Monday, December 3, 2007

Susupan Senja

Pas Sedikit Terganggu Dengan Hindraf!

KEDUDUKAN PAS sebagai parti yang mengambil prinsip dan dasar Islam sebagai asas perjuangannya di dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia ini bukan suatu perkara yang mudah. Pas perlu berhati-hati dalam semua keadaan. Lantaran itu para perjuang Pas memerlukan kefahaman yang sejati dan meluas mengenai falsafah dan uslub perjuangannya.

Usaha memberi penjelasan kepada ahli ini patut diteruskan dari masa ke semasa tanpa jemu. Walaupun usia Pas sudah 57 tahun namun masih ada ahli yang tidak faham dan tetap tidak mahu melakukan ajakan minda dalam memahami perjuangan Pas mengikuti tuntutan semasa serta insaf kepada realitinya. Setengahnya tidak faham mana perjuangan dan keliru mana satu tektikal dan strategi dan mana satu dasar prinsip parti.

Setengahnya pula kerana terlalu menumpukan kepada tektikal dan strategi politik sanggup menjadikan minda ahli sebagai bahan kaji semata-mata. Maka mereka perkenalkan berbagai teknikal ataupun mencuba berbagai formula untuk diikutkan oleh ahli.

Salah faham

Usaha untuk membawa kemajuan dan perkembangan parti tidak salah. Cuma jika kurang bijak menjelaskan segala tindakan atau isu-isu yang dimainkan ia boleh menyebabkan timbul salah faham di kalangan ahli. Ini menyebabkan Pas akan berhadapan dengan masalah dalaman dan terpaksa pula mengambil masa bagi menenangkan sesuatu kemelut - pertentangan fahaman yang berlaku itu.

Betapa tidak bukan semua isu politik boleh ditangani oleh Pas. Ada kalanya Pas hanya atau perlu menjadi pemerhati sahaja terhadap isu-iusu yang timbul tanpa boleh mencampurinya secara langsung. Kalau Pas ikut sama campur tangan ia mungkin disalah anggap dan natijahnya memberi kesan buruk kepada parti itu.

Keadaan ini memberi cabaran kepada Pas untuk menjelaskan bagaimana parti itu bersifat global ataupun fleksible untuk semua!

Sebab itu pemimpin Pas harus bijak memilih atau membangkitkan isu yang timbul. Tidak semua isu yang bangkit boleh digunapakai oleh Pas dan menguntungkan politiknya. Ini memerlukan pengalaman dan pemikiran tajam, perbincangan dan konsensus dengan orang lain serta tahu membaca apakah ianya mengutungkan politik Pas atau tidak.

Sebab itu sewaktu dulu Pas tidak mudah memberi reaksi kepada semua isu-isu yang timbul dan sehingga ianya dianggap tertutup dan sempit. Dulu Pas hanya menyentuh isu yang benar-benar relevan dan sejajar dengan perjuangan parti itu sahaja. Namun amalan itu kebelakangan seakan terabai apabila sesetengah pemimpin Pas begitu mesra media massa di mana pantang timbul isu terus memberi komentar ataupun ulasan walaupun ianya kadang kala menimbulkan konflit!

Sebagai contoh bagaimana konflitnya mengenai sasaran Pas untuk menang pada pilihan raya akan datang apabila dua kenyataan daripada pemimpin Pas bercanggah antara satu sama lain. Seorang mengatakan Pas hanya mensasarkan 70 kerusi saja menakala yang lain kata sasaran parti lebih dari itu.

Bagaimana pun agak anih sedikit dalam isu atau masalah terbaru iaini mengenai kontroversi isu Hindu Rights Action Force (Hindraf). Tidak ramai pemimpin Pas tampil menyentuhnya. Malahan ada pemimpin Pas langsung tidak bercakap seolah-olah tidak tahu dari sudut mana hendak dimulainya. Maka jadilah isu berkenaan sebagai hak peribadi sesetengah pemimpin tertentu sahaja.

Mengenai Hindraf ini ia telah memberi sedikit gangguan kepada Pas. Walaupun ada jawaban dan penjelasannya daripada pemimpin tertingginya namun ia seakan belum selasai. Ini disebabkan kerana pemimpin lain membisu sehingga ia dilihat sebagai Pas tidak seiya sekata dalam isu ini.

Mereka yang tidak bercakap tentang isu ini dianggap sebagai tidak setuju dengan Hindraf, manakala yang bercakap pula dikira bersetuju dengan aksi Hindraf itu. Inilah persepsi sehinggakan Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein meminta penjelasan dan pendirian Pas tentang Hindraf ini.

Menangani isu

Pas nampak seperti bermasalah dan kekok untuk menangani isu ini. Kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan akan keserbasalahan itu. Setakat ini hanya dua atau tiga pemimpin tertinggi Pas saja membuat kenyataan mengenai isu ini, sementara pemimpin lain khasnya di kalangan Naib Presiden, Pemuda, Ulama dan Muslimat seperti kehabisan idea atau seolah tidak terhidu langsung isu itu untuk disentuh.

Kalau sebelum ini ada Naib Presiden seakan tidak kecukupan suara dan kehabisan ruang untuk bercakap dan mengulas setiap isu atau peristiwa yang berlaku, tetapi kali ini diam membisu seolah tidak arif dengan apa yang berlaku. Sikap begini kurang elok kerana ahli dan penyokong Pas tidak dapat menilai kemampuan pemimpin berkenaan berfikir atau bertindak dalam saat-saat Pas memerlukan formula bagi menangani isu Hindraf ini.

Dalam keadaan-keadaan seperti inilah kemampuan seseorang pemimpin itu akan diuji dan dinilai. Umum kepingin melihat bagaimana geliga dan pintarnya pemimpin dalam mengusaikan isu yang agak kusut seperti Hindraf itu. Kalau hanya membuat kenyataan berhubung kejayaan seperti penanaman pokok kayu hutan atau ternakan binatang perliharaan ia bukan dianggap sebagai pemimpin yang genius dan penyelesai masalah.

Sesiapa pun boleh dan pandai membuat kenyataan sedemikian. Tanam dan pacak saja signboard besar-besar di tepi jalan mengenai sesuatu projek atau bagi wang kepada mana-mana artis yang sakit atau pelajar yang terlanggar basikal kemudian buat kenyataan media.

Dalam soal isu Hindraf ini lebih malang ada pemimpin yang seolah membiarkan sahaja isu tersebut kepada pemimpin tertentu. Keadaan ini ada yang beranggap sikap itu disengajakan untuk melihat sejauh mana kebijaksanaan pemimpin Pas itu menyelesaikan isu berkenaan. Seakan ada pihak tertentu mahukan pemimpin Pas kusut dengan isu berkenaan!

Pemimpin utama Pas yang bercakap dan mengupas mengenai Hindraf inilah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, kemudian diikuti oleh Setiausaha Agung, Kamarudin Jaaffar dan Presiden Abdul Hadi Awang. Ketiga-tiga mereka membuat pendirian dan penjelasan Pas berhubung isu hampir sekata. Tahniah dan syabas kepada mereka yang tanpil mengambil tanggungjawab dan memberi penjelasan kepada orang ramai khasnya ahli dan penyokong Pas.

Walaupun penjelasan mereka tidak boleh mereda dan melepaskan Pas dari belitan isu Hindraf ini sekurang-kurang mereka berani dan cuba bercakap bagi menyelesaikan Pas tersadung dengan isu itu. Paling penting mereka sebagai pemimpin bersedia mengambil tanggungjawab dan tidak membiarkan kepada orang lain menyelesaikannya.

Baik Nasharuddin, Hadi dan Kamarudin kenyataan mereka menggambarkan keresahan mereka berhubung isu itu. Mereka menjelaskan yang Pas memang mahu kerajaan memberi kebebasan bersuara dan hak berhimpun kepada semua orang. Menurut mereka kejadian diskriminasi kaum bukan saja terhadap masyarakat India (seperti dakwaan Hindraf) malah turut berlaku di kalangan masyarakat Cina dan Melayu.

Sementara dalam pada itu pada anggapan Pas sebahagian tuntutan dan tuduhan pihak Hindraf adalah melampau. Justeru mereka menuntut kerajaan menubuhkan badan khas bagi menyiasat perkara itu. Memahami suasana ini bolehlah dianggapkan Pas begitu berhati-hati dan sedikit kekok dalam menangani isu Hindraf ini.

Kita faham kenapa Pas mengambil pendirian begitu kerana Pas sedar kepada realiti politik. Untuk menang di negara ini memerlukan sokongan semua kaum. Manakala untuk terang-terang mempertahankan tindakan Hindraf untuk berhimpun itu bimbang ahli yang tidak faham akan marahkan parti.

Apapun memang menjadi tanggungjawab pemimpin menjelaskan sikap dan pendirian Pas dalam isu Hindraf ini atau isu-isu lain yang kritikal. Cuma apa yang hendak disebut di sini dalam penjelasan itu Pas kena beringat jangan sampai mereka terbelit dalam isu ini, di mana akhirnya orang lain untung yang ruginya Pas sendiri. [wm.kl 8:10 pm 03/12/07]

1 comment:

Anonymous said...

salam,
kesian ana lihat pas, ana nak tegur sikit la jangan la terlalu tumpukan politik hingga da'wah islamiyyah terabai, kalau hanya setakat ceramah, himpunan x buktikan apa2 , gerak kerja da'wah perlu hidupkan allah nak islam bukan politik, kalaupun pas dapat memerintah satu malaysia tapi kerja da'wah hanya pak ust2 yang buat (itu pun segelintir shj dalam pas) maka malaysia x akan banyak berubah, mungkin dengan sebab itulah allah x beri kemenangan lagi, contohilah PKS, ikutilah HAMAS, turutilah IKHWAN, mereka jadikan politik sebagai jalan, da'wah itu bawaan mereka dan allah tujuan mereka, ana sedih dan kasihan dengan pas, jika selamanya begini i'allah x mustahil , akan ada jemaah @ orang lain yang menggantikan PAS utk memge,ban da'wah dan menghancurkan taghut . salam