. Tetapi tidak lafi kini, mengejar seribu langkah belum tentu dapat, bahkan ia akan terkulai jatuh kecapekan tergolek sampai patah gigi dan taring.

Dalam keadaan begitulah, ilham itu cambah dimindanya. Sekali pandang ilham itu baik untuk semua. Sekiranya cadangan itu berjaya dilaksanakan, menguntung semua pihak. Ia memberi manfaat kepada semua, terutamanya dirinya. Ia harus kompromi dalam keadaan lemah begitu, tidak perlu agah sombong lagi. Cadangan itu merupakan agenda kehidupan buat predator, matlamat tersirat untuk memerangkap Sang Kancil.

Sang Kancil perlu ditangkap kemudian diusir, kalaupun tidak dijadikan lauk, dimasak lemak cili api dimakan beramai ramai, dagingnya sedap dan manis. Kancil perlu diambil tindakan kerana ia sudah melampau dan besar kepala, melanggar garisan merah. Semua haiwan dipermain dan diperbodohkan olehnya dengan penuh tektikal.

Buaya, Beruang, Harimau, Ular Sawa dan lain semua diperkenakan hidup-hidup oleh Kancil. Kalau hendak dikira Kancil tidak mampu untuk mengenakan mereka, kerana kehebatan mereka jauh lebih hebat daripada Kancil yang bertubuh kecil sahaja, (sebab itu ia dipanggil sang kancil, sebenarnya sang kecil). Tetapi kerana kelicitan dan daya tipu helahnya tinggi, maka semua predator kantoi kepadanya. Jadi tidak boleh dibiarkan, Kancil kena diajar sebelum cacing naik ke mata. Untuk mengajarnya semua predator perlu maufakat dan bersatu tanpa mengira bulu.

Thursday, January 8, 2026

Bila PM nak isi kekosongan Setiausaha Politik kanannya?

UALASAN PAGI

SUDAH sepurnama lebih Datuk Seri Iskandar Md Akin (Sam) melepaskan secara relapaksa jawatan
sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri. Sam melepas jawatan itu 25 November, 2025 beberapa hari menjelang pilihan raya negeri Sabah. Ketika itu saya berada di Makkah menerima maklumat itu pernuh terkesimakan.

Walaupun keputusan itu berat, tetapi beliau mengambil akauntabiliti demi menjaga maruah kerajaan dan parti. Disini beliau lebih mengutamakan perjuangan daripada mempertahankan hak dan kepentingan peribadi. 

Katanya keputusan berat itu diambil untuk mengelakkan isu yang menimpanya menjejaskan kerajaan. 

Beliau boleh terus memegang jawatan itu atas prinsip keadilan seseorang itu belum didapati bersalah selagi ia belum diadili?' Disinilah jiwa besar Sam.

Friday, January 2, 2026

Bai'ah: Pas mewarisi doktrin Abu Jaffar al Mansor

UALASAN TAHUN BARU

ADA pihak tidak senang dan marah kepada Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin, (Dr Maza) apabila beliau menyentuh soal politik. Ada yang suruh Dr Maza sepikan diri dan jangan bercakap soal politik.
 
Saya tidak setuju dengan pandangan itu yang bersifat cuba menjumudkan politik. Sebagai Mufti, Dr Maza ada tanggungjawab sama ke atas politik, apa lagi apabila politik itu dikaitan dengan agama. Dan membabitkan dengan urusan kehidupan seharian. 

Kata Tok Dor Islam tidak boleh dipisahkan dari politik.

Jawatan Mufti menjadi tugas yang diamanahkan kepadanya untuk memberi pencerahan dari segi hukum agama agar ia tidak terus dikelirukan. Tugas dan amanah yang dipikul, Dr Maza ini sangat berat harus disedari ia bukan berkisar di masjid dan surau sahaja. 

Tugas seorang mufti sebenarnya lebih besar dan penting dari perdana menteri atau orang politik. Hatta dengan raja raja sekalipun, sebab itu disemua kerajaan ada wujudkan institusi Mufti. Kena tahu perkara ini.

Perdana Menteri, dan orang politik bertanggungjawab membuat dasar, polisi pemerintahan bersama para wakil rakyat. Tetapi tugas Mufti memastikan supaya dasar dan polisi itu tidak bertentangan dan bercanggah dengan Islam. Ini tanggungjawab, kerana jika lari dari tanggungjawab ini, mufti dahulu akan masuk neraka.

Dr Maza dimarah, dikecam dan diingatkan jangan bercakap politik apabila beliau menyentuh soal bai’ah dalam Pas. Isu ini melata balik apabila berlaku kemelut politik di Perlis, bila mana Pas memecat tiga Adunnya. Ekoran pemecatan itu tiga Aduh itu mereka dikecam sebagai melanggar sumpah bai’ah.

Sebagai Mufti Dr Maza menjelaskan tentang pembai’ahan, atau sumpah diperkenalkan oleh Pas itu bercanggah dengan Islam. Bai’ah itu melanggar dan bertentangan dengan prinsip Islam yang menganjurkan menjaga dan memperkuatkan institusi keluarga, sebaliknya bai’iah itu mahu meruntuhkan. Ini yang dipersoalkan oleh Dr Maza. 

Hukum dan syarat itu yang menyebabkan Dr Maza menyentuhnya, kerana ia sudah melampau dan boleh merosakan aqidah. Dalam bai’ah di Perlis tidak menyebut soal talak, tetapi katanya di Kelantan dalam lafaz bai’ahnya, meletakkan jatuh takak tiga sekiranya lapaz itu dimungkiri. 

Ini menyebabkan Dr Maza tidak dapat bersubahat menyembunyikan sesuatu yang khurafat. Saya kira cukup lama Dr Maza makan hati berulam jantung mendekam hal ini dalam jiwanya dan baru kini berani menyuarakannya.

Berhubung dengan sejarah bai’ah ia bukan pelik kerana menurut Dr Maza pernah berlaku dizaman kerajaan Abbasiah dulu. Abu Jaaffar al Mansor membuat pengistyharan sesiapa yang merungkaikan bai’ah dengan kerajaan menyebabkan ia akan tertalak dengan isterinya. Mungkin ilham bai’ah Pas dicungkil dari sini.

Perkara ini dibantah dan dibangkang oleh Imam Abu Malik, yang mengatakan bai’ah sebegitu suatu paksaan, “mustakhrah”. Kerana bantahan itu menyebabkan Imam Malik dimarahi dipukul sampai sebelah tangannya tidak dapat diangkat. 

Jangan pula ada pihak yang berani dan tergamak pukul Dr Maza. Sebelum ini keretanya pernah dibakar?
Dapat disimpulkan bahawa sumpah bai’ah Pas itu satu kepalsuan bolong yang diwarisi dizaman Abu Jaafar al Mansor dijadikan doktrin untuk kepentingan politik yang bercanggah dengan Quran dan hadith. Trims. [wm.kl. 9:45 am 02/01/2026]