Saturday, January 23, 2016

Singkir Mukhriz: Najib gagal laksana pelannya sendiri

CERITA TERTUTUP

Gambar pertemuan Najib dengan Umno Kedah.
Sehingga kini tidak diketahui apakah hasil pertemuan Najib Razak dengan Ketua-ketua Umno Bahagian bersama Adun serta Ahli Parlimen dan pimpinan lain Umno Kedah yang berlangsung di PWTC petang semalam, ini kerana tidak ada apa-apa kenyataan mengenai perkara itu dikeluarkan.

Pertemuan itu telah berlangsung semalam kira-kira lebih dua jam, dari pukul 5:00 berakhir menjelang pukul 7:30 malam. Semua pemimpin yang ditemui oleh media massa untuk mengulas pertemuan itu enggan bercakap dan mengambil sikap mengunci mulut. 

Tentu ada arahan keras agar tidak dibenarkan sesiapa membuat kenyataan atau memberi gambaran senario pertemuan yang berlangsung kira-kira lebih dua jam itu. Najib sendiri katanya meninggalkan majlis itu menerusi pintu belakang tanpa menemui wartawan yang menantinya. Wajah Najib juga kusam di sepanjang majlis itu berlangsung dan meninggalkan majlis dalam keadaan tidak menyeronokannya.

Seperti mana diketahui semangat dan tujuan pertemuan itu adalah untuk mengambil tindakan susulan terhadap sidang akhbar yang diadakan sebelum ini yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Ahmad Bashah Md Hanafiah di Alor Star selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Umno bahagian, menyatakan ketidakpercayaan dan ketidakkeyakinan kepada Mukhirz Mahathir sebagai MB dan Pengerusi Umno Kedah.

Pemerhati percaya apabila Najib sedia untuk bertemu dengan Ketua-ketua Umno bahagian dan pemimpin lain petang semalam, beliau akan membuat keputusan penting untuk melaksanakan apa yang dihasratkan menerusi pengistyaharanh itu, memecat Mukhriz sebagai MB Kedah. Itulah yang ditunggu-tunggu, Najib akan mengumumkan nama baharu sebagai MB Kedah. 

Tetapi apa yang diharapkan itu tidak terjadi. Sebaliknya pertemuan itu menyebabkan ia menjadi bertambah suspen dan penuh dengan spekulasi yang negatif. Kenapa?

Bukan sahaja mereka yang hadir dilarang untuk bercakap kepada media massa, tetapi Najib juga tidak berani untuk berhadapan dengan press. Tidak sepatutnya pertemuan sepenting itu yang ditunggu-tunggu umum Najib berlalu tanpa memberi apa-apa kenyataan. Tampak sangat majlis itu tidak membawa hasil yang diharapkan dan gagal.

Kalau pun Najib enggan berjumpa dengan press, tetapi dia boleh mandatkan kepada sesiapa untuk memberi penjelasan. Membiarkan media tertanya-tanya menyebabkan timbul pelbagai spekulasi mengenai perjumpaan tersebut.
Pertemuan itu selain daripada dihadiri Ketua-ketua Umno bahagian dan para wakil rakyat, pempinan peringakat bahagian terdiri AJK bahagian juga turut sama dipanggil. Malangnya daripada 260 orang yang dipanggil hanya 54 orang sahaja yang hadir. Kegagalan kesemua pimpinan bahagian yang dipanggil itu hadir, telah memalukan Najib.

Kononnya pimpinan peringkat bahagian dipanggil sama bagi menyatakan sokongan untuk menyingkirkan Mukhriz, tetapi apa terjadi sebaliknya. Kegagalan mendapat sokongan pimpinan peringkat bahagian itu dikatakan mengecewakan Najib.

Dalam pada itu katanya hanya enam (6) daripada 14 Ketua Umno bahagian sahaja yang bersetuju untuk menggugurkan Mukhriz. Ertinya jelas pengistyharan yang dibuat oleh Ahmad Bashah itu tidak mendapat persetujuan sebulat suara Ketua-ketua Umno bahagian. Keadaan ini tambah memalu dan menimbulkan kemarahan Najib kerana pelan untuk menyingkirkan Mukhriz itu tidak mendapat sokongan padu pimpinan Umno Kedah.

Dalam perkembangan lain, pertemuan petang semalam juga tidak membuahkan hasil yang diharapkan apabila khabarnya pihak Jemaah Pemangku Sultan tidak memberi restu ke atas apa yang hendak dilakukan. Ada pihak-pihak tertentu cuba hendak menghadap Sultan tetapi tidak dibenarkan. Sikap tegas dan adil Jemaah Pemangku Sultan ini sedikit sebanyak telah mengagalkan tujuan pertemuan itu.

Kesimpulannya, kegagalan pertemuan petang semalam membuat sebarang resolusi atau keputusan ia memberi impak kepada Najib. Najib patut malu dengan apa yang berlaku. Walaupun usaha untuk menggugurkan Mukhriz itu dilakukan di Kedah, tetapi orang semua tahu ianya direstui oleh Putrajaya. Jadi apabila usaha itu gagal, maka wajar Najib menanggung malu dan mengambil tanggungjawab ke atas apa yang berlaku. [wm.kl.4:33 pm 23/01/16] * Artikel ini ditulis semula selepas teks asal hilang atau dihilangkan.

No comments:

Post a Comment