Tuesday, January 28, 2014

Ceteknya minda sesetengah ahli Dewan Pemuda PAS

SUSUPAN SDNJA                                                                             

Realiti bahawa Dewan Pemuda PAS terbelah kepada dua fraksi, ortodoks dan modern terbayang di dalam reaksi dibuat oleh anggota sayap kanan PAS berhubung kekosongan kerusi DUN Kajang dan pengumuman Anwar Ibrahim sebagai calon PKR dalam pilihan raya kecil itu.

Sekurang-kurang dua orang anggota Pemuda PAS, setakat ini, membuat kenyataan kurang manis berhubung keputusan PKR itu sebaik sahaja Anwar diumumkan sebagai calon. Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim mengeluar kenyataan awal berbau ancaman akan memboikot pilihan raya kecil bakal diadakan itu.

Katanya sekiranya PKR tidak memberi penjelasan munasabah mengenai pengosongan kersui berkenaan jentera pilihan raya Pemuda akan diarah agar tidak memberi kerjsama kepada pilihan raya itu.

Seorang lagi anggota Pemuda Pas yang membuat kenyataan dikira kurang manis ialah Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Mohd Sany Hamzan yang menyifatkan pilihan raya berkenaan mengejutkan dan ianya menyebabkan rakyat meluat dengan kerakusan kuasa dalam PKR.

Sebagai sekutu kepada Pakatan Rakyat, kedua-dua anggota pemuda itu tidak sepatut mengeluarkan kenyataan berkenaan secara melulu yang boleh menyinggungkan perasaan orang lain. Kenyataan-kenyataan bersifat negatif itu menggambarkan kecetakan Pemuda PAS dalam memahami sepak teranjang politik. Ia juga menunjukkan Pemuda PAS kurang ilmu diplomasi. Apa yang ditunjukkan itu kemalangan kepada PAS di mana sepatutnya mereka mempunyai pemuda yang geliga dan tangkas berfikir.

Mereka juga boleh dianggap biadap kerana tidak menghormati konsensus politik yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti. Apakah pandangan pemuda lebih tajam daripada pandangan pucuk pimpinan, Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan lain-lain?  Apakah mereka tidak tahu bahawa peristiwa hari ini sudah dibincang peringkat pucuk pimpinan? Mungkin mereka tidak diberitahu kerana budak-budak memang tidak perlu diberi tahu awal-awal. Budak-budak kalau orang tua buat kerja kena main jauh-jauh.

Tetapi senario yang berlaku sudah boleh ditafsirkan. Adalah menyedihkan sebagai orang muda lambat untuk memahami apakah motif dan keperluan disebalik pengosongan kerusi Kajang itu. Kalaulah begitu rendahnya pemikiran pemuda PAS sukarlah untuk PAS bergerak lebih jauh lagi apa lagi untuk menawan Selangor secara bersendirian. Kenapa pemuda harus mempersempitkan akal politik mereka?

Berpandukan kepada dua pandangan itu tidak hairanlah kalau peristiwa di Kota Damansara berlaku yang menyebabkan kerusi yang sepatutnya menjadi milik Pakatan Rakyat terlepas. Sikap dan tindakan begitu, persis marahkan nyamuk membakar kelambu adalah sikap orang bodoh. Di Damansara kerana terlalu tamak dan degil akhirnya ayam terlepas tangan tertinggal tahi.

Kenyataan mereka berdua itu juga seolah-olah bercanggahan dengan keputusan pucuk pimpinan parti yang mana ia boleh dianggap sebagai biadap.

Apakah mereka tidak sedar sidang akhbar pagi tadi dihadiri sama oleh dua pimpinan tertinggi PAS, Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli. Kehadiran mereka itu sudah menjelaskan kedudukan di sebalik apa yang berlaku. Pemuda yang dianggap sebagai ansrollah harus cekap membaca peristiwa.

Cara mereka membuat kenyataan bernada mengkritik dan mencemuh PKR itu tidak menggambarkan mereka sebagai anggota parti Islam yang lebih kepada soal-soal adat dan perkerti.  Mereka lebih kurang seperti pemuda Umno sahaja. Cari itu juga bukan memupuk semangat kerjasama dalam keadaan memerlukan kerjasama dan sokongan padu. Apakah jenis manusia yang boleh dinamakan apabila membuat kerenah disaat kawan menghadapi perang?

Ancaman untuk memboikot pilihan raya kecil itu juga mendahului keputusan pucuk pimpinan. Seharusnya ketua Pemuda PAS Selangor itu memerhati apa yang berlaku dan melihat apakah tindakan pucuk pimpinan. PAS adalah milik semua orang dan bukan hanya milik kalangan Pemuda PAS Selangor sahaja.

Tanggungjawab ahli PAS baik di mana mereka berada adalah secara kolektif. Sebab itu bila ada sesuatu pilihan raya semua ahli PAS akan turun. Jadi apa-apa keputusan berhubung dengan Pakatan Rakyat, semua ahli PAS terlibat dan jangan hanya PAS Selangor merasakan ianya hak mereka secara eksklusif dan boleh berbuat apa saja yang disukai. Bukankah Islam itu sejagat sifatnya?

Kalau tindakan untuk menunjukkan kita lantang, berani, dan prihatin agama, tetapi ia dengan bertenggek di atas nafsu sarakah ia tidak memberi guna apa-apa pun. Pemuda PAS Selangor juga patut membuat kajian dan tahu kronologi macam mana mereka mula mendapat kerusi di Selangor.

Justeru apa-apa keputusan yang dibuat dan diambil oleh pucuk pimpinan hendaklah dihormati dan biarlah penuh hikmah. Cara ketua pemuda PAS Selangor itu seakan tidak mengerti untuk bertindak secara sopan dan sangat cetek dalam memahami seluk belut politik. Pandanglah sesuatu itu dari berbagai dimensi.

Sikap atau kealpaan sebegitulah yang boleh menjejaskan PAS dan menyebabkan orang akan mencemuhi PAS. Gerakan politik yang dipersetujui oleh PAS menerusi Pakatan Rakyat adalah atas dasar dan prinsip politik yang rencam dan bukan peraturan-peraturan jemaah (haraki), hendaklah disedari. Fahami akan hakikat ini. Yang perlu dikenang dalam perjuangan bukan kecemerlangan masa depan yang dibayangkan, tetapi kesusahan masa lalu yang diharungi. Saya percaya ada kalangan pemuda PAS hari ini tidak sempat melalui banyak liku-liku kesusahan Pakatan sebelum ini kerana itu ia kurang merasa.

Kesimpulan persepsi atau realiti Dewan Pemuda PAS berpecah kepada dua kelompok tampak jelas dengan sikap dua oknum pemuda itu. Dewan Pemuda PAS sebelum ini dilihat dikuasai oleh dua kelompok yang tidak sehaluan dan mempunyai pandangan dan uslub politik berbeza. Sepihak lebih bersikap ortodoks mahu mengekalkan pemahaman konversional, manakala sepihak lagi yang modern yang terbuka dan peka dengan ilmu politik.

Pertentangan inilah yang sedang berlaku bakal menjadi masalah dalam PAS dan kenyataannya dua orang pimpinan pemuda PAS itu menggambarkan situasi tersebut. [wm.kl.6:27 pm 28/01/14]

19 comments:

zaffar said...

saya sangat bersetuju dgn tuan mso..
perangai cepat melatah ini menggambarkan kedangkalan ilmu politik mereka..
sepatutnya mereka mendalami terlebih dahulu sesuatu isu dari pelbagai sudut..
bak kata pepatah inggris - look before you leap -....

Unknown said...

totally agree with tuan mso....
apakah tuan tersilap tulis jawatan dia....saya keliru...Ketua Pemuda Pas Selangor atau Ketua Pemuda Pas Peringkat KAMPUNG? MASIH KELIRU

Unknown said...

Saya amat bersetuju dgn pandangan TUAN MSO. Nampak sangat spesis ni tidak faham dan lambat membaca keadaan politik atau mungkin spesis ni merasa inilah masa untuk menjadi hero. Sungai Acheh terlepas pun sebab Pemuda PAS Pulau Pinang.Buta dalam celik.

Unknown said...

Belum apa lagi pemuda pas selangor melenting, kurang sopan sunggoh, orang macam ni nak jadi pemimpin negara. sebelum buat kenyataan fikirlah dahulu, jangan jadi ketua pemuda pas bodoh. Melatah tak tentu pasal

XUMNO said...

Pemuda Pas. Kalau pun belum matang, berlagak matang pun jadilah.Perangai anda kadang2 macam budak2 hingusan dalam sepak terajang politik. Bila nak buka mulut tolong hubungi pucuk pimpinan dulu untuk dapatkan penjelasan. Dalam kes Kajang, buat apa buat sibuk2 masuk campur dalam hal rumah tangga parti lain??? Fahami betul2 dasar2/prinsip2 yang telah dipersetujui dalam pembentukan Pakatan Rakyat, bab mana boleh dan bab mana yang tak boleh. Dasar utama ialah menyokong apa jua keputusan yang dicapai oleh parti komponen PR. Apabila telah selesai PRK nanti, cerita melantik MB itu cerita lain.Membesarlah dan buang tabiat kebudakan2.

suparjo@blogspot.com said...

Membaca tulisan MSO saya rasa tidak adil juga. Selama ini geng PR memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara, sehingga apa juga yang tidak dibincang dalam BN atau Umno dikatakan sebagai matinya demokrasi. Malah, jika tidak ada suara yg membantah satu atau dua saranan pemimpin dalam BN, dikira orang BN dianggap sebagai lembu dicucuk hidung. Mengapa pula dalam kes ini, semua yg duduk dalam PR wajib 'menjadi lembu'?

Sesiapa yang bersuara sebelum ada dasar rasmi mana2 parti dalam PR adalah luahan pemikiran kritisnya. Itulah yang sebenar lahir daripada pemikirannya yg kritis, maka pendapat yang dikeluarkan setelah sesuatu dasar oleh semua pemimpin parti, itu pandangan 'mengampu'.. minta maaf MSO!

Ahmad Fadzli said...

Dulu Dr Wan Azizah berundur @ mengosongkan kerusi P Permatang Pauh ; itu kita boleh terima sebab DSAI diperlukan utk mengetuai barisan PR dan juga selaku Ketua Pembangkang di Parlimen.

Sekarang sorang lagi pulak berundur utk bagi laluan kpd DSAI utk bertanding di DUN Kajang , yg nyatanya jauh dr kampung halaman DSAI sendiri....kalau DYMM Sultan Selangor (setelah dipengaruhi oleh UMNO BN) tidak bersetuju & menolak perletakan jawatan MB , mcmmana pulak..??

Ini semua bakal memberi 'token' percuma kpd BN utk menyerang Pakatan Rakyat...esp masa PRK nanti..

Unknown said...

Matlamat tak menghalalkan cara.Cara ini telah merendahkan maruah pengundi.Suka hati aja nak buat pilihanraya.PKR x matang berpolitik sama aja macam umno.2x5

safiee ali said...

setuju ngan MSO.. dh acap kali perkara ni berlaku... harap pucuk pimpinan tgok2lah sikit... buat malu je...

Ano Nyme said...

Rasanya mereka ni serang menantu sebab tak puas hati dengan mertua...

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
nazi kelawar said...

Bukan begitu caranya nak tunjuk berani sebagai pemuda yang hebat dan lantang.Tak kena tempat dan keadaan.Cara yang ditunjukkan oleh pemuda PAS Selangor ini adalah biadap dan tidak bertamadun.Langsung tak reti stretegik berpolitik.Cukup cukup menyampah dengan perangai pemuda PAS Selangor ini.

Admin007 said...

Salam Tuan MSO,

saya amat bersetuju, ada di kalangan pimppinan Pemuda PAS ni terlampau tidak bijak berpolitik, sebelum nak keluar statement haruslah berbincang dgn pimpinan dulu, nanti ternampak ketidak cerdikan, syukurlah Ketua Pemuda PAS yang baru tak cepat melatah seperti Mantan Ketua Pemuda PAS yang lalu, cepat sungguh keluar hukum HARAM, macam Harusanasini je..saya sebagai pendokong tegar Pakatan Rakyat tidak akan sekali2 menyokong tindakan bodoh ketua Pemuda Selangor untuk mengarahkan Ahli Pas untuk memboikot PRK ini.. Pandailah berpolitik sikit.. sukar untuk PAS mencari pengganti Ulama berfikiran macam TGNA. Harap Maklum..

akulah69 said...

Sbb itu tuan, PR mgkin tak akan dapat memerintah Malaysia, dlm PRU ke berapa sekalipun. Org tengok PR tak mantap, tak stabil. Sesama ahli bercakaran. Sepatutnya perkara2 yg peringkat dasar, dibincangkan dalam muafakat PR. Bila guna media terutama pro bn, hok kecik jadi besor. Hok betul, jd tak betul...pemuda pas...jangan suka mengugut, org x suka. Org begini yg jiwanyer kecil. Mudah berubah pendirian bila tidak selari dgn dirinyer..

Unknown said...

Ketua pemuda pas selangor gilakan glamor dan gopoh ingin menjadi hero dlm pas...tersilap langkah akhirnya menjadikan dirinya sampah dlm pas....mcm mana la mamat ni boleh terlepas jd ketua pemuda pas selangor....kenapalah masih byk manusia flm pas yg kolot mcm mamat ni..

burnkamalthrist said...

Bukanlah perbuatan nagatif dalam merasakan ketidak puasan tapi menunjukan keberanian menogkah arus kerana merasakan ianya perlu. Dilihatan dari kaca mata pemikiran otodok semua yg dlm sungai yang sama wajid mengikut arus

burnkamalthrist said...

Bukanlah perbuatan nagatif dalam merasakan ketidak puasan tapi menunjukan keberanian menogkah arus kerana merasakan ianya perlu. Dilihatan dari kaca mata pemikiran otodok semua yg dlm sungai yang sama wajid mengikut arus

FlowerGold said...

TIDAK SOKONG.. Ini adalah kenyataan ‘org tua’ yg biasa kita dengar dimana2. Kita perlu faham, pemikiran & pendekatan org muda jauh berbeza dengan org lama. Mereka lebih agresif, lebih beremosi dan lebih bertenaga bak kata org lama, darah muda yg bergelora. Ini bukanlah mewakili sebahagian org muda, tp majoriti lumrahnya org muda mmg begitu, kenapa kita perlu ‘mendewasakan’ mereka sebelum masanya?? Kan ada asas peringkat menuju dewasa, knp perlu melawan arus?

Politik umpama ‘rojak’, ada buah yg manis, buah yg masam, buah yg pahit dan digaulkan dengan perasa pedas masam masin dan ia akan menjadi sedap, bukannya hanya letakkan buah yg manis utk menjadi rojak yg sedap (buah manis ini boleh dianggap ‘org lama’ atau ‘org tua’ dlm berpolitik). Begitulah juga org muda yg diperlukan dalam politik. Jika tidak, masakan perlu dilahirkan pemuda, pemudi, srikandi dll? Kenapa tidak hanya dibiarkan semuanya ‘dewasa’? Ini bermakna suara mereka (pemuda) juga diperlukan walaupun berlainan nada untuk mendapatkan ‘rojak’ yg sedap. Jadi knp perlu pangkah pemikiran mereka yg kritis?

Sama juga dalam strategi perang, klau semuanya panglima atau ‘org tua’ yg membuat strategi dan merancang dalam peperangan, siapa pula yang akan merempuh dan memulakan peperangan? Pasti askar-askar kecil yg ada (askar-askar ini adalah ibarat org muda yg agresif, bergelora darahnya dan beremosi). Klau hanya panglima yg pandai mengarah dan buat strategi perang tanpa askar, bila nk menang dan dpt menawan??

Anggaplah tuan MSO seperti buah, apabila muda rasa rasanya masam, lama-lama ia akan menjadi masak dan manis mengikut peringkat asas yang telah ditetapkan. Sama juga seperti org muda, mereka memerlukan masa, memerlukan pengalaman dan ilmu untuk terus menjadi buah yg masak dan manis mengikut peringkat2 asasnya. Knp kita perlu mematangkan mereka sebelum usianya? Knp kita tidak memberi mereka peluang / landasan untuk ‘explore’ seterusnya mendapat pengalaman dan ilmu utk menjadi buah yg baik, bkn hanya masak? Knp ‘org tua’ perlu keluarkan kenyataan ‘keras’ spt itu kpd org muda, spt mereka tidak pernah menjadi buah muda yg masam??

Akhir kata, janganlah jadi ‘org tua’ yang sering mengatakan aku makan garam dahulu (takut cepat terkena darah tinggi) kerana org muda juga ada pemikiran kritis mereka sendiri. Mereka juga ada sifat muak dan jelik pada ‘org-org tua’ yg berpolitik ‘memusingkan’ seumpama itu.

Adieson