PANDANGAN DAN ULASAN
| Anwar dimajlis HAMKA. |
Dalam usia 17 tahun, semasa di Tingkatan Enam di MCKK, menurutnya Anwar sudah menulis artikel menggarapkan pemikiran seorang tokoh Islam dan ulama dunia, sekaligus menunjukkan Anwar seorang yang berbakat dan berpotensi menjadi pemimpin.
Dalam usia sebegitu, jarang pelajar dapat merungkai pemikiran tokoh bertaraf dunia. Apa yang dilakukan Anwar itu suatu kehebatan luar biasa yang membanggakan.
Apa yang disampaikan Dr. Zulkifli itu menunjukkan bahawa pemikiran dan prinsip Islam dipegangi Anwar sejak dari sekolah lagi. Pemikiran dan minda Islam itu terus dipraktikkan dalam gerakan belia ABIM dan kini dalam kepimpinan siasahnya.
Dr. Zulkifli juga menyebut PM ke-10 itu berkawan dengan ramai para ulama dan tokoh dunia yang menjadi sahabat baiknya. Hubungan beliau dengan rakan-rakannya itu masih terjalin sampai kini, dan mereka bangga serta menghormati Anwar sebagai pemimpin Islam yang berani dan lantang, terutamanya dalam memperjuangkan hak asasi dan nasib rakyat Palestin. Usaha dan keberaniannya mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Kehebatan dan hubungan Anwar dengan para ulama dan tokoh Islam dunia memang tidak dapat disangkal. Dalam politik dan pentadbirannya, beliau banyak dipengaruhi pemikiran Yusuf al-Qaradawi, Malik Bennabi, Hassan al-Nadwi, Ismail al-Faruqi dan lain-lain. Manakala tokoh tempatan yang menjadi antara idola Anwar ialah Syed Muhammad Naquib al-Attas, dan tokoh ekonomi yang dibanggakannya pula ialah Prof. Ungku Aziz.
Dari kaca mata dunia Islam di seluruh dunia, termasuk juga negara-negara Asia Tenggara dan sebahagian negara Barat, Anwar dilihat sebagai pemimpin ideal untuk Nusantara (Asia Tenggara) dan layak dinobatkan sebagai pemimpin Islam moderate di abad ini.
Tetapi yang aneh, pelik, ganjil dan menghairankan, beliau tidak mendapat pengiktirafan itu daripada ulama besar politik negara ini bernama Abdul Hadi Awang. Hadi semacam tidak memperakui keintelektualan dan ketokohan keislaman Anwar sebagai mujaddid Islam. Kenapa Hadi sukar untuk angkat jempol kepada Anwar? Ini memusykilkan umum, malahan membingungkan.
![]() |
| Abdul Hadi adalah sahabat Anwar. |
Apakah sebenarnya yang menjadi unsur penolakan Hadi terhadap Anwar? Persoalan ini banyak ditimbulkan dan belum ada jawaban tuntas. Anwar nampak terbuka dan berlapang dada dengan Hadi, sedia berpelukan, tetapi nampaknya tidak Hadi. Hadi perlu jelas dan nyatakan penolakan beliau kepada Anwar, bukan sekadar berkias dan bertamsil ibarat. Biar jelas dan nyata. Tidak baik menggantungkan kepala umum dengan seutas tali bernama persepsi, bukan qat‘i.
Suatu masa mereka sudah pun berada di satu saf. Sayangnya waktu itu sama-sama ketika masih menjadi pembangkang. Jadi tidak nampak hasil pelaksanaan cita-cita perjuangan masing-masing. Namun situasi itu sudah mengamankan politik umat negara ini.
Sebahagian masalah yang dihadapi umat Islam dan bangsa Melayu negara ini — perpecahan kerana politik, perbezaan dalam mentafsirkan maksud al-Quran dan hadis serta ijmak ulama yang adakalanya boleh meretakkan perpaduan dan ukhuwah Islamiah — akan selesai kalau mereka berdua duduk bersama.
Tetapi situasi yang diharapkan tidak begitu. Keadaan mereka berdua dilihat bertentangan antara satu sama lain. Yang nampak begitu keras ialah Hadi Awang. Beliau tidak memberi tolak ansur dengan Anwar. Bahkan untuk memberi peluang Anwar membuktikan kebolehan dan menunjukkan keupayaan melaksanakan iltizamnya pun tidak berlaku.
Suasana ini kian jelas lagi apabila Anwar menjadi Perdana Menteri. Paling dikesalkan, penentangan dan serangan Hadi terhadap Anwar lebih teruk dan parah daripada serangannya kepada PM sebelum ini, Dr. Mahathir Mohamad, Najib Razak atau Abdullah Ahmad Badawi.
Apakah Hadi dengki dan iri hati dengan pencapaian sahabat lamanya itu? Tidak! Sebab beliau sering menegaskan jawatan bukan buruannya. Apakah keadaan tegang begini berterusan akhir-akhir ini kerana Hadi sudah dihasut orang-orang bernafsu besar untuk menjadi PM? Hadi tidak sedar bahawa beliau sudah tertelan telur syaitan.
Kalau benar begitu, sebagai orang bernama ulama, arif mengenai pengajaran al-Quran dan hadis, sudah hafal dan lunyai mengenai gerak kerja dan strategi syaitan dan iblis, sesuatu yang sangat malang kalau Abdul Hadi hanyut dalam lautan adu domba makhluk itu.
Sebagai penghafal al-Quran dan hadis, tentu Hadi menemui banyak firman Tuhan yang menganjurkan berbaik-baik, tidak berdendam dan bersifat memaafkan.
Ayat dalam Surah al-A‘raf, ayat 199, sangat jelas: “Jadilah engkau pemaaf, suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil.”
Dalam Surah al-Ma’idah, ayat 8 pula Allah menyuruh: “Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih dekat dengan takwa.”
Sementara dalam Surah al-Nur, ayat 22, Allah menganjurkan supaya memaafkan dan berlapang dada: “Hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka Allah mengampuni kamu?”
Tentu sekali ayat-ayat berkenaan sudah berada lama dalam dada dan sukma Abdul Hadi.
Umat Melayu dan rakyat negara ini akan bahagia kalau ketegangan, pertentangan atau perbalahan maslahat dalam mencari mudharat lebih kecil antara keduanya berakhir. Agak-agaknya apakah hari kemudian buat Hadi dan Anwar dalam soal ini. Apakah mereka tidak akan bersatu, walaupun di syurga kelak? [wm.kl. 8:19 pm 20/08/2026]

No comments:
Post a Comment