REAKSI
Beberapa rakan termasuk penganalis politik kelas sarjana bertanyakan saya bagaimana dengan sikap dan pendirian Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang sebelum ini ikut meletakkan calon di Kajang dalam pilihan raya umum lalu, tetapi kali ini mendiamkan diri. Mereka ingin tahu apakah Ngo Islam-Melayu yang dianggap pendokongnya kalangan cendekiawan muda Islam itu, akan ikut sama bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil Kajang 23 Mac ini?
Pertanyaan dan persoalan itu tentulah muncul apabila Isma seakan 'mentenggilingkan' daripada bercakap fasal pilihan raya kecil berkenaan.
Terhadap pertanyaan itu, saya mengambil sikap mendungukan diri saja. Saya hanya tersenyum di dalam hati bila mengenangkan Ngo yang rajin menampilkan diri membicarakan isu-isu bersangkut bangsa dan agama ini.
Ada sebab kenapa saya mendiamkan diri, kerana sedikit sebanyak saya dapat membaca latar sejarah parti yang diambil untuk dijadikan alat berpilihan raya oleh Isma, iaitu Berjasa. Juga dapat membaca kilau didalam kilat Ngo berkenaan dengan memerhatikan penglibatan mereka dalam berbagai aktiviti yang ada kaitan langsung dengan agensi kerajaan (sebut Umno). Tingkah itu membolehkan kita membuat firasat sendiri.
Latar belakang dan sejarah Berjasa lebih kurang parti Kita saja yang dipimpinan Zaid Ibrahim kemudian mati di tengah jalan. Parti yang hidup dengan diberi makan, dengan terbang setelah diayun ke langit.
Sewaktu saya diundang untuk berwacana dengan Isma di Bangi sebelum pilihan raya umum ke-13 lalu ekoran rasa tidak puas hati pihak Isma terhadap sebuah tulisan saya dalam blog ini berhubung pembiayaan kewangan untuk Isma berpilihan raya, saya telah menjelaskan kepada pada hadirin malam itu mengenai sejarah Berjasa dan isbab kewujudannya.
Saya juga menasihati Isma supaya tidak mencemarkan diri dalam pilihan raya dengan meletakan calon-calonnya di kawasan terpilih. Saya menyarankan agar Isma kekal dengan identitinya sebagai sebuah Ngo tegar Islam-Melayu dan pembentukan minda Islam yang jilan tanpa menunjukkan kecenderongan memihak kepada mana-mana partisan.
Antara sebab dan alasan saya, bila Isma menyertai pilihan raya, Isma juga akan terpalit dengan dosa-dosa kering yang menjadi 'ramu' dalam pilihan raya dan sistem demokrasi. Jika Isma ikut sama bermain (berpolitik pilihan raya) tidak dapat tidak Isma akan terpalit dengan kerenah demokrasi yang jelek. Betapa Isma menjaga dan mengawal ahlinya berakhlak, bersikap profesional, tetapi ia tidak dapat tidak, Isma akan terjun sama ke longkang politik yang hamis dan hanyir.
Tuduhan dan persepsi buruk kepada seseorang tidak dapat lari dari menjadi modal kempen. Modal paling besar dalam berkempen ialah mengata dan mengumpat atau sekurang-kurang bersetuju dengan keji dan fitnah terhadap seseorang oleh seseorang atau pihak yang lain.
Apa lagi penyertaan Isma di kawasan-kawasan terpilih dengan satu nawaitu dan niat tertentu. Bagi saya Berjasa/Isma adalah secalit warna putih pada tahi cicak saja, ia tidak akan ke mana, apa lagi mencapai nawaitu yang idealis itu. Pilihan raya dan sistem demokrasi tidak akan memberi natijah yang baik kepada sebuah perjuangan Islam yang tulen seperti diharapkan oleh Ngo seperti Isma itu, kerana di dalam Islam tidak ada demokrasi seperti diamalkan hari ini, 'western democracy'.
Kononnya Isma menyediakan calon untuk menyelamatkan pengundi Islam daripada 'berdosa' apabila terpaksa mengundi calon bukan Islam atau Melayu. Calon Berjasa tajaan Isma itu boleh menjadi calon alternatif, atau menyekat pengundi Melayu yang 'gelenyer' untuk mengundi agar tidak terpalit dengan dosa.
Isma berangapan calon-calon lain, khasnya orang Cina dan India dan termasuk juga PKR tidak wajar diundi oleh orang Islam. Mereka ada dalil dan alasan sendiri kenapa mereka berat menerima calon PKR hatta berbangsa Melayu dan beragama Islam. Keberatan inilah saya kata Isma juga tidak dapat keluar dari ruang lingkup persepsi yang direkacipta oleh 'engineer' dan 'arkitek' politik. Dalam kata mudah Isma juga terjerat dengan jerakap samar politik Machiavellisme.
Makanya di mana ada kawasan yang calon-calonnya tidak diwakili Melayu baik oleh Umno atau Pas, Isma akan letak calon mereka. Contohnya di parlimen Batu dan juga di Dun 25 Kajang yang hari ini diadakan pilihan raya kecil ekoran pengosongan kerusi. Tindakan Isma itu pun bagaikan 'berketut sebelum berak' saja, kerana tidak semua kawasan penyelamatan akidah itu dilaksanakan.
Kita hormat dan sanjung atas usaha dan nawaitu baik Isma itu. Itulah tanggungjawab dan amanah khalifah. Isma adalah khalifah. Mereka telah menunjukkan sikap sebuah Ngo yang benar-benar hendak menjaga iman orang Islam agar tidak tercemar. Isma telah cuba mengambil tanggungjawab 'fardu kifayah' dalam pilihan raya. Mereka boleh teruskan dengan tanggungjawab itu, walaupun saya sudah memberi pandangan Isma tidak akan berjaya menerusi politik, sebaliknya ia akan memburukkan nama Isma. Nah, ternyata apakah ada impak kepada penyertaan Isma di dalam pilihan raya umum lalu?
Biarlah kita terima hujah Isma itu dengan peranan dan tanggungjawab fardu kifayahnya itu. Teruskan. Tetapi bagaimana pula dengan pilihan raya Kajang hari ini? Isma masih 'senyap tupas' tidak bersuara apa-apa mengenai pilihan raya berkenaan. Sepatutnya Isma tidak mendiamkan diri mengenai pilihan raya kecil Kajang ini. Seeloknya Isma atau Berjasa juga mengambil bahagian. Apakah tugas Isma untuk menyelamatkan keimanan orang Melayu di Kajang itu sudah berakhir apabila UBN berjaya membentuk kerajaan?
Saya bersetuju dan terpanggil dengan sebuah tulisan oleh Dr A Z Zul seorang penulis tamu kepada Strata Consulting, sebuah badan advokasi dan pemikiran yang mengkhususkan kajian strategi dan analisa unjuran. Tulisan itu cuba memprovok Isma agar ikut sama bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang. Alasan diberikan adalah munabasah dan praktikal. Dan tulisan itu juga membawa dua makna selain mendesak, ia juga mencabar Isma.
Antara alasan dan hujah kenapa Isma perlu ikut sama meletakkan calon di Kajang, ialah kerana Kajang merupakan "sanctuary" (kawasan ibadat) kepada Isma jadi ianya kawasan strategi untuknya. Di Kajanglah Isma membentukkan diri, memulakan gerakan doktrin dan operasi survival harian mereka. Dalam kata lain Kajang kawasan terbaik untuk Isma dan bila ia berlaku pilihan raya kecil ia juga terbaik.
Justeru Isma akan pertahankan Kajang termasuk menyakat kedatangan Anwar Ibrahim daripada menganggu kawasan "Qum"nya.
Penyertaan Isma (yang cuba menunjukkan sebuah badan Ngo tulen) dalam pilihan raya kecil itu boleh menyelamatkan akidah orang Islam dan menjaga maruah Melayu di Kajang. Di Kajang ada 40,000 penduduk Melayu dan separuh daripadanya adalah pengundi. Analisa Dr A Z Zul kalau Isma dapat meraih 10,000 undi Melayu, Isma mempunyai peluang menang dalam pertandingan empat penjuru.
Apa dinyatakan oleh penulis itu tepat dan betul serta harus dikaji secara mendalam oleh Isma. Seharusnya Isma tidak mengabaikan pilihan raya Kajang dan perlu menurunkan semula calonnya, Mohamad Ismail. Kajang lebih baik untuk Isma daripada Zaid Ibrahim. Isma sudah bertanding sebelum ini dan sudah ada penyokong. Undi yang diraihkan dalam pilihan raya lalu oleh calonnya, sebanyak 1,014 adalah penyokong asas kepada Islam. Penyokong seramai itu boleh dijadikan 'denak' atau pun 'mubligh' dalam menggerak dakwah politik Isma.
Kalau Zaid yang dagang merempak sanggup datang ke Kajang bagi mengekang langkah Anwar Ibrahim ke Putrajaya, kenapa tidak dengan Isma. Bukankah Isma geli geleman dengan Anwar? Sepatutnya Isma lah yang akan bersorak gembira bila berlaku kekosongan kerana ia membuka peluang untuk Isma berdakwah. Apakah Isma tidak cukup wang pertaruhan? Atau takut hilang depost sekali lagi? Tidak mungkin kerana seorang pemimpin Isma pernah menyebut mereka mempunyai ramai ahli yang komited yang sedia dan rela bersedekah demi perjuangan. Saya tidak fikir anggota Isma akan jadi bakhil untuk meneruskan dakwah politik.
Barang kali terlalu awal untuk kita menghukum dan menyalahi Isma kerana tempoh masih ada. Mungkin senyap-senyap Isma akan mengirim calonnya pada 11 Mac nanti. Seperti saya katakan, saya membuat catatan ini kerana respon kepada apa disuarakan oleh Dr A Z Zul itu yang tepat. Hendaknya Isma membuat penilaian sebaik mungkin mengenai sikapnya dalam pilihan raya ini. Sebaik-baiknya Isma meletakkan calon. Sekiranya Isma mengabaikan pilihan raya ini, maka jelaslah sikap dan penrdirian Isma serta politiknya selama ini yang cuba disembunyikan di dalam kocek seluar yang carik.
Tanpa penyertaaan Berjasa/Isma orang akan menyuluh Isma hanya menjadi alat sebagai pemecah undi saja dengan niat tersembunyinya agar dimenangi oleh parti yang dapat ditumpangi kuasa dan kekayaanya. Isma tidak serius untuk menghantar suaranya ke Dewan-dewan Undangan Negeri atau pun Parlimen. Jika telahan ini tepat, maka benarlah apa yang saya anggap dahulu penyertaan Berjasa dalam pilihan raya menyemarkan tangan saja dan mengotorkan nama murni Isma dengan gagasan besar untuk menjaga maruah agama dan bangsa.
Akhirnya saya hendak tanya, sekiranya ketiga-tiga calon yang menyuarakan untuk turun ke Kajang hari ini; Anwar, Zaid dan Chew Mei Fun tidak memenuhi ciri-ciri kepimpinan yang soleh seperti mana digariskan Isma, siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas setiap undi orang Melayu ke atas calon-calon berkenaan? Sudah barang tentu Isma, kerana dialah yang mengambil tanggungjawab itu sebelum ini. Atas keyakinan setiap mereka yang mengundi calon-calon itu berdosa maka, bahu Ismalah yang akan memikulnya. [wm.kl.11:30 am 07/03/14]
No comments:
Post a Comment