Sunday, August 2, 2026

BN Jangan Jadi Lembu Dicucuk Hidung

ULASAN PIRANE NS

TAHNIAH buat BN dan PN kerana berjaya merampas Negeri Sembilan daripada PH-BN? Mungkin ramai tidak sedar kejayaan BN itu merampas haknya sendiri, kerana sebelum ini BN berkolaborasi dengan PH membentuk kerajaan bersama selama lebih dua tahun.

Kerajaaan NS sebelum ini (2023 - 2026) dibentuk hasil gabungan PH dengan BN, bagaimana pun kerajaan itu hilang kuasa apabila BN tarik sokongan kepada MB Aminuddin Harun. 

 Boleh disimpulkan kemenangan BN malam tadi adalah hasil sebuah pengkhianat dan strategi politiknya sendiri. Justeru kejayaan itu tidak begitu pelik dan menghairankan.

Jika diteliti dan memahami implikasi politik BN tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan itu, sebab BN tidak menang bergaya secara solo, kejayaan itu dikongsi dengan dua rakan, Pas dan Wawasan menerusi pakatan tidak konkrit. 

Kalau boleh dibanggakan hanya kerana Umno berjaya mengekalkan semua kerusi dimilikinya sebelum ini dan menambah empat kerusi termasuk menerusi MCA. Dari segi nilai, tiada nilai tambah buat Umno dari pilihan raya itu, BN hanya mampu mempertahankan kerusi sedia ada, status quo. Itu sahaja.

Dalam pilihan raya 2023 BN menang 14 kerusi, kali ini 18 kerusi, bertambah empat kerusi sahaja. Yang boleh dilihat berjaya ialah Pas apabila parti agama itu berjaya tambah kerusi, daripada tiga kepada empat kerusi. Dari segi moral kerjasama BNPN itu lebih memberi keuntungan buat Pas. 

Tiga lagi kerusi BNPN disumbang oleh Wawasan. Pencapaian Wawasan itu boleh dikira hebat, sekiranya tidak berlaku perpecahan dalam Bersatu, yang mewujudkan Wawasan, mungkin Bersatu boleh memiliki beberapa kerusi lagi.

Dengan situasi tersebut BN tidak boleh berbangga sangat. Kalau meraikan rasa gembira pun tidak boleh sampai ke langit biru, layak setakat dibumi sahaja. Tidak perlu merai sampai 40 hari 40 malam, tetapi cukup sekadar empat harı empat malam sahaja. BN kena sedar kerajaan akan dipimpin nanti yang belum tahu bila akan dibentuk bukan dalam keadaan selesa.

Dengan hanya memegang 18 kerusi, BN perlu tahu angka itu tidak melayakkan untuk bentuk kerajaan sendiri. Ia perlu bergabung. Kerajaan gabungan selalu dilihat lemah dan bahaya kerana ia boleh terburai bila bila masa.

Dengan memiliki angka 18 kerusi BN boleh mewarisi perasaan bimbang dan cemas seperti apa dihadapi PH sebelum ini. Sesiapa yang akan diangkat jadi MB akan mewarisi perasaan cemas dan gundah gulana sama seperti dilalui Aminunddin.

Kerajaan yang dibentuk parti tanpa memperolehi majoiri dua pertiga atau simple majoriti, berada seperti diatas titian, kerajaan itu seperti perahu kecil dalam samudra terpaksa menongkah ombak dan gelombang. 

Apa lagi resam politik itu boleh berubah dan bertukar arah bila bila masa. Kerajaan gabungan tidak ubah seperti ketul, ais yang boleh mencair, atau membeku. Sekiranya kawalan (suhu) tidak dibuat sebaik mungkin ia boleh mencair kemudian runtuh dan hilang. Tetapi kalau ia dikawal dengan baik ais itu akan kekal dan utuh.

Sejauh mana BN dan PN dapat mengawal ketulan ais kerajaan itu?

Dan dari sisi lain dengan kedudukan itu, BN boleh disifatkan sebagai lembu yang akan dicucuk hidung, yang akan ditarik dan didorong. Yang jadi tuan dalam hal ini ialah Pas dan Wawasan. Sebagai tuan Pas dan Wawasan akan mendorong mengikut kemahuannya, dan sang lembu terpasa tunduk dan akur mengikut kehendak tuannya. 

Apakah BN boleh bertahan dan bersabar dengan situasi itu nanti. Inilah cabaran besar mendatang bagi BN. Disinilah ia akan menentukan lama atau sekejap kerajaan yang bakal ditubuh itu. Dalam hal ini memerlukan kebijaksanaan dan diplomasi serta kesabaran maha tinggi.

Satu peringatan kepada BN mereka perlu berwasapada agar apa yang mereka takut dan bimbang selama ini agar tidak dipatuk ular yang sama dalam lubang sama dua kali akan berlaku. BN sangat phobia kepada perkara itu sebelum ini.

Cuma BN mempunyai sedikit kelebihan dengan memiliki 18 kerusi itu, menjadinya parti memiliki modal besar. Dengan angka itu BN boleh menerima dan mencari mana mana pihak untuk melabor, untuk jadi sebagai rakan gabungan untuk bentuk kerajaan ataupun penyelamatnya nanti. Memiliki kerusi sebanyak itu adalah aset buat BN.

Semisalnya kalau BN telah rasa terseksa menjadi lembu dan perlu bantuan untuk survive kerajaanya, PH yang mempunyai 11 kerusi boleh bertindak jadi oksigen membantunya. Dan jangan rasa mustahil kalau sekali lagi kita akan menyaksikan kerjasama antara BN dengan PH di Negeri Sembilan selepas ini. Sejarah sering kali berulang. Trims.[wm.kl. 10:37 am 02/08/2026]

No comments: