SOAL SORE
Abdul Kahlid Ibrahim membayangkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin Nasution Ismail berhubung pendedahan dibuat oleh Setiausaha Agung PKR itu seolah beliau terlibat dengan urusan jual beli tanah yang meragukan.
Kata Khalid dia memandang serius apa yang didedahkan Saifuddin itu dan menafikan ia tidak benar. Beliau juga mendesak Saifuddin dan PKR agar membuat laporan kepada SPRM.
Saifuddin sebelum ini mendedahkan bagaimana sebuah syarikat Ecoworld memperolehi tanah seluas 125 hektar daripada Tropicana Corp Berhad yang dibeli daripada kerajaan Selangor pada April 2013.
Apa yang meragukan dan menjadi persoalan penjualan tanah itu kepada Ecoworld berlaku pada 10 Mac 2014 selepas hutang Khalid dengan Bank Islam sebanyak hampir RM70 juta dilengsaikan. Penyelesaian itu dibuat pada Februari 2004 di luar mahkamah. Bila dibuat di luar mahkamah mesti ada perundingan dan syarat-syarat persetujuan tertentu?
Pendedahan dibuat Saifuddin berhubung penjualan tanah yang tidak berintegriti itu menyebabkan timbul persepsi ada kena mengena dengan "penghapusan" hutang Khalid sebanyak hampir RM70 juta dengan Bank Islam. Penyelesaian hutang diluar mahkamah berkenaan terus menghantui pemikiran umum apa lagi apabila ia turut melibatkan peguam Umno?
Khalid nampaknya menafikan perkara itu. Beliau tidak perlu mengugut Saifuddin tetapi semoleknya membuat penjelasan secara ikhlas macam mana beliau melunasi hutangnya sebanyak hampir RM70 juta itu. Ramai orang yang ingin tahu kaedah penjelasan hutang itu, apakah ia juga dibuat seperti taukeh karpet Deepak melupuskan hutangnya dengan Bank Rakyat?
Sekiranya proses penjualan tanah kerajaan itu telus dan tidak meragukan Khalid tidak perlu cemas dan takut. Kebenaran tetap kebenaran. Untuk menjelaskan kepada SPRM sekiranya ia dilaporkan keadaan jadi lebih payah, elok kalau Khalid tampil ke depan menjelaskan sendiri apa yang disebut Saifuddin itu.
Selagi Khalid tidak bangun menjelaskannya, pertikaikan berhubung hutang MB Selangor itu akan terus bermain di kepala orang ramai dari Johor hingga ke Perlis, dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak. Tidak dapat tidak hutang itu juga akan dijadikan salah satu sebab kenapa beliau hendak digugurkan daripada kerusi MB Selangor.
Khalid tidak boleh melarikan isu hutangnya dengan cuba membuat tuduhan ke atas Saifuddin seolah-olah cuba memfitnahnya. Tindakan ke atas Saifuddin juga bukan satu jawaban. Kes ini tidak boleh disamakan seperti mahukan kerbau yang malas membajak dicucuh duburnya dengan kayu. Tersilap hari bulan akan dicendehnya. [wm.kl.5:13 pm 04/08/14]
terbaik dari mso......saya sokong ulasan ini...mantap mso.!!
ReplyDelete