Friday, May 30, 2014

Apakah menara Teluk Intan akan terus condong atau tegak esok?

GAMAKAN HATI                                                                              

Atas kertas kerusi parlimen Teluk Intan akan menjadi milik Dyana Sofya Mohd Daud mulai esok dan sekaligus satu sejarah baru politik akan tercatat. Kalau populariti menjadi ukuran, Dyana sudah tentu akan dinobatkan sebagai ahli Parlimen Melayu termuda, (27 tahun) yang mewakili Teluk Intan. Gema dan laungan Dyana jauh meninggalkan talun lawannya Mah Siew Keong agak jauh.

Dikatakan sejarah, kerana sejak kerusi itu wujud ia tidak pernah diwakili orang Melayu, melainkan silih berganti antara Cina dengan India. Jadi kalau Dyana menang esok, Dyana akan menjadi Melayu pertama mewakili Telok Intan. Kemenangan Dyana itu adalah kemenangan yang dibayar mahal oleh pengundi, khasnya pengundi Melayu.

Apakah orang Melayu yang mewakili 39% dari keseluruhan pengundi sebanyak 60,483 akan mengundi Dyana? Sentimen mereka akan meruap dan melupai politik kerjasama dibentuk menerusi BN selama ini? Iyanya tidak semudah itu. Dalam politik laluan dan perjalanannya bukan secara leteral seperti mana difikirkan. Ia banyak simpang siul dan ramuannya kadang kala bertentangan dengan akal waras kita.

Apa lagi politik sebuah permainan yang rencam dan tidak pernah berhati perut, ia tidak dapat dibawah mengikut pendapat rasional dan keadaan yang lazim. Kemisterian politik lebih hebat dari kehilangan pesawat MH370 sudah entah sudah ghiab dalam "gong gendang".

Justeru sambutan kepada kempen, kelebihan ada kepada calon, bukan kiraan mutlak. Rasuah atau pemberian kepada pengundi juga bukan sesuatu yang mengikat pengudi, kerana pengudian boleh "mengecong" calon. Demikian juga gambaran kemenangan sebelum hari mengundi tidak semestinya ia menjelma menjadi kenyataan.

Sebelum ini pernah berlaku, keadaan dimana kedudukan pembangkang sejak dari penamaan calon hingga ke hari akhir kempen hebat berbanding dengan parti lawan, (parti memerintah). Tetapi bila buka peti undi, pembangkang kalah. Tidak mustahil ini juga boleh berlaku di Teluk Intan, dalam rata-rata pemerhati mengatakan mereka ada harapan, tetapi ia boleh terjawab dengan kekalahan. Keterkejutan dalam pilihan raya boleh berlaku tanpa diduga dan menjadikan kita boleh "menungging nyiur".

Memanglah dari segi mood dan semangat calon DAP itu berada dalam edah kemenangan. DAP baru sahaja meraih kemenangan di Bukit Gelugur dua tiga hari lepas. Calon mereka Ramkarpal Singh menang mewah dengan 37,659 undi majoriti. Kemenangan Ramkarpal itu akan terbawa ke Telok Intan dan akan memberi dorongan kepada penyokong DAP untuk memenangkan Dyana.

Sebelum ini juga rakan DAP dalam Pakatan Rakyat, PKR menang dalam pilihan raya yang "disengajakan" di DUN Kajang. Calonnya Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majoriti 5,379.

Kemenangan di dua kerusi itu boleh diambil sebagai semangat, tetapi ia bukan sesuatu yang "sarih" untuk mengatakan Dyana akan menang mudah. Yang pastinya BN tidak akan meriba tangan dan mereka juga tidak mahu malu menimpa-nimpa ke atas muka mereka. BN akan melakukan apa saja yang terdaya termasuk melakukan penipuan hingga ke dalam seluar dalam.

Untuk mencari jawaban awal kepada pilihan raya Teluk Intan esok, seperkara yang kena lihat ialah mengenai peratus keluar mengundi. Berapakah peratus yang akan keluar mengundi. Peratus ini akan mewajahkan pilihan raya berkenaan dan menentukan nasib calon.

Secara simple dikatakan, berdasarkan kepada dua pilihan raya Kajang dan Bukit Gelegur, apabila peratus keluar mengundi rendah menyebabkan undi majoriti diraih PR rendah. Di Kajang peratus keluar mengundi merosot sebanyak 16% daripada 88.4% semasa pilihan raya umum kepada 72% semasa pilihan raya kecil.

Di Bukit Gelugur pula merosot lebih teruk lagi sanyak 30% daripada 86.30% ketika pilihan raya umum kepada hanya 56% semasa pilihan raya kecil yang baru lalu.  Kemerosotan ini menyebabkan majoriti diraih juga berkurangan, di Kajang sehingga 1,000 lebih manakala di Bukit Gelugur lebih 4,000.

Berdasarkan kepada dua pilihan raya itu ramai yang meletakkan DAP akan menang. Tetapi perlu diingat pilihan raya Teluk Intan berbeza dengan dua pilihan raya berkenaan. Di Kajang ianya sengaja diadakan dan berlaku dalam negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan. Begitu juga di Bukit Gelugur ia berlaku dalam kawasan kubu DAP dan berlaku dalam negeri diperintah oleh Pakatan.

Berlainan di Teluk Intan, ia berlaku dalam negeri yang diperintah oleh UBN. Makanya UBN tentu lebih serius untuk menang di Teluk Intan atas faktof Perak dikuasai oleh mereka jadi mereka ada banyak kelebihan. Mereka juga tidak mahu Pakatan Rakyat terus meraih kemenangan ketiga berturut-turut. Justeru itu UBN akan melakukan apa saja untuk menang.

Gerakan juga akan bekerja keras untuk memenangkan presiden mereka Mah Siew Keong yang menjadi calon itu. Maruah Gerakan tercabar kalau Mah Siew Keong kalah, jadi mereka akan berusaha untuk memenangkan Mah. Kekalahan Mah Siew Keong dua kali berturut-turut dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013 sedikit sebanyak boleh mengundang simpati pengundi Cina. Ia ditambah dengan gaya dan bentuk kempennya tidak agresif dan sombong.

Bagaimana pun indikator yang boleh meramalkan keadaan esok adalah mengenai peratusan yang akan keluar mengundi. Apakah peratusnya merosot atau pun akan bertambah. Pada pilihan raya lalu umum lalu peratus keluar mengundi sebanyak 80.70%. Manakala kompoisi pengundi mengikut kaum pula Cina 42%, Melayu 38% dan India sebanyak 19%.

Dalam tilikan saya sekiranya peratus keluar mengundi esok tinggi ia akan meletakkan Dyana dalam lebih selesa. Tinggi rendah peratus keluar mengundi akan bergantung kepada undi Melayu. Sekiranya Melayu tidak keluar mengundi ia memberi kelebihan kepada Dyana. Pengundi berusia 55 tahun ke atas yang tertutup pandangan politiknya tidak akan mengundi Dyana walaupun Dyana Melayu. Mereka akan dilema untuk membuat pilihan, kerana itu mereka mengambil keputusan tidak keluar mengundi.

Pun begitu ia bergantung kepada sejauh mana kerja Umno untuk menarik orang Melayu keluar. Pengundi muda Melayu sudah tentu lebih berminat dan tertarik dengan Dyana Sofya. DAP meletakkan mereka mahu tingkatkan undi Melayu sekitar 2% hingga 3% sahaja. Dalam pilihan raya DAP mendapat kira-kira 22% undi Melayu keseluruhan.

Sedikit membimbang khabarnya tidak ramai petugas-petugas Pas dari Perak yang turun ke Telok Intan. Ada segelintir Pas tidak berapa seronok dengan pilihan raya berkenaan. Golongan yang memandang sepi dengan pilihan raya itu ialah golong berjanggut sejemput dan juga berseluar Abu Nawas. Sikap mereka ini boleh mengurangkan minat Melayu yang ekstrim agama untuk turun mengundi.

Undi Cina dipecayai tidak akan banyak berganjak. Penyokong DAP tetap akan menyokong DAP tanpa melihat siapa calon mereka. Ahli dan penyokong DAP dilihat mempunyai kesetiaan tinggi kepada parti mereka. India yang dikatakan sebagai menjadi undi penentu, tidak dapat ditentukan kerana sikap pengundi kaum ini tidak boleh dipegang. Bagaimana pun dengan kedudukan sebanyak 19% dari 60,483 undi mereka tidak menjadi penentu kerana dipercayai sokongan India kepada Pakatan dan BN sama banyak.

Dengan melihat beberapa bentuk kempen BN yang masih mengulangi taktik sama, bertindak secara samseng, ada menteri dan timbalan menteri yang bercakap huduh, menjelaskan BN dalam keadaan tertekan. Berdasarkan senario ini tanpa ada lampu Aladin digunakan BN, pasti calon mereka Mah Siew Keong akan kalah sekali lagi. Bagaimana pun kalau ada keajaiban ia boleh menyebabkan esok ramai orang akan menangis kerana Dyana Sofya yang fotogenik tidak menepati ramalan. Tetapi saya mempunyai firasat Dyana akan menang dengan majoriti dibawah 3,000 undi.

Bagaimana pun apakah menara sengit Teluk Intan akan tegak esok, ataupun akan terus condong. Sama-sama kita tunggu dan lihat. Kalau ia tegak bermakna berlaku kejutan besar di Telok Intan esok. Kalau ia masih sengit maka status quo akan berlaku. [wm.kl.7:53 am 30/05/14]

No comments:

Post a Comment