Thursday, September 25, 2014

PRK: Pengkalan Kubur Pas hanya mampu kurangkan majoriti BN

SUSUPAN PAGI                                                                                               

Siapa antara mereka dipilih rakyat?
Sekejap lagi proses pengudian pilihan raya kecil N01 Pengkalan Kubur akan bermula. Seramai 24,000 pengundi akan membuat keputusan untuk memilih wakil baharu mereka. Walaupun ada tiga calon, tetapi pertandingan sebenar adalah antara calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim dengan calon BN Mat Razi Mat Ail. Seorang lagi calon bebas, besar kemungkinan akan hilang wang pertaruhan.

Kebiasaanya selepas menjelang tengah hari sudah dapat diramalkan siapa yang akan menang. Para pengecam pilihan raya dapat membuat telahan dan agakan berdasarkan kepada aliran keluar mengundi. Perkiraan di bangsal panas memberi indikator jelas. Bagaimana pun pihak parti yang bertanding sudah dapat merasakan kekalahan dan kemenangan masing-masing.



Bilik gerakan parti masing-masing sudah membuat perkiraan awal. Penculaan sudah pun dibuat. Kecanggihan maklumat waktu ini dan juga sistem pemilihan dan proses pengudian memudahkan parti politik membuat perkiraan awal. Daripada percakapan umum pula rata-rata meletakkan BN mempunyai peluang untuk mengekalkan kerusi berkenaan. Ada beberapa faktor kenapa BN diletakkan sebagai pemenang. Nisbahnya 53:47.

Antaranya, berdasar kepada kelaziman, selalu pilihan raya kecil akan dimenangi oleh BN. BN sebagai kerajaan mempunyai kekuatan dari segi jentera pilihan raya dan juga kewangan. Berbanding dengan Pas walaupun ia merupakan parti pemerintah di Kelantan, tetapi kekuatan sebagai sebuah kerajaan negeri berbeza dengan sebuah kerajaan Persekutuan yang memilih semua kelengkapan. Kekuatan dan kepaduan BN tidak dapat diatasi oleh Pas.

Keduanya, kerusi Pengkalan Kubur adalah menjadi milik BN. Daripada rekod sepanjang 13 kali pilihan raya umum diadakan, Pas menguasainya tiga kali sahaja selebihnya dimenangi oleh Umno dan BN. Dua kali ia dimenangi oleh parti lain, (Berjasa dan Hamim). Ertinya Pengkalan Kubur adalah menjadi kubu BN.

Kali terakhir Pas menang ialah pada tahun 2004 menerusi calonnya Wan Hussein  Selepas itu kerusi berkenaan tidak dimenangi Pas. Faktor lain, kenapa BN diramalkan akan menang mudah ialah kerana peranan dan tanggungjawab Adun sebelum ini agak memuaskan. Perkembangan dan situasi semasa dalam kedua-dua parti berkenaan sedikit sebanyak menyumbang kepada kalah menang.

BN dikatakan berada dalam keadaan mantap di sepanjang pilihan raya berkenaan. Kejadian yang selalu berlaku dalam pilihan raya, yakni "cah keting", mungkin tidak berlaku kali ini. Tidak kedengaran ada protes oleh mana-mana pihak terhadap calon BN. Umno dilihat seperti bekerjasama dengan baik. Berbeza dengan Pas ada sedikit ketidaklendikan dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

Umum tahu kerusi Pengkalan Kubur sebelum ini ditandingi oleh PKR. Apabila PKR tidak diberi peluang, menyebabkan ada sesetengah ahli PKR tidak senang. Ada ahli PKR yang mengambil sikap mendiam diri daripada membantu Pas. Yang jelasnya tiada mana-mana pemimpin besar PKR yang turun berkempen di Pengkalan Kubur menjelaskan akan ketidaklendikan itu.

Ramai yang mengharap MB Selangor yang baharu Azmin Ali turun ke Pengkalan Kubur untuk meledakkan keadaan. Tetapi ia tidak berlaku. Azmin dengan kesibukan tugas barunya itu tidak sempat untuk turun. Ceramah-ceramah Pas juga tidak mendapat sambutan, kecuali ceramah yang dihostkan Husam Musa. Hanya pada ceramah malam kedua terakhir sahaja agak ramai sedikit, itu pun kerana nama Anwar Ibrahim dijaja akan turun ke Pengkalan Kubur.

Tepat kalau pemimpin PKR dan DAP tidak turun membantu seperti biasanya kerana sikap sesetengah pemimpin Pas yang menunjukkan sikap kurang senang dengan mereka. Apa yang berlaku dalam muktamar Pas dimana Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP dikecam menyebabkan Anwar dan pemimpin DAP tidak ada angin untuk turun berkempen seperti biasa.

Daripada sambutan majlis ceramah anjuran Pas sudah menjelaskan akan keputusan yang akan diketahui kira-kira sembilan jam lagi.

Kejelingasan pada ceramah Pas jelas sekali berkurangan. Orang ramai juga kelihatan tidak seghairah seperti dalam pilihan raya-piluhan raya kecil sebelum ini. Ini mungkin juga kerana pendekatan politik yang diambil oleh MB Kelantan Ahmad Yaakub yang berbaik-baik dengan Umno dan tidak lagi mengamalkan politik kontroversi. Ada baiknya, kerana keseluruhan proses kempen di Pengkalan Kubur berjalan dengan baik, tidak berlaku sebarang kejadian buruk dilaporkan. Inilah mungkin hasil pendekatan politik baharu yang diambil Ahmad itu tetapi agak kurang menguntungkan Pas?

Mengenai keputusan kelak, siapa yang menang dan siapa yang kalah akan bergantung kepada jumlah keluar mengundi. Secara mudah diramalkan, sekiranya jumlah keluar mengundi melebihi 80% ada kemungkinan calon Pas boleh menggugat rasa selesa calon BN. Sekiranya jumlah keluar mengundi mencecah 85% tidak mustahil Pas berjaya merampas kerusi Pengkalan Kubur.

Pertambahan jumlah pengundi besar didorong oleh dua sebab pertama bilangan pengundi luar yang ramai pulang untuk menunaikan tanggungjawab dan kedua kemasukan pengundi yang tingal di sebelah Siam. Dianggarkan pengundi berstaus demikian sekitar 2,000.

Dalam pilihan raya umum lalu peratus pengundi di Pengkalan Kubur adalah yang terendah dengan hanya 79.10% sahaja yang keluar mengundi. Angka ini disebabkan pengundi di sebelah Siam tidak dapat masuk untuk mengundi kerana sempadan di kawal ketat. Dalam pilihan raya lalu seminggu sebelum pilihan raya sempadan sudah dikawal ketat. Kegagalan mereka "menceroboh" masuk menyebabkan peratus keluar mengundi rendah. Hal ini bukan sahaja berlaku di Pengkalan Kubur tetapi di kawasan bersempadanan Siam yang lain juga termasuk Gual Periok, dimana peratusnya 75.3%.

Dipercayai pengundi dari sebelah Siam tidak akan dapat mengundi hari ini. Dan kalau ini berlaku bermakna peratus keluar mengundi rendah. Peratus keluar mengundi rendah akan memberi berita buruk buat Pas. Katanya hampir 80% pengundi yang berada di sebelah Siam tidak berpihak kepada BN. Demikian juga dengan pengundi luar yang berada di Lembah Kelang, kebanyakan mereka menyokong Pas.

SPR mensasarkan peratus keluar menugundi sekitar 70% sahaja. Dengan mengambil sasaran itu bermakna jumlah keluar mengundi hari ini sekitar 17,000 sahaja. Dari jumlah itu BN diangarkan menguasai sekitar 51 atau 54 undi, bermakna parti itu boleh menang dengan majoriti bawah 1,000 undi.

Sebaliknya sekiranya peratus keluar mengundi mencecah 85% ia menyebabkan BN tidak boleh mengharapkan panas sampai ke petang. Walaupun Pas tetap kalah dari segi majoriti, tetapi menang dari segi moral. Jumlah keluar mengundi tinggi akan merendahkan angka majoriti BN.

Target Pas dalam pilihan raya kecil itu juga bukan obses untuk menang dalam pilihan raya kecil itu tetapi berhajat mengurangkan majoriti diraih BN sebelum ini, 1,736. Yang penting bagi Pas kejayaan menurunkan majoriti BN menyedapkan mereka untuk membuktikan kepada PKR bahawa calon mereka lebih bertenaga berbanding dengan calon PKR. Yang pastinya selepas ini kerusi Pengkalan Kubur yang dipinjamkan kepada PKR itu akan menjadi milik Pas selama-lamanya.

PKR bolehlah berkira mencari kerusi baru untuk dimasa akan datang, mungkin dengan meminta SPR menjadikan Tak Bai sebagai kawasan pilihan raya baru. PKR boleh bertanding di sebelah sana. Ulasan dan pandangan seterusnya selepas keputusan kelak. [wm.kl.8:07 am 25/09/14]

No comments:

Post a Comment