Monday, April 1, 2019

Kepelikan dua pucuk surat yang ditular?

ULASAN MALAM

HARI ini dua surat satu dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan) dan satu lagi oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah ditularkan dalam media sosial. Kedua-dua surat itu walaupun ia memberi maklumat dan penghebahan mengenai sesuatu perkara, tetapi ia dilihat cacat dan sesuatu yang agak pelik.

Surat daripada SUK
Kelantan.
Konon surat daripada
Salahuddin?
Surat yang dikeluarkan oleh pejabat SUK Kelantan memaklumkan berhubung gambar-gambar pembesar yang boleh digantungkan di pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan di negeri Kelantan.

Surat bertarikh 1 April 2019 itu ditanda tangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Adnan Husin.

Surat itu menyebut hanya gambar-gambar Sultan Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan, Sultan Ismail Putera dan gambar MB sahaja dibenarkan digantung, manakala gambar-gambar pembesar lain tidak dibenarkan.

Husam akan diumum
Pengerusi KADA.
Ini bermakna gambar Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, gambar Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan gambar Yang diPertuan Agong dilarang daripada digantung.

Surat arahan dan larangan ini menimbulkan persoalan kerana ia membelakangkan kebiasaan sebelum ini. Belum pernah berlaku gambar pembesar negara dilarang daripada digantungkan di pejabat-pejabat baik kerajaan negeri atau persekutuan.

Justeru timbul pertanyaan apakah surat berkenaan benar atau pun palsu.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob sebagai ketua kerajaan negeri perlu memberi penjelasan berkaitan pengedaran surat berkenaan. Beliau juga perlu menjelaskan kesahihan surat berkenaan. Dan sekiranya ia benar, apakah alasan dan sebab musabab timbul larangan daripada menggantung gambar pembesar negara yang lain selain daripada diseneraikan itu.

Semasa Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB selama 22 tahun tidak pernah berlaku larangan seumpama itu. Gambar PM atau TPM, baik sewaktu Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak jadi PM, jadi perdana menteri gambar mereka dibenarkan digantung di pejabar kerajaan negeri dan persekutuan di Kelantan.

Kenapa pula kali ini gambar Dr Mahathir yang jadi PM sekali lagi tidak termasuk dalam gambar tokoh yang dibenarkan digantung?

Surat dikeluarkan oleh SUK itu telah mulai tular sejak tengah hari ini.

Surat daripada MOA.
Sementara satu lagi surat yang ditular ialah pelantikan Senator Husam Musa sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada). Surat itu juga dilihat cacat dan tidak mencerminkan surat profesional.

Surat itu menggunakan kepala surat Menteri MOA dan ditanda sendiri oleh menterinya Salahuddin Ayub tular sejak tengah malam tadi.

Apa yang cacatnya surat itu ianya tidak mempunyai tarikh.

Boleh jadi Husam juga masih belum menerima surat berkenaan? Jika dilihat kepada print skrin  nampak bekas surat itu seperti diambil dari fail simpanan tanpa kebenaran?

Surat mengenai pelantikan itu seharusnya tidak disebar sebelum Menteri mengumumkan pelantikan itu atau tuan badan sendiri, Husam membuat pengakuan. Surat yang ditular itu bolehlah dianggap surat "palsu" dan ianya dilakukan oleh mereka tidak bertanggungjawab.

Sewajarnya pihak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyiasat kemungkinan ada pihak dalaman yang tidak bertanggungjawab yang sengaja menyebarkan surat tersebut untuk memburukkan imej menteri dan Husam. Di masa akan datang pihak pejabat menteri berkenaan khasnya bahagian pengurusan perlu lebih berwaspada.

Dalam pada itu difahamkan Salahuddin akan mengumumkan secara rasmi pelantikan Husam sebagai Pengerusi KADA dalam satu upacara ringkas dan rasmi di Kota Bharu esok. Pelantikan pengerusi KADA menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan amnya dan oleh warga KADA khasnya sejak 10 bulan lalu. [wm.kl.8:13 pm 01/04/19]

No comments:

Post a Comment