Thursday, September 3, 2026

Pas-Umno Berpelukan di Putik



CATATAN SORE 


Pengerusi Dewan Ulama Umno
Dusuki Ahmad.
ESOK parti agama akan mengadakan muktamar penuhnya. Muktamar kali ini diadakan di Kelantan. Muktamar ini dikira menarik kerana ia akan menentukan apakah kerjasama kesekian kali dengan Umno akan menjadi kenyataan.

Khabarnya Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, akan hadir ke muktamar berkenaan atas kapasiti sebagai tetamu utama. Ketua Pemuda Umno (lupa nama),dan rombongan telah pun merasmikan kehadiran Umno dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas.

Pengerusi Majlis Ulama Umno, Dusuki Ahmad, pula hadir ke Muktamar Dewan Ulamak Pas. Ini bukan lagi tanda-tanda kecil. Ia sudah menjadi satu isyarat politik yang cukup jelas.

Sebelum ini parti itu sudah mengadakan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15. Namun, kerjasama itu terburai di tengah jalan apabila Pas memilih untuk bersama Bersatu melalui Perikatan Nasional, (PN) meninggalkan Umno.

Ada riwayat mengatakan langkah Pas meninggalkan Umno itu kerana mengejar “duit” daripada Bersatu. Apa juga sebab dan cara PAS, pilihan raya itu menguntungkannya. 

Hasil kerjasama dengan Bersatu, Pas menang besar dengan mencatat sejarah memperoleh 43 kerusi Parlimen. PAS juga menguasai ratusan kerusi DUN dan merampas Perlis, di samping mengekalkan kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Umno terlopong dengan kejayaan Pas itu sehingga parti itu hampir lumpuh sama sekali. Kalau tidak ada empati PH yang mengundang Umno untuk membentuk kerajaan bersama melalui Kerajaan Perpaduan, mungkin Umno sudah kehabisan gas, atau kehabisan nyawa.
Saat orang melihat kerjasama PH dengan BN menerusi Kerajaan Perpaduan membawa anjakan baharu, tiba-tiba Umno berubah nada pula kini.

Situasi dan apa yang berlaku itu memang pelik, tetapi itulah politik dan pola-polanya. Itulah dinamika politik. Politik pragmatik Umno diteruskan dengan cuba mengikat taawun sekali lagi dengan Umno.
Kemenangan Umno dalam dua pilihan raya negeri, Johor dan Negeri Sembilan, memberi wahyu kepada Umno menjadikan parti itu besar kepala dan melupai zaman sengsaranya. 

Sebahagian orang Umno mengira politik perkauman dan agama yang dibawa bersama Pas dalam dua pilihan raya itu bakal mencerahkan semula harapan UBN untuk memerintah Malaysia.
Tidak syak kemenangan di dua negeri itulah yang membawa kepada keyakinan Umno bahawa mereka akan berjaya. Kerjasama dengan parti agama atas semangat kebangsaan dan asabiyah itu akan membawa hasil. Segala budi, jasa dan simpati PH, terutamanya Anwar Ibrahim tidak perlu dikenang. 

Bertolak daripada itulah mereka akan praktiskan formula tersebut dalam pilihan raya umum ke-16 nanti. Kononya dalam pilihan raya umum ke-16 nanti Umno akan bekerjasama dengan Pas.
Bagaimana bentu dan rupa kerjasama masih misteri. Apakah Pas sedia membahagikan kerusinya buat Umno atau menjadikan Umno sekadar kaldai tua sebagai tunggangan?

Kemuncak kepada usaha dan gagasan itu akan dapat dinilai dan dihitung esok apabila Ahmad Zahid Hamidi hadir ke PUTIK, tempat berlangsungnya muktamar.
Aksi yang akan disorot nanti dan akan menjadi minat semua orang ialah bagaimana rupa dan aksi Zahid dengan Presiden PAS. Berapa lama mereka akan berpelukan di pentas untuk dirakam kemudian diiringi ditepuk tangan bergemuruh, diselang takbir.

Tentu sekali lagi pemelukan itu akan diiringi air mata Muslimat PAS. Akan banjirlah Putik besok dengan air mata kesyukuran dan keinsafan.

Tidak kekok dan ralatkah Zahid untuk memeluk dan berdekapan dengan seorang yang pernah dituduhnya sebagai pembohong, yang dikatakan berbohong bukan saja di tanah Jawi tetapi di Makkah? Na'uzubillahi min zalik.
Satu kenyataan dan sindiran yang maha kejam pernah dilakukan Zahid.
Kita yakin, bagi pihak orang yang dituduh itu, dia tidak merasakan apa-apa. Malahan dia akan berasa tenang apabila orang yang pernah menuduhnya datang ke rumah. Kehadiran Zahid akan dianggap sebagai satu apologetik. Dalam percaturan ini Zahid dipihak yang kalah.

Presiden Pas, dengan sifat sebagai seorang dianggap tok guru, akan melupakannya. Dan seluruh anak-beranaknya akan melupakan sindiran itu. Apa yang penting ialah kemenangan dan kepuasan.
Bukan itu sahaja. Di sinilah terletaknya politik berjiwa besar di pihak mereka.
Persoalannya, apakah acara yang bakal berlangsung esok akan menamatkan semua cerita sedih dan rasa terkilan sebelum ini?

Apakah Umno benar-benar ikhlas dengan kerjasama itu? Atau sikap dan sifat itu hanya sepihak?
Inilah yang ditunggu dan mahu disaksikan. Dan apakah Muktamar Pas ke-72 itu penuh dengan dramatik?
Umno, seperti yang saya katakan, ialah sebuah parti yang DNA-nya khianat. Bukan hal mudah untuk dilupakan begitu sahaja kejahatan dan kebejatannya kerana ia sudah menjadi darah daging. 

Orang Pas di Kelantan, Terangganu dan Kedah turun temurun mengetahui akan kejahatan dan kezaliman Umno. Umno dibawah pimpinan almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Mahathir Mohamad tidak jauh bezanya dengan Umno di bawah Najibd an kini Zahidi. Jika ia diumpamakan ular katan tebu, yang beza hanya jalurnya sahaja.

Tentu sekali sikap Umno seperti anjing yang tidak makan tahi tetapi tetap menghidunya.
Sejujurnya, kita mengharapkan kerjasama itu berlaku dan terjalin dengan baik. Kita mahu tengok bagaimana sebuah parti tulen bernuansa bangsa dan beriktikad dengan kerpecayaan agama sama memerintah kelak. 

Pembentukan kerjasama itu sudah pasti akan memeriahkan politik Malaysia kerana selepas ini kita akan menyaksikan pula bagaimana terbentuknya kerjasama baharu antara PH, Bersatu dan parti-parti dalam IPR. 

Keadaan ini tidak dapat tidak ia berlaku, apabila ada angin meniup awan, maka awan akan bergerak dan berhimpun disudut langit, manakala disuatu saat nanti hujan akan turun. Trims. [wm.kl. 4:12 pm 03/09/2026]

No comments: