Sunday, January 12, 2014

Mustapa, Ahmad Yaakub boleh bangunkan Kelantan

RENCANA AHAD                                                                                 

Kunjungan Pengerusi Umno Kelantan yang juga menteri MITI, Mustapa Mohamed ke Rantau Panjang semalam untuk melihat kesan-kesan kebakaran beberapa buah gerai di kawasan pasar besar Rantau Panjang sudah pasti ditunggu-tunggu oleh banyak pihak. Kunjungan itu adalah kesenimbungan kunjungan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakub sebelumnya.

Kira-kira 60 kedai yang hangus terbakar. 
Kunjungan kedua ketua parti politik Kelantan itu sudah pasti memberi semangat dan membawa harapan baru kepada para peniaga di sekitar pasar itu khasnya, dan kemajuan sekitar bandar Rantau Panjang itu sendiri. Semua orang mengharap sesuatu lebih bermakna dapat disumbangkan kepada kemajuan Rantau Panjang dengan dua kunjungan spontan kedua-dua sosok itu.


Ahmad dalam kunjungannya menyatakan simpati kerajaan negeri kepada mangsa terlibat, di mana akan menghulurkan bantuan awal bagi meringankan beban mereka. Ia akan dilakukan selepas senarai mereka terlibat disiapkan. Elok kalau pihak ditugas menyediakan senarai ini membuat seteliti yang mampu kerana bimbang nanti mereka yang tidak berhak, menerima sumbangan itu manakala yang benar-benar berhak pula terlepas.

Ini kerana difahamkan, peniaga terlibat itu kebanyakan adalah penyewa bukan tuan pemilik kedai berkenaan. Penyewa itu pula kebanyakan penduduk di negara jiran yang datang tumpang berdagang di negara ini. Apakah kerajaan akan menghulurkan bantuan kepada kedua-dua pihak, tuan kedai dan peniaga? Semoga ia dapat diuruskan dengan teratur dan penuh adil.

Tidak diketahui apakah Ahmad ada membayangkan pihak kerajaan akan menambahkan apa-apa prasarana di sekitar pasar itu bagi mengelakkan berlaku kemalangan seperti itu? Atau pun mengemukakan apa-apa cadangan bagi membesar dan mempertingkatkan kawalan dari segi keselamatan dalam kemungkinan menghadapi apa-apa bencana. Barang kali ada tetapi tidak diumumkan?

Bagaimana pun dalam hal ini, saya tertarik dengan seruan dikeluarkan Mustapa semasa kunjungan itu seperti mana dilaporkan. Tampak Mustapa lebih komited berbanding dengan Ahmad. Anggaplah juga seruan Mustapa itu, itulah juga bisikan sukma Ahmad Yaakub.

Seru Mustapa demi kelangsungan dan pembangunan untuk rakyat, perbezaan politik yang diamalkan sebelum ini perlu diubah. Kerajaan negeri dan pusat perlu berganding bahu untuk membantu rakyat. Seruan seperti itu sudah kerap tetapi apa ditunggui rakyat ialah pelaksanaanya. Ini kerana perbezaan pendapat serta ketajaman emosi, dan berbicara soal-soal titik bengik politik banyak merugikan rakyat Kelantan.

Sehubungan dengan seruan Mustapa itu, ia boleh dijadikan asas kepada persefahaman politik lebih luas dan konprehensif lagi bagi mematang amalan dan budaya politik di Kelantan. Sudah tentu kalau kedua-dua pihak mengenepikan perasaan politik, warna ideologi yang berlebihan itu banyak perkara dapat dilakukan. Sudah berdekad rakyat negeri Kelantan berkecamukan dalam politik yang jahil dan tidak menguntungkan. Rakyat dihidu dengan bau syurga atau pun ditampal material berlebihan.

Banyak perkara boleh dilakukan kalau ada political understanding di Kelantan. Ambil saja Rantau Panjang sebagai contoh. Rantau Panjang adalah pintu masuk ke Thailand yang popular. Ia berpotensi menjadi bandar pelacongan (transit) berkembar dengan Golok yang jaraknya dipisahkan oleh sebatang sungai seluas kira-kira 600 meter sahaja. Usaha boleh dilakukan untuk mengongsi kemajuan bersama bandar Golok.

Hakikat kini Golok lebih maju berbanding dengan Rantau Panjang. Ini termasuk dalam aspek prasarana dan juga menjadinya sebagai bandar transit pengeskportan makanan, buah-buahan, sayur-sayuran dan pakaian. Jika diperhatikan 80% barangan dijual di kedai-kedai dan pasar Rantau Panjang adalah dari Golok atau Thailand.

Selalu orang beranggapan Golok lebih maju kerana ia bebas hiburan dan ada kemudahan bermaksiat. Sebenarnya pendapat itu salah. Bukan semua mereka ke Golok untuk mengejar hiburan. Jambatan Rantau Panjang adalah laluan keluar masuk oleh penduduk kedua-dua buah negara berjiran ini, bukan saja ke pekan itu tetapi laluan untuk mereka bergerak jauh ke daerah-daerah lain di kedua belah negera, terutamanya untuk melancong.

Mislanya penduduk Siam menggunakan jambatan Golok untuk ke Kota Bharu, Kuala Terengganu hatta ke Johor Bharu dan Kuala Lumpur. Begitu juga jambatan Golok menjadi laluan popular penduduk Kelantan dan Malaysia untuk ke Narathiwat, Yala, Pettani, Haadyai, Phukat hingga ke Bangkok. Peluang ini seharusnya diambil kesempatan oleh kerajaan Kelantan dan Persekutuan mengubahkan Rantau Panjang sebagai bandar transit pelancongan secara berkembar dengan Golok.

Untuk mewujudkan keadaan ini, maka Rantau Panjang harus disusun dan dikemaskan, menjadi sebuah bandar sistemetik sebagai pintu masuk pelancong. Pembangunan infrastruknya harus dikemaskan. Pembinaan kedai dan rumah-rumah kediaman baru hendaklah dipantau dan mengikut plan yang dibenarkan. Dalam hubungan ini Majlis Bandaran Pasir Mas (MDPM) kena memainkan peranan penting agar masa depan Rantau Panjang berkembang dalam pantauan mengikut plan.

Selain itu kemudahan dan keperluan lain juga kena dipertingkatkan. Kawalan keselamatan, persediaan alat bantuan bomba juga harus disedikan. Masalah tekanan air rendah menyebabkan pili kurang berfungsi perlu diatasi. Untuk tujuan ini mungkin Jabatan Bomba dan Penyelamat boleh mencadangkan agar tangki air besar untuk kegunaan penyelamatan dibina di bandar Rantau Panjang.

Untuk tujuan ini air boleh diambil dari empangan Padang Bukit yang terletak tidak jauh dari bandar Rantau Panjang. Tangki besar itu boleh bertindak dua funsgi selain sebagai bekalan bagi tujuan penyelamatan dan sebagainya ia boleh digunakan untuk tujuan pertanian di musim kemarau.

Begitu juga dengan aliran trafik juga perlu diperkemaskan. Misalnya jalan utama yang ada sekarang ini untuk masuk ke tengah-tengah bandar perlu dijadikan satu hala dan jalan baru perlu dibina. Kesesakan yang berlaku hari ini pada musim-musim puncak seperti cuti sekolah, ialah disebabkan keadaan jalan yang sempit dan ini memberi kesan negatif kepada pengunjung.

Tidak mustahil jalan bertingkat boleh difikir sebagai langkah pandangan jauh.

Tentunya semua ini dapat dilakukan dengan adanya persepakatan dari semua pihak. Paling utama ialah persepakatan di kalangan pemimpin politik seperti mana seru Mustapa itu. Perlu disedari sikap berpolitik secara berlebihan atau pembawaan orang politik yang 'bodoh'lah menyulitkan perancangan pembangunan seperti ini dimana implikasinya kepada rakyat tidak dapat menikmati permbangunan seimbang seperti di tempat lain.

Justeru ajakan dan seruan Mustapa itu cukup baik dan tepat pada masanya. Sesuai dengan pendekatan dan stail politik Ahmad yang tidak mahu terus 'berembas' di dalam politik Umno - Pas, ia hendaklah disambut baik. Mungkin untuk merealisasikan cadangan dan tujuan ini Ahamd dan Mustapa perlu berjumpa bagi merangka plan pembangunan untuk Kelantan dengan menjadikan Rantau Panjang sebagai modal perpaduan.

Jika semua ini menjadi kenyataan manfaatnya bukan saja kepada rakyat Kelantan, tetapi ia memberi erti besar kepada kedua mereka. Musatafa dan Ahmad akan dilihat pemimpin yang merombak stiga politik lapuk diamalkan di Kelantan kesekian lama. Dan mereka juga boleh menjadikan perancangan untuk rakyat itu sebagai jasa dan bakti mereka untuk rakyat.

Tidak ada guna Mustapa menjadi menteri MITI dan ketua Umno tetapi rakyat Kelantan tidak dapat mengeccapi apa-apa dengan kedudukannya itu. Begitu juga Ahmad Yaakub tidak memberi apa-apa impak kepada politik dan pembangunan kalau beliau meneruskan stial dan amal 20 tahun lepas. Jawatan dipegangnya kini tidak membawa sebarang makna.

Yang pastinya mereka mahukan jasa dan dikenang oleh rakyat, maka rancanglah ke arah kerjasama politik untuk rakyat Kelantan. [wm.kl.12:31 pm 12/01/14]

No comments: