Sunday, December 9, 2007

Cerita Semalam

Terima Kasih dan Pohon Kemaafan Daripada Semua

SEMALAM (7 Disember 2007) saya tidak mamasukkan apa-apa bahan dan catatan di dalam blog ini. Bagi mereka yang terselak blog ini mungkin sedikit kecewa. Maaflah kerana semalam agak sibuk sedikit kerana melayani anak buah dan kawan-kawan dan sahabat seiringan jalan dan sepejuangan yang datang ke rumah untuk bertemu mata dan mengucapkan selamat untuk saya dan isteri yang akan ke Makkah dini hari ini.

Mulanya terasa malu juga untuk mengkhabarkan kepada kawan-kawan mengenali perjalanan - musafir Ilahi - saya bersama isteri. Tetapi apabila banyak kawan yang bertanya; tak buat kenduri atau doa selamat, hendak tak hendak buatlah sikit.

Di kampung dua hari lepas sudah buat solat hajat - sekadar memenuhi permintaan orang tua dan mengikut adat dan tradisi orang kampung saya. Selalunya bila ada waris warah hendak ke Tanah Suci mereka akan adakan kenduri dan doa selamat. Kata mereka disunatkan mengwar-warkan pemergian ke Makkah kepada jiran sekampung selain mengharapkan doa restui mereka ia juga merangsang mereka menanamkan azam untuk ke Baitullah.

Alhamdulillah majlis semalam semuanya berjalan lancar. Anak buah, kakak ipar, adik ipar, adik beradik di Lembah Kelang semua hadir. Paling istimewa ialah rakan-rakan blogers (yang sempat dikirimkan sms) turut mencuri masa dan sama hadir.

Antara mereka Pak Ya (Yahaya Ismail), Kamal Amir Kamal Hijar dan isteri, Sang Kelembai (Zaharin Yassin), Zulkefli Sulong (rakan seperjuangan di Siasah), Hafiz Baqi (Pengarang Berita Siasah), Aziah dan suami (Siasah) Pak Dharmala NS (Abdul Muluk Daud) bersama isteri, Haji Bakar Ninggal bersama isteri, Eman Jr (penulis buku mendedahkan skandal bekas Datuk Bandar), Pyan Habib dan isteri.

Turut sama datang rakan-rakan termasuk Ibrahim Hashim, Nasaruddin Bagan Datoh, sdr Azmi Che Kob dari Raub bersama isteri dan anak-anak dan ramai lagi.

Biasalah kalau penulis berjumpa sesamanya, boraknya tidak mudah lengsai. Cerita panas ketika ini mengenai Hindraf menjadi topik utama. Masing-mamsing memberi pandangan dan rumusan tersendiri mengenai Hindraf. Rata-rata sependapat dengan saya agar kerajaan bertindak tegas dan menangkap dalang di sebalik gerakan (Hindraf) itu yang nampaknya mula menyusah dan memburukkan negara itu.

Masing-masing mengatakan Abdullah tidak perlu berlembut dan memikir kesan pilihan raya untuk mengambil tindakan. Abdullah kata mereka seharusnya memikirkan soal negara daripada soal politik partinnya.

Selain topik itu ialah komentar mengenai Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Kecaman dan hentaman kepada Abdullah tidak pernah berhenti dan rasanya isu Abdullah ini akan berterusan walaupun habis musim haji tahun ini!

Beberapa rakan lain yang tidak sempat datang menghubungi menerusi sms. Ibrahim Ali yang berada di Pasir Mas yang mendampingi rakyat Pasir Mas yang mula ditimpa bajir tidak henti-henti menghantar sms mengucap selamat dan salam kepada rakan-rakan dan meminta saya mendokan di Makkah agar semua blogers akan terbuka hati untuk ke Makkah ramai-ramai.

Ibrahim Ali datang ke rumah sehari sebelum beliau pulang ke Kelantan, kelamrin.

Sambil bersila di atas tikar rotan di depan rumah perkenakan kopi Bio Raud yang dihadiahkan sahabat Azmi Che Kob, cerita mengenai Abdullah dan 'keronyokkan' ke atasnya sepertilah Abdullah akan jatuh esok juga. Lewat petang baru himpunan itu bubar.

Biasalah kalau adakan kenduri ia tidak mudah selesai. Hingga jam 12:00 tengah malam masih ada dua tiga rakan yang baru mengetahui hajat saya itu datang untuk berjumpa mata. Tetamu terakhir ialah sdr Azmin Muslim dan keluarga, Dr Suhaimi Kadir, Mohd Amin Pepet (mangsa projek Jihad Ternak) dan Nazri Jaafar.

Setelah 'kedai tutup' jam 2:00 pagi ingat nak mencatat sesutau di blog ini, tetapi kerana sudah keletihan, tertidur .... dengan perasaan rasa bersalah kerana blog ini dibiarkan kosong semalam.

Sekali lagi di sini kepada rakan, sahabat dan anak buah yang datang meraikan saya dan isteri semalam diucapkan berbanyak terima kasih. Kehadiran anda sekalian memberi semangat dan kekuatan untuk saya dan isteri turun ke Tanah Suci dengan semangat dan rasa ubudiyah yang tinggi.

Kepada rakan-rakan yang tidak sempat dihubungi atau 'terhubung' lewat, saya pohon maaf. Terima kasih juga kepada Media Icon Sdn Bhd terutamanya MD nya yang ikut sama mendoakan saya dan isteri.

Kepada semua saya pohon kemaafan dan mengharapkan doa mustajab anda sekalin. Salam dan jumpa lagi sekiranya di Makkah dan Madinah kelak ada 'kemudahan' internet. [wm. kl 11:05 am 08/12/07]

Thursday, December 6, 2007

Ulasan Semasa

Sia-sia Pembangkang Lawan Rashid

MSO

KADANG-KADANG saya kehilangan rasa dan perasaan apabila mengenangkan telatah pembangkang dan Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman. Seingat saya tidak ada sedetik masa pun kedua pihak ini; pembangkang dan SPR reda daripada perbalahan dan sikap menegak benang basah masing-masing. Kedudukan mereka senantiasa tegang sepanjang masa.

Kalau hendak dikira pembangkang menghabiskan banyak masa untuk berhadapan dengan SPR dan Pengerusinya Rashid. Sudah beribu lali kenyataan dibuat oleh pembangkang membedal dan mengecam SPR. Rashid pula apa lagi tidak dilontar dan diucapkan kepadanya, habis semua bahasa kotor sampai disebut sebagai Rashit - tahi.

Untuk mengatasi masalah itu perundingan baik secara forma dan tidak formal juga diadakan. Itu tidak dikira lagi usaha secara peribadi (personal konteks) dilakukan oleh individu tertentu yang baik dan kenal dengan Rashid. Setengahnya mengakui Rashid baik dan bersedia membantu pembangkang, khasnya Pas.

Tetapi sayang mereka tidak faham mengenai kedudukan dan kapasiti Rashid yang mana antara diri Rashid dan SPR itu dua perkara yang berbeza sama sekali. Rashid adalah manusia dan kawan kepada pembangkang, manakala SPR ialah badan bebas yang dikontrol dan dikuasai oleh Kerajaan.

Janji Rashid

Silapnya pemimpin pembangkang dalam soal ini mereka mudah membuat kesimpulan. Apabila Rashid baik dan boleh diajak minum air dengan pemimpin pembangkang, mereka terus beranggapan Rashid bersimpati kepada mereka. Tetapi ternyata pertemuan dan janji Rashid kepada mereka itu tidak mengubah sikap dan 'kebebasan' SPR yang tidak menguntungkan pembangkang itu.

Saya hilang perasaan kerana hendak kata simpati pun tidak, lucu pun tidak kepada pembangkang mengenangkan nasibnya yang kena main kepada SPR. Tetapi saya rasakan apa yang pembangkang lalukan itu membuang masa saja.

Mereka tidak pernah serit-serit berhadapan degan Rashid. Kalau pembangkang faham mereka tidak patut melakukan apa yang mereka lakukan hari ini. Mereka tidak akan mendapat manfaat apa pun daripada apa yang mereka lakukan itu.

Mengharapkan Rashid bersikap adil samalah seperti mengharapkan polis berlaku adil dan mesra pembangkang, ia sesuatu yang sangat mustahil untuk diperolehi. Pemimpin pembangkang harus faham antara Rashid dan SPR dua perkara yang berbeza. Rashid adalah orang dan kawan manakala SPR ialah suruhanjaya bebas yang dikuasai oleh Kerajaan.

Betapa Rashid simpati dan berjanji untuk membantu pembangkang, siapalah Rashid. Dia hanya makan gaji dan dibayar upah oleh Kerajaan. Lagi banyak gaji dan upah lagilah Rashid harus berbudi kepada Kerajaan. Tidak faham ke?

Penjelasan dan hakikat ini harap dapat difahami dan dimengerti oleh pembangkang. Jangan meminta sesuatu daripada Rashid yang beliau tidak dapat menunaikannya. Kerja itu seperti mengharapkan sisik daripada belut. Kesiankan Rashid sahaja.

Melanjutkan khidmat

Khabarnya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan berarak ke parlimen pada 11 Dismber ini untuk membantah pindaan akta Suruahanajaya Pilihan Raya (SPR) untuk melanjutkan usia persaraan pengerusi SPR. Pembangkang membuat perhitungan cadangan pindaan itu semata-mata kerana hendak melanjutkan khidmat Rashid sehingga setahun lagi.

Kalau desakan Bersih itu semata-mata hendak membantah penyambungan Rashid sebagai pengerusi SPR maka hebatlah Rashid. Kedudukan Rashid itu lebih besar daripada SPR itu sendiri. Tidak semena-mena pembangkang telah menaikkan pangkat dan martabat Rashid. Tidakkah dengan keadaan itu menyebabkan Rashid merasa dia hebat dan wajar kalau Kerajaan mempertahankannya sebagai pengerusi kerana beliau dapat berbudi kepada BN?

Kalau pembangkang sudah dapat mengagakkan yang Rashid sangat diperlukan untuk membantunya dalam pilihan raya akan datang jadi apa sibuk-sibuk membantah dan melawannya. Kerajaan BN tetap akan mempertahankan Rashid.

Justeru pada saya usaha dilakukan pembangkang, menyumpah Rashid dan juga termasuk usaha Bersih berarak mendesak agar pindaan akta SPR itu dibatalkan tidak akan membawa apa-apa hasil. Ia hanya sia-sia sahaja.

Pada saya tindakan paling baik kalau kita tidak percaya kepada SPR pulaukan saja pilihan raya. Jangan menyertai pilihan raya. Itulah protes paling kemundak dan bermakna. Pembangkang perlu mengajar SPR dan Kerajaan. Betapa kalau pembangkang mengambil sikap dan pendirian itu barulah apa yang pembangkang war-warkan kononya SPR tidak adil dan telus menjadi kenyataan.

Tindakan itu juga baru dilihat sebagai rasional oleh dunia. Ini tidak pembangkang hanya tahu mempertikai dan mengatakan SPR tidak adil tetapi dalam masa sama mereka tetap juga menyertai pilihan raya. Menyertai pilihan raya menunjukkan pembangkang setuju dengan SPR. Sikap tidak konsisten inilah menyebabkan orang merasakan protes kepada SPR itu hanya protes olok-olok sahaja. [kb. 10:10 am 07/12/07]

Rencana Khas - Maya Oh Maya

Tawar Maya Karin Bertanding di Kelantan

MSO

KERAJAAN Kelantan nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam serba serbi untuk tidak menampakkan ianya jumud. Apa yang dibuat dan menjadi amalan Kerajaan BN turut sama dipraktikan di negeri berkenaan. Sesetengah apa yang Pas buat boleh mengelirukan rakyat Kelantan kerana tidak ada beza lagi dengan kerja dan budaya Umno.

Kepimpinan ulama yang menjadi slogan pemerintahan Nik Abdul Aziz Nik Mat seakan menjadi pendorong untuk memancu Kelantan dalam serba serbi. Semacam slogan itu menjadi faktor pendorong Kelantan perlu menerokai semua bidang kehidupan dan membawa sesuatu yang selama ini asing dalam konteks parti berkenaan. Tujuannya satu iaitu untuk menampakkan bahawa Islam itu dinamik dan tidak kolot!

Usaha ini ghairah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin baru Pas Kelantan yang mempunyai knowledge yang tinggi serta kerencaman dalam strategi berpolitik. Mereka perlahan-lahan mengubah pegangan atau fahaman lama yang membelenggu Pas selama ini.

Atas alasan Islam itu progresif dan dinamik perubahan itu dilakukan. Satu persatu anjakan pemikiran, pendekatan dan prinsip-prinsip Pas yang primitf yang sering dianggap dan diejekkan Umno sebelum dirombak dan dibuang.

Bersikap melawan

Pegangan dan anggapan bahawa ulama hanya bercakap atau menjadikan isu politik terhadap soal-soal yang khusus mengenai syurga perlu dipecahkan dan ia perlu kepada anjakan paradigma untuk menarik sokongan kepada Pas. Dalam hal ini Pas cuba menyesuaikan diri dengan keadaan dan tidak bersikap melawan keadaan.

Ada usaha kalangan Pas cuba membongkar dan memberi tahu umum bahawa untuk ke syurga itu bukan saja menerusi jalan wajib menerusi amal ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya saja, tetapi jalan itu luas dan feleksible termasuk juga menerusi aktiviti-aktiviti kehidupan lain yang dianggap modern.

Untuk membawa perubahan dan melaksanakan ini Pas menggunakan Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai lesen. Sebab itulah sesuatu perubahan dan pembaharuan yang agak asing bagi Pas sebelum hendak dilaksanakan mereka akan mempengaruhi atau membacuh pemikiran Nik Aziz dulu. Kalau Nik Aziz setuju dan rela maka barulah dilaksanakan.

Maknanya di dalam menerima pembaharuan dan perubahannya ia bergantung kepada Nik Aziz. Dalam hal ini pula Nik Aziz sebelum memutuskan sesuatu terlebih dahulu mendapat penjelasan daripada orang tertentu. Ada kalanya dalam hal ini ada kaedah atau strategi bagaimana hendak mempengaruhi Nik Aziz. Kalau orang yang memberi tahunya tidak jujur maka keputusan yang direstui Nik Aziz juga akan menjadi tidak benar.

Bagi ahli Pas pula kalau pemimpin rohani mereka sudah setuju dan rela maka mereka akan lakukan apa sahaja. Sebab mereka yakin Nik Aziz akan menjadi ketua pengembara yang akan membawa mereka ke jalan menunju syurga dan sesekali tidak akan melencung ke jalan lain.

Usaha-usaha untuk meluas dan melebarkan pemikiran Pas perlu disokong. Pas seharusnya menjadi parti dinamik dan pratikal seperti agama Islam itu sendiri yang bersifat rahmatan li alamin. Namun dalam hal ini ada beberapa perkara perlu diberi perhatian dan diteliti dengan sebaiknya supaya apa yang dilakukan itu tidak terlebih kepada politik (duniawi) daripada ukhrawi dan menepati tujuan sebenarnya manusia itu disyariatkan ke atas muka dunia ini.

Apa yang kena ingat politik hanya alat untuk mencapai kuasa. Dan kuasa pula bukan matlamat di dalam hidup. Kuasa adalah alat untuk mencapai kehidupan yang hakiki. Tuhan pula di dalam tuntutannya sama sekali tidak membenarkan sesuatu yang haq dan batil itu digaul sekali.

Salah satu pembaharuan yang diterokai Pas atau Kerajaan Kelantan yang agak kontroversi ialah menggunakan selebriti seperti artis dan pelakun sebagai alat dakwah! Ilham membawa atau memperalatkan penyanyi dan pelakun ini untuk kepentingan Islam sememangnya sesuatu yang baik.

Artis dan pelakun itu bukan najis. Jika boleh diumpamakan mereka sepertilah wang hasil pendapatan negeri yang diperolehi secara meragukan (subahat) dan disatukan ke dalam akaun khas. Wang ini boleh dimanfaatkan untuk tujuan-tujuan lain seperti membantu orang bukan Islam.

Namun dalam hal ini kita bimbang apa yang berlaku tidak seperti itu. Membawa pelakun dan artis itu takut tergelecah dari niat asal sehingga ia menjadi perkara lain. Manusia itu sering lalai (ghafilun) manalah tahu kerana keasyikan mendengar nyanyian dan menatap wajah ayu pelakun, niat untuk agama itu akan bertukar kepada lain.

Mengawal syhawat

Kita yakin dengan ilmu dan benteng keimanan yang kuat Nik Aziz dapat menyempadankan dirinya antara haq dan batil tetapi bagaimana dengan orang lain khasnya anak-anak muda remaja! Kalau ada Exco yang terlepas tali dan tidak mampu mengawal syhawat, apalah dengan yang lain?

Adalah elok kalau para ulama Pas yang di luar belenggu Nik Aziz termasuk Dewan Ulama atau ustaz-ustaz muda yang dituduh pemimpin baru sebagai ekstrim memberi pandangan berhubung pembaharuan ini. Walaupun Nik Aziz mempuyai autoriti dan ilmu yang luas namun disebabkan beliau di keliling oleh pacat-pacat politik dibimbangi tindakan dan niatnya juga melencung kepada politik. Prinsip yang menjadi amalan doktor mencegah itu lebih baik daripada berubat adalah juga prinsip yang diajar oleh Islam dan harus dipraktikan.

Saya sendiri telah memberi pandangan membawa Asmawi Ani atau Mawi ke Kelantan beberapa tahun dulu sebagai tidak cocok dan tidak banyak membantu Pas Kelantan. Saya melihat kerja membawa Mawi itu kerja orang yang terdesak dan tidak yakin dengan kekuatan diri sendiri dan melanggar perinsip syariat Pas. Akhirnya apa jadi, walaupun niatnya baik tetapi perlaksanaan dan natijahnya tidak berbaloi.

Apa yang saya bimbangkan itu menjadi kenyataan. Apa tidaknya gara-gara Mawi menyebabkan berlaku sesuatu yang mengejutkan apabila ada Tok-Tok Imam yang tidak cukup zat iman dan akhlaknya turut sama menjadi egen menjual VCD nyanyian Mawi dan mempromosinya kepada anak buah. Merujakan lagi ada Tok Imam yang menghafal senikata lagu Seroja nyanyian Mawi dan mengajuk-ajuknya di dalam kuliah agama. Aduh...

Kini terbaru Kerajaan Pas mengundang pula Maya Karin, pelakun filem 'Pontianak Harum Sundal Malam'. Seperti juga Mawi, Maya tidak salah. Asal mereka dibayar setimpal dengan popularitinya, mereka akan pergi ke mana sahaja termasuk menyanyi di hadapan rumah Nik Aziz di Pulau Melaka sekalipun.

Secara ikhlas saya jadi terbatuk kecil apabila mendapat tahu Maya Karin di bawa ke Kelantan. Kononnya alasan kedatangan itu untuk mengambil bahagian dalam forum sempena Mini Fest Kelantan 2007 - yang pada saya pesta itu hanya menayangkan filem seorang pengarah dari Iran sahaja dan tidak lebih dari itu.

Apakah yang Maya boleh berikan sumbangan dalam dunia perfileman? Beliau seorang baru. Kalau betul Kerajaan Kelantan ingin menimba pengalaman filem dan menggalakan indutsri pembikinan filem di Kelantan, Kerajaan harus menjemput tokoh-tokoh filem atau pelakun lain yang lebih hebat dan berpengalaman daripada Maya Karin yang bukan 'muhrim' kepada Pas itu. Tetapi kenapa Maya Karin.

Pada saya jemputan ke atas Maya Karin itu sebagai gimik saja. Maya dijadikan alat untuk menarik anak-anak muda menghadiri program kerajaan negeri itu agar ia dilihat mendapat sambutan. Dari segi pengisian jiwa untuk mendidik anak-anak muda mendekati Allah agar menutupi aurat ia akan tidak tercapai kalau hanya setakat melihat Maya Karim berkelubung 'beruk' seperti isteri Abdullah Ahmad Badawi, Jeanne Abdulah apabila beliau berada di Kelantan.

Justeru fikiran nakal saya mengatakan pemanggilan Maya Karin ke Kelantan itu tidak memberi banyak sumbangan kepada Pas untuk menambahkan kerusi pada pilihan raya akan datang. Sebaliknya kedatangan Maya Karin itu untuk membolehkan sesetengah Exco Kelantan yang bersifat malu-malu kucing untuk bermesra dan melihat dari dekat bagaimana ayu dan anggunnya artis yang digossipkan dengan menantu PM, Khairy Jamalluddin. Atau apa kata untuk membolehkan Maya terus kekal di Kelantan tawarkan saja dia bertanding di mana-mana kerusi DUN di Kelantan. [wm.kl. 10:00 am 06/12/07]

Wednesday, December 5, 2007

Maklumat Rahsia

Awas
Penubuhan DAMAI Untuk Lawan Demonstrasi Jalanan

MSO

GOLONGAN dan individu tertentu yang kini sudah terpinggir dari arus perdana politik Perdana Menteri dan tidak mendapat perkenan Khairy Jamaluddin untuk sama-sama berada di halaman politik dan kekuasaan Abdullah sedang merancang dan menyusun untuk menubuhkan gabungan NGO yang dikenali sebagai Damai Malaysia (Damai).

Rancangan yang disandarkan atas alasan kononnya untuk menjamin kestabilan negara itu dipercayai dilakukan untuk dijadikan modal oleh individu berkenaan untuk mengambil hati Abdullah dengan harapan akan diberi ehsan untuk dipilih menjadi calon pada pilihan raya akan datang.

Maklumat dan jemputan mengenai penubuhan NGO itu disebar menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) dan dikirimkan kepada pihak-pihak tertentu terutamanya pemimpin-pemimpin NGO. Ia juga disampaikan dari mulut ke mulut oleh individu tertentu sejak beberapa hari lepas.

Penggerak utama untuk menubuhkan Damai ialah bekas seorang timbalan menteri yang kini merupakan Ketua Umno di sebuah bahagian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tokoh ini juga terkenal dengan tindak tanduk politiknya ala gengstarism.

Seperti mana diwar-warkan tujuan penubuhan gabungan NGO (Damai) itu ialah untuk menjadi benteng dan menentang aktiviti tunjuk perasaan anti kerajaaan dan anti 'kedungunan' kepimpinan Abdullah yang menjadi-jadi sejak ke belakangan ini.

Satu pertemuan untuk tujuan itu akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada Khamis ini (esok).

Adalah dipercayai ilham untuk menubuhkan gabungan NGO bagi mempertahankan Abdullah dan pentadbirannya apabila golongan berkenaan melihat kejayaaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang mengadakan himpunan melibatkan puluhan ribu rakyat beberapa minggu lalu.

Salah seorang pemimpin NGO yang menerima 'undangan layang' itu menjelaskan beliau bimbang dengan maksud penubuhan gabungan berkenaan kerana tujuannya negatif dan boleh menegangkan lagi keadaan yang sedia ada.

Pemimpin NGO Tidak Setuju

"Saya tidak setuju dengan penubuhan gabungan itu apa lagi kalau ianya semata-mata mahu menjadi benteng mempertahankan Abdullah dan Kerajaan," tegasnya. Lagipun menurutnya kalau ia benar-benart bertindak menjadi benteng dan bermaksud hendak menganggu aktiviti demonstrasi jalanan nanti akan berlaku sesuatu yang tidak diingini dan ini menyusahkan," tambahnya.

Justeru katanya penubuhan itu hendaklah difikirkan semula dan pihak berkuasa perlu memantaunya dari sekarang sebelum ia menjadi kenyataan.

"Kita juga bimbang takut Damai itu nanti akan bertindak menjadi skuad pengacau untuk mengganggu aktiviti tunjuk perasaan dan kalau ini berterjadi akan berlakulah sesuatu yang tidak baik," katanya.

Maksud Damai itu untuk menghalang dan menggesa kerajaan bertindak tegas termasuk menahan penganjur demonstrasi jalanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga dilihat sebagai tindak tidak bertamdun dan cuba menyekat kebebasan dan hak bersuara dan berhimpun rakyat Malaysia yang dijamin oleh perlembagaan.

"Kalau keadaan ini berlaku jelas menunjukkan kerajaan yang ada hari ini benar-benar tertekan dan terdesak sehingga sanggup menggunakan mekanisme tidak halal dan membelangkan semangat demokrsasi dan sekaligus menjelaskan Abdullah bersikap "bikin apa yang tidak cakap," sambungnya lagi. [klang 10:20 am 05/12/07]

Tuesday, December 4, 2007

Susupan Pagi

Hindraf atau Zainuddin Maidin Yang Hina?

MSO

KATA orang bagaimana tahi begitulah ususnya. Inilah perumpaan baru yang tepat digunakan untuk melihat dan mengenali Menteri Penerangan Malaysia Zainuddin Maidin. Percakapan atau akhlak seseorang itu bergantung kepada latar belakang pendidikannya. Kalau ia diajar oleh anjing maka perangainya macam anjing.

Jika ia diajar oleh orang maka ia akan menjadi seperti orang. Orang pula banyak jenis ada yang bertamdun dan ada yang masih primitif. Dan kalau dia berperangai macam 'pemuka agama' tetapi masih tetap juga munafik dan tidak bertanggunjawab, orang seperti itu lebih teruk daripada mereka yang dididik dari universiti haiwan.

Saya bukan hendak mengatakan Zainuddin menerima pendidikan daripada sekolah haiwan seperti anjing, tetapi jika dilihat kepada kenyataan dan cakap-cakapnya jelas beliau seorang yang bukan lahir dari sekolah yang mempunyai akhlak dan keperibadian tinggi.

Kalau dia lahir dari universiti berakal budi dia akan berakhlak murni, bersih dan berlemah lembut dan berdiplomasi. Apa lagi dia adalah khalifah negara ini yang menjadi anggota jemaah menteri. Menteri kalau dalam bahasa Arab ialah khalifah.

Kenyataan-kenyataannya bukan saja melambangkan betapa rendahnya pemikiran dan akal budinya tetapi juga kadang-kadang semacam ia berkongsi dengan pemikiran mereka yang tidak waras dan berpenyakit kronik. Beliau kadang-kadang sangat emosional. Gelagat dan sifat Zainuddin Maidin bertentangan sama sekali dengan konsep Islam Hadhari yang menekakan kepada akhlak dan pekerti tinggi.

Tenguk dan baca kenyataan terbaru beliau berhubung hasrat Hindraf hendak berjumpa dengan Perdana Menteri. Kita memang tidak setuju dengan tindakan Hindraf itu yang mana ianya dianggap songsang di mana selepas mereka berarak dan menimbulkan kekacauan baru hendak berjumpa dengan Perdana Menteri. Kata orang pukul dulu baru minta maaf.

Bagaimana pun hasrat Hindraf itu tidak boleh siapa menghalangnya. Sebagai rakyat Malaysia yang mendokong prinsip Rukun Negara, sesiapa pun boleh berjumpa dengan Perdana Menteri. Dan Abdullah seharusnya melayan sesiapa saja daripada rakyat negara ini untuk menemui dan menyampaikan apa-apa pandangan kepadanya. Beliau perlu mendengarnya meskipun ia memedihkan anak telinga.

Pendapat atau kenyataan Zainuddin bukan taraf PM hendak berjumpa dengan Hindraf satu kenyataan yang tidak melambangkan beliau berfikiran sebagai seorang ahli Kabinet Malaysia dan ianya suatu penghinaan dan begitu emosi sekali.

Dalam masa sama beliau menganggap Hindraf sebagai satu pertubuhan yang hina dan mempunyai taraf (pemikiran) yang rendah.

Sebenarnya bahasa dan kenyataan itu sudah menjadi mainan Zainuddin Maidin. Beliau sering merendahkan dan memandang hina orang lain dan berperasaan beliaulah hebat dan mempunyai pemikiran yang canggih dan agung. Beliau beranggapan beliaulah menteri di Malaysia ini yang berpengetahuan dan rasional walhal ianya adalah "busuk banga".

Sebagai menteri tidak sepatutnya beliau menghina mana-mana kumpulan. Janganlah kerana kumpulan itu mempunyai perbezaan pandangan ianya dianggap sebagai haprak dan tidak berguna sedikit pun.

Barang kali elok kalau pengundi terutamanya kaum India di Merbok, Kedah memberi signal dan mengajar Zainuddin Maidin pada pilihan raya akan datang untuk mengajarnya mana satu itik dan mana satu angsa. Selagi tidak diajar menteri ini tidak akan sedar dan insaf. Apabila beliau diajar barulah beliau tahu siapa yang sebenarnya hina dina Hindraf ataupun dirinya.

Dari konteks negara kenyataan Zainuddin mengenai Hindraf itu jelas yang hina dan tidak bertamdun, yang kolot yang hampas ialah beliau bukannya Hindraf. [wm.kl 9:10 am 04/12/07]

Glossori : Busuk banga = busu yang berulat, busuk kohong.



Sebelum Azan

Sama-Sama Kita Mendoakan Husam

MSO

SEMENTARA menanti waktu Subuh saya sempat menjenguk email saya. Di kotak simpanan mesej terdapat kira-kira lebih 30 mesej yang masuk selepas jam 12:30 tengah malam tadi. Antara banyak-banyak mesej yang dipostkan itu terdapat satu mesej yang agak emosi yang mahu saya perbetulkan fakta yang saya sebut sebelum ini yang dikatakan tidak betul.

Nampaknya pengirim ini berkeyakinan saya dipihak yang salah dan orang yang disanjungi berada dipihak betul 100 peratus. Mungkin beliau seorang penyokong yang taksub.

Saya postingkan mesej berkenaan ;

“Assalamualaikum saudara MSO
Saya hassan anak kelantan di perantauan selangor.
Perbetulkanlah balik buruk sangka saudara, saya dah betul-betul kecewa dengan blog saudara:

http://video.google.com/videoplay?docid=1701086912346626549

Inilah kebenaran yang telah dikatakan sebelum ini. Tak malukah saudara”- (Mesej ini tidak diedit).

Terpanggil

Pengirim yang mengakui dirinya ini bernama Hassan berasal dari Kelantan. Beliau perantau di Selangor. Entah saya jadi terpanggil untuk membalas mesej sdr Hassan ini. Nampaknya beliau mempunyai persepsi yang kurang baik terhadap saya.

Bersama mesej itu disertakan petikan Sidangan DUN Kelantan baru-baru ini, dalam bentuk video klik (You-Tube)
.

Saya faham maksud dan tujuan Hassan yang mahu saya betulkan fakta itu ialah mengenai ‘sengketa minda’ saya dengan Exco Kelantan bernama Husam Musa mengenai binatang berjanggut. Apakah fakta yang salah, Hassan tidak jelaskan secara nyata.

Saya tidak membuka kesemua You-Tube yang disertakan itu, hanya membuka yang utama sahaja, iaitu ucapan penggulungan Husam di hari akhir sidang DUN. Saya rasa inilah juga niat beliau mengirimkan kepada saya.

Untuk pengetahuan Hassan saya sudah pun mendengar penggulungan kawan saya itu. Saya juga ada terbaca laporan penggulungan itu di dalam akhbar, termasuk akhbar saya, Siasah. Saya bersikap profesional dalam apa juga keadaan dan tidak terbawa dengan sentimen dan emosi yang merendahkan moral saya sebagai penulis. Bukan bermakna saya renggang dan berbalah dengan Husam saya tidak mempedulikan apa yang beliau lakukan.

Pada saya yang baik tetap baik dan yang jahat tetap jahat meskipun siapa dia. Saya selalu membuat ukuran pada hati dan bukan pada wajah dan keindahan gaya cakap seseorang.

Saya faham apa yang dihuraikan oleh Husam. Namun saya tidak menyalahkan Hassan kalau beliau menuduh dan beranggapan saya seperti mana beliau anggapkan. Tentu sekali tanggapan dan emosi orang celit berbanding orang buta amat berbeza.

Saya bukan wakil rakyat Kelantan dan tidak berkesempatan untuk menjelaskan kepada ahli-ahli Yang Berhormat Kelantan persis Husam lakukan dalam membela tohaman dan realiti ke atas dirinya. Berlainan dengan Husam yang mempunyai imuniti untuk bercakap fasal berkenaan. Jadi biarlah saya ambil kesempatan di sini untuk memperkatakan secara ringkas semata memberi kepuasan kepada Hassan dan mereka yang sefahaman dengannya.

Untuk pengetahuan Hassan, (saya tidak tahu apakah Hassan baca atau tidak tulisan saya mengenai hal itu sebelum ini), saya tidak persoalkan fakta yang dinyatakan Husam itu, di mana beliau terpaksa menolak syarikat Jihad Ternak (Mohd Amin Pipet) itu kerana sebutan harganya mahal.

Sebagai peminat kepada Kerajaan Kelantan saya menyokong langkah yang diambil olehnya. Sebelum ini pun saya menyokong tindakan dan polisi Husam termasuk mengenai penamatan pemberian balak secara langsung (diamalkan sebelum ini) yang menimbulkan kontroversi dan sampai Husam sendiri dicemuhi orang. Sayalah orang peretama mengucapkan tahniah dan syabas kepada Husam apabila beliau memberi tahu langkah yang diambilnya itu kerana pada saya ia tindakan baik untuk Kelantan.

Terpesona

Begitu juga dengan langkah lain. Adapun mengenai isu kambing kenapa saya sedih, ialah sikap Husam dalam menanganinya. Isunya bukan soal mahal atau murah, tetapi sikap beliau selaku seorang khalifah Islam yang sangat-sangat mengambil prinsip dan terpesona dengan pendekatan Syaidina Omar Khattab tetapi tidak dipraktikan dalam hal ini.

Husam ada double standard dalam mengamalkan prinsip Omar Khattab ini. Saya tidak minta Husam habiskan gandung dirumahnya seperti Syaidina Omar Khattab tetapi hanya minta berjumpa Mohd Amin dan menerangkan kedudukan sebenarnya. Bagi saya bagaimana manis semasa dia berjumpa Mohd Amin hendaknya semanis itulah juga sewaktu hendak berpisah.

Saya mengambil pendekatan ini berdasarkan Islam yang mengajar kita memberi salam ketika dan selepas mengunjungi seseorang. Tidak tahulah saya kalau ada akhlak peribadi lain yang terbaca Husam salam hanya sewaktu berjumpa sahaja dan tidak payah sewaktu berpisah!

Itu saja. Saya yakin kalau Syadina Omar Khattab duduk di tempat Husam itu beliau akan berjumpa dengan rakyat bernama Mohd Amin itu.

Dalam ucapan penggulungan itu Husam ‘menjelaskan seolah ada orang yang ingin mengambil kesempatan dengan isu itu. Konon demi negeri dan rakyat beliau menolaknya tidak kira siapa. Baguslah kalau benar begitu dan itu sikap terpuji. Dijelaskan lagi sekali bahawa saya tidak ada kepentingan dalam perniagaan kambing itu.

Kalau Husam sepuluh kali tidak berniat untuk menggunakan wang rakyat, maka saya sebelas kali juga bermaksud demikian. Selama 17 tahun Pas memerintah saya tidak mendapat apa-apa manfaat daripada Kerajaan Kelantan kerana saya mencari rezeki di Kuala Lumpur seperti Hassan juga. Jika Husam seorang jujur dan ikhlas beliau tidak boleh menafikan kenyataan ini.

Kalau Husam benar-benar seorang yang beriman dan mengenali saya, dia tidak akan beranggapan yang bukan-bukan. Tetapi kerana beliau tidak mengenali saya, - hanya berkawan untuk kepentingannya, maka timbullah tanggapan demikian yang dipersetujui oleh Hassan itu.

Sebagai penulis politik, saya tidak pun berkecil hati atas apa yang berlaku. Namun saya tetap berdiri atas fakta dan prinsip seperti mana juga Husam. Kalau Husam membaca kitab mengenai Syaidina Omar Khattab, saya rasa saya juga turut terbacanya atau pernah mendengar cerita daripadanya sepanjang berkawan dengannya.

Di sini walaupun didalam ucapan penggulungan itu ada beberapa fakta yang silap dan tidak didedahkan kesemua sekali secara jujur tentang pembelian kambing sebanyak RM66,400 dan untuk siapa sebenarnya kambing itu, saya tidak bercadang untuk menyebutnya di sini sebab saya ada prinsip.

Saya sudah janji untuk tidak mengungkitkan isu itu atas sebab-sebab untuk tidak memberi ruang luas kepada musuh politiknya. Apa yang saya harapkan semoga keikhlasan, kejujuran dan ketulusan Husam seperti didakwa itu akan menghapuskan dosa-dosa beliau berhubung kes ini.

Seperti mana beliau harapkan di akhir ucapan penggulungan itu, mudah-mudahan Kerajaan Pas akan dapat dikekalkan selepas pilihan raya akan datang, saya juga mendoakan demikian. Bahkan saya tetap mengharapkan beliau akan diangkat menjadi Menteri Besar menggantikan Tokgukuru Nik Aziz seperti mana yang sama-sama kita harapkan.

Diharap penjelasan ini memberi kepuasan kepada orang-orang seperti Hassan yang tidak jemu-jemu menghubungi saya bertanyakan kedudukan sebenar mengenai hubungan dan pertelingkahan saya dengan Husam. Saya tinggalkan catatan Subuh ini dengan menurunkan tagline blog saya “Hanya Kita Memahami Diri Kita” [wm.kl. 5:15 am 04/12/07]

Monday, December 3, 2007

Ulasan Tragedi

Najib lebih excellent daripada Abdullah, problemnya Rosmah.

MSO

SEKIRANYA masalah isteri tidak dicampur dalam kehidupan politik seseorang ahli politik, Najib Razak hari ini ternyata lebih excellent berbanding dengan bosnya Abdullah Ahmad Badawi. Kenyataan yang dikeluarkan Najib atau dalam jawabannya terhadap isu yang berbangkit, cara Najb lebih diyakini dan dapat diterima. Najib lebih menyerlah sebagai seorang pemimpin besar negara dan mempunyai wibawa tersendiri.

Namun sayang kerana kehidupan orang politik itu rencam dan termasuk hal-hal personal juga (seperti kerenah isteri) turut diambil kira, maka kecemerlangan Najib itu sedikit tercalar dengan lagat ataupun sikap isterinya Rosmah Mansor yang dikatakan banyak mengawal pergerakan 'malam' Najib. Tepatnya seorang queen control.

Untuk mengetahui apakah Rosmah seorang queen control atau tidak tanyalah kepada rakan-rakan politik Najib seperti Kamal Amir, Elis Noor, Zaharin Yassin, Zahid Hamidi dan lain-lain. Mereka boleh menceritakan bagaimana gelagat ataupun 'penawar' yang Rosmah gunakan untuk menambat Najib.

Sekiranya keadaan ini tidak berlaku dan Najib dapat membebaskan pergerakan malamnya daripada terus dipantau oleh Rosmah, pasti Najib mengatasi Abdullah. Tetapi sayang hakikat dan realiti itu tidak sedemikian. Najib tetap dianggap sebagai terus dikawal oleh Rosmah dalam serba serbi malahan Rosmahlah dikatakan sebagai salah satu penyebab sekiranya Najib tertakdir tidak terus diangkat menjadi TPM selepas pilihan raya umum akan datang.

Anak bangsawan itu memang hebat. Tengok kenyataannya berhubung tragedi tiga orang penerjun yang maut dalam raptai penuh acara terjun sempena Pameran Udara dan Meritim (Lima 2007) di Langkawi semalam. Kenyataan dan tindakan Najib berhubung kejadian itu lebih tepat dan matang berbanding dengan Abdulah.

Abdullah hanya setakat menyatakan sedih atas apa yang berlaku di samping mengharapkan tragedi malang itu tidak akan menjejaskan persiapan untuk pembukaan Lima 2007 itu. Kenyataan Abdullah itu langsung tidak menggambarkan simpati seorang perdana menteri kepada rakyatnya.

Terjun payung

Namun Najib mengambil tindakan lebih jauh dari itu. Bukan saja beliau bergegas pulang dari luar negara tetapi turut membatalkan acara terjun payung itu.

Tundakan itulah sebenarnya yang harus diambil oleh Abdulah kelmarin sebaik mendapat tahu tragedi itu dan semasa mengulas mengenai kejadian itu. Namun apa yang termampu dibuat beliau hanya melahirkan rasa sedih dan terkejut sahaja.

Kenapa Abdullah sebagai PM tidak terus mengarahkan agar upacara terjun yang bahaya itu terus dibatalkan sahaja? Apakah beliau kena tanya Najib dulu sebelum boleh membuat arahan itu? Apakah beliau kira tragedi itu perkara biasa? Atau apakah beliau terlupa bahawa yang menjadi PM bukan Najib tetapi beliau?

Kesongsangan dan kedangkalan Abdullah dalam memberi sesuatu ulasan atau respons bukan saja kali ini. Tetapi sudah banyak kali. Kenyataan atau ulasan dan cara Najib menangani sesuatu isu lebih menyakinkan dan 'hidup' berbanding Abdullah. Pemikiran Najib lebih bernas dan bersinar berbanding Abdullah.

Malangnya sekali negara kita kalau hal-hal mengenai tragedi itu kalau PM terpaksa bertanya TPM terlebih dahulu dan tidak berani untuk bertindak sendiri. Atau apakah beliau terkaku untuk membuat tindakan dalam kes-kes yang memerlukan kepada tindakan segera seperti apa yang berlaku itu?

Disebabkan kelemahan Abdullah yang ternyata lemah dan lambat ini kemungkinan ada benarnya juga kalau Abdullah terpaksa menyerahkan sesuatu yang penting itu kepada Najib. Dan jika dilihat kepada kuasa Najib yang dilantik atau diberikan kuasa mempengarusi lebih 13 Jawatankuasa Kabinet menjelaskan kemampuan Abdullah sebenarnya.

Tidak pernah berlaku sebelum ini hatta di zaman Anwar Ibrahim yang jauh lebih pintar, berpengalaman dan agung berbanding Najib beliau hanya diberikan kuasa yang terhadap oleh Mahathir. Anwar hanya menjadi pengerusi jawatankuasa Kabinet dalam bidang-bidang tertentu sahaja.

Hendaknya dilain kali Abdullah tidak terus bersikap demikian. Beliau harus bukan saja perlu lebih pantas berfikir dan bertindak daripada timbalannya, tetapi harus lebih bijak dan berani serta tahu menggunakan kuasa dan kedudukan. Untuk meningkatkan mutu pentadbiran ini apa salah kalau Abdullah mencuri masa sedikit dengan membaca banyak buku mengenai pentadbiran, diplomatik, srategi peperangan dan juga komik-komik Jepun dan Cina dan tidak hanya terus membaca kitab-kitab mengenai bertaharah saja.

Kalau beliau tidak ubah sikap ini bimbang nanti orang berkata yang memerintah negara ini bukan Perdana Menteri, tetapi timbalannya.

Kalau benar apa yang orang kata itu, apa kata kalau Abdullah terus lepaskan sahaja jawatan PM itu kepada timbalannya! Tidak ada guna kalau kita menjadi PM memegang kuasa penuh namun takut-takut untuk melaksanakannya.

Tahniah untuk Najib atas tindakan tepat dan bijak beliau kerana membatalkan acara terjun berkenaan. [wm.kl 10:30 pm 03/12/07]

Susupan Senja

Pas Sedikit Terganggu Dengan Hindraf!

KEDUDUKAN PAS sebagai parti yang mengambil prinsip dan dasar Islam sebagai asas perjuangannya di dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia ini bukan suatu perkara yang mudah. Pas perlu berhati-hati dalam semua keadaan. Lantaran itu para perjuang Pas memerlukan kefahaman yang sejati dan meluas mengenai falsafah dan uslub perjuangannya.

Usaha memberi penjelasan kepada ahli ini patut diteruskan dari masa ke semasa tanpa jemu. Walaupun usia Pas sudah 57 tahun namun masih ada ahli yang tidak faham dan tetap tidak mahu melakukan ajakan minda dalam memahami perjuangan Pas mengikuti tuntutan semasa serta insaf kepada realitinya. Setengahnya tidak faham mana perjuangan dan keliru mana satu tektikal dan strategi dan mana satu dasar prinsip parti.

Setengahnya pula kerana terlalu menumpukan kepada tektikal dan strategi politik sanggup menjadikan minda ahli sebagai bahan kaji semata-mata. Maka mereka perkenalkan berbagai teknikal ataupun mencuba berbagai formula untuk diikutkan oleh ahli.

Salah faham

Usaha untuk membawa kemajuan dan perkembangan parti tidak salah. Cuma jika kurang bijak menjelaskan segala tindakan atau isu-isu yang dimainkan ia boleh menyebabkan timbul salah faham di kalangan ahli. Ini menyebabkan Pas akan berhadapan dengan masalah dalaman dan terpaksa pula mengambil masa bagi menenangkan sesuatu kemelut - pertentangan fahaman yang berlaku itu.

Betapa tidak bukan semua isu politik boleh ditangani oleh Pas. Ada kalanya Pas hanya atau perlu menjadi pemerhati sahaja terhadap isu-iusu yang timbul tanpa boleh mencampurinya secara langsung. Kalau Pas ikut sama campur tangan ia mungkin disalah anggap dan natijahnya memberi kesan buruk kepada parti itu.

Keadaan ini memberi cabaran kepada Pas untuk menjelaskan bagaimana parti itu bersifat global ataupun fleksible untuk semua!

Sebab itu pemimpin Pas harus bijak memilih atau membangkitkan isu yang timbul. Tidak semua isu yang bangkit boleh digunapakai oleh Pas dan menguntungkan politiknya. Ini memerlukan pengalaman dan pemikiran tajam, perbincangan dan konsensus dengan orang lain serta tahu membaca apakah ianya mengutungkan politik Pas atau tidak.

Sebab itu sewaktu dulu Pas tidak mudah memberi reaksi kepada semua isu-isu yang timbul dan sehingga ianya dianggap tertutup dan sempit. Dulu Pas hanya menyentuh isu yang benar-benar relevan dan sejajar dengan perjuangan parti itu sahaja. Namun amalan itu kebelakangan seakan terabai apabila sesetengah pemimpin Pas begitu mesra media massa di mana pantang timbul isu terus memberi komentar ataupun ulasan walaupun ianya kadang kala menimbulkan konflit!

Sebagai contoh bagaimana konflitnya mengenai sasaran Pas untuk menang pada pilihan raya akan datang apabila dua kenyataan daripada pemimpin Pas bercanggah antara satu sama lain. Seorang mengatakan Pas hanya mensasarkan 70 kerusi saja menakala yang lain kata sasaran parti lebih dari itu.

Bagaimana pun agak anih sedikit dalam isu atau masalah terbaru iaini mengenai kontroversi isu Hindu Rights Action Force (Hindraf). Tidak ramai pemimpin Pas tampil menyentuhnya. Malahan ada pemimpin Pas langsung tidak bercakap seolah-olah tidak tahu dari sudut mana hendak dimulainya. Maka jadilah isu berkenaan sebagai hak peribadi sesetengah pemimpin tertentu sahaja.

Mengenai Hindraf ini ia telah memberi sedikit gangguan kepada Pas. Walaupun ada jawaban dan penjelasannya daripada pemimpin tertingginya namun ia seakan belum selasai. Ini disebabkan kerana pemimpin lain membisu sehingga ia dilihat sebagai Pas tidak seiya sekata dalam isu ini.

Mereka yang tidak bercakap tentang isu ini dianggap sebagai tidak setuju dengan Hindraf, manakala yang bercakap pula dikira bersetuju dengan aksi Hindraf itu. Inilah persepsi sehinggakan Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein meminta penjelasan dan pendirian Pas tentang Hindraf ini.

Menangani isu

Pas nampak seperti bermasalah dan kekok untuk menangani isu ini. Kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan akan keserbasalahan itu. Setakat ini hanya dua atau tiga pemimpin tertinggi Pas saja membuat kenyataan mengenai isu ini, sementara pemimpin lain khasnya di kalangan Naib Presiden, Pemuda, Ulama dan Muslimat seperti kehabisan idea atau seolah tidak terhidu langsung isu itu untuk disentuh.

Kalau sebelum ini ada Naib Presiden seakan tidak kecukupan suara dan kehabisan ruang untuk bercakap dan mengulas setiap isu atau peristiwa yang berlaku, tetapi kali ini diam membisu seolah tidak arif dengan apa yang berlaku. Sikap begini kurang elok kerana ahli dan penyokong Pas tidak dapat menilai kemampuan pemimpin berkenaan berfikir atau bertindak dalam saat-saat Pas memerlukan formula bagi menangani isu Hindraf ini.

Dalam keadaan-keadaan seperti inilah kemampuan seseorang pemimpin itu akan diuji dan dinilai. Umum kepingin melihat bagaimana geliga dan pintarnya pemimpin dalam mengusaikan isu yang agak kusut seperti Hindraf itu. Kalau hanya membuat kenyataan berhubung kejayaan seperti penanaman pokok kayu hutan atau ternakan binatang perliharaan ia bukan dianggap sebagai pemimpin yang genius dan penyelesai masalah.

Sesiapa pun boleh dan pandai membuat kenyataan sedemikian. Tanam dan pacak saja signboard besar-besar di tepi jalan mengenai sesuatu projek atau bagi wang kepada mana-mana artis yang sakit atau pelajar yang terlanggar basikal kemudian buat kenyataan media.

Dalam soal isu Hindraf ini lebih malang ada pemimpin yang seolah membiarkan sahaja isu tersebut kepada pemimpin tertentu. Keadaan ini ada yang beranggap sikap itu disengajakan untuk melihat sejauh mana kebijaksanaan pemimpin Pas itu menyelesaikan isu berkenaan. Seakan ada pihak tertentu mahukan pemimpin Pas kusut dengan isu berkenaan!

Pemimpin utama Pas yang bercakap dan mengupas mengenai Hindraf inilah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, kemudian diikuti oleh Setiausaha Agung, Kamarudin Jaaffar dan Presiden Abdul Hadi Awang. Ketiga-tiga mereka membuat pendirian dan penjelasan Pas berhubung isu hampir sekata. Tahniah dan syabas kepada mereka yang tanpil mengambil tanggungjawab dan memberi penjelasan kepada orang ramai khasnya ahli dan penyokong Pas.

Walaupun penjelasan mereka tidak boleh mereda dan melepaskan Pas dari belitan isu Hindraf ini sekurang-kurang mereka berani dan cuba bercakap bagi menyelesaikan Pas tersadung dengan isu itu. Paling penting mereka sebagai pemimpin bersedia mengambil tanggungjawab dan tidak membiarkan kepada orang lain menyelesaikannya.

Baik Nasharuddin, Hadi dan Kamarudin kenyataan mereka menggambarkan keresahan mereka berhubung isu itu. Mereka menjelaskan yang Pas memang mahu kerajaan memberi kebebasan bersuara dan hak berhimpun kepada semua orang. Menurut mereka kejadian diskriminasi kaum bukan saja terhadap masyarakat India (seperti dakwaan Hindraf) malah turut berlaku di kalangan masyarakat Cina dan Melayu.

Sementara dalam pada itu pada anggapan Pas sebahagian tuntutan dan tuduhan pihak Hindraf adalah melampau. Justeru mereka menuntut kerajaan menubuhkan badan khas bagi menyiasat perkara itu. Memahami suasana ini bolehlah dianggapkan Pas begitu berhati-hati dan sedikit kekok dalam menangani isu Hindraf ini.

Kita faham kenapa Pas mengambil pendirian begitu kerana Pas sedar kepada realiti politik. Untuk menang di negara ini memerlukan sokongan semua kaum. Manakala untuk terang-terang mempertahankan tindakan Hindraf untuk berhimpun itu bimbang ahli yang tidak faham akan marahkan parti.

Apapun memang menjadi tanggungjawab pemimpin menjelaskan sikap dan pendirian Pas dalam isu Hindraf ini atau isu-isu lain yang kritikal. Cuma apa yang hendak disebut di sini dalam penjelasan itu Pas kena beringat jangan sampai mereka terbelit dalam isu ini, di mana akhirnya orang lain untung yang ruginya Pas sendiri. [wm.kl 8:10 pm 03/12/07]

Tragedi Langkawi

Siasat Tragedi Penerjun Maut di Langkawi

SEMALAH tiga penerjun dari 10 Briged Para terkorban di Langkawi Kedah semasa mereka melakukan penerjunan dalam reptai penuh upacara pembukaan Pameran Udara dan Maritin Antarabangsa Langkawi (Lima) 2007 di Kedah.

Mereka terbunuh ialah Siti Hajar Yaakub 24, Nurul Wahida Yusuf, 20 dan Raymond Anak Ducan, 25. Mereka antara 20 anggota penerjun yang tersasar dari zon pendaratan di lapangan terbang itu. Dalam kejadian itu 11 yang lain juga cedera dan ada yang cedera parah dan masih kritikal.

Siti Hajar mati akibat lemas apabila ia terjatuh ke dalam laut sementara Nurul Wahida pula kerana kesejutakan selepas terbenam di lautan.

Sama-sama kita mengucapkah tahziah kepada keluarga ketiga-tiga penerjun berkenaan.

Kejadian seumpama itu adalah pertama kali sejak Lima diadakan. Walaupun kejadian itu adalah takdir namun seharusnya ia diberi perhatian sewajarnya. Pihak kerajaan perlu menyiasat kenapa kejadian demikian boleh berlaku.

Tidak dapat tidak berhubung kejadian itu akan timbul berbagai spekulasi. Angka yang terkorban atau yang terlibat adalah besar. Bagaimana kejadian itu boleh berlaku perlulah disiasat segera dan didedahkan kepada umum agar tidak menimbulan apa-apa tanggapan buruk.

Pertanyaan juga timbul apakah reptai berkenaan tidak dilengkapi dengan pasukan keselamatan secukupnya bagi menghadai sebarang kemungkinan seperti itu yang berlaku itu.

Walaupun ada pihak tertentu tidak mahu kejadian itu dispekulasikan namun ia tidak dapat dielakkan memandangkan kejadian seumpama itu pertama kali berlaku dan mengakibatkan kehilangan nyawa.

Sewajarnya kalau siasatan terperinci untuk mengenali sebab musabab kenapa ianya berlaku. Kerajaan khasnya Kementerian Pertahanan atau mana-mana pihak terlibat dengan pamiran itu tidak boleh menyerahkan kepada Ilahi saja dan menganggap ia sebagai takdir Allah.

Perdan Menteri telah melahirkan rasa sedih atas apa yang berlaku. Namun dalam pada itu beliau tetap berharap kejadian itu tidak menjejaskan persiapan majlis pembukaannya yang dijadualkan hari ini. Katanya majlis permbukaan perlu diteruskan juga.

Kenyataan dan sikap PM itu menimbulkan sedikit kepiluan kepada kita dan seolah-olah beliau tidak bersimpati atas apa yang berlaku. Benar, nyawa ketiga mereka itu tidak sepenting nyawa para menteri atau Perdana Menteri sendiri. Tetapi dari sisi Allah kedudukannya sama sahaja.

Kita ingin tahu apakah Abdullah akan mengambil sikap seperti itu juga sekiranya yang terkorban semalam melibatkan Menteri Pertahanan Najib Razak, atau istertinya Jeanne Abdullah, atau menantunya Khairy Jamaluddin? Apakah ucapan itu diteruskan juga tanpa terlebih dahulu memberi ruang untuk balasungkawa kepadanya?

Saya peraya kalau tragedi semalam turut meragut nyawa orang-orang itu mungkin upacara pembukaan yang dijadualkan hari ini itu di batalkan atau sekurang-kurangnya ditundakan beberapa jam sebagai penghormatan kepada mereka bertiga.

Tetapi kerana yang meninggalkan itu adalah rakyat atau prajurit marhaen maka ianya tidak sedikitpun dirasakan sebagai satu kehilangan. Walhal pengorbanan dan kesanggupan mereka bertiga mengambil bahagian dalam penerjunan itu sebagai menunjukkan kesetiaan dan komitmen mereka kepada negara.

Sikap yang ditunjuki Abdullah itu tidak menghairankan kita, kerana begitulah selalunya berlaku di negara ini. Berlakulah apa juga samada membabitkan nyawa harta benda orang yang bertanggjawab tidak pernah mengambil tanggungjawab dan risikonya.

Apa lagi untuk mengharapkan mereka akan meletakkan jawatan sebagai simbol kebetertanggungjawaban mereka, samalah seperti mengharap hujan naik ke langit! Al Fatihah untuk roh Nurul Wahida dan Saiti Hajar. [wm.kl. 12: 00 03/12/07]

Sunday, December 2, 2007

Kesibukan

Esok InsyaAllah Saya Kembali Mengisi Blog

SEJAK Jumaat lalu hingga hari ini (Ahad) jadual harian saya sibuk sedikit. Ada agenda yang tiba-tiba datang dan terpaksa dibereskan segera. Dalam keletihan kena drive kereta sendiri untuk pulang ke kampung di Kelantan. Gara-gara itu blog tidak terisi dan kontang untuk beberapa jam.

Jangan bimbang kepulangan kali ini bukan urusan kambing jamnapari atau balik untuk mengintip pegerakan politik di sana. Tetapi hal lain, hal peribadi yang tidak ada kena mengena dengan manusia lain. Hal saya dengan Tuhan saya...

Biarlah kisah haiwan berjanggut peliharaan Rasulullah s.a.w. itu dihentikan buat seketika. Anggaplah ia sudah selesai seperti mana kata Exco Pertanian dan Asas Tani, Nik Mazian Mohamad di DUN Kelantan baru-baru ini.

Biarpun kisah binatang berjanggut itu dan para manusia berjanggut dan bermisai yang menimbulkan isu itu di Kelantan sebenarnya masih belum muktamad, tetapi marilah sama-sama kita anggap ianya sudah muktamad.

Disebabkan kuasa dan mood politik Kelantan mahu melihat Kerajaan Pas Kelantan menang dalam pergaduhan mengenai binatang itu kita terima ianya seperti mana dikendaki itu. Sesungguhnya ada pihak yang bimbang kalau kisah jamnaparti diperpanjangkan lagi ia akan mengeruhkan suasana dan menganggu angan-angan banyak pihak.

Untuk seketika juga kisah-kisah mengenai perangai tidak senonoh orang politik juga saya tutup buat sementara waktu. Walaupun banyak kisah dan juga peristiwa yang sampai ke pengetahuan saya akhir-akhir ini dan setengahnya saya alami sendiri sejak beberapa tahun lalu saya tutup juga buat sementara waktu.

Ada beberapa keping gambar yang saya kira menarik dan cukup merujakan sampai ke dalam email saya. Semua orang tidak percaya kalau saya perkatakan mengenai gambar-gambar itu kalau tidak disertakan buktikan. Zaman ini manusia semuanya mahukan kepada fakta dan bukti lebih-lebih lagi mereka yang suka bercakap menggunakan fakta dan angka.

Sebenarnya ada 1001 macam kisah yang ada dalam saku saya tentang feel perangai orang politik. Ianya perlu didedahkan untuk dijadikan pengajaran. Bukan fitnah seperti ditohmahkan itu. Tetapi ia suatu realiti.

Sudah menjadi tabiat orang politik kalau kita hendak tegur mereka, tegurlah dalam tulisan atau menerusi media massa. Kalau cakap secara baik mereka tidak akan mempedulikannya. Saya sudah cuba dan berpengalaman dalam hal ini. Tetapi bila sudah dedah atau tegur dalam media, surat khabar, blog atau buku khusus baru mereka tahu langit tinggi atau rendah.

InsyAllah esok saya akan kembali mengupas dan mencatatkan peristiwa politik semasa di dalam blog ini. Nampaknya sehari dua ini banyak isu-isu menarik untuk disorot, seperti isu Hindraf, amaran Kerajaan untuk gunakan ISA, kerancakan BN membuat dan mengulas isu dan sebagainya.

Esok saya akan kembali bertugas dan mengulas. [wm.kl 9:3- pm 02/12/07]