ANALISA PAGI
Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu dan merampas kitab Bible dalam bahasa Melayu di pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim menjadi isu hangat di awal Januari ini. Berbagai pihak memberi pandangan pro dan kontra mengenainya.
Ada yang menyokong tindakan Jais itu sebagai tepat dan mengikut peraturan. Ada sebaliknya menyatakan kekesalan kerana ia sebagai pencabulan hak asasi dan kebebasan beragama yang dibenarkan menurut Perlembagaan. JAIS sendiri mempertahankan tindakannya berdasarkan enakmen yang sedia ada yang digubal pada tahun 1988, iaitu Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam).
Isu itu menjadi makin panas apabila ada wakil rakyat DAP mencandangkan agar enakmen yang sedia itu dipinda. Cadangan itu disifatkan sebagai gopoh oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim. Cadangan sebegitu seperti sengaja mencurahkan api ke atas minyak dan bukan bijaksana. Seharusnya wakil rakyat DAP memerhati sahaja dan tidak mudah melatah kerana ia boleh memborakkan keadaan.
Memerhati kepada apa yang berlaku sedikit memelikan, apabila pihak kerajaan Selangor menyatakan mereka tidak diberi tahu mengenai serbuan berkenaan. Exco agama, Salehen Mukhyi menyatakan beliau tidak dimaklumkan. Keadaan ini menyebabkan tindakan itu diterjemahkan ianya dibuat atas pandai-pandai JAIS tanpa mendapat restu atau pemakluman kepada kerajaan Selangor sebagai pihak berkuasa.
Sikap tidak berhemah atau tidak mengikut standard operasi itu menyebabkan ada kalangan beranggapan tindakan JAIS itu mengikut telunjuk kerajaan Umno-BN, bukan dari arahan kerajaan Selangor yang sepatutnya lebih tepat dirujuk.
Atas apa yang berlaku tentulah pihak Kristian kecewa dan marah. Ia dianggap sebagai satu pengkhianatan dan pencabulan. Kita tidak fikir mereka sengaja melakukan (menyimpan Bible berbahasa Melayu) tanpa mengetahui hujung jatuhnya. Ini kerana sebelum itu sultan Selangor sudah memberi nasihat keras agar kalimah Allah tidak dibenarkan digunakan di gereja di Selangor. Sepatunya pihak persatuan itu maklum dan mendengar nasihat itu.
Namun di sini saya tidak mahu memihak kepada mana-mana pihak, tetapi apa yang ingin disuluh apakah tujuan dan motif serbuan itu dibuat. Sejauh mana ia benar untuk membendung pengaruh Kristian di kalangan orang Islam seperti mana didakwa serta dibimbangi oleh sesetengah pihak. Ini perkara perlu dihalusi.
Rampasan kitab-kitab Bible berbagai versi dalam bahasa Melayu itu boleh dielakkan, dan ia tidak menjadi isu kalau kedua-dua pihak bersikap terbuka, profesional dan saling hormati menghormati dan tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing.
JAIS boleh bertindak sekiranya enakmen itu memberi jalan dan ruang betul berbuat begitu. Apakah Jais atau mana-mana penguatkuasa ada hak untuk memasuki ke sesebuah premis agama lain tanpa kebenaran? Tetapi tindakan itu akan dipertikaikan kalau ia bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan yang merupakan ibu dalam segala rujukkan dan percedent dalam apa juga hal selama ini. Menjadi musykil pula apabila orang Islam sendiri beranggapan cara JAIS itu sebagai memalukan Islam kerana membelakangkan sikap toleransi.
Begitu juga pihak Kristian boleh bantu meredakan keadaan kalau sesetengah dari penganutnya yang berkedudukan tidak perlu lantang dalam menyuarakan hak-hak mereka dari segi perundangan. Contohnya tidak perlu pengarang majalah mingguan Kristian, Herald menyatakan ketegasan untuk tetap menggunakan kalimah Allah secara umum. Kalau pun mereka ingin menggunakannya, tetapi tidak perlu disebut secara terang-terangan kerana ia boleh membakar jiwa orang lain. Di sini ada benarnya kata Dr Mahathir Mohamad, Kristian tidak akan kurang apa-apa kalau mereka tidak menggunakan kalimah Allah.
Tetapi disebabkan kedua-dua kurang cermat dan tidak bijak maka meletuslah isu rampasan itu sehinggakan memberikan tanggapan buruk kepada pihak JAIS dan menjadikan umat Islam lain yang menerima kalimah Allah itu hanya mutlak untuk mereka saja marah kepada tindak tanduk sesetengah individu Kristian yang mempertahankan hak mereka tanpa diplomasi dan pengertian itu.
Baiklah di sini saya ingin menyuluh di sebalik tabir isu berkenaan. Apakah yang berlaku sebenarnya di sebalik kejadian itu? Jika dijelujuri kenapa JAIS berani bertindak walaupun ia sudah merasakan tindakannya akan menimbulkan masalah, saya bersetuju dengan anggapan tindakan itu adalah atas kehendak kerajaan UBN. Mustahil Bukit Aman tidak mengetahu tindakan JAIS itu. Zahid Hamidi walaupun ketika itu tidak berada dalam negara, namun sebagai menteri KDN beliau mesti tahu.
Saya bersetuju dengan tanggapan bahawsa kerajaan UBN memberi restu atas apa yang berlaku. Penarikan balik hasrat Umno untuk membantah secara besar-besaran ke atas kebiadaban pihak Kristian menampakkan ada sandiwara di sebalik isu itu. Kenapa ditarik balik untuk berdemon di hadapan gereja? Mungkin kerana Umno dapat merasai tindakan itu banyak memberi keburukan daripada kebaikan. Tiba-tiba sahaja Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar mengumumkan pelarangan untuk Umno berdemonstrasi.
Lantaran itu semacam ada agenda dan perancangan tertentu di sebalik penyerbuan dan rampasan kitab-kitab itu. Ia seolah-olah senagaja dilakukan untuk menimbulkan keadaan tegang di kalangan penganut Kristian dan Islam. Motif jauh disebalik agenda itu adalah kerana ada agenda lain yang lebih penting dan utama.
Yang mungkin diramalkan di sini berdasarkan kepada kemunasabahan dan ketempangan kejadian itu, apakah kerajaan UBN pimpinan Najib Razak mahu mencetuskan keadaan tidak tenteram dari tindakan Jais itu. Apa diharap daripada suasana itu kemudiannya akan wujud persefahaman di antara aliran agama Islam yang dipisah menerusi parti politik di negara ini. Orang Islam dalam Umno akan bergabung dengan orang Islam dalam Pas bagi menghadapi kemelut itu yang akan dicapturekan sebagai masalah bersama. Apakah inilah yang diharapkan.
Fahamlah bila disebut orang Islam didalam Umno dan orang Islam didalam Pas. Boleh jadi Najib sudah membaca situsi dirinya yang dalam bahaya waktu ini. Pengaruh dan keyakinan rakyat terhadap Najib dan Umno makin menirus dan bakal berhadapan dengan ancaman rakyat secara menyeluruh. Makanya sesuatu perlu dibuat bagi memulihkan kekuatan dirinya dan juga Umno.
Semua orang tahu hari ini Najib dan Umno diserang oleh rakyat dengan pelbagai isu baik yang baru maupun isu yang belum selesai. Kenaikan harga barang dan kos sara hidup adalah ancaman baru yang bakal memporak perandakan Najib. Isu-isu sosial, ekonomi, jenayah masih belum ada tanda-tanda untuk berkurangan. Kejadian tembak menembak berlaku hampir setiap hari. Kekurangan jenayah hanya dapat dilihat dalam media PB menerusi kenyataan menteri dan ketua polis, tetapi realitinya tidak.
Justeru kerana sudah membaca ancaman dan serangan itu boleh mengugatkan kedudukannya, maka satu makenisme perlu dicari untuk menyelamatkan keadaan. Salah satu cara ialah dengan 'merekayasakan' kedaan agar timbul perbalahan dan ketegangan antara kaum dan fahaman agama dengan harapan penyatuan atas nama agama boleh berlaku kelak.
Boleh jadi Najib tidak tahu palanning untuk menyelamatkan Umno dan dirinya itu. Ianya dikerjakan oleh pasukan khas. Tetapi melihat kepada sikap Najib yang tidak begitu bimbang dalam mengulas kejadian itu semacam dia sudah faham dengan apa yang berlaku dan hanya pura-pura tidak tahu.
Persoalanya apakah agenda itu, penyatuan orang Islam Pas dan orang Islam Umno dan orang Islam dalam PKR dan mana-mana akan berlaku? Penyatuan atau kerjasama dari sudut mana sekalipun perlu dibuat dengan keikhlasan dan penuh kejujuran. Kalau ia dibuat atas motif dan tujuan-tujuan tertentu bersifat kepentingan diri, penyatuan diharapkan itu tidak akan berlaku. Kalaulah tindakan Jais itu merupakan agenda ke arah itu, ia tidak akan berjaya kerana ia dibuat berdasarkan matlamat menghalalkan cara, dan bukan secara nature. Tindakan Jais itu merosakkan nama baiknya saja.
Orang Islam Pas tidak akan mudah untuk menerima ajakan Umno menerusi planning itu kerana mereka sudah ada pengalaman bagaimana mereka dipermain-mainkan. Adalah payah bagi orang Pas untuk terjun ke dalam lubang yang sama sekali lagi, melainkan di dalam lubang itu menyediakan ganjaran besar untuk mereka.
Sebaik-baiknya kalau Najib untuk menyelamatkan diri dan maruah dari situasi yang berlaku hari ini, lepaslah jawatan perdana menteri, tiru langkah Abdullah Ahmad Badawi. Sesungguhnya musim-musim indah berbulan madu bagi Najib sudah tiada lagi. [wm.kl. 10:20 am 07/01/14]
1 comment:
saya setuju dengan tuan. diharap para penyokong Pas dan PR jangan mudah melatah dan terpedaya dengan agenda amno 47 percen tu.Kalau takat tu saja taktik nak menipu baik tak payah. Kami rakyat yang dok di bawah ni tak renti2 berguling2 bergelak ketawa dengan adegan karut puak2 yang tak berapa cerdik ni....
Post a Comment