Terima Kasih dan Pohon Kemaafan Daripada Semua
SEMALAM (7 Disember 2007) saya tidak mamasukkan apa-apa bahan dan catatan di dalam blog ini. Bagi mereka yang terselak blog ini mungkin sedikit kecewa. Maaflah kerana semalam agak sibuk sedikit kerana melayani anak buah dan kawan-kawan dan sahabat seiringan jalan dan sepejuangan yang datang ke rumah untuk bertemu mata dan mengucapkan selamat untuk saya dan isteri yang akan ke Makkah dini hari ini.
Mulanya terasa malu juga untuk mengkhabarkan kepada kawan-kawan mengenali perjalanan - musafir Ilahi - saya bersama isteri. Tetapi apabila banyak kawan yang bertanya; tak buat kenduri atau doa selamat, hendak tak hendak buatlah sikit.
Di kampung dua hari lepas sudah buat solat hajat - sekadar memenuhi permintaan orang tua dan mengikut adat dan tradisi orang kampung saya. Selalunya bila ada waris warah hendak ke Tanah Suci mereka akan adakan kenduri dan doa selamat. Kata mereka disunatkan mengwar-warkan pemergian ke Makkah kepada jiran sekampung selain mengharapkan doa restui mereka ia juga merangsang mereka menanamkan azam untuk ke Baitullah.
Alhamdulillah majlis semalam semuanya berjalan lancar. Anak buah, kakak ipar, adik ipar, adik beradik di Lembah Kelang semua hadir. Paling istimewa ialah rakan-rakan blogers (yang sempat dikirimkan sms) turut mencuri masa dan sama hadir.
Antara mereka Pak Ya (Yahaya Ismail), Kamal Amir Kamal Hijar dan isteri, Sang Kelembai (Zaharin Yassin), Zulkefli Sulong (rakan seperjuangan di Siasah), Hafiz Baqi (Pengarang Berita Siasah), Aziah dan suami (Siasah) Pak Dharmala NS (Abdul Muluk Daud) bersama isteri, Haji Bakar Ninggal bersama isteri, Eman Jr (penulis buku mendedahkan skandal bekas Datuk Bandar), Pyan Habib dan isteri.
Turut sama datang rakan-rakan termasuk Ibrahim Hashim, Nasaruddin Bagan Datoh, sdr Azmi Che Kob dari Raub bersama isteri dan anak-anak dan ramai lagi.
Biasalah kalau penulis berjumpa sesamanya, boraknya tidak mudah lengsai. Cerita panas ketika ini mengenai Hindraf menjadi topik utama. Masing-mamsing memberi pandangan dan rumusan tersendiri mengenai Hindraf. Rata-rata sependapat dengan saya agar kerajaan bertindak tegas dan menangkap dalang di sebalik gerakan (Hindraf) itu yang nampaknya mula menyusah dan memburukkan negara itu.
Masing-masing mengatakan Abdullah tidak perlu berlembut dan memikir kesan pilihan raya untuk mengambil tindakan. Abdullah kata mereka seharusnya memikirkan soal negara daripada soal politik partinnya.
Selain topik itu ialah komentar mengenai Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Kecaman dan hentaman kepada Abdullah tidak pernah berhenti dan rasanya isu Abdullah ini akan berterusan walaupun habis musim haji tahun ini!
Beberapa rakan lain yang tidak sempat datang menghubungi menerusi sms. Ibrahim Ali yang berada di Pasir Mas yang mendampingi rakyat Pasir Mas yang mula ditimpa bajir tidak henti-henti menghantar sms mengucap selamat dan salam kepada rakan-rakan dan meminta saya mendokan di Makkah agar semua blogers akan terbuka hati untuk ke Makkah ramai-ramai.
Ibrahim Ali datang ke rumah sehari sebelum beliau pulang ke Kelantan, kelamrin.
Sambil bersila di atas tikar rotan di depan rumah perkenakan kopi Bio Raud yang dihadiahkan sahabat Azmi Che Kob, cerita mengenai Abdullah dan 'keronyokkan' ke atasnya sepertilah Abdullah akan jatuh esok juga. Lewat petang baru himpunan itu bubar.
Biasalah kalau adakan kenduri ia tidak mudah selesai. Hingga jam 12:00 tengah malam masih ada dua tiga rakan yang baru mengetahui hajat saya itu datang untuk berjumpa mata. Tetamu terakhir ialah sdr Azmin Muslim dan keluarga, Dr Suhaimi Kadir, Mohd Amin Pepet (mangsa projek Jihad Ternak) dan Nazri Jaafar.
Setelah 'kedai tutup' jam 2:00 pagi ingat nak mencatat sesutau di blog ini, tetapi kerana sudah keletihan, tertidur .... dengan perasaan rasa bersalah kerana blog ini dibiarkan kosong semalam.
Sekali lagi di sini kepada rakan, sahabat dan anak buah yang datang meraikan saya dan isteri semalam diucapkan berbanyak terima kasih. Kehadiran anda sekalian memberi semangat dan kekuatan untuk saya dan isteri turun ke Tanah Suci dengan semangat dan rasa ubudiyah yang tinggi.
Kepada rakan-rakan yang tidak sempat dihubungi atau 'terhubung' lewat, saya pohon maaf. Terima kasih juga kepada Media Icon Sdn Bhd terutamanya MD nya yang ikut sama mendoakan saya dan isteri.
Kepada semua saya pohon kemaafan dan mengharapkan doa mustajab anda sekalin. Salam dan jumpa lagi sekiranya di Makkah dan Madinah kelak ada 'kemudahan' internet. [wm. kl 11:05 am 08/12/07]
No comments:
Post a Comment