Sama-Sama Kita Mendoakan HusamMSO
SEMENTARA menanti waktu Subuh saya sempat menjenguk email saya. Di kotak simpanan mesej terdapat kira-kira lebih 30 mesej yang masuk selepas jam 12:30 tengah malam tadi. Antara banyak-banyak mesej yang dipostkan itu terdapat satu mesej yang agak emosi yang mahu saya perbetulkan fakta yang saya sebut sebelum ini yang dikatakan tidak betul.
Nampaknya pengirim ini berkeyakinan saya dipihak yang salah dan orang yang disanjungi berada dipihak betul 100 peratus. Mungkin beliau seorang penyokong yang taksub.
Saya postingkan mesej berkenaan ;
“Assalamualaikum saudara MSO
Saya hassan anak kelantan di perantauan selangor.
Perbetulkanlah balik buruk sangka saudara, saya dah betul-betul kecewa dengan blog saudara:
http://video.google.com/videoplay?docid=1701086912346626549
Inilah kebenaran yang telah dikatakan sebelum ini. Tak malukah saudara”- (Mesej ini tidak diedit).
Terpanggil
Pengirim yang mengakui dirinya ini bernama Hassan berasal dari Kelantan. Beliau perantau di Selangor. Entah saya jadi terpanggil untuk membalas mesej sdr Hassan ini. Nampaknya beliau mempunyai persepsi yang kurang baik terhadap saya.
Bersama mesej itu disertakan petikan Sidangan DUN Kelantan baru-baru ini, dalam bentuk video klik (You-Tube). Saya faham maksud dan tujuan Hassan yang mahu saya betulkan fakta itu ialah mengenai ‘sengketa minda’ saya dengan Exco Kelantan bernama Husam Musa mengenai binatang berjanggut. Apakah fakta yang salah, Hassan tidak jelaskan secara nyata.
Saya tidak membuka kesemua You-Tube yang disertakan itu, hanya membuka yang utama sahaja, iaitu ucapan penggulungan Husam di hari akhir sidang DUN. Saya rasa inilah juga niat beliau mengirimkan kepada saya.
Untuk pengetahuan Hassan saya sudah pun mendengar penggulungan kawan saya itu. Saya juga ada terbaca laporan penggulungan itu di dalam akhbar, termasuk akhbar saya, Siasah. Saya bersikap profesional dalam apa juga keadaan dan tidak terbawa dengan sentimen dan emosi yang merendahkan moral saya sebagai penulis. Bukan bermakna saya renggang dan berbalah dengan Husam saya tidak mempedulikan apa yang beliau lakukan.
Pada saya yang baik tetap baik dan yang jahat tetap jahat meskipun siapa dia. Saya selalu membuat ukuran pada hati dan bukan pada wajah dan keindahan gaya cakap seseorang.
Saya faham apa yang dihuraikan oleh Husam. Namun saya tidak menyalahkan Hassan kalau beliau menuduh dan beranggapan saya seperti mana beliau anggapkan. Tentu sekali tanggapan dan emosi orang celit berbanding orang buta amat berbeza.
Saya bukan wakil rakyat Kelantan dan tidak berkesempatan untuk menjelaskan kepada ahli-ahli Yang Berhormat Kelantan persis Husam lakukan dalam membela tohaman dan realiti ke atas dirinya. Berlainan dengan Husam yang mempunyai imuniti untuk bercakap fasal berkenaan. Jadi biarlah saya ambil kesempatan di sini untuk memperkatakan secara ringkas semata memberi kepuasan kepada Hassan dan mereka yang sefahaman dengannya.
Untuk pengetahuan Hassan, (saya tidak tahu apakah Hassan baca atau tidak tulisan saya mengenai hal itu sebelum ini), saya tidak persoalkan fakta yang dinyatakan Husam itu, di mana beliau terpaksa menolak syarikat Jihad Ternak (Mohd Amin Pipet) itu kerana sebutan harganya mahal.
Sebagai peminat kepada Kerajaan Kelantan saya menyokong langkah yang diambil olehnya. Sebelum ini pun saya menyokong tindakan dan polisi Husam termasuk mengenai penamatan pemberian balak secara langsung (diamalkan sebelum ini) yang menimbulkan kontroversi dan sampai Husam sendiri dicemuhi orang. Sayalah orang peretama mengucapkan tahniah dan syabas kepada Husam apabila beliau memberi tahu langkah yang diambilnya itu kerana pada saya ia tindakan baik untuk Kelantan.
Terpesona
Begitu juga dengan langkah lain. Adapun mengenai isu kambing kenapa saya sedih, ialah sikap Husam dalam menanganinya. Isunya bukan soal mahal atau murah, tetapi sikap beliau selaku seorang khalifah Islam yang sangat-sangat mengambil prinsip dan terpesona dengan pendekatan Syaidina Omar Khattab tetapi tidak dipraktikan dalam hal ini.
Husam ada double standard dalam mengamalkan prinsip Omar Khattab ini. Saya tidak minta Husam habiskan gandung dirumahnya seperti Syaidina Omar Khattab tetapi hanya minta berjumpa Mohd Amin dan menerangkan kedudukan sebenarnya. Bagi saya bagaimana manis semasa dia berjumpa Mohd Amin hendaknya semanis itulah juga sewaktu hendak berpisah.
Saya mengambil pendekatan ini berdasarkan Islam yang mengajar kita memberi salam ketika dan selepas mengunjungi seseorang. Tidak tahulah saya kalau ada akhlak peribadi lain yang terbaca Husam salam hanya sewaktu berjumpa sahaja dan tidak payah sewaktu berpisah!
Itu saja. Saya yakin kalau Syadina Omar Khattab duduk di tempat Husam itu beliau akan berjumpa dengan rakyat bernama Mohd Amin itu.
Dalam ucapan penggulungan itu Husam ‘menjelaskan seolah ada orang yang ingin mengambil kesempatan dengan isu itu. Konon demi negeri dan rakyat beliau menolaknya tidak kira siapa. Baguslah kalau benar begitu dan itu sikap terpuji. Dijelaskan lagi sekali bahawa saya tidak ada kepentingan dalam perniagaan kambing itu.
Kalau Husam sepuluh kali tidak berniat untuk menggunakan wang rakyat, maka saya sebelas kali juga bermaksud demikian. Selama 17 tahun Pas memerintah saya tidak mendapat apa-apa manfaat daripada Kerajaan Kelantan kerana saya mencari rezeki di Kuala Lumpur seperti Hassan juga. Jika Husam seorang jujur dan ikhlas beliau tidak boleh menafikan kenyataan ini.
Kalau Husam benar-benar seorang yang beriman dan mengenali saya, dia tidak akan beranggapan yang bukan-bukan. Tetapi kerana beliau tidak mengenali saya, - hanya berkawan untuk kepentingannya, maka timbullah tanggapan demikian yang dipersetujui oleh Hassan itu.
Sebagai penulis politik, saya tidak pun berkecil hati atas apa yang berlaku. Namun saya tetap berdiri atas fakta dan prinsip seperti mana juga Husam. Kalau Husam membaca kitab mengenai Syaidina Omar Khattab, saya rasa saya juga turut terbacanya atau pernah mendengar cerita daripadanya sepanjang berkawan dengannya.
Di sini walaupun didalam ucapan penggulungan itu ada beberapa fakta yang silap dan tidak didedahkan kesemua sekali secara jujur tentang pembelian kambing sebanyak RM66,400 dan untuk siapa sebenarnya kambing itu, saya tidak bercadang untuk menyebutnya di sini sebab saya ada prinsip.
Saya sudah janji untuk tidak mengungkitkan isu itu atas sebab-sebab untuk tidak memberi ruang luas kepada musuh politiknya. Apa yang saya harapkan semoga keikhlasan, kejujuran dan ketulusan Husam seperti didakwa itu akan menghapuskan dosa-dosa beliau berhubung kes ini.
Seperti mana beliau harapkan di akhir ucapan penggulungan itu, mudah-mudahan Kerajaan Pas akan dapat dikekalkan selepas pilihan raya akan datang, saya juga mendoakan demikian. Bahkan saya tetap mengharapkan beliau akan diangkat menjadi Menteri Besar menggantikan Tokgukuru Nik Aziz seperti mana yang sama-sama kita harapkan.
Diharap penjelasan ini memberi kepuasan kepada orang-orang seperti Hassan yang tidak jemu-jemu menghubungi saya bertanyakan kedudukan sebenar mengenai hubungan dan pertelingkahan saya dengan Husam. Saya tinggalkan catatan Subuh ini dengan menurunkan tagline blog saya “Hanya Kita Memahami Diri Kita” [wm.kl. 5:15 am 04/12/07]
No comments:
Post a Comment