2. TAHU SAKIT
JIKA kita seorang "pencerap" yang baik kepada keadaan diri kita, baik dari dalam atau dari luar, kita akan tahu setiap perubahan yang berlaku ke atas diri kita. Kita akan maklum apa-apa perubahan yang kita alami.
Mustahil kita tidak tahu tentang apa-apa berlaku ke atas diri kita. Sebab semua perkembangan; rasa, perasaan, naluri dan sebagainya kita dapat mengalaminya. Setiap anggota yang menjadi komponen kita ada fungsi dan peranan tersendiri yang sangat unik. Kita seharusnya menyedari evolusi diri.
Kulit kita pedih bila tersentuh sesuatu yang keras, mata berpinar kerana termasuk habuk atau cahaya, kaki berdenyut kerana tersadung duri atau sembilu dan sebagainya, kita dapat merasai dan mengesaninya apakah sebab musababnya. Kecualilah kita sudah hilang segala deria rasa, semua sel-sel saraf kita rosak, pancaindera kita sudah tidak berfungsi lagi, maka ia mungkin tidak dapat dikesani. Tetapi selagi saraf kita hidup, pancaidera kita berfungsi ia dapat dirasakan dan menjadi petunjuk kepada kita untuk bertindak.
Cuma mungkin natijah (tindak balas) daripada apa yang kita ketahui itu kita tidak memahaminya disebabkan kejahilan kita. Sebenarnya perubahan itu adalah petunjuk atau isyarat. Petunjuk atau isyarat itu penting untuk kita menyediakan persiapan awal membendung dan mengatasinya, seperti kata pepatah; siapkan payung sebelum hujan atau membina kapal sebelum bah tiba. Apabila kita responsif kepada perubahan dan tanda-tanda itu, maka kita dapat menghindarinya. Kalaupun tidak terlepas langsung namun dapat melambatkan kesannya ke atas kita.
Tuhan menjadikan semua benda dan alam ini penuh dengan tanda-tanda. Terpulang ke atas diri kita mahu mempelajari atau pun sedia mengambil iktibar atau pun tidak. Hakikatnya Tuhan menyediakan apa yang kita perlukan, tunggu kita memilihnya sahaja. Sebab itu Tuhan berfirman, nasib seseorang itu tidak akan berubah kecuali dia sendiri mengubahkannya. Tidak salah ibu mengandung?
Sesuatu kejadian itu, contohnya kelahiran dan kematian ada tanda-tandanya. Hanya mereka yang prihatin dan peka sahaja mengetahuinya. Bagi seorang "perecaman" yang baik dapat menghindari apa-apa keburukan daripada menimpa dirinya. Mereka akan tahu sesuatu perkara itu. Sesuatu itu boleh diketahui dengan apa dinamakan "ilmu". Dan ilmu itu pula terlahir menerusi pengalaman dirasai sendiri atau dengan menuntutnya. Menuntut, maksud mendengar, melihat dan merasa yang diajarpandukan pula oleh Guru Mursyid.
Bila menyentuh bab ilmu ini, cara atau kaedah ilmu menyerap ke dalam diri kita ada berbagai-bagai cara. Cara paling popular ialah menerusi Ilmu Kalam. Ilmu ini diperolehi secara zahir, diajar secara berhadapan dengan berkata-kata. Alam persekolahan adalah contoh medan penimbaan ilmu ini.
Kedua menerusi Laduni, yakni secara ghaib. Ilmu ini bukan semua diperolehi manusia, hanya mereka terpilih atau pun beramal sahaja. Ilmu yang diperolehi secara Laduni ini akan masuk atau sampai kepada kita dengan pelbagai cara, salah satu ialah menerusi mimpi. Biarlah bab ini kita bincangkan dalam kesempatan lain yang lebih khusus.
Contoh mudah mengenai tanda sesuatu kelahiran itu; apabila seorang wanita itu mengalami perubahan dalam dirinya; selera maka, sifat dan tabiat bertukar. Paling dominan perubahan ini ialah pada fizikal, itu tandanya ia bakal melahirkan. Tatkala tersemai benih (superma dalam ovari), maka wanita akan mengalami perubahan sifat dan selera makan. Biasanya loya, mual dan muntah.
Apabila benihnya berkembang menjadi jani, maka perubahan fizikal bermula, perutnya membusung. Selepas 9 bulan 10 hari ia akan melahir seorang insan. Nah, tanda-tanda itu semua, adalah tanda dan isyarat kelahiran bagi seorang manusia di atas muka bumi ini. Perpindahan dari alam ghaib ke alam nyata, daripada alam Ibu kepada alam maya.
Demikian juga dengan kematian. Ia ada tanda-tanda dan isyaratnya tersendiri. Manakala bagi sesetengah orang yang "bertarruh" dengan Allah, bukan sahaja setakat alamat dan tanda-tanda kesakitan bakal menimpanya, bahkan saat pintu ajal hendak terbuka diketahuinya. Bagi orang mengenali dirinya dia tahu kapan hadirnya Malaikat Maut bagi menyampaikan salam Tuhan meminta kita pulang ke sisi-Nya. Tahu dengan bulan, minggu, hari dan jamnya sekali. Justeru dia tidak berasa gentar dan bergemetar apabila bercerita perihal kematian.Bagi mereka sebegini kematian sesuatu yang dinanti-nantikan.
Demikian luas tidak bertepinya lautan ilmu itu mencakupi semua aspek dan sudut kehidupan, nyata dan ghaib.
Semua itu diketahui kalau kita seorang pemerhati dan pencerap yang baik. Sanpai ke peringkat makrifat. Namun kalau kita jauh dari pengetahuan itu kita tidak akan mengetahuinya. Keadaan inilah menjadikan kita tersempit bila berhadapan dengan situasi ini dan berasakan takut dengan cerita kematian.
Apa yang berlaku ke atas diri saya berhadapan dengan "anugerah sakit", sudah ada tanda-tanda dan isyarat itu. Dua bentuk isyarat, pertama secara fizikal dan kedua secara kerohanian. Lantaran ada atau diketahui tanda-tanda itu menyebabkan saat saya diberi tahu tentang penyakit itu oleh doktor ia tidak mengejutkan. Saya pasrah mendengarnya dengan tenang.
Isyarat fizikal.
Sejak satu setengah tahun lepas (2013 - 2015) saya menyedari ada perubahan fizikal kepada saya. Berat badan saya turun 2 hingga 4 kilogram. Ini terkesan apabila tali pinggang longgar, seluar longgar dan tali jam juga terpaksa diketatkan. Dalam masa sama, rakan-rakan menyedari akan perubahan badan saya. Mereka yang lama tidak berjumpa terkesan perubahan fizikal saya dan akan menyapa saya; "nampak slim sedikit daripada dahulu." Seorang kawan yang melihat gambar saya bersama isteri yang saya poskan dalam facebook, merungut kepada isteri saya kiatanya, "MSO nampak susut sikit."
Bagaimana pun isteri dan mereka yang hampir dengan kita, anak-anak tidak menyedarinya. Mereka kalis dengan keadaan dan perubahan diri saya. Dan saya sendiri pula mengira, perubahan itu disebabkan kerana aktiviti jongging dan senaman yang saya lakukan hampir setiap tiga kali sepanjang tahun. Atau pun kerana bahana kencing manis, gaout dan darah tinggi yang saya hidapi. Makanya perubahan itu tidak dipedulikan oleh saya. Ia diyakinkan lagi dengan rawatan kesihatan yang saya perolehi dari Pusat Kesihatan dan klinik swasta yang tidak memberi apa-apa khabar atau pesan buruk buat saya.
Dalam tempoh itu saya menjalani atau mendapat pemeriksaan doktor setiap enam bulan sekali. Pemeriksaan darah juga dilakukan.Sepanjang pemeriksaan itu tidak menemui sesuatu yang membimbangkan. Di sini satu pengalaman yang boleh dikongsikan, sesuatu yang "halus" dan kronik dalam diri kita tidak dapat dikesani dengan rawatan biasa, melainkan dengan menggunakan peralatan moden yang canggih dan ditangani oleh doktor pakar.
Sebenarnya selain daripada tanda-tanda itu, ada isyarat "saintifik" lain lagi. Ini baharu disedari selepas saya disahkan menghidapi penyakit itu. Waktu malam bila tidur ada kalanya tubuh berpeluh walaupun dalam bilik berhawa dingin. Demikian juga dengan selera makan, tiba-tiba sahaja hilang. Selalu makan menambah tetapi tidak lagi sejak dihinggapi penyakit itu. Tetapi kerana kejahilan dan cetek ilmu perubatan, ia dibiarkan sahaja tanpa menangani sebaik mungkin.
Isyarat kerohanian.
Isyarat atau alamat ini sukar untuk diceritakan kerana ia bersifat kerohanian atau spiritual. Tetapi seperti saya nyatakan tadi, apabila dicam dan diambil iktibar, maka ia dapat diketahui. Ada beberapa isyarat dari bentuk ini hadir kepada saya. Sewaktu saya menunaikan Haji akhir Disember tahun 2014, berlaku sesuatu yang agak ganjil kepada saya. Saya kehilangan suara di Makkah selama dua hari. Belum ini tidak pernah terjadi demikian. Bahkan walaupun sudah berkali-kali saya ke Makkah tetapi belum pernah mengalami keadaan seperti itu.
Saya tidak batuk atau pun selesema. Tidak pernah demam. Dengan tiba-tiba sahaja suara hilang dan terpaksa bercakap menggunakan isyarat tangan dan menerusi SMS dan Whatsaap sahaja dengan jemaah sebilik. Barang kali tidak perlu saya mencatat kesemua isyarat-isyarat secara ghaib itu kerana jika sikap penerimaan ia boleh menimbulkan fitnah.
Perkara yang paling pelik dan anih ialah mengenai gout. Dalam perhatian saya dalam tempoh satu setegah tahun itu saya "kalih" diserang gaout. Ia menghairankan, tetapi keghairanan itu saya letakkan kepada rahmat dan hikmah doa saya. Sepanjang masa saya mendokan agar penyakit berat yang tertangung diringankan. Sebelum itu boleh dikatakan sebulan sekali saya diserang gaout. Rekod pemeriksaan saya di klinik boleh disemak betapa kerapnya saya menghadapi penyakit ini yang saya tanggung sejak lebih 18 tahun.
Anih kerana dalam tempoh satu tahun setengah itu, penyakit itu hilang. Saya seakan bebas dari gaout dan ia sangat menggembirakan saya. Apabila sakit yang ditanggung berdekad hilang, tentulah kita rasa gembira dan merdeka. Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya, penyakit kronik itu diganti dengan penyakit yang lebih kronik? Jika kita tidak dapat mentafsir atas apa yang berlaku akan menganggap ianya sesuatu yang tidak adil buat kita. Namun kalau kita insaf dan mengetahui sirr Nya kita akan menerima ia sebagai satu anugerah bukan hukuman.
Apabila dapat menerima hakikat begitu, maka sakit itu akan menjadi sebuah nikmat.
Wangsa Melawati - HUKM,
19/7/16.
No comments:
Post a Comment