Wednesday, June 20, 2018

Kenapa Anwar perlu berada dalam kabinet?

SESUDAH SUBUH

Jika Anwar berada dalam kabinet banyak
perkara yang boleh dilakukan.
MUNGKIN sebelum ini agak songsang kalau Anwar Ibrahim ikut sama berada dalam kabinet apabila isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah berada di sebelah kanan Dr Mahathir Mohamad sebagai timbalan perdana menteri.

Dengan adanya Anwar sama nanti, boleh memberi peluru kapor kepada pembangkang untuk mengkritik kabinet Dr Mahathir sebagai kabinet laki bini.

Itu tidak menjadi masalah sebenarnya dan memang pembangkang mencari apa sahaja benda untuk dijadikan peluru menyerang kerajaan PH. Saya sendiri kurang setuju kalau kabinet Dr Mahathir dianggotai oleh anak beranak, apa lagi oleh suami dan isteri. Apabila ada ura-ura Nurul Izzah Anwar dan Mukhriz Mahathir hendak dibariskan sebagai anggota kabinet saya memberi pandangan agak tidak berlaku demikian.

Tetapi kerana melihat dan menyedari beberapa keperluan semasa, serta melihat kepada perjalanan kerajaan PH setelah sebulan, saya terpaksa ralat pandangan itu sebelum ini. Mungkin keperluan ini istimewa. Saya melihat perlu untuk Anwar berada sama dalam kabinet atas beberapa perkara.

Cadangan atau perkara ini perlu diberi perhatian apabila timbul beberapa perkara di sekitar Anwar yang tidak begitu kondusif suasananya. Apa sahaja gerak geri dan percakapan Anwar tidak dilihat sebagai betul dan diletakkan dengan motif tertentu. Suasana ini tidak adil kepada Anwar sendiri dan boleh dianggap satu penjara jiwa buatnya.

Ambil contoh teguran beliau kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang kini rancak mendedahkan satu demi satu skandal dan penyelewengan dilakukan oleh bekas PM, Najib Razak,  teguran Anwar ke atas perkara itu berniat baik bagi menjamin kestabilan dan keyakinan pelabur. Bagaimana pun ia dilihat sebagai satu teguran yang bertentangan dengan prinsip kerajaan PH yang mahu melakukan pembersihan dan telus.

Lim Guan Eng sendiri kurang senang dengan teguran Anwar itu apabila memberi tahu apa yang beliau buat itu atas arahan Perdana Menteri. Kita faham jawaban Guan Eng itu untuk menjelaskan kepada Anwar dan umum, dan penjelasan itu akan ditafsirkan tindakan Anwar itu seperti bertentangan dengan kehendak Dr Mahathir.

Kerana terguran itu terbuka maka timbul berbagai persepsi yang boleh mengeruhkan suasana. Pihak musuh akan mengambil kesempatan untuk menaburkan peluru kapur dengan kejadian itu. Anwar barang kali sedar natijah atas tindakan ikhlas itu tetapi beliau terpaksa lakukan kerana itu perkara dibimbanginya.

Mungkin teguran Anwar kepada Guan Eng itu menjadi "lendik" dan tidak cuba dipertikaikan kepada mana-mana pihak sekiranya ia dibuat secara dalaman, bukan terbuka sehingga berlaku polemik kecil jawab menjawab.

Makanya untuk membuat teguran secara sistematik (tertib) itu hanya boleh dilakukan dalam kabinet sahaja. Tempat itu sahaja sesuai untuk Anwar menegur atau memberi apa-apa pandangan yang bersifat sensitif untuk kebaikan kerajaan. Walaupun beliau adalah  "6 Top" berada dalam Majlis Presiden PH, tetapi kedudukan dalam majlis itu tidak sesuai untuk membincang hal kerajaan sebaliknya ia lebih sesuai untuk membicarakan soal parti sahaja.

Keperluan untuk Anwar berada sama dalam kabinet bukan setakat itu sahaja. Peranannya sangat besar dan diperlukan. Beliau dapat akses langsung apa-apa maklumat kerajaan yang dibincangkan dalam kabinet dan terus memberi respon.

Berpengalaman.

Walaupun beliau dapat segala maklumat itu melalui isterinya sebagai PM, tetapi maklumat itu dianggap bukan rasmi. Juga apabila beliau berada sama dalam kabinet, beliau dapat berperanan lebih besar dan efektif. Beliau boleh memberi pandangan kepada mana-mana menteri berdasarkan pengalaman dan kebolehan yang ada kepadanya dan menteri akan menghormati pandangannya.

Tidak dinafikan Anwar mempunyai pengalaman berbagai dalam kerajaan kerana beliau pernah mejabat beberapa kementerian, Belia dan Sukan, Pertanian, Pelajaran, Kewangan dan terakhir sebagai TPM. Sudah pasti pengalaman dan ilmu itu dapat diinjek dan dikutip oleh menteri-menteri baru.

Apa lagi memandangkan kebanyakan menteri kini muda belia, mereka sangat memerlukan tunjuk ajar dan pandangan Anwar sebagai membantu Dr Mahathir Mohamad.

Kepentingan lain Anwar berada dalam kabinet juga boleh mengelakan beberapa kejadian sebelum ini yang kurang manis dan dipersoalkan seperti berjalan beriringan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi sewaktu mengiringi, isterinya mengiringi PM India itu. Jika Anwar menjadi salah seorang menteri kabinet kehadirannya pada majlis seperti itu tidak boleh dipersoalkan.

Apabila bercakap keperluan ini, jawatan paling sesuai untuk Anwar ialah Menteri Luar (Menelu). Banyak tugas dan khidmat yang boleh Anwar laksanakan menerusi kementerian ini. Misalnya kebimbangan beliau kepada pelabur asing dengan isu-isu penyelewengan dilakukan oleh Najib yang didedahkan secara berterusan oleh Guan Eng, yang ditegur itu dapat diatas dengan kedudukan beliau di Wisma Putra itu.

Menerusi jawatan itu Anwar dapat juga berfungsi bukan sahaja menjaga hubungan antarabangsa Malaysia dengan negara-negara asing tetapi dapat juga berbincang mengenai pelaburan. Anwar dapat menggunakan kedudukan itu untuk menyakinkan pelabur asing ke negara ini. Mungkin tidak melampau kalau untuk melihat peranan Anwar lebih besar, kementerian luar itu digabung dengan kementerian MITI.

Pelantikan Anwar sebagai menteri juga ikut sama membolehkan beliau berada dalam parlimen tanpa beliau melalui mana-mana pilihan raya kecil buat ketika ini.

Tidak timbul rasanya jawatan itu sebagai tidak sesuai atau sepadan dengan pengorbanan besar beliau dalam usaha menjatuhkan kerajaan kleptokrasi. Juga tidak timbul jawatan itu lebih rendah daripada isterinya. Dan Anwar sendiri tidak wajar merasakan ia satu penghinaan kerana kerusi diidamkan ialah Perdana Menteri. Apa yang penting ia memberi ruang untuk Anwar berkhidmat dan menjadikan saluran itu untuk beliau berada sama dalam kerajaan yang memerlukan pandangan dan juga idea daripadanya.

Sesiapa pun tidak dapat menafikan jawatan PM adalah cita-cita Anwar dan adalah haknya. Bagaimana pun sementara tempoh peralihan itu sampai, (dua tahun) elok kalau Anwar sedia menerima jawatan Menelu tanpa berprasangka atau merasakan dirinya perendah-rendahkan. Bisa ular tidak akan hilang walaupun menyusur akar. Bau mawar tetap menyerlah meskipun ia berada dalam seribu jambangan bunga.

Anwar tidak perlu sangat mengikut naluri dan emosi penyokong bawahan yang tidak sabar-sabar untuk melihat beliau menjadi PM. Apa yang penting negara dan rakyat memerlukan sentuhan beliau.

Dr Mahathir mungkin boleh mempertimbangkan cadangan ini secara serius.  [wm.kl.7:07 am 20/06/18]

No comments:

Post a Comment