Sunday, July 1, 2018

Ulasan pemilihan Presiden: Umno sama dengan Pas

ULASAN

KEGUSARAN saya terhadap Tengku Razaleigh Hamzah menjadi kenyataan apabila beliau sekali lagi tewas untuk merebut jawatan presiden Umno semalam. Tengku Razaleigh seorang veteran Umno yang selalu membuat kesilapan politik, mendapat hanya 30 bahagian (20,462) undi, ianya separuh daripada undi dicapai Khairy Jamaluddin sebanyak 61 bahagian atau 32,592 undi.

Jika dicampur undi atau bahagian menyokong Razaleigh dengan Khairy ia separuh sahaja daripada bahagian atau undi capai Zahid Hamidi, sebanyak 99 bahagian dengan jumlah undi sebanyak 39,197 undi.

Secara mudah boleh disimpulkan bahawa separuh ahli Umno tidak tertarik dengan tawaran dan jaminan perubahan atau reform yang hendak dilakukan, sebaliknya mahu kekal dalam paradigma lama parti. Kedudukan menjadikan Umno subjektif, di antara boleh ke depan atau pun mengecut ke belakang.

Razaleigh dan Khairy cuba mengemukakan pembaharuan dalam Umno untuk memulihkan parti itu, berbeza dengan Zahid yang dilihat mahu terus mengekalkan Umno yang dicorakkan Najib Razak sebelum ini. Apabila Zahid diangkat menjadi presiden, ia bermakna penerusan regim Najib Razak. Kemenangan Zahid membawa pengertian kemenangan bagi Najib Razak, sekaligus ahli Umno masih menerima Najib sebagai pemimpin suci (bangasawan) yang selamanya akan disembah marhaen.

Mengenai Razaleigh, awal-awal saya telah memberi amaran kepada ahli Parlimen Gua Musang itu agar tidak ikut sama bertanding dan bernafsu dengan pancingan orang di kelilingnya. Jadi apabila saya sudah memberi peringatan, tetapi ia tidak dipedulikan, tidak adil untuk saya mengulas kekalahannya secara lebih mendalam. Tidak ada guna dan saya bukan bercakap lebih daripada dua kali.

Cuma ingin saya tegaskan begini sahaja, kekalahan itu beliau melengkapkan sejarah kekalahan beliau untuk menjadi jawatan presiden Umno sepanjang kerjayannya dalam politik Umno selama lebih 60 tahun. Kekalahan beliau juga menunjukkan Razaleigh tidak belajar dari kekalahan sebelum ini.

Tengku Razaleigh kalah pertama kali tahun 1987, kalah dalam percubaan keduanya untuk melawan Abdullah Ahmad Badawi bagi jawatan sama tahun 2004 dan terbaharu kalah semalam. Kekalahan semalam lebih parah dari kekalahan tahun 1987. Kekalahan 2004, kalah sebelum sempat mengundi kerana tidak cukup pencalonan.  

Harapnya kekalahan semalam ada kekalahan terakhir, dan sudah tidak ada kesilapan politik yang akan diulang lagi oleh Razaleigh. Sebaik-baiknya bagi Razaleigh beliau menutup pintu politik. Saya sudah katakan beliau tidak mampu untuk meniru politik cara Dr Mahathir, membuat come back, walaupun PM itu berusia lebih tua 11 tahun daripadanya.

Razaleigh berbeza dengan Dr Mahathir. Dr Mahathir, kelebihannya sanggup mengikut gerak genta politik masakini. Beliau menghayati gaya dan aspirasi politik anak muda dan juga trend politik semasa, sedia bersama rakyat turun ke gelanggang. Misalnya Dr Mahathir dan isterinya sanggup berembun membakar lilin dengan anak-anak muda di Dataran Merdeka bagi sebuah solidariti, sanggup menyertai demostrasi acara yang beliau tidak senanginya, tetapi tidak dengan Razaleigh. Walaupun Razaleigh berjiwa rakyat tetapi dia menjarakkan dirinya dengan rakyat.

Sudah berapa kali saya menyampaikan pandangan secara peribadi kepadanya agar mengubah pendekatan politik, (feudalisme), politik permaidani merah kepada politik "berlongkang" berpeluh pelai dengan rakyat. Malangnya beliau tetap mahu kekal dengan politik diusung di atas tandu, macam raja-raja zaman dahulu. Itulah kelemahan atau pun kesilapan Razaleigh. Beliau gagal melupai keindahan masa lalu bagi mengapai kemenangan masa depan.

Mengenai Khairy Jamaluddin, tindakannya bertanding jawatan tertinggi menjelaskan bagaimana sikap ambisinya. Saya suka menyelami kata-katanya semasa mengumumkan untuk merebut jawatan presiden; katanya "alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan". Kenyataan itu memberi konotasi bahawa bekas Ketua Pemuda itu sudah tidak sabar dan bersedia melakukan "harakiri" dalam politiknya. Mungkin dia sudah mual dengan birokrasi parti dan juga kediktatoran presiden Umno.

Apabila beliau mengambil keputusan merebut jawatan nombor satu, Khairy dilihat bernafsu dan gelojoh. Kegelojohan itu pula menterjemahkan rasa tidak puas hati beliau kepada pucuk pimpinan Umno khasnya Najib Razak dan lain-lain, dalam masa sama menunjukkan dia seorang yang bijak dan berani. Bijak dan berani dalam politik bukan seperti pandai membuat kira-kira atau berani mandi di sungai ada buaya. Khairy gagal membezakan teori dengan pratikal.

Seperti mana yang beliau akui, kesilapan besarnya ialah kerana mendiamkan kesalahan Najib. Maka untuk menebusnya dia membalas dengan cuba merebut jawatan presiden untuk melakukan refomasi ke atas parti itu yang bersifat revolusi. Penebusan itulah saya kata dia melakukan "harakiri".

Sepatutnya Khairy bertanding jawatan naib presiden sahaja, bukannya presiden. Apabila beliau terus meluncur ke atas menyebabkan tindakan beliau itu seakan beremosi. Saya mengatakan Khairy tahu dengan percubaan itu sukar, tetapi beliau gunakan juga untuk menghalalkan tindakannya sebelum ini. Khairy ada kemungkinan sedia ditampar oleh bapa mertuanya selepas ini?

Manakala kemenangan Zahid Hamidi sudah dijangka. Namun ada juga orang menunggu takut-takut ada kesedaran dari bawahan dan berlaku kejutan. Ada keajaiban. Tetapi keajaiban sukar berlaku dalam sebuah parti Umno yang dianggap keramat walaupun ia bida'ah. Umno kekal dalam ketepuannya.

Dengan menyedari keadaan dan jiwa raga Umno saya sudah menjangkkan tidak akan berlaku kejutan dalam Umno. Ertinya tradisi pertukaran kepimpinan akan berlaku secara tradisi. Ahli Umno sangat setia dengan tradisi dan budayanya. Feel orang Melayu. Untuk memahami ini bukanpayah,  mudah kerana Umno tidak banyak bezanya dengan Pas. Kedua-duanya parti itu berfahaman konvensional, dan memasungkan (doktirn) ahli dengan elemen bangsa dan agama, dua elemen yang sangat rapat dan sensitif.

Kedua parti ini mempunyai persefahaman dari segi memiliki penyokong dan ahli. Umno dilatari ahli yang bersifat rasis dengan Melayu, dalam pula Pas dipenuhi ahli yang seronok dengan budaya Arab yang diyakini ia hampir dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Jadi sifat inilah menyebabkan kedua-dua parti itu sukar untuk berubah dan melalui garis yang sama. Sikap ini adalah pakaian budaya kedua parti itu.

Kesimpulan pemilihan kepimpinan Umno sama dengan corak pemilihan pemimpin dalam Pas. Kedua-dua parti itu suka kepada retorik dan angan-angan dan tidak mahu meletakkan partinya di bumi nyata. Umno akan hanyut dengan agenda Melayunya, Pas pula akan terus mudik dengan agenda Islamnya. Sebab itu dalam Pas pemimpin yang profesional yang dilihat tidak ada janggut dan jinak dengan kopiah akan dihumban ke laut.

Selamanya mereka -- Umno dan Pas akan menjadikan soal bangsa dan soal agama sebagai nafas perjuangannya. Mana-mana pemimpin atau orang  yang boleh berpantun dan mana yang boleh membaca hadith, walaupun mereka tidak faham, orang itulah yang akan diangkat dan dijulang. Melayu mendominasi kedua-dua parti itu, dan kebetulan pula orang Melayu suka berangan, berkhayal sebab itu kedua parti itu terus "melacak" (ononi) politik bangsa. [wm.kl.2:52 pm 01/07/18].

No comments:

Post a Comment