Tuesday, September 23, 2014

Jalan jauh dan masa lama ditunggui Azmin

CATATAN RASA                                                                                             

Benarlah kata orang kalau jodoh tidak ke mana dan manusia boleh merancang, tetapi yang menentukan adalah Allah taala jua. Dan perancangan Allah itu ternyata lebih baik dan sempurna daripada perancangan manusia, kerana Dialah zat maha qadim yang menentu dan berkuasa ke atas segala-galanya.

Azmin diberi ucap tahniah oleh bosnya, Anwar Ibrahim.
Takdir hari ini yang meletakkan Mohamed Azmin Ali, 50 sebagai MB Selangor ke-15 adalah sesuatu peristiwa penting dan amat bersejarah bagi diri Adun Bukit Antarabangsa itu sendiri.

Perlantikannya hari ini merupakan detik gemerlapan dan kemuncaknya dalam dunia politik. Jawatan MB adalah mahkota kejayaan bagi seorang ahli politik. Dan jawatan itu adalah kedudukan tertinggi bagi seseorang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).



Tidak ramai sebenarnya orang bernasib baik menggapai untuk menduduki jawatan berkenaan. Ada yang sudah setangga untuk menjejak jawatan itu, boleh tergolek jatuh dan hilang tangga untuk "merukah"nya kembali. Jawatan itu juga berhantu dan keramat. Walaupun seseorang itu bermati-matian untuk sampai ke situ dengan pelbagai usaha, tetapi banyak yang kecundang dan kecewa di tengah jalan, menangis tanpa lagu.

Dan hari ini Azmin akan dikalungkan dengan madel dan jambangan bunga tahniah atas perlantikan beliau sebagai MB menggantikan Abdul Khalid Ibrahim yang mengakhir tugasnya petang semalam. Tahniah. Sejarah hari ini semoga disyukuri dan memulihkan kekuatan dan semangat kepada Pakatan Rakyat.

Semua orang bersyukur dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi Azmin sendiri. Betapa tidak kemelut politik di Selangor yang membuka jalan bagi Azmin menuju ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), pusat pentadbiran kerajaan Selangor kemudian akan bertakhta di kerusi MB bukan perkara mudah. Perjalanan ke situ terlalu panjang dan mengambil masa yang lama sehingga ia meletih dan membosankan. Melihat kepada perjalanan dan cabaran dihadapi Azmin, seakan sukar untuk dipercayai akhirnya beliau akan singgah juga di situ.

Hanya calang-calang orang sahaja akan sampai ke bangunan berkenaan untuk memasuki Pejabat MB. Kerusi MB panas, kerusi MB Selangor sangat panas. Apa lagi ia berhadapan dengan kerenah dan persaingan hebat, bukan sahaja dari musuh yang senantiasa mencari peluang untuk menjatuhkan, tetapi dari rakan dalam parti sendiri yang dengki dan irihati. Bagi diri Azmin sendiri mungkin ada yang mengilan dan mengedukan hati dan jiwanya kerana takdir yang diperolehi itu menyebabkan ada kawan dan pemimpin yang tersendu.

Percayalah penerimanya memegang jawatan itu, nombor satunya adalah atas tangungjawab dan takdir juga. Azmin walaupun dari segi hierarkinya adalah pantas untuk dilantik, sebab dia adalah timbalan presiden, tetapi halangan dan cabaran dilaluinya menyebabkan beliau hampir-hampir kecewa dan berputus asa. Jawatan itu bukan untuk dirinya melainkan untuk rakyat Selangor dan juga parti yang didokongnya dan mendokonginya.

Melihat kepada tribulasi itu menyebabkan harapan untuk melihat Azmin menjadi MB Selangor sudah hampir terputus. Azmin sendiri juga sudah pasrah kepada apa yang berlaku. Baginya dia menerima apa saja yang tertakdir tidak cuba melawan takdir dengan melakukan tindakan-tindakan sadis bagi menedapat jawatan berkenaan.

Hakikat ini dilihat kepada raut wajahnya yang membayangkan kehampaan dengan apa yang berlaku apabila diajukan pertanyaan berhubung pengganti Khalid Ibrahim dan mengenai peluang dirinya. Keserabutan bertambah-tambah apabila situasi itu mencemaskan kedudukan PKR sebagai bahtera yang mengusungnya.

"Sama-sama kita doakan, kalau ianya baik... ada hikmah, dapat, (jadi MB), kalau tidak, kita serah kepada ketentuan Allah kerana Dia yang tahu segala-galanya," demikianlah lafaz Azmin penuh kehambaan (tawaduk) bila setiap kali saya mengajukan soal jawatan MB. Beliau bukan ghairah untuk mendapat, tetapi banyak bertawakal kepada Allah. Semasa menghadiri kenduri kahwin anak Salahuddin Ayub, sebulan lepas, patah-patah perkataan dan ayat itulah juga yang diluahnya.

Isterinya, Shamsidar Tahrin juga merasai apa yang dirasai oleh Azmin. Isteri itu lebih tahu gerak geduk cemas resah suaminya dalam menanti sesuatu yang gedek itu. Sahamsidar yang ketika itu berada di sebelahnya tenang dan penuh kesabaran menghadapi pelbagai cerita dan kerenah disebalik jawatan MB membabitkan suaminya.

"Benda ini dah lama ...kita bersabarlah sahaja," komennya ringkas menunjukkan beliau sudah tidak mempunyai ghairah lagi untuk melihat jawatan MB dipangku oleh suaminya. Seolah-olah Shamsidar tidak percaya bahawa suaminya akan menduduki kerusi itu apabila menyedari betapa tebal dan panjangnya tembok menghalang Azmin dari "merukah" ke kerusi MB itu. Sikap isteri sebeginilah juga yang membantu kejayaan Azmin sebagai seorang pejuang politik.

Sesungguhnya jalan dan denai dilalui Azmin terlalu panjang dan masa diambil terlalu lama sebelum dapat menghadap Sultan dan mengangkat sumpah memegang jawatan jam 10:30 pagi ini. Bayangkan bagaimana kalut dan gegernya soal siapa pengganti Khalid Ibrahim. Sejak ia meletus ada berbagai versi dan balada ada yang tragis, dramatik dan sebagainya berlaku.

Sebenarnya sejak tahun 2010 lagi angin atau angan-angan untuk menaikkan Azmin sebagai MB sudah berlangsung. Ia menjadi buah mulut apabila Khalid setelah tiga tahun menjadi MB, dikatakan gagal melayani kerenah orang politik sebaliknya terlalu keras dan tegas sebagai MB dan melupai rencah ratus politik. Saya pernah mengajukan kepada Azmin suatu hari di parlimen mengenai masa dan ketika beliau akan mengganti Khalid; "bila lagi Min?" tanya saya. Dia nampak kekok dan menjawab (saya tahu sekadar melayani saya), dengan berkata;  "InysAllah selepas raya."

(Ketika itu ada seorang rakannya yang telah berpaling tadah dan menjadi kutu berahak jalanan memperli Azmin, kalau dia jadi MB, bagilah jawatan driver kepadanya).

Ternyata walaupun selepas beberapa kali raya dan sehingga memakan lebih tiga tahun, proses itu tidak juga menjelma. Paling meralatkan lagi apabila selepas PRU ke-13 Khalid masih lagi menjadi MB. Khalid kukuh berada di kerusi MB. Tekanan dan asakan dibuat oleh parti tidak menjadi, dan Khalid selesa di kerusinya. Manakala orang yang mengidamkannya sudah penasaran amat.

Khalid sepatutnya melepas jawatan itu kepada Azmin tiga lepas tahun lagi. Tetapi tidak berlaku apabila Khalid sudah merasai enak menjadi MB dan sudah seronok bergelumang dengan kuasa. Apa lagi dia sudah dikukuhi oleh gerombolan yang menjadi benteng dan mempertahanakan kedudukannya sebagai MB. Asakan oleh orang berkepentingan menjadikan Khalid liat dan ampuh buat seketika.

Suasana itu menyebabkan Azmin semacam kempunan dan hampir berputus asa. Azmin tidak berfikir lagi dia akan mudah mengganti Khalid. Khalid menjadi begitu kukuh dan kuat. Apabila Anwar Ibrahim sendiri mengambil alih usaha untuk menyingkirkan Khalid, menerusi projek Kajang Move, maka Azmin merasakan harapannya sudah tidak ada lagi. Projek Kajang Move yang gagal total adalah pelan untuk menyingkirkan Khalid, dengan Anwar sendiri bertindak sebagai penggantinya. Projek itu pun dilaksanakan apabila usaha menggantikan Khalid dengan Azmin secara normal gagal.

Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak ada sebarang niat untuk menjadi MB. Beliau didolar apabila projek Kajang Move gagal. Azizah hanya menjadi pengganti kepada Anwar dan calon MB secara bidan terjun. Walaupun langkah seterusnya, projek itu sudah tidak sepatutnya, tetapi ia dilakukan juga. Mereka yang anti dan irihati dengan Azmin dalam PKR, terus menyakinkan publik bahawa Wan Azizah mampu dan sesuai untuk menganti Khalid. Walaupun ada berbagai halangan, baik dari rakan dalam Pakatan Rakyat atau istana sendiri, tetapi usaha terus juga dilakukan hinggalah ke saat-saat terakhir.

Apa yang berlaku kepada Wan Azizah sudah berlaku dan sedikit sebayak mencalarkan keperibadian dan saksiahnya sebagai pemimpin, isu dan suami mithali.

Usaha untuk menghalang Azmin daripada menjadi pengganti kepada Khalid diteruskan bukan sahaja dengan memperalatkan Wan Azizah, tetapi menerusi pemilihan dalam parti. Pencabaran kepada Azmin dilakukan menerusi perebutan jawatan timbalan presiden PKR. Tidak ada sebab untuk Azmin dicabar dan peranannya dalam parti menerusi jawatan timbalan presiden itu kerana beliau cukup perform dengan jawatan itu. Tetapi kerana untuk memastikan Azmin terkeluar daripada disenaraikan menjadi calon MB, maka ia dilakukan.

Yang memberi cabaran kepada Azmin sebagai timbalan presiden, seterusnya untuk menafikan Azmin daripada dilantik menjadi MB bukan seorang, datangnya hanya dari Khalid Ibrahim, tetapi daripada Saifuddin Nasution Ismail dan juga Rafizi Ramli, Fakeh Hisin dan lain. Cabaran ini walaupun sukar untuk dimenangi kerana track recrod yang ada kepada Azmin, tetapi ia ingin memberi petunjuk bahawa ramai orang tidak senang dan suka dengan Azmin. Itu sahaja. Taktik untuk membunuh imej Azmin sebagai timbalan dilakukan, bertujuan agar dunia melihat Azmin tidak disenangi.

Bagaimana pun Alhamdulilah, Azmin dapat mendepan cabaran itu dengan kedua-dua pencabarnya yang sepatutnya bersatu dan berpakat antara satu sama laian untuk melawan Azmin, apabila mereka kecundang dan rebah makan tanah. Barang kali elok kalau mereka yang ada niat tidak baik yang dilaksanakan atas nama demokrasi menginsafi dan bertaubat atas apa yang dilakukan itu. Khalid sudah menyelesaikan tugas menganggu Azmin tetapi yang lain, khasnya Safuddin nampaknya masih terus. Tidak ada cara lain untuk Saifuddin kembali disanjungi dan dihormati persis sebelum ini melainkan memberi kerjasama dan membantu Azmin.

Tribulasi dan cabaran dilalui Azmin bukan sahaja dari partinya sendiri, tetapi ulah dan tindak tanduk Pas turut sama menyulitkan keadaan. Politiking atau pun kesempatan yang diambil Pas untuk kepentingan parti dan oknum tertentunya, walaupun ia dianggap tidak menghormati konsensus Pakatan Rakyat, menganggu atau pun turut memalapkan harapan Azmin untuk menjadi MB. Bagaimana pun ia bernasib baik kerana Pas akhirnya sedar diri dengan apa yang telah dipersetujui selama ini yang dibentuk dalam Pakatan Rakyat, akhirnya memberi laluan kepada Azmin secara izin dalam paksa atau senyum digulung kepahitan tawa.

Jalan-jalan atau pun rentetan peristiwa yang berlaku selama empat tahun ini yang terpaksa dilalui Azmin sebelum menaiki kerusi MB, bukan perkara senang dan mudah, melainkannya ia adalah cabaran berapi buatnya. Kejayaan dan berkeberhasilan itu juga adalah kerana kesabaran dan kegigihan serta sikap takwakal yang tinggi kepada Allah. Melihat kepada sifat dan sikap yang ada kepada Azmin, yang tenang tetapi berjiwa "Bugis" seorang fighter, sewajarnya kalau beliau dinobat menjadi MB Selangor.

Berdasarkan kepada rekod perjuangan serta penampilan diri sebagai seorang pemimpin dan pengurus bersistemetik, diyakini Azmin mampu memikul tugas dan tanggungjawab yang berat sebagai MB itu. Apapun jaya atau gagal Azmin turut sama terletak kepada sejauh mana komitmen partinya membantu beliau dan juga keikhlasan rakan Pas dan DAP dalam sama-sama menjulang tugas demi rakyat bersamanya. Selain memetakan semula pembangunan negeri dan rakyat Selangor, Azmin juga perlu mewajahkan dirinya sebagai permersatukan ummah.

Syabas dan tahniah kepada Azmin dan juga isterinya yang menjadi pendamping pemimpin yang baik. Selamat bertugas dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab serta jangan sesekali lupa akan keringat dan airmata yang tumpah semasa melalui jalan ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu.  [wm.kl.8:27 am 23/09/14]

No comments:

Post a Comment