Thursday, August 27, 2015

Bersih 4 negara akan didaruratkan?

SEBUAH PANDANGAN

Wap himpuan Bersih 4:0 yang dijadualkan berlangsung 29 hingga 30 Ogos ini sudah makin panas. Kehangatannya mengatasi gema sambutan kemerdekaan. Ia sudah meruap ke mana-mana sahaja. Mereka yang terpanggil sudah membuat persediaan awal. Provokasi untuk menggagalkan dan menganggu himpunan "merdeka" rakyat itu juga telah dilakukan.

Apa yang berlaku di perkarangan Sogo petang semalam, sebahagian ganggu kecil yang dapat dilihat. Tetapi provokasi secara senyap, penuh tektikal berlaku di mana-mana sahaja. Dalam media baru provokasi sangat meluas untuk mengagalkan himpunan itu. Pihak kerajaan sendiri juga sudah membuat persiapan dan mula bertindak ke araah mengagalkan himpunan itu.

Hebahan kejayaan pihak penganjur Bersih menjual baju T dan memunggut derma lebih RM1.5 juta memberi ketakutan kepada kerajaan. Kejayaan luar biasa itu mencerminkan himpunan Bersih 4 mendapat sambutan hangat.


Ada beberapa faktor kenapa kalau Bersih 4 kali ini lebih besar dan meluas daripada himpunan Bersih sebelum ini, Bersih 1, 2, dan 3.

Antara faktor ialah kemarahan rakyat kepada disebabkan beberapa isu meletus kebelakangan ini yang gagal dituntasi kerajaan. Kalau boleh disebut isu-isu itu meskipun ia tidak ada kaitan langsung dengan matlamat kewujudan Bersih - yang menuntut pilihan raya bebas dan demokrasi yang adil, tetapi isu-isu ini turut menjadi penyumbang daya tariknya.

Pertama, Pemenjaraan Anwar Ibrahim selama lima tahun. Tindakan penganiayaan terhadap Anwar menerusi mahkamah itu dilihat satu proses untuk merejam perjuangan rakyat yang digerak oleh bapa reformis itu. Mereka yang mengerti dan tahu helah ini akan marah kepada kerajaan dan Najib Razak.

Kedua, Pengenaan cukai GST yang membebankan rakyat. Walaupun isu GST ini sudah diam kerana dilenyapkan oleh isu-isu lain, tetapi sakit dan pedih rakyat tidak hilang. Mereka yang terbeban dengan GST kerana menanggung kenaikan kos akan murih.

Ketiga, Kerugian dalam syarikat 1MDB sebanyak RM42 billion. Isu ini juga mencekik jiwa rakyat, Rakyat mula terasa bahawa kerakusan pemerintah menggunakan wang rakyat dan memperalatkan rakyat untuk menebusnya, tindakan ini satu ketidakadilan dan zalim. Walaupun ada jawaban tetapi ia tidak memuaskan hati apa lagi sesetengah jawaban itu bohong dan tipu dan tidak masuk akal sama sekali.

Keempat, Dana RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak. Rakyat tidak boleh menerima derma sebanyak ini dan menganggapnya ia sebagai wang rasuah untuk membeli kuasa. Apa lagi ia berjaya disangsikan wang itu ada kaitan dengan dana wang 1MDB.

Kelima, Pemecatan Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri, Shafei Afdal sebagai menteri serta yang lain. Tindakan ini dilihat oleh rakyat khasnya ahli Umno sebagai langkah Najib hendak selamatkan diri dan terpaksa bertindak secara kejam. Najib sangat desprate dengan tindakan itu kerana takut dengan momok yang diciptanya sendiri. Orang Umno yang sebelum ini mendiamkan diri mula bangkit apabila ahli mereka yang ikhlas dan jujur untuk membela rakyat dan negara dikhianati.

Keenam, Gangguan ke atas badan penguasa kerajaan seperti,  Polis Cawangan Khas, dan SPRM serta Jabatan Peguam Negara. Walaupun beberapa pegawai SPRM yang ditukar ke JPM dibatalkan tetapi tindakan itu telah memberi gambaran kerakusan kerajaan yang takut kepada bayang-bayang sendiri. Penggantian Peguam Negara dengan orang Umno menjelaskan situasi sebenar dimana ia dibuat bukan demi kepentingan rakyat dan negara tetapi kepentingan peribadi Najib bin Razak.

Isu-isu itu semua tidak ada kena mengena dengan matlamat asal perjuangan Bersih. Tetapi kerana ia ada kaitan dengan rakyat, ia menyebak dan menyongsong dada rakyat, rakyat respon kepadanya. Makanya Bersih kali ini dijangka terhebat. Sudah pasti semua entiti rakyat, golongan parti, swasta, boroh, mahasiswa dan teknokrat, akan bergabung dengan satu harapan Najib akan nyah dari kedudukannya. Secara tektikal motif Bersih 4 adalah untuk gulingkan Najib.

Melihat begitu hebat Bersih 4 maka saya terfikir lain sedikit kali ini. Saya kira rancangan berarak Bersih kali ini akan gagal. Ia akan digagalkan secara total oleh kerajaan. Kegagalan bukan kerana tidak ada sambutan, tetapi aparat kerajaan yang masih bekerja kepada Najib akan mengambil tindakan tegas dan lebih kejam kerana sudah berasakan Bersih kali ini terbesar.

Pengumuman dan kenyataan berupa provokasi oleh timbalan menteri KDN yang baru Jazlan Mohamaed membayangkan ada sesuatu perkara akan berlaku. Kata Jazlan ada golongan yang cuba menganggu Bersih, menimbulkan keadaan agar orang marah kepada pihak polis seterusnya menjadikan keadaan kelam kabut. Kononnya bagi mengelakkan itu maka orang ramai diseru agar tidak hadir.

Konon kata Jazlan lagi, golongan itu akan membuat kacau. Apakah maksud tersembunyi itu? Maksudnya polis akan mempastikan Bersih tidak diadakan bagi mengelakkan berlaku kekacauan yang menyusahkan rakyat. Kononnya polis menjaga kepentingan awam, walhal apa yang disembunyikan tujuan "pembatalan" itu untuk menjaga kepentingan dan keharmonian bosnya.

Kenyataan Jazlan itu ditambah dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar yang menyebut kumpulan Anti Bersih akan membuat kacau. Pelik. Kalau polis sudah mengenali kumpulan itu kenapa tidak ditangkap dan diseret ke lokap sahaja kumpulan itu? Apakah kumpulan itu agen polis atau sengaja diwujudkan untuk gagalkan Bersih?

Justeru tidak mustahil Polis akan membuat tindakan bermula esok atau malam ini. Saya menjangkan pihak polis atau untuk menampakkan ia lebih grand lagi, MKN - Majlis Keselamatan Negara, sendiri akan membuat kenyataan melarang himpunan itu. Tidak mustahil beberapa jam lagi Zahid Hamidi akan tampil di televisyen dan membuat pengumuman mengarahkan agar Bersih dibatalkan total?

Sehubungan itu polis akan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara dan semua jalan menuju ke Ibu Kota akan ditutup dan dikawal rapi. Tidak mustahil juga ia melibatkan Tentera di Raja Malaysia. Tentera pun sudah ada menawarkan diri untuk berkhidmat?

Sejajar dengan itu juga kemungkinan saluran Internet akan dimatikan. Menteri bertanggungjawab terhadap Internet, Salleh Said Kruak yang baru dilantik menjadi pengawal pintu kekuasaan Najib yang baru sudah memberi gambaran itu. Katanya media yang memanggil ke himpunan Bersih mungkin akan disekat dan tidak boleh diakses. Ini bermakna esok Malaysia akan mengalami gangguan Internet yang meliputi seluruh kawasan? Akan berlakulah darurat dalam ertinya tersendiri.

Apakah kalau Bersih kali ini disekat dan dianggap gagal ia mencapai matlamat pihak yang menghalangnya? Apakah kalau Bersih gagal maka reputasi Najib akan pulih? Rakyat akan mempercayai Najib dan menyokongnya? Tidak? Akan ada ahli Umno bersama rakyat memaki hamun Najib. Dan Najib seperti kata bekas Duta Amerika ke Malaysia John Malott, bahawa kebusukan negara sudah meruap ke seluruh dunia dan beliau akan berundur selepas Bersih.

Dan peserta Bersih yang sudah pun bersiap siaga di seluruh negara tetap akan maju dan mara, mara dan maju mulai esok mengarah ke Ibu kota untuk berhimpun "merdeka" bagi menyatakan kemarahan mereka. Halangan, sekatan dan apa sahaja pasti tidak dipedulikan kerana perjuangan menyatakan hak diri itu adalah naluri mutlak buat mereka yang jiwanya hidup. [wm.kl.4:37 pm 27/08/15]

No comments:

Post a Comment