SUSUPAN PAGI
SAYA terdengar cuplikan ceramah Ezam Mohamad Noor dalam tiktok yang diadakan di Pahang. Dalam ceramah itu beliau tidak habis-habis membelasah dan mengutuk Anwar Ibrahim. Modal utama Ezam sejak masuk Pas tidak ada lain, melainkan baham dan buruk serta hina Anwar. Ezam kini menjadi tentera upahan Pas untuk menyerang Anwar, mengambil tugasan Mohamad Sabu mengutuk Anwar sekitar tahun 1980/90an dahulu.
Sebagai politician yang diharap bangunkan negara dan bangsa, Ezam patut banyak bercakap tentang bagaimana kaedah dan cara-cara untuk bina bangsa dan negara. Beliau perlu banyak bentangkan idea, formula dan gagasannya untuk itu, bukan mengutuk sesiapa. Politik mengutuk berilah kepada ahli yang tahap pendidikannya rendah atau yang kandas belajar di timur tengah saja.Saya sentuh Ezam kerana beliau sosok yang saya kenali dan pernah saya kawani. Saya menghormati beliau, tidak lain dan tidak bukan kerana kagum dengan kehebatannya. Dia orang penting kepada Anwar Ibrahim. Satu masa saya mengharapkan dia jadi pengganti Anwar. Saya pernah gelarnya sebagai kembar Siam dengan Azmin Ali. Sejauh mana saya mendekti dan rapat dengannya, dia tahu.
Dia kini serangannya terhadap Anwar secara istiqamah. Habis segala bahasa kesat dilempar dan dihumbankan terhadap Anwar, terbaru dia sampai anggap Anwar sebagai gila, perdana menteri gila. Kesilapan Ezam ialah kerana kesekian lama berkawan dengan orang gila.
Saya tidak boleh fikir macam mana Ezam seorang "berparawakan" baik sampai tergamak mengatakan demikian. Perkataan itu sungguh sadis dan kemuncak segala perkataan buruk yang tidak terfikir akan keluar daripada mulut Ezam.
Orang yang rasional dan tinggi darjat insaninya tidak akan guna perkataan itu. Ezam adalah penghayat karya Ibnun Khaldun sarjana Islam tersohor. Apakah dia kira dengan mengutuk Anwar dia akan dianggap pahlawan salib dalam Pas. Atau dia berperangai begitu kerana sedang mencuri perhatian Pas untuk masa depan politiknya, di kalangan mualaf Pas. Para mualaf Pas kini sedang bersaing sesama sendiri, menunjukkan mereka lebih Pas, untuk diterima sebagai pahlwan perang salib.
Untuk menunjukkan Anwar tidak disenangi dan dibuang, beliau membilang satu persatu orang-orang yang meninggalkan Anwar, mereka itu baik yang masih hidup atau telah mati. Menurutnya hampir semua pengasas parti Keadilan Nasional (PKR) telah minggat daripada Anwar. Orang terbaru meninggalkan Anwar disebut dan diulasnya ialah Rafizi Ramli bersama dengan beberapa orang ahli parlimen.
Katanya tidak ada perdana menteri, seperti Anwar dimana ahli parlimen sanggup meninggalkan perdana menteri. Ini satu keganjilan menurutnya apabila ia berlaku diera Anwar. Lancang dan mulutnya tidak berlesen, sehinggakan melupai sejarah. Itulah, kalau bercakap tidak dengan akal, banyak kecacatannya dan kemelesetan faktanya.
Ezam terlupa, Dr Mahathir Mohamad semasa jadi perdana menteri ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah bersama beberapa orang ahli parlimen, termasuk yang menjawat jabatan menteri. Jadi sejarah menunjukkan bukan sahaja berlaku keatas Anwar, tetapi telah terjadi ke artas Mahathir. Kalau pun terlalu benci dan cemburu jangan sampai menodai sejarah.
Mengambil kira apa yang diperkatakan Ezam itu, saya sempat buat perenungan dan penilaian sedikit mengenai hal ini. Tidak dinafikan, sejak Anwar bergelumang dalam perjuangan, baik dari zaman siswa, belia dan politik beliau telah melalui berbagai kerenah. Beliau diserang dan ditinggalkan kekawan dan tidak kurang juga dilawati musuh. Ia tidak pelik kerana itu sunnatullah dilalui sesiapa sahaja yang berprinsip.
Menghimpun semua itu, yang nyata Anwar tidak pernah buang kawan dan rakan. Beliau bersahabat dengan seseorang hingga ke akhir hayat, seorang pengasih dan penyayang. Setahu saya orang nombor satu dalam Umno yang membencinya ialah Sanusi Junid, tetapi beliau tidak pernah mengambil tindakan terhadap Sanusi walaupun beliau ada peluang semasa jadi timbalan presiden. Bagaimana pun Sanusi sampai ke akhir hayat mencemburui dan marahkannya.
Tentang Ezam, diawal kejengkilannya dengan Anwar, sehingga menyebabkan beliau menjauhkan diri dengan parti, Anwar pernah bersuara kepada saya memujuk Ezam agar tidak meneruskan sikap berjauhannya dengan perjuangannya. Saya berjumpa dengan Ezam bersama Allahyarham Abu Bakar Ninggal di pejabatnya di Subang Jaya dan menyampaikan hasrat Anwar. Begitulah Anwar sangat menghormati dan sayang kepada para sahabatnya. Mana-mana sahabat yang berkecil hati dengannya, merajuk atau apa, akan diusahakan untuk kembali bersama.
Anwar tidak memecat dan menyisihkan sesiapa kemudian berdendam dengannya. Kalaupun beliau tidak suka, beliau pendam rasa itu dalam sukmanya, tanpa berkonfrontasi. Kebaikan dan pekertiannya itu menyebabkan dia dianggap pemaaf tahap dewa. Yang berlaku dalam medan perjuangannya, beliau tidak memecat sesiapa, tetapi mereka yang tidak betah dan memahami lenggang lengguk perjuanganya, tidak reti dan sabar dengan kerenahnya, akhir memilih jalan mengucpkan sanonara kepadanya. Itulah Anwar yang kita kenali.
Berbalik kepada Ezam tadi, saya percaya Ezam memahami dan arif semua itu, tetapi kerana dia terlalu kecewa dengan Anwar disebabkan sesuatu, dan tidak boleh menahan sabar, menyebabkan dia seperti phobia dengan Anwar sehingga ia sudah tidak rasional dengan dirinya sendiri lagi. Orang seperti Ezam ini lebih tiada "keseimbangan" berbanding dengan Anwar Ibrahim sekirnya dia jadi pemimpin utama.
Apa dapat difahami kenapa orang tidak suka Anwar, marahkannya adalah mereka yang ada kepentingan peribadi. Yang mahu menggunakan segala kesempatan yang ada untuk diri sendiri. Misalnya apabila Anwar ada kuasa, (dahulu sebagai TPM sekarang PM), mereka mahu ambil kesempatan dengan kuasa itu. Mereka mengharap sesuatu daripada kedudukan Anwar itu yang mereka rasakan ia diperolehi dengan bantuan mereka.
Jadi apabila Anwar tidak sedia memenuhi kehendak mereka secara berlebihan, maka disinilah bermulanya kemarahan mereka kepada Anwar. Mulalah kutuk dan serang Anwar penuh dendam dengan harapan Anwar jatuh. Sanggup bersekongkol dengan sesiapa sahaja yang membenci Anwar, hatta dahulu orang itu mereka kutuk dan jadikan musuh.
Kesimpulan orang yang marahkan Anwar, "membakar kelambau kerana marahkan nyamuk" terhadap Anwar, mereka berkepentingan dan tidak ikhlas dalam bersahabat dan berjuang. Mereka inilah yang satu persatu lari meninggalkan Anwar sambil memburuk dan membiakan varius fitnah.
Mereka yang tinggal bersama Anwar, adalah orang-orang yang ikhlas dan setiakawan dalam perjuangan. Mereka yang percaya kepada idealisme perjuangan Anwar, percaya kepada prinsip dan pendiriannya. Orang orang inilah yang jadi pagar dan sasak mempertahankan Anwar. Merekalah jadi kubu pelindung Anwar. Mereka lah penyala dan pembawa obor perjuangan Anwar. Mereka yang tidak mengharap apa-apa imbuhan melainkan bahagian melihat Anwar jadi pemimpin.
Justeru apabila memahami semua ini, kita tidak akan hairan kalau adanya orang-orang macam Ezam Mohd Noor itu. [wm.kl. 12:14 pm 03/06/2026]
No comments:
Post a Comment