1 Ogos lalu Warga Alumni Republik Indonesia Sumatera (Waris) yang merupakan gabungan bekas penuntut Malaysia di Sumatera Indonesia telah disempurnakan dengan rasmi penubuhannya oleh Ketua Protokol dan Adat Istiadat Negeri Melaka Datuk AS Khamis (Pak Khamis).
Pak Khamis berucap dan merasmikan Waris. |
Ada tiga objektif utama Waris, pertama mempertemukan semula bekas pelajar Malaysia di Sumatera, kedua, mengeratkan silaturahim antara ahli dan ketiga mengenali ahli keluarga Alumni.
Ketibaan Pak Kahmis disambut mesra ahli Waris. |
Waris akan dilihat dan diharapkan bukan saja menjadi wadah permersatuan bekas penuntut di Indonesia yang datang dari pulau Sumatera saja, tetapi di Jawa, Sulawisi, Borneo dan seluruh Indonesia.
Pak Khamis (pling kiri) beramah mesra sebaik tiba. |
Objektif Waris itu diperluaskan seperti mana dihasratkan oleh Pak Khamis semasa berucap merasmi penubuhan Waris. Katanya, Waris bukan sahaja setakat wadah mempersatu dan mengeratkan bekas pelajar di Sumtera, tetapi harus bergerak lebih jauh dari itu menjadi medan mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia. Ertinya ruang lingkup dan garis sempadan Waris mencakupi skop lebih jauh dari sebuah hanya sebagai NGO bekas pelajar seperti ia mula dimaksudkan.
Keceriaan jelas terbayang diwajah masing-masing. |
Harapan yang dizahirkan Pak Khamis itu besar dan merupakan cabaran kepada penggerak Waris. Ia juga suatu prospek yang tidak pernah termimpi sebelum ini. Hasrat Pak Khamis itu mencerminkan satu aspirasi sebagai bekas seorang diplomatik yang tidak pernah diam berusaha untuk kebaikan negara. Secara tidak langsung ia menyerlahkan sokongan padu beliau kepada Waris. Dalam kata lain perkhidmatan dan perjuangan kepada nusa dan bangsa tidak terhenti apabila seseorang itu berada di mentara pensiun.
Dalam kesempatan itu Pak Khamis menarik perhatian tentang dua orang tokoh yang perlu diingati senantiasa apabila bercakap soal pelajar di Sumatera khasnya dari Kelantan. Katanya dua orang tokoh berjasa dan menjadi perintis kepada anak-anak Kelantan merantau (menutut) di Sumatera ialah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Hussein Ahmad dan bekas Setiausaha Parlimen Menlu, Zahari Awang. "Jasa dan bakti dua orang ini jangan dilupakan sama sekali sebab jasa mereka sangat besar kepada kejayaan anda semua," tegas Pak Khamis disambut dengan tepukan pernghormatan.
Perasmian Waris itu dibuat bersempena dengan majlis Tautan Kasih sekaligus menyambut Aidifitri 1435/2014. Ia amat bererti sekali. Majlis itu mengumpulkan lebih 100 orang ahli keluarga Waris daripada 60 anggota yang hadir. Ada yang bukan saja membawa anak menantu, tetapi turut sama membawa cucu. Pertemuan itu agak emosi dan penuh nostalgik kerana itulah pertama kali mereka (kami) bertemu semula dalam satu majlis selepas berpisah, ada yang sudah 35 tahun tidak bertemu dan saling menyapa antara satu sama lain.
Sebahagian lagi bergambar kenangan dengan Pak Khamis. |
Sebahagian AJK Waris bergambar kenangan. |
Isteri-isteri Waris bergambar kenangan. |
Menurut Suhaimi ilham ini wujud semasa beliau sedang mendengar tazkirah di sebuah masjid yang membicarakan soal kepentingan hubungan sesama manusia (habluminas) dan ukhwah. Lantas mengenangkan bagaimana untuk mendekat dan merapatkan bekas-bekas pelajar di Medan beliau mewujudkan grup Whatsaap. Tak diduga grup itu mendapat sambutan memberangsangkan dari rakan terdekat kemudian merebak ke Kedah, Perak, Melaka dan Kuala Lumpur. Dapat disimpulkan cetusan itu lahir dari rasa atau "mala rindu" yang amat kepada kawan-kawan yang lama terpisah. Kesepian atau kesenangan hidup masa kini menjadikan anggota Waris saling merindui masa silam dan inilah mendorongkan bertautanya kasih sayang dan ukhwah dalam Waris.
Kesumringahan majlis hari itu sungguh dirasai. Suhaimi tidak dapat menahan sebak dan rasa terharunya atas apa yang berlaku. Jiwanya gemulai dan dadanya sebak lara beberapa jurus menyebabkan dewan menjadi senyap sunyi. Kesebakan dan isekan terharu itu dirasai setiap yang ada dalam dewan. Banyak air mata yang menitis atau membekak ditubir mata apabila Suhaimi tetiba jadi emosi.
Air mata saya sendiri tergenang dibiarai kerana terlalu suka dan terharu. Tidak percaya kami yang selama ini terpisah oleh kehidupan dan jalan sendiri selepas belajar, dapat berjumpa dan bertautan kasih semula. Kesempatan yang Allah berikan itulah yang menikam jantung hati. Syukur Alhamdulilah.
Kelihatan Mah masih mengemaskan tatahias. |
Satu sudut dalam dewan pertemuan. |
Sebahagian keluarga Waris. |
Kemesraan dan kegirangan yang terpancar sepanjang berada dalam majlis itu, menjadikan saya merasakan bukan berada di Kota Bharu di tanah air sendiri, tetapi persis masih berada di Medan. Dan dewan itu persis seperti di Pusat Pelajar Malaysia (PPM) tempat kami berhimpun bila ada sesuatu majlis atau merintih nasib bila dilanda malang. Majlis Tautan Kasih benar-benar menerbangkan kami kembali ke daerah perantauan ilmu di Medan, khasnya.
Dengan hadirnya hampir semua rakan-rakan "sependeritaan", dan juga rakan yang saya anggap sebagai "banker" menyebabkan suasana seperti di Medan makin terasa. Apabila Mah (Tuan Khatimah Tuan Ibrahim), sibuk menguruskan tata hias majlis dan meja makan, ia mengembalikan ingatan, itulah kerja Mah semasa di Medan dulu. Mah memang rajin dan suka dengan kerja hias menghias dan mengindahkan majlis dan beliau memang mempunyai ketrampilan. Mah dibantu oleh Kak Esah Che Su isteri Johari dan yang lain.
Jamuan tea selepas selesai upacara. |
Pak Khamis minta berundur unruk pulang. |
Mohd Yunus Yusof, Rudaini Mohamad, Dr Zubir Hassan, Zulkifli Md Nor dimana mereka ini satu geng dengan saya sama-sama mengheret dada di Medan. Inilah pertemuan dalam jumlah yang lebih separuh pelajar di Medan khasnya periode 1980-an terjadi. Tetapi masih ada yang tidak menampak batang hidung mungkin kerana tidak kesempatan untuk bergabung sama.
Faridah dan puterinya di meja pendaftar. |
Iya diikut oleh senior Mat Husin, Ariffin Che Soh, Wan Ruslan Wan Yaacob, Bakar (Hanafiah Derani), Mohd Asri Daud, Fauzi Mohamad dan lain-lain.
Pertemuan yang bermula jam 10:30 pagi dan berakhir menjelang jam 6:00 petang, terasa begitu pantas sekali. Masa pula seakan sangat mencemburui dan lekas merelaikan kami. Perasaan yang terbias disebabkan perpisahan di sore itu saling tidak tumpah seperti lunyainya perasaan tatkala kami berpisah antara satu sama lain untuk meninggalkan bumi Sumatera setelah tamat pengajian. Cuma bezanya perpisahan kali ini hanya pada jasad tetapi hati tetap kemen dalam "par" ingatan.
Waris yang diwujudkan akan mengikatkan jiwa antara kami. Kami semua adalah "warith warah" yang sudah terikat dalam sebuah ikrar dan sumpah tak akan berpisah lagi selepas ini. Itulah harapan dan itulah doa. [wm.kl.9:28 am 04/08/14]
*Maaf gambar kurang kualiti.
Cantik, mantap dan kemas. Tq
ReplyDeleteterbaik dari mso....tqvm
ReplyDeleteulasan yang pintar dan jitu dari msomalaysia syabas yuti
ReplyDelete