MEWARAS AKAL
Hari ini riuh randah dengan laporan liar yang dilaporkan oleh mereka yang jahil mengenai politik dan sistem pemerintah negara ini, kononnya Anwar Ibrahim akan menggantikan Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Khalid Ibrahim dilaporkan akan melepaskan jawatan MB Rabu ini, iaitu lusa. Semalam lagi saya sudah menerima beberapa SMS menceritakan perkara ini tetapi akal dan naluri politik saya menolak kerana ia diluar logikal politik saya. Jadi saya tidak berminat mengulas sesuatu yang bodoh.
Bagi saya tidak ada sebab dalam situasi hari ini Khalid hendak melepaskan jawatan sebagai MB. Walaupun ada keperluan untuk beliau berbuat begitu, dan juga ada desakan halus, tetapi ia bukan sesuatu yang membebankan jiwanya sehingga dia akan angkat kaki meninggalkan bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam itu. Khalid masih lega dan selesa dengan kedudukan itu dan tampak tidak terjejas dengan psywar kononnya dia akan melepas jawatan.