Friday, January 22, 2016

Semua Ketua Umno bahagian dan Exco Kedah menghadap Najib petang ini?

CERITA KEDAH

Kemelut atau pergolakan politik di Kedah semakin menarik dan bersimpang siur. Benarlah pemberontakan dilakukan oleh 14 Ketua Umno Bahagian Kedah bukan gampang untuk menggugurkan Mukhriz Mahathir sebagai MB Kedah. Kedudukan Mukhriz yang mendapat simpati dan sokongan akar umbi menyebabkan, pengistyaran ketidakpercayaan dan ketidakkeyakinan kepada anak Dr Mahathir itu tidak mendorongnya beliau mengangkat bendera putih sebelum berjuang.

Mukhriz atau pun penyokongnya kini sedang menyusun serangan balas secara psykologis. Sedikit sebanyak Mukhriz sudah pun mendapat kekuatan. Katanya sebahagian besar ketua-ketua Umno bahagian, Adun dan ahli parlimen yang dihimpun dalam sidang akhbar itu tidak mengetahui tujuan sidang akhbar berkenaan.
Mereka menganggap diperangkap atau ditangkap seperti ayam kemudian dimasukkan ke dalam raga untuk dipasarkan. Cara itu tidak profesional dan gelojoh menyebabkan mereka berasakan diperbudak-budakan. Pendedahan dibuat oleh Ketua Wanita Mazah Abd Hamid dan Exco Syuraya Yacob menggambarkan isi cerita sebenarnya.

Mungkin ramai yang tidak tahu apa yang berlaku selepas sidang akhbar yang dibaca oleh Ahmad Bashah Md Hanafiah itu. Beberapa orang Exco segera datang berjumpa dengan Mukhriz menyatakan keterkejutan mereka dan sokongan penuh kepada Mukhriz sebagai MB dan Pengerusi Umno Kedah.

Tindakan sama juga dibuat oleh beberapa Exco lagi, setelah selesai majlis penganugerahan darjah kebesaran di Istana Anak Bukit, tujuh orang Exco datang berjumpa Mukhriz di Mantaloon tanpa diarah dan dipanggil. Mereka menyatakan taat setia dan bersama Mukhriz.

Khabarnya turut sama datang berjumpa dan memberi semangat kepada Mukhriz Ketua Umno bahagian, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Padang Serai.

Cerita-cerita ini memberi gambaran bahawa sidang akhbar atau pengistyharan menolak Mukhriz itu adalah sebuah perangkap besar yang dicipta demikian rupa, jelas ia bukan atas motif kepentingan rakyat Kedah, tetapi kerana kepentingan politik individu yang berhajat. Bertolak dari realiti itu, mungkin benar andaian bekas Exco Kedah semasa kerajaan Pas Phahroralzari Mohd Zawawi, bukan gampang untuk jatuhkan Mukhriz bagi Phahrorrazi ianya sebagai menerusi stail lama itu.

Tentunya Phahrolrazi mempunyai pengalaman cukup baik dan mendalam mengenai strategi dan permainan politik sedemikian. Peristiwa tekanan dibuat ke atas bekas MB Kedah Azizan Razak agar berundur, tetapi gagal disebabkan ada kejadian u-turn dan "klu klik" akhirnya menyebabkan Phahrolrazi yang terlibat dalam pelan itu dipersalahkan dan dianggap penderhaka.

Dalam perkembangan lain, dari sumber rapat dengan Mantaloon, semua ketua-ketua Umno bahagian di Kedah bersama Exco diarah untuk menghadap Najib Razak hari ini di Menara Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur. Perjumpaan itu akan diadakan selepas Jumaat jam 4:00 petang.

Perjumpaan dengan Najib itu dipercayai ekoran sidang media yang menggemparkan negara itu. Mungkin Najib akan membuat arahan baru agar meredakan keadann di Kedah tanpa mengenakan apa-apa tindakan kepada setiap yang terlibat buat sementara waktu.

Mungkin gelora dan selut yang berladum di Kedah sudah difahami Najib, bahawa ia bukan satu tindakan yang bijak. Menolak Mukhriz dilihat sebagai berhadapan dengan rakyat. Yang mencemaskan Najib juga ia menanti apakah reaksi dan tindakan balas politik daripada Dr Mahathir Mohamad. Yang pastinya Mahathir tidak akan mendiamkan diri dari terus menyusun serangan balas demi membela legasinya Mukhriz.  [wm.kl.7:44 am 22/01/16]

No comments:

Post a Comment